Showing posts with label NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA. Show all posts
Showing posts with label NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA. Show all posts

Sunday, 18 October 2020

PLOT NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA : ABDUL LATIP BIN TALIB

PLOT NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA


Secara keseluruhannya plot drama digarap mengikut kronologi. Terdapat lima peringkat garapan plot iaitu:

Permulaan 

Pengarang menceritakan kehidupan Leftenan Adnan semasa kecil yang membesar bawah jagaan bapanya Pak Saidi dan ibunya, Mak Milah.  Adnan merupakan seorang anak yang sangat baik dan rajin kerana sering membantu ayahnya menoreh getah, bersawah padi dan membersihkan kebun durian. Bapanya, Pak Saidi seorang yang sangat tegas dan berpandangan jauh kerana sanggup menentang tohmahan orang kampung demi menyekolahkan anak-anaknya di sekolah Inggeris. Oleh itu, Adnan mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris di pekan sungai Ramal sebelum memasuki kem tentera di Kem Haig Lines untuk melayakkannya menjadi seorang tentera. Adnan telah berjaya menjadi rekrut terbaik selepas tamat sesi latihan di Port Dickson. Adnan juga mendapat kenaikan pangkat yang sangat cepat dalam ketenteraan kerana kredibilitinya malah telah dianugerahkan uniform khas sewaktu berada di London untuk majlis pertabalan King George IV. Dia kemudiannya berkahwin dengan Sophia Pakih Muda dan mendapat tiga orang anak iaitu Mokhtar, Zainuddin dan Fatimah sebelum Perang Dunia Kedua.

 

Perkembangan

Peristiwa tertumpu pada suasana kehidupan penduduk di Kamung Sungai Ramal yang hidup dalam kemikinan. Kebanyakkan penduduk kampung melakukan aktiviti bercucuk tanam, bersawah padi, menorah getah, dan menternak. Kemiskinan penduduk kampung telah memberikan kesedaran kepada ayah Adnan iaitu Pak Saidi untuk mengubah nasib bangsanya. Mereka tidak harus kekal menjadi petani yang miskin. Pak Saidi berpendapat bahawa anak-anak perlu diberi pelajaran yang sempurna agar mereka lebih berpendidikan dan akhirnya mampu membawa perubahan kepada keluarga, bangsa dan negara. Pak Saidi juga turut membekalkan anak ilmu silat sebagai pertahanan diri dan mengajar anak-anaknya ilmu agama dengan mengaji al-Quran pada waktu malam. Malah, Pak Saidi sentiasa menasihati anak-anaknya tidak kira masa dan membawa mereka bersembahyang berjemaah di surau di kampung mereka.

 

 

Perumitan

Perumitan cerita bermula apabila Jepun mula mendarat di Kota Bharu dan tercetusnya Perang Dunia Kedua.  Leftenan Adnan dan kumpulannya daripada Kompeni C diarahkan ke Pasir Panjang dan Bukit Candu  bagi menyekat kemaraan tentera Jepun yang ketika itu sudahpun berjaya menguasai beberapa tempat di Tanah Melayu.  Pasir Panjang dan Bukit Candu merupakan laluan ke Alexandria yang merupakan depot penyimpanan senjata dan ubat-ubatan.  Di Pasir Panjang pasukan Leftenan Adnan berjaya menembak mati beberapa orang tentera Jepun sehingga memaksa tentera Jepun berundur.  Namun begitu kedatangan semula pasukan tentera Jepun dengan bilangan yang lebih ramai menyebabkan askar dalam Kompeni C berjuang bermati-matian sehingga kehabisan peluru. 

 

Klimaks

Pertahanan di Bukit Candu semakin meruncing kerana askar Melayu terus diasak oleh tentera Jepun.  Askar Melayu terus berjuang dan tidak berputus asa.  Ketika itu peluru hampir habis dan banyak askar Melayu mati sedangkan tentera Jepun semakin ramai menghampiri Bukit Candu.  Semua askar Melayu terkorban dan Leftenan Adnan turut tercedera.  Tentera Jepun telah berjaya menawan Leftenan Adnan lalu mengheretnya. Tentera Jepun kemudiannya telah mengikat dan mneyerkup dengan guni Leftenan Adnan yang cedera parah itu. Leftenan Adnan digantung pada dahan pokok ceri lalu ditikam bertubi-tubi oleh setiap tentera Jepun dengan bayonet sehingga mayatnya hancur. Peristiwa ini telah dilihat oleh Koperal Yaakob yang cedera parah di sebalik timbunan mayat askar-askar yang lain. Beliaulah yang telah menceritakan peristiwa ini kepada penduduk kampung yang telah menyelamatkannya. Penghulu Baharom dan penduduk kampung telah bekerjasama menggali lubang kubur bagi mengebumikan semua mayat askar Melayu yang terkorban di atas Bukit Candu.

 

Peleraian

Zaman pemerintahan Jepun merupakan zaman yang penuh penyiksaan bagi seluruh penduduk Tanah Melayu tidak kira bangsa. Perlakuan kejam berlaku di mana-mana dan penduduk tiada kebebasan. Pada masa inilah Sophia telah melahirkan bayi ketiganya iaitu Fatimah. Namun, satu-satunya nak perempuan Leftenan Adnan itu tidak dapat hidup lama kerana diserang demam panas. Sophia membesarkan anak-anaknya dengan kepayahan hidup pada zaman pemerintahan Jepun. Beliau melakukan kerja-kerja bercucuk tanam dan bersawah padi sebelum berkhidmat semula sebagai guru di sekolah Melayu Sungai Ramal apabila sekolah itu dibuka setelah British mengambil alih Tanah Melayu dengan kekalahan Jepun.  Pada 15 Ogos 1945 Jepun telah menyerah kalah dengan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Penduduk kampung kembali bebas dengan melakukan kerja-kerja pertanian. Sewaktu bertugas sebagai guru di sekolah tersebut, Sophia telah bertemu dengan seorang guru agama lelaki yang baharu bertugas di situ.  Sophia berkahwin dengan Ustaz Riduan dan berpindah ke Melaka. Sophia kemudiannya meninggal dunia akibat penyakit leukemia setelah 4 tahun berkahwin dan hidup bahagia.

Wednesday, 9 September 2020

KONFLIK WATAK UTAMA & CARA WATAK UTAMA MENYELESAIKAN KONFLIK

Terdapat beberapa konflik dalam setiap novel yang telah anda kaji semasa di Tingkatan 4 dan 5.

Berdasarkan dua buah novel tersebut huraikan satu konflik yang dialami oleh watak utama dan cara watak utama  menyelesaikan konflik tersebut.

Rangka jawapan berdasarkan Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa (Abdul Latib bin Talib) dan Novel Tirani (Beb Sabariah).

KONFLIK WATAK UTAMA LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA : ADNAN BIN SAIDI

KONFLIK

LANGKAH MENGATASI

(Ayat utama jawapan)

Watak utama novel ini iaitu Adnan mengalami konflik dengan Budin sewaktu zaman kecilnya.

 

(Bukti peristiwa)

Konflik dengan Budin bermula setelah tamat  perlawanan bola sepak antara Kampung Sungai Merap dengan Kampung Sungai Ramal. Budin daripada pasukan Kampung Sungai Merap tidak berpuas hati kerana kekalahan di tangan pasukan Kampung Sungai Ramal. Konflik ini menjadi buruk akibat ejek-mengejek antara penyokong kedua-dua pasukan tersebut.

Bagi meredakan keadaan tidak puas hati itu, mereka mengatur pula perlawanan tinju antara kedua-dua pasukan. Mereka membuat gelanggang tinju di tepi sungai dan memaksa Adnan dan Budin bertinju bagi menunjukkan kekuatan pasukan masing-masing. Dalam perlawanan tersebut, Adnan dan Budin saling mengacah namun tiada yang memulakan tumbukan. Adnan yang mempunyai ilmu seni silat hanya bertahan kerana dia tidak mahu menyalahgunakan ilmu silat yang dipelajarinya. Akhirnya, Adnan dan Budin bersepakat untuk tidak meneruskan perlawanan tinju itu dan mereka menjadi sahabat. Mereka bersalam-salaman dan berpelukan sebagai tanda berdamai walaupun penyokong pasukan masih tidak berpuas hati.

 

(Ayat utama jawapan)

Watak utama, Adnan juga mengalami konflik pelekehan rakan-rakannya  berkaitan dengan cita-citanya untuk menjadi askar.

 

(Bukti peristiwa)

Nordin dan beberapa rakannya memperlekehkan usaha Adnan untuk menjadi tentera. Adnan telah dituduh sebagai pengkhianat bangsa kerana keluarganya pernah menjadi tali barut kepada Inggeris ketika moyangnya telah menjadi orang buruan Inggeris. Adnan juga dihina kerana ingin berkhidmat dengan penjajah yang telah menjajah Tanah Melayu. Malah, Adnan sanggup bersekolah di Sekolah Inggeris.

Bagi menyelesaikan konflik ini, Adnan bersabar dengan pelekehan rakan-rakannya dengan tidak menghiraukan tempelak rakan-rakan sekampungnya itu. Baginya, Nordin dan rakan-rakannya itu tidak memahami niat Adnan iaitu untuk berkihdmat dengan Tanah airnya sendiri dan bukannya menjadi hamba pihak British. Semangatnya berjuang semasa peperangan dan kejayaan menjadi rekrut terbaik membuktikan bahawa tanggapan Nordin serta rakan-rakannya itu salah. Adnan kembali ke kampung dengan kejayaan dan mendapat pangkat dalam ketenteraan malah telah mendapat anugerah khas daripada King George IV sewaktu ke London. Adnan telah menjadi kebanggaan seluruh kampungnya.

 

 

(Ayat utama jawapan)

Watak utama, Adnan menghadapi konflik dengan ibunya berkaitan dengan cita-citanya untuk menjadi askar.

 

(Bukti Peristiwa)

Selepas tamat pembelajaran dengan cemerlang dari Sekolah Inggeris, Adnan menyuarakan cita-citanya kepada ibu bapanya. Pak Saidi menerima baik cita-cita Adnan namun, Mak Milah langsung tidak bersetuju dengan hasrat Adnan untuk menjadi askar. Mak Milah lebih berbangga sekiranya Adnan bekerja di pejabat atau menjadi seorang guru.

Adnan meredakan konflik ini dengan menjadi seorang guru di Sekolah Sungai Ramal. Namun selepas setahun berkhidmat sebagai guru, Adnan mengambil keputusan untuk menyertai Rejimen Askar Melayu setelah kedatangan pihak British ke kampung mereka bagi mencari rekrut tentera yang baharu. Adnan meleraikan konflik dengan memujuk ibunya serta menjelaskan niat sucinya untuk berbakti kepada negara tercinta. Akhirnya, Mak Milah merestui pemergian Adnan untuk menjalani rekrut sebagai tentera di Kem High Lines Port Dickson.

(Ayat utama jawapan)

Watak utama, Adnan menghadapi konflik dengan tentera Jepun sewaktu mengetuai Kompeni C mempertahankan Pasir Panjang dan Bukit Candu.

 

(Bukti peristiwa)

Leftenan Adnan yang mengetuai Kompeni C telah menghadapi serangan sengit daripada tentera Jepun. Peristiwa pertama adalah sewaktu sepasukan askar Jepun yang menyamar sebagai tentera Sikh cuba merapati kubu pertahanan Leftenan Adnan di Pasir Panjang. Selepas itu, Leftenan Adnan juga menhadapi tentangan yang amat sengit dengan jumlah askar Jepun yang lebih ramai di Bukit Candu. Pertahanan Bukit Candu amat penting bagi melindungi depot penyimpanan senjata dan ubat-ubatan iaitu Alexandria. Keadaan semakin sukar apabila semakin ramai anggota tentera Melayu mati, cedera parah dan mereka kehabisan peluru serta bom tangan.

Konflik di Pasir Panjang dapat ditangani oleh Leftenan Adnan dan pasukannya. Leftenan Adnan yang bijak telah berjaya mengesan teknik penyamaran askar Jepun dengan mengamati senjata mereka yang mempunyai bayonet serta formasi tentera yang salah. Malah, saiz mereka juga kecil jika dibandingkan dengan saiz tentera Sikh. L.Adnan telah mengarahkan pasukannya menembak mati semua tentera Jepun yang menyamar tersebut. Pasukan L.Adnan menang. Sementara itu, di Bukit Candu, L.Adnan menyedari bahawa mereka tidak akan mampu menang dengan jumlah askar Jepun yang semakin bertambah. L.Adnan mengarahkan pasukannya berlawan dengan jarak dekat setelah kehabisan peluru dan bom. Dia memberikan semangat kepada pasukannya untuk terus berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir dan tidak melarikan diri dari medan perang. Akhirnya, kesemua mereka terkorban. Terakhir kali, L.Adnan dilihat oleh Koperal Yaakob yang cedera parah, diseret dan digantung di bawah pokok ceri. L.Adnan telah diserkup dalam guni dan ditikam sehingga mayatnya hancur oleh tentera Jepun. Hal ini membuktikan bahawa L.Adnan bersikap tidak menyerah kalah dan rela mati demi negara.

 

KONFLIK WATAK UTAMA NOVEL TIRANI : WAHEEDA NURLYANA HAJI FADHIL

KONFLIK

LANGKAH MENGATASI

(Ayat utama jawapan)

Salah satu konflik yang dihadapi oleh watak utama ialah konflik Waheeda antara dirinya dan ibu bapanya berkaitan hasratnya untuk menjalani pembedahan plastik pada wajahnya.  

 

(Bukti peristiwa)

Konflik ini tercetus apabila Waheeda merupakan seorang gadis biasa yang mahu menjadi cantik dan berhidung mancung kerana hidung asalnya pesek. Hidungnya yang kemet  atau pesek ini menjadi ejekan kepada kawan-kawannya seperti  Si Nuar, Si Man dan Mat Gusi. Hatinya sentiasa memberontak dengan keadaan itu. Waheeda memasang niat untuk membuat pembedahan plastik di bahagian hidung dan matanya.

 

Bagi mengatasi konflik dirinya yang mahu kelihatan cantik, Waheeda telah menyatakan hasrat tersebut kepada ibu bapanya iaitu Raidah dan Fadhil. Namun begitu, bapa Waheeda tidak menggalakkannya kerana  bercanggah dengan hukum agama. Ibu Waheeda terus memujuk anaknya supaya tidak melakukan perkara yang dihajatinya. Waheeda menerima baik nasihat ibu bapanya dengan menerima keadaan dirinya. Namun selepas peristiwa mukanya dicakar monyet belanda yang mengakibatkan parut yang dalam, Waheeda telah menjalani pembedahan kosmetik di SMC Singapura dan menjadi sangat cantik. Hal ini telah menyelesaikan konflik dalamannya. Ibu bapanya juga terpaksa membenarkan Waheeda menjalani pembedahan tersebut.

(Ayat utama jawapan)

Selain itu, watak utama, Waheeda juga menghadapi konflik dengan suaminya, Zahid berkaitan pelbagai tuduhan dan rasa cemburu dalam hubungan rumah tangga mereka.

 

(Bukti peristiwa)

Konflik ini tercetus apabila Zahid telah menemui Waheeda di sebuah bilik penginapan penghuni di Chalet Tajau Emas. Zahid berasa cemburu dan salah sangka atas kesetiaan Waheeda itu. Zahid juga berasa cemburu kerana Waheeda bersahabat baik dengan Halloway dan Dr.Rushdi semasa dia di Singapura. Rentetan daripada peristiwa itu, Zahid telah mempertikaikan status anak yang dilahirkan oleh Waheeda setelah meneliti ciri-ciri fizikal yang terdapat pada anak perempuannya itu yang tidak mewarisi kecantikan mereka berdua.

 

Bagi menyelesaikan konflik ini, Waheeda telah menerangkan bahawa dia benar-benar mencintai Zahid dan tidak pernah bersikap curang dalam hubungan perkahwinan mereka. Waheeda juga telah melakukan ujian DNA ke atas anaknya dan menyerahkan laporan ujian tersebut kepada Zahid sebagai bukti kesetiaan dan status anak perempuan mereka. Bagaimanapun, Zahid menolak untuk melihat laporan tersebut lalu menceraikan Waheeda dengan talak 1 dalam kemarahannya.

(Ayat utama jawapan)

Watak utama, Waheeda juga mengalami konflik dalaman antara dirinya selepas penceraian dengan suaminya, Zahid.

 

(Bukti Peristiwa)

Konflik ini tercetus selepas Waheeda tidak dapat menerima hakikat bahawa dia telah diceraikan oleh suaminya dengan talak 1. Bukan itu sahaja, penceraian itu juga amat menyakitkan kerana Waheeda telah dituduh curang dalam hubungan mereka lalu menyebabkan Zahid tidak mengakui anak yang baharu sahaja dilahirkan itu adalah darah daging mereka. Zahid juga tidak melihat langsung laporan DNA tersebut. Waheeda telah mengalami tekanan perasaan yang teruk lalu dia mengalami migrain meroyan dan tekanan mental.

Bagi mengatasi konflik dalaman ini, Waheeda telah bersetuju untuk menjalani rawatan psikologi di Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) Kuala Lumpur. Keluarga Waheeda telah membawanya menjalani rawatan dengan Dr.Qamariah. Waheeda meluahkan semua kekesalan dan permasalahannya yang mengakibatkan penceraiannya kepada Dr.Qamariah. Melalui sesi kaunseling tersebut, Waheeda kembali pulih dan bersemangat untuk menjalani kehidupan yang baharu. Waheeda kembali menumpukan perhatian ke atas anaknya yang terabai sepanjang dia mengalami depresi. Malah, Waheeda telah mengambil keputusan membeli Chalet Iwana-Iwani daripada Pak Cik Aziz dan memulakan kehidupan baharu di Cameron Highland bersama anak perempuanya, Izzati.


Wednesday, 9 October 2019

LATIHAN NOVEL - LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA


LATIHAN MENJAWAB SOALAN NOVEL
Jawab soalan di bawah berdasarkan Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa Karya Abdul Latip Talib.

1)      Pengarang mewujudkan peristiwa-peristiwa yang dapat dijadikan teladan oleh pembaca. Berdasarkan  novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang dapat dijadikan teladan.
[8 markah]
JAWAPAN :

Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib. Peristiwa yang dapat menjadi teladan ialah peristiwa Penghulu Deraman bersama-sama anak buahnya yang terdiri daripada pengawal kampung datang bertemu dengan Leftenan Adnan. Tujuan mereka untuk menyatakan persediaan mereka bertempur membantu pasukan Askar Melayu menentang Tentera Jepun. Penduduk kampung sangat prihatin bahawa Rejimen Askar Melayu kekurangan anggota dan sanggup menawarkan khidmat mereka demi mencapai kemenangan melawan tentera Jepun. Hal ini menunjukkan bahawa semangat patriotik dalam kalangan orang Melayu dalam menentang musuh dapat diteladani oleh generasi pada masa ini.

Peristiwa seterusnya ialah peristiwa berpuluh-puluh askar Jepun sampai ke kampung Sungai Ramal, Kajang. Mereka mencari keluarga Leftenan Adnan. Penduduk kampung telah berpakat untuk tidak bekerjasama dengan tentera Jepun. Mereka menyembunyikan keluarga Leftenan Adnan. Hal ini menunjukkan bahawa keberanian Leftenan Adnan menjadi pencetus semangat anak-anak muda bagi menentang tentera Jepun . Ramai yang menyertai pasukan pembebasan rakyat bagi menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Semangat dan keberanian Leftenan bukan sahaja menjadi teladan kepada penduduk kampung pada masa itu malah generasi kini juga perlu mempunyai rasa sanggup berkorban demi negara.


2)  Watak utama lazimnya mendapat perhatian dan disukai oleh pembaca.Berikan tiga alasan bagi menyokong pandangan anda dengan berdasarkan novel yang telah anda kaji.                                                                                                           
[7 markah]

JAWAPAN:

Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip Talib. Watak utama dalam novel tersebut ialah Adnan bin Saidi. Perwatakan  beliau yang disukai oleh pembaca ialah beliau merupakan seorang yang rajin. Buktinya, Adnan rajin membantu ayahnya menoreh getah, bersawah padi dan memungut buah durian di dusun duriannya. Adnan juga seorang pelajar yang sangat rajin menuntut ilmu.

Seterusnya, Adnan juga seorang yang memiliki semangat cinta akan negara yang tinggi. Buktinya, Adnan bercita-cita untuk menjadi seorang tentera kerana sayang akan negaranya. Untuk mencapai cita-citanya, Adnan menolak jawatan sebagai guru pelatih, sebaliknya memohon jawatan sebagai seorang tentera. Adnan sanggup meninggalkan kedua ibu bapanya demi mengejar cita-cita sebagai pejuang negara. Malah, Adnan juga berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir demi menjaga maruah Rejimen Askar Melayu.

Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang berani. Buktinya, Adnan berikrar tidak akan sekali-kali menyerah kalah walau apa-apa pun yang terjadi dalam peperangan menentang tentera Jepun. Setelah kehabisan peluru, beliau sanggup bertempur jarak dekat dengan bersenjatakan bayonet sahaja. Walaupun bilangan askar Jepun semakin ramai tetapi bilangan anggota tentera Melayu semakin berkurangan, hal tersebut tidak melemahkan semangat beliau malah beliau semakin berani mengasak pihak musuh.

Seperti yang dihuraikan di atas, watak utama mempunyai keistimewaan, kesempurnaan nilai-nilai kehidupan dan bersemangat serta penuh kecekalan yang menjadikan watak utama tersebut mendapat perhatian pembaca.

3) Mengapakah unsur konflik antara watak dalam sesebuah novel itu sangat penting? Nyatakan tiga alasan berdasarkan novel yang telah anda kaji.                     
[7 markah]

JAWAPAN:

Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip. Unsur konflik antara watak dalam sesebuah novel itu sangat penting kerana konflik dapat menjadikan jalan cerita lebih menarik. Buktinya, konflik antara Pak Saidi dengan penduduk Sungai Ramal. Mereka gempar apabila mendapat tahu Pak Saidi menghantar anaknya belajar di sekolah Inggeris. Hal ini demikian kerana ada sekolah pondok dan sekolah Melayu di sekitar kawasan tersebut. Mereka khuatir anak Pak Saidi menjadi murtad. Berdasarkan realiti tersebut, kita dapat menilai corak pemikiran masyarakat pada waktu itu.

Seterusnya konflik juga digunakan untuk memperlihatkan keistimewaan watak utama menyelesaikan konflik yang dihadapi. Buktinya, konflik askar Melayu dengan tentera Jepun. Leftenan Adnan terus memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya. Mereka semakin kehabisan peluru sedangkan asakan tentera Jepun semakin bertambah. Berlaku pertempuran jarak dekat antara askar melayu yang menggunakan bayonet dengan askar Jepun yang menggunakan pedang samurai. Unsur konflik ini menunjukkan betapa watak utama iaitu Leftenan Adnan memainkan peranan penting dalam menaikkan semangat askar-askar Melayu untuk menentang penjajah.

Akhir sekali, konflik juga dapat dijadikan iktibar atau teladan kepada pembaca. Buktinya, konflik Samad bertengkar dengan Penghulu Sidek. Samad mengatakan bahawa kedatangan Jepun bukannya mahu menjajah tetapi British yang mahu menguatkan cengkaman penjajahannya. Dari sini kita mengetahui bahawa terdapat segelintir penduduk yang menjadi penyokong kepada kedatangan tentera Jepun di Tanah Melayu kerana terpengaruh oleh propaganda pihak Jepun.

TEKNIK PLOT - LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA


TEKNIK PLOT - LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA

Teknik plot merujuk kepada cara atau kaedah pengarang mengembangkan plot cerita supaya menjadi lebih menarik dan menambat hati pembaca. Perkara ini menyebabkan pembaca ingin meneruskan pembacaannya hingga ke penamat cerita. Biasanya, teknik plot yang digunakan ialah dialog, monolog luaran, monolog dalaman, pemerian, imbas kembali, imbas muka, kejutan dan saspens.

DIALOG.
Dialog bermaksud pertuturan atau percakapan sekurang-kurangnya antara dua watak ataupun lebih. Pengarang menggunakan teknik ini untuk menggerakkan atau mengembangkan cerita selanjutnya. Melalui dialog, pengarang dapat memaparkan atau menggambarkan pendapat atau pemikiran berkenaan dengan tema atau persoalan dalam novel tersebut. Sebagai contohnya, dialog antara Pak Saidi dengan Mak Milah. Pak Saidi melahirkan rasa terkilannya kerana orang Melayu miskin di tanah air sendiri. Hasil kekayaan negara diangkut keluar oleh penjajah sedangkan kaum bumiputera yang tinggal di kampung masih ketinggalan dari segi ekonomi.

MONOLOG LUARAN
Teknik ini merujuk kepada pengucapan atau tutur kata oleh sesuatu watak secara bersendirian. Dengan perkataan lain, teknik monolog bermaksud sesuatu watak itu akan bercakap seorang diri. Kadangkala, monolog itu juga mungkin berupa doa, rungutan, keluh-kesah ataupun ratapan. Sebagai contohnya, Adnan menuturkan kata-kata sewaktu bermain dan melakonkan watak Hang Tuah sambil menikam-nikam pokok pisang. Beliau berimaginasi menjadi pendekar dan menutur kata-kata sebagai pendekar menyerang musuh. Contoh lain pula, Mak Milah meratap hiba apabila mendapat berita kematian Ahmad sewaktu berlayar ke Australia kerana kapal British telah dibom oleh pihak Jepun.

MONOLOG DALAMAN
Teknik ini merujuk kepada percakapan, lintasan, atau rintihan dalam hati atau fikiran sesuatu watak dan tidak diketahui oleh watak-watak yang lain, contohnya pengarang menggunakan teknik ini semasa Adnan berkata dalam hatinya tentang Tok Mudin yang akan mengkhatankannya. Adnan juga menyimpan rasa gementar dan takut dan banyak berfikir dalam hatinya sewaktu majlis berkhatan.


PEMERIAN
Teknik pemerian digunakan oleh pengarang untuk menerangkan peristiwa dalam plot secara langsung. Hal ini bermaksud, pengarang menerangkan atau menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung. Dengan perkataan lain, pengarang seolah-olah menjadi tukang cerita dan menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung, contohnya pengarang menggambarkan keadaan sewaktu Leftenan Jeneral A.E Percival yang masih yakin bahawa kekuatan tentera British sebanyak 85 000 orang masih mampu menyekat kemaraan tentera Jepun yang hanya berjumlah 30 000 orang.

IMBAS KEMBALI
Teknik ini merupakan satu teknik plot yang digunakan oleh pengarang untuk menceritakan sesuatu peristiwa yang sudah berlaku sebelum peristiwa itu. Pengarang menggambarkannya melalui ingatan, kenangan, lintasan atau imbasan sesuatu watak terhadap sesatu peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Sebagai contohnya, Pak Saidi terkenang kembali peristiwa basikalnya yang dirosakkan oleh orang yang mencerobohi kawasan rumahnya. Beliau juga teringat akan kata-kata Adnan bahawa dia sempat membaling kayu belati dan terkena pada salah seorang daripada dua lembaga yang mencerobohi kawasan rumahnya.
Terdapat juga peristiwa imbas kembali tentang kehebatan dan kejatuhan Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Contohnya, Pak Saidi menceritakan kegemilangan kesultanan Melaka suatu masa dahulu kepada Mak Milah. Namun, kerajaan yang begitu kuat dan berkuasa itu berakhir akibat sikap negatif pemimpin dan pembesar Melaka.

IMBAS MUKA
Teknik ini merupakan satu teknik plot yang digunakan untuk memberikan bayangan awal tentang sesuatu peristiwa atau perkara yang akan berlaku dan masih belum berlaku lagi. Bayangan tersebut mungkin berpunca daripada sesuatu aksi watak atau aksi watak-watak lain atau perkara-perkara lain. Sebagai contohnya, pengarang menggambarkan kemungkinan-kemungkinan yang mungkin berlaku iaitu semasa berbual-bual dengan Mamat, Leftenan Adnan menyatakan keinginannya untuk menjadi seorang askar.  Beliau ingin menjadi askar kerana ingin menjaga negeri ini dan akan menembak musuh yang datang. Adnan memberitahu tentang cita-citanya apabila dewasa nanti kepada Mamat.

SASPENS
Teknik ini merujuk kepada peristiwa yang menggambarkan perasaan tertanya-tanya dan ingin tahu para pembaca untuk mengikuti cerita. Pembaca ingin tahu perkara yang akan berlaku seterusnya. Sebagai contohnya, peristiwa kedatangan seorang askar Jepun yang memakai turban mendapat pangkat Leftenan. Askar Jepun itu telah menyamarkan diri sebagai tentera Sikh. Peristiwa ini telah menimbulkan perasaan ingin tahu dan saspens kepada para pembaca sama ada dia benar-benar tentera Sikh. Akhirnya, Adnan sedar akan penyamaran itu dengan mengamati cara mereka melakukan formasi serta senjata mereka mempunyai bayonet. Tentera Jepun itu akhirnya telah mati ditembak oleh Adnan dan pasukannya. Hal ini melegakan perasaan saspens para pembaca.
Antara unsur saspens ialah hubungan antara Adnan dengan Budin dan Nordin. Dalam novel ini, hubungan mereka tidak begitu rapat selama berada di kampung. (……………………) Pembaca tertanya-tanya mengenai kesudahan hubungan mereka ini.

Selain itu, novel ini juga mengandungi unsur saspens tentang keselamatan Leftenan Adnan dan pasukannya. (……..) Pembaca tertanya-tanya tentang nasib Leftenan Adnan dan rakan-rakan sepasukannya ketika menentang Jepun.


KEJUTAN
Teknik ini merujuk kepada keadaan atau peristiwa yang berlaku tanpa disangka-sangka oleh pembaca. Dengan kata lain, pembaca tidak dapat menjangkakan peristiwa itu akan berlaku dan peristiwa tersebut berlaku secara mengejut. Pengarang menggambarkan teknik ini melalui peristiwa Samad yang ditangkap oleh penduduk kampung kerana mencuri. Pada mulanya, tiada seorang pun yang tahu indentiti lembaga yang memecah masuk ke dalam rumah orang-orang kampung yang telah dikosongkan demi keselamatan mereka. Namun, setelah hendapan dibuat, mereka berjaya menangkap lembaga tersebut yang memakai penutup di mukanya. Setelah penutup muka dibuka, penduduk kampung sangat terkejut kerana pencuri itu ialah Samad yang sebelum ini dipercayai oleh orang kampung. Hal ini memberikan unsur kejutan dalam cerita. Malah, unsur kejutan juga berlaku apabila sikap Samad yang sebenar terbongkar kerana Samad rupa-rupanya merupakan pemberi maklumat kepada Jepun serta sanggup mengkhianat bangsa dan tanah air sendiri demi kepentingan diri. Samad akhirnya mati ditembak oleh tentera Jepun yang dipercayainya sewaktu cuba melarikan diri dari askar Melayu.

Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

LATIHAN MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM – 
BUKTI PERISTIWA (NOVEL LEFTENAN ADNAN)

3 Bukti peristiwa pengajaran “kerajinan” :-

Novel yang saya kaji di tingkatan 4 ialah novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib. Terdapat pelbagai pengajaran dalam novel tersebut. Salah satunya ialah kita hendaklah rajin berusaha dalam melalukan sesuatu.

Bukti pertama ialah peristiwa Adnan rajin membantu ayahnya melakukan kerja-kerja untuk menyara kehidupan. Adnan selalu membantu ayahnya menoreh getah, bersawah padi, menangkap ikan dan membersihkan kebun durian selepas waktu persekolahan. Adnan gembira kerana dapat membantu ayahnya serta mengurangkan beban keluarga.

Bukti seterusnya ialah peristiwa Adnan yang rajin ke sekolah serta rajin belajar. Hal ini terbukti apabila basikal Pak Saidi rosak, Adnan masih berkeras mahu ke sekolah. Malah, Adnan juga terbukti rajin belajar kerana akhirnya Adnan menjadi pelajar terbaik di Sekolah Inggeris.

Bukti terakhir ialah peristiwa Adnan menyertai pertandingan syarahan bahasa Inggeris. Adnan rajin berlatih supaya fasih dalam bahasa Inggeris. Adnan sentiasa berlatih di hadapan keluarganya supaya berasa yakin. Akhirnya, kerana sikap rajin tersebut Adnan telah memenangi pertandingan syarahan tersebut.

3 Bukti peristiwa persoalan “keberanian”:-

Novel yang saya kaji di tingkatan 4 ialah novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib. Terdapat pelbagai persoalan dalam novel tersebut. Salah satunya ialah persoalan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup.

Bukti peristiwa yang pertama ialah peristiwa Adnan dan Rejimen Askar Melayu yang berani menentang musuh iaitu pihak Jepun. Walaupun peperangan di atas Bukit Candu sangat sengit kerana askar Jepun terlalu ramai, askar-askar Melayu tidak gentar dan mereka berlawan sehingga kehabisan peluru. Mereka juga berani melawan Jepun dalam jarak dekat dengan menggunakan bayonet. Hal ini membuktikan mereka sangat berani menghadapi musuh.

Bukti berikutnya ialah peristiwa Pak Saidi melawan Jepun sewaktu askar Jepun masuk ke Kampung Sungai Ramal untuk menangkap seluruh ahli keluarga Leftenan Adnan. Penduduk kampung bekerjasama untuk menyembunyikan keluarga Leftenan Adnan. Namun, pihak Jepun telah menangkap Pak Saidi dan mengheretnya ke atas lori untuk di bawa ke Melaka. Pak Saidi tidak membiarkan mereka memaksanya lalu menikam beberapa orang tentera Jepun dengan kerisnya. Pak Saidi kemudiannya ditembak bertubi-tubi sehingga mati. Hal ini membuktikan bahawa Pak Saidi sangat berani menghadapi pihak musuh.

Bukti seterusnya ialah peristiwa Adnan berani menyertai pertandingan syarahan bahasa Inggeris. Adnan berlatih bersunguh-sungguh supaya fasih dalam bahasa Inggeris. Adnan sentiasa berlatih di hadapan keluarganya supaya berasa yakin dan mendapat keberanian menghadapi hari pertandingan tersebut. Akhirnya, kerana sikap rajin dan berani menghadapi cabaran tersebut Adnan telah memenangi pertandingan syarahan tersebut.


3 Bukti peristiwa nilai “tanggungjawab” :-

Novel yang saya kaji di tingkatan 4 ialah novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib. Terdapat banyak nilai dalam novel tersebut. Salah satunya ialah nilai tanggungjawab.

Bukti peristiwa nilai tanggungjawab yang pertama ialah peristiwa Adnan yang bertanggungjawab sebagai seorang anak. Adnan bertanggungjawab membantu ayahnya melakukan kerja-kerja untuk menyara kehidupan. Adnan selalu membantu ayahnya menoreh getah, bersawah padi, menangkap ikan dan membersihkan kebun durian selepas waktu persekolahan. Hal ini membuktikan nilai tanggungjawab dalam diri seorang anak yang baik.

Bukti berikutnya ialah peristiwa Adnan bertanggungjawab sebagai seorang pelajar. Adnan sentiasa merasakan kewajipan untuk ke sekolah. Oleh itu, walaupun basikal ayahnya telah rosak, Adnan tetap berkeras mahu ke sekolah. Adnan sedar bahawa pentingnya ilmu untuk mengubah kehidupan. Adnan mahu belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mencapai cita-citanya. Terbuktilah bahawa Adnan mempunyai nilai tanggungjawab dalam dirinya.

Bukti seterusnya ialah peristiwa Sophia yang bertanggungjawab menyara anak-anaknya setelah kematian Leftenan Adnan. Sophia terpaksa bersusah payah kerana kehidupan pada zaman Jepun sangat kekurangan. Namun, rasa tanggungjawab sebagai seorang ibu memaksa Sophia bekerja keras dengan menoreh getah dan bercucuk tanam supaya dalam menyara dua anak lelakinya. Selepas zaman Jepun, Sophia menjadi guru semula mengajar di Sekolah Melayu Sungai Ramal. Hal ini membuktikan bahawa nilai tanggungjawab terdapat dalam diri Sophia.

Tuesday, 23 August 2016

Latar Belakang Leftenan Adnan bin Saidi





Adnan bin Saidi atau lebih dikenali sebagai Lt. Adnan Saidi dilahirkan di Kampung Sungei Ramal, Kajang, Selangor pada tahun 1915. Adnan Saidi merupakan anak sulung dalam keluarganya. Adik-adiknya, Ahmad bin Saidi dan Amarullah bin Saidi juga merupakan anggota tentera. Ahmad Saidi terbunuh dalam pertempuran selepas dia memasuki angkatan laut pada tahun 1939. Kapalnya, HMS Pelanduk, ditenggelamkan oleh Jepun dalam pelayaran ke Australia. Adiknya yang termuda Amarullah Saidi terselamat dari peperangan dan sekarang bersara dan menetap di Kajang, Selangor.

Adnan Saidi menerima pendidikan di Pekan Sungei Ramal dalam aliran Inggeris. Dia merupakan pelajar yang rajin dan berjaya dalam pengajiannya. Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru pelatih dan mengajar selama lebih satu tahun. Adnan Saidi kemudiannya mengambil keputusan untuk memasuki tentera.

Pada tahun 1933, ketika berusia 18 tahun, Adnan Saidi memasuki Rejimen Askar Melayu (Malay Regiment). Setahun kemudian, dia terpilih sebagai rekrut terbaik. Pada tahun 1936, Adnan dilantik ke pangkat Sarjan – kenaikan pangkat yang pantas bagi seorang tentera muda. Pada tahun 1937, Adnan Saidi terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI. Tidak lama selepas itu, Adnan Saidi sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus sebagai Leftenan Muda, Adnan Saidi dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni 'C' .

Sekembalinya Lt. Adnan Saidi daripada London, dia berkahwin dengan seorang guru dikampungnya, Puan Sophia Pakih Muda dan mendapat tiga orang anak: dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin (yang tinggal di Seremban dan Johor), dan seorang anak perempuan. Termuda di antara tiga beradik, bayi perempuannya meninggal sejurus selepas kejatuhan Singapura.

Pada akhir 1941, Lt. Adnan Saidi ditempatkan di Singapura dan membawa keluarganya bersama-sama. Mereka tinggal di rumah besar di Pasir Panjang, dalam kawasan yang dikhaskan untuk keluarga Rejimen Askar Melayu.

Apabila berita peperangan Perang Dunia II semakin hampir, dan pihak Jepun bersedia untuk menjajah Singapura, Lt. Adnan menghantar keluarganya kembali ke kampung mereka di Kajang Masa ini merupakan masa yang getir bagi Lt. Adnan kerana isterinya, Sophia, sedang mengandungkan anak mereka yang ketiga. Inilah merupakan kali terakhir mereka bersama.

Sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu dan tindakan pantas tentera Jepun memaksa Tentera British berundur ke Singapura. Pertempuran-pertempuran akhir mempertahankan Singapura termasuk pertempuran di Pasir Panjang yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Bukit Candu. Bukit Candu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut.

Pertempuran sengit telah berlarutan beberapa hari sebelumnya. Tentera Jepun yang biasa bertempur dari kumpulan Tentera ke-25 yang terkenal berjaya mengatasi kedudukan pertahanan strategik di Singapura. Bukit Candu menandakan sempadan pertahanan terakhir. Tempat ini merupakan kedudukan pertahanan penting di Singapura berasaskan dua alasan strategik; boleh melihat bahagian utara Singapura dan selain itu, sekiranya pihak Jepun mengawal permatang, tempat ini memberikan mereka laluan langsung ke kawasan Alexandra. Kawasan Alexandra merupakan tapak depoh bekalan peluru dan bekalan utama, hospital tentera dan kemudahan utama Tentera British. Dengan itu, permatang tersebut perlu dipertahankan bersungguh-sungguh.

Pertahanan permatang itu telah ditugaskan kepada Kompeni 'C' . Kompeni 'C' merupakan sebahagian satu pasukan kecil Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (1 Melayu). Batalion 1 Melayu dan Batalion 2 Melayu,[1] bersama-sama dengan batalion ke-2 "Loyal Regiment" Tentera British dipusatkan menjadi Briged Infantri Pertama Malaya (1st Malaya Brigade)

Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi menumpukan perhatian mereka kepada persisiran selatan Singapura - Permatang Pasir Panjang. Pada pagi tersebut, permatang tersebut dibedil bertalu-talu dengan sokongan udara, mortar berat dan bedilan meriam. Kompeni 'C' dan Lt. Adnan Saidi ketika itu[2] telah ditempatkan di Perkampungan Pasir Panjang telah memberikan tentangan hebat. Akhirnya tentera Jepun terpaksa berundur disebabkan tentangan sengit daripada Kompeni 'C'. Adnan dan orang-orangnya telah membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi, yang dikenali sebagai Celah (Gap). Walaupun mempunyai bilangan anggota yang lebih ramai, pasukan Jepun di bawah Major Kimura gagal menembusi barisan pertahanan di Celah (Gap).

Pada tengah malam 14 Februari 1942, Kompeni 'C' menerima perintah untuk bergerak ke tapak pertahanan baru - Pt. 226, Bukit Candu. Lebih ramai askar tambahan ditempatkan ke pasukan di bawah pimpinan Adnan – menjadikan jumlah keseluruhannya 42 kesemuanya. Selepas meninjau persekitaran dengan cermat, Lt. Adnan Saidi memerintah orang-orangnya untuk memperkukuhkan benteng pertahanan mereka dengan beg pasir. Kawasan bukit tersebut dikelilingi dengan benteng beg pasir.

Pada awal petang 14 Februari, pihak Jepun melancarkan serangan berhelah. Daripada Jalan Pepys Road mendaki Pt.226, Adnan Saidi yang ketika itu berusia 27 tahun, memantau kontinjen "tentera Sikh" daripada Tentera British India (British-Indian Army) mara. Penglihatannya yang tajam dan kecerdasan fikirannya membolehkan Lt. Adnan perasan sesuatu tidak kena apabila menyedari tentera berturban yang mara itu bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British. Menyedari helah tersebut, Lt. Adnan Saidi dan anak buahnya melepaskan tembakan dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat, dengan itu memaksa tentera Jepun berundur.

Dua jam kemudian, tentera Jepun telah melancarkan serangan besar-besaran dalam bilangan yang besar. Serangan tersebut menumpaskan Lt. Adnan Saidi dan tenteranya. Dengan bilangan yang jauh lebih kecil dan kekurangan peluru, Regimen Melayu bertempur dalam pertempuran sehingga ke mati.Walaupun Leftenan Adnan terkorban,namun lebih daripada 800 askar yang telah dibunuh oleh Leftenan Adnan dan regimennya.

Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan, termasuk bom tangan dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri mengendalikan senjata mesingan jenis Lewis gun. Dalam kebanyakan kes, askar bertempur dalam pertempuran berhadapan menggunakan bayonet, tetapi, mereka kekal bertahan mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang berikutnya pegawai dan tentera mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur dan sebaliknya menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannyalah yang menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan bersunguh-sungguh.

Korporal Yaakob, yang mendapat Pingat Keberanian Medal of Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran Bukit Candu. Dalam kacau-bilau pertempuran, beliau yang cedera jatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Beliau terselamat dengan berpura-pura mati disamping mayat rakannya dan melihat kematian mengerikan Adnan Saidi. Musuh yang menang berjaya menawan Lt. Adnan. Akibat perasaan dendam kerana keberaniannya melawan Jepun, ketua platun itu diseret sebelum diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan kakinya pada pokok ceri. Disebabkan meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah menikamnya dengan bayonet berkali-kali. Dalam kejadian lain disebut lehernya telah dikelar. Kejadian ini dilihat oleh Koperal Yaakob. Selepas pertempuran, pihak Jepun melarang sesiapapun menurunkan mayatnya untuk dikebumikan, dan tiada seorangpun yang berani. Malah menurut beberapa sumber, tubuh Lt. Adnan Saidi yang dicacatkan itu dibakar menjadi abu.

Beberapa tahun berlalu, Haji Burhan Muslim, yang tinggal berhampiran Bukit Candu, teringat telah memanjat bukit dengan sepupunya beberapa hari selepas pertempuran tersebut. Dalam salah satu rumah banglo yang terdapat di bukit Lorong Pepys, dia melihat mayat askar Melayu yang dipancung merata-rata. Dalam salah satu bilik, terdapat mayat seorang tentera Melayu yang lehernya dikelar. Pakaian seragamnya basah dengan darah. Melihat kepada lencana yang terdapat pada pakaian seragamnya, Haji Burhan percaya bahawa dia adalah pegawai berpangkat. Dia percaya bahawa mayat tersebut mungkin mayat Lt. Adnan Saidi, (mungkin membuktikan mayat Lt. Adnan Saidi tidak dibakar).

Keberanian Lt. Adnan Saidi bersama kontinjen 42 orang anggota Askar Melayu yang telah bertempur mati-matian untuk mempertahankan permatang Pasir Panjang merupakan satu episod yang kini kekal dalam lipatan sejarah. Pertempuran sengit itu disebut khusus dalam perutusan Lt. General A. E. Percival berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942:

"Selepas dua jam dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Regimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Regimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Celah (Permatang Pasir Panjang)..."
"After two hours of heavy shelling and mortaring, the Japanese attacked the Malay Regiment which was holding Pasir Panjang Ridge. The latter fought magnificently, but suffered heavy casualties, and by afternoon the enemy had reached the Gap (Pasir Panjang Ridge)…"

Di tapak bersejarah tersebut, pertempuran bagi pertahanan terakhir Singapura telah berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya pertempuran jarak dekat tangan-ke-tangan (yang direkodkan) dengan Tentera Jepun.