Jelaskan
peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat.
Dalam kehidupan
sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri atau
memandang hadapan atau belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran.
Betapa pun kita mengasihi adik-beradik dan
saudara-mara, namun jarak yang jauh menyebabkan pergantungan kita
terhadap jiran lebih besar berbanding dengan orang yang dekat dengan kita sejak
lahir. Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas
sehingga menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal
berhampiran dengan kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran
tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu
sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya
diminta mengambil berat antara satu sama lain dan hidup berlandaskan kasih
sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat.
Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran
Sepakat Membawa Berkat”. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam
kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu
dalam melakukan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang
dipenuhi pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota
masyarakat, semakin meluntur. Oleh itu,
semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah
langkah-langkah yang elektif wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat?
Menyedari hakikat
betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara
ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu
bapa agar nilai yang berharga ini tidak lenyap daripada amalan hidup
masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai
aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat
setempat. Dalam hal ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti
tersebut bersama. Melalui aktiviti
gotong-royong, semua penduduk setempat dapat berkumpul bersama sambil
berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat
berbual-bual dan berkenal-kenalan antara satu sama lain dan sekali gus
membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan
dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “ tak kenal maka tak cinta”. Sebagai
contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong ialah
membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan
sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong
memerlukan masyarakat bekerjasama bagai
aur dengan tebing agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan
lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan
hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga
sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti . Apabila dewasa
kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan ikatan
kejiranan kerana bagaimana acuan,
begitulah kuihnya. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti
gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau
‘role model’ yang baik kepada anak-anak sekiranya mahu anak-anak
mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa perlulah
mengamalkan cara hidup seperti ‘aur
dengan tebing’ atau ‘ ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni’ dan
‘hati gajah sama dilapah, hati kuman
sama dicecah’ untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu
bapa mesti mempunyai semangat kekitaan
dan keprihatinan terhadap jiran mereka..
Apabila mengambil berat akan hal-hal
jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil
tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang
dihadapi oleh jiran dan cuba membantu
mereka supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh jiran. Hal ini
demikian kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan
menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat,
maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar
ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan
daripada mereka, mendapatkan bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya.
Sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan
menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka.
Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti
mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau
menghadiri majlis-majlis rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan.
Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi
juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui
majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama. Dalam majlis
tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan
mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang
untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil
menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan
lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini. Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka
sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari
Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Kehadiran ibu bapa bersama ahli
keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan
anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat
menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak dan mengamalkan
semangat perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan
setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan
membentuk masyarakat yang bersatu-padu ibarat kata yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya
ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat sebagai langkah untuk memupuk
dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup
bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa
yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan
kesusahan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan
bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan harmoni
walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh
membawa anak-anak berkunjung ke hospital
jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana
menghidap sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk
sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap
mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan “seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”.
Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya”, namun sebagai
jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip “cubit peha kiri, peha kanan terasa juga”. Jadi, melalui lawatan
kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh
jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa,
aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa
masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan
budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat
kejiranan kerana “ke mana tumpahnya kuah
kalau tidak ke nasi”.
Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak
supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap
komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan
dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang,
taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama
dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan yang disediakan. Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada
anak-anak tentang kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang
mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini
hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak
pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa
Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya.
Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat secara
bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk
mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh,
merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa
Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing
yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu antara satu
sama lain dalam kehidupan “ibarat ke
bukit sama di daki, ke lurah sama di turuni”. Jelasnya, ibu bapa berperanan
penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti
sosial sebagai langkah untuk memupuk
semangat kejiranan.
Berdasarkan perbincangan
di atas, dapat disimpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu amat
penting untuk melahirkan masyarakat yang
prihatin dan membentuk perpaduan kaum.
Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah
mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk memohon
bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan
dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai
jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan diri kita sebagai jiran yang baik
kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga
akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata “Jiran
Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita
sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya murni ini.
Amalkan dengan hati yang ikhlas, barulah kita memperoleh keberkatan dalam
kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum
akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa
berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara
kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami
menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan
kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”.
No comments:
Post a Comment