Amalan
membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Gaya hidup sihat
bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif
kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang
sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang
masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula.
Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup
sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat
pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
Tindakan awal ialah
seseorang itu perlu mengamalkan satu
bentuk pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan
sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti
mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang
juga masyarakat kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak
ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamat yang
tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit
jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian
tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti
merokok atau meminum arak kerana kesannya amat membahayakan kerana mencegah adalah lebih baik daripada
mengubati. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai
kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh
menerusi pemakanan yang seimbang.
Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu
menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan
menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi,
berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung
minggu. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu
menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem
imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas
berbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman
dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda
yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.
Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap
masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan
asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat
yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan
jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya
mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan
bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihurung lalat
mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera.
Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah.
Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang
sihat dalam kalangan masyarakat.
Pada masa yang sama
selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka.
Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita
terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai digalakkan
mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan
membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa
bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa
penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan
nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat
takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian,
orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit serta
membentuk kehidupan yang sihat. Ingatlah slogan yang sering diwar-warkan oleh
kerajaan bahawa, “Negara bersih, rakyat
sihat”.
Gaya hidup yang sihat
juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih
terbuka dan bersedia untuk berkongsi
masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding
dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap
berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan
psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin
hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan
baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria
dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu
dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini. Sesuai dengan falsafah
moden yang berbunyi, “Carilah sahabat
yang dapat dijadikan ubat, dapat dijadikan penawar hati”.
Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk
dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden
ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan
pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan.
Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan
satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang
menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada
pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana
tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti
mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi,
semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat
yang mampu dicapainya kelak.
Kesimpulannya, gaya
hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan
tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan
semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap
masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang
menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah
memahami bahawa mencegah lebih baik
daripada mengubatinya.
No comments:
Post a Comment