Dasar langit terbuka
dan dunia tanpa sempadan pada hari ini telah menyebabkan remaja hilang
keyakinan diri dan ketahanan jiwa. Mereka lebih terdorong dan gemar melakukan
pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme.
Mengapakah mereka melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang
keuntungan kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa
terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh mereka khususnya
dengan membaca? Apakah yang dimaksudkan dengan membaca dan apakah
kepentingannya? Membaca didefinisikan
sebagai memerhati sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan
memahami makna kandunganya. Kepentingannya pula adalah untuk melahirkan
individu yang berilmu pengetahuan. Maka, tidak hairanlah pepatah lama ada
mengatakan bahawa “membaca itu jambatan
ilmu”. Hal ini kerana, membacalah yang menghubungkan antara manusia dengan
segala ilmu pengetahuan. Berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua
buah buku setahun. Hal ini amat berbeza bagaikan
langit dan bumi jika dibandingkan dengan bilangan buku yang dibaca oleh
rakyat Jepun . Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik persis mutiara yang buruk dibuang dengan rundingan, yang
baik ditarik dengan muafakat untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar
membaca. Oleh itu, tanpa menuding jari
ke arah orang lain kerana dikhuatiri bagai
menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri, sebagai seorang pelajar
dan remaja kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk
menjadikan membaca itu amalan hidup.
Prakarsa pertama ialah remaja perlulah rajin pergi ke perpustakaan.
Marcapada mempelihatkan Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan.
Tamsilnya, perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak.
Di sini, remaja dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku untuk
meningkatkan ilmu pengetahuan. Walaupun perpustakaan yang dipenuhi dengan buku
itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak dapat diterokai, remaja
perlulah sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca. Walaupun
sekadar sebuah buku seminggu, ilmu yang diperoleh amat besar nilainya. Remaja
juga boleh melakukan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Negara atau
perpustakaan di universiti – universiti terkemuka di Malaysia. Selain dapat
menyemai minat membaca dalam diri, remaja juga dapat melihat kecanggihan
teknologi yang terdapat di situ, bak peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan itu, remaja perlulah rajin
mengunjungi perpustakaan agar sentiasa terdorong untuk membaca.
Selain itu , remaja juga boleh ikut serta secara aktif
dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca. Hal ini kerana, NILAM
berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti yang banyak.
Melalui program ini , remaja perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa Melayu
dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan di dalam Buku Nilam. Pelajar
yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula
daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif
juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat
daerah, negeri dan kebangsaan.
Remaja juga perlu menjadikan amalan membaca sebagai hobi pada
masa senggang. Aktiviti ini jauh lebih baik berbanding remaja melakukan
aktiviti-aktiviti yang membawa remaja ke arah negatif. Daripada remaja
membiarkan masa yang terluang terbiar begitu sahaja, remaja perlu mengisinya dengan
membaca kerana masa itu emas. Marcus Aurelis pernah berkata, “jangan
membuang masa memikirkan bagaimana untuk menjadi orang yang baik, sebaliknya
mulakan dengan diri sendiri dahulu”. Di sini jelaslah bahawa remaja itu
sendiri perlu menggalakkan dirinya agar melakukan sesuatu yang baik. Dengan
itu, remaja perlulah sentiasa menggalakkan diri sendiri agar sentiasa membaca
ketika waktu senggang.
Seterusnya , remaja
juga boleh membuat langganan buku pada
setiap bulan. Buku- buku atau majalah yang dilanggan bukanlah sekadar
berunsurkan tarbiah sahaja tetapi juga bercorak santai. Tamsilnya, Dewan Siswa,
majalah i-sihat dan Solusi. Di manakah remaja boleh melanggan buku-buku
tersebut? Remaja boleh melanggannya di kedai-kedai buku, internet atau meminta
bantuan guru di sekolah untuk melanggan. Impaknya, remaja akan sentiasa membaca
pada setiap masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan terkini
apabila melanggan buku pada setiap bulan. Remaja perlulah sentiasa berusaha
mencari pelbagai jenis buku dengan cara melanggan buku pada setiap bulan.
Persis kata peribahasa di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan.
Remaja juga boleh menjadikan individu yang gemar membaca dan
sentiasa dekat dengan buku sebagai idola. Sebagai contoh, A.Samad Said yang
terkenal dengan karya puisinya, Profesor Diraja Ungku Aziz, Mary Renault dengan
buku-buku sejarahnya dan penulis tersohor, Sharifah Abu Salim. Apabila remaja
menjadikan mereka sebagai idola, remaja akan sentiasa terdorong untuk membaca
dan menjadi seperti mereka. Positifnya, remaja akan sentiasa menjadikan idola
mereka itu sebagai hala tuju. Hal ini kerana, ketekalan dan kejituan mereka
dalam usaha menulis buku untuk dijadikan bahan rujukan harus dihargai dan
dijadikan pendorong . Walaupun kini maklumat di hujung jari tetapi tidak
mungkin maklumat yang diperoleh itu menyamai secara total seperti yang ditulis
oleh mereka. Hal ini kerana, hanya
jauhari yang mengenal manikam. Justeru, remaja haruslah menjadikan
tokoh-tokoh tersohor ini sebagai idola berbanding dengan menjadikan artis
sebagai pujaan hati mereka.
Prakarsa seterusnya
ialah berkawanlah dengan rakan sebaya
yang gemar membaca atau lebih dikenali sebagai ulat buku. Hal ini demikian kerana, pengaruh rakan sebaya amat kuat
semasa peringkat remaja. Malah, Saidina
Ali bin Abi Talib juga ada mengatakan, “selemah-lemah manusia adalah orang yang
tidak dapat mencari rakan dan orang yang lemah daripada itu adalah orang yang
mensia-siakan sahabat yang dicari”. Melalui kata-kata ini, dapatlah
disimpulkan bahawa rakan itu amat besar nilainya dan rakanlah yang dapat
memberi kita pelbagai faedah. Dengan itu , remaja perlulah arif memilih rakan
seperti rakan yang rajin membaca. Jika remaja tersilap langkah dalam memilih
rakan, tidak mustahil mereka akan menjadi duri
dalam daging dalam hidup kita ibarat kata, “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”.
Konklusinya , sebagai
seorang remaja kita perlulah sentiasa berusaha memajukan diri untuk jaminan
masa hadapan. Hal ini kerana, remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara.
Remaja merupakan aset negara kerana pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah biarkan usia remaja dipenuhi
dengan perkara sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan
aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu berpegang teguh
dan jitu dengan slogan “Membaca itu
Jambatan Ilmu” dan “Rakyat Membaca ,
Bangsa Berjaya” seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Malaysia
kita , Dato’ Seri Najib bin Abdul Razak “generasi
berpengetahuan merupakan tunjang untuk mencapai wawasan 2020 bagi menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara maju”.
No comments:
Post a Comment