Anda
telah menyertai pertandingan syarahan anjuran Persatuan Bahasa Melayu sekolah
anda. Tajuk syarahan anda ialah
punca-punca berlakunya gejala buli dalam kalangan pelajar di sekolah dan
langkah-langkah menanganinya.
Tuliskan
teks syarahan anda selengkapnya.
Yang
Berusaha Tuan Pengetua SMK Khir Johari, Puan Hajah Fatimah bt Yusof, Yang
dihormati Guru Penolong Kanan Puan Aisyah bt Ahmad, barisan hakim yang adil lagi bijaksana,
guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Assalamualaikum, salam
sejahtera serta salam satu Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan
sekalian,
Berdirinya saya pada hari ini yang berbahagia ini,
adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Punca-punca gejala buli di sekolah
serta langkah-langkah menanganinya’.
Sebelum saya meneruskan syarahan saya, ingin saya kemukakan satu soalan
iaitu , apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan rangkai kata 'gejala buli?
Hadirin yang dihormati
sekalian,
Menurut
Kamus Dewan, gejala buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti
memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang
dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Menurut kajian, kes buli ini
menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin
serius masalahnya. “Jika tidak kerana
angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu
mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai
penyumbang kepada masalah kes buli ini.
Sebenarnya,
antara punca berlakunya gejala buli ialah kekurangan
penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang terlibat. Agama Islam contohnya, menggariskan
nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang selaras dengan tuntutan agama. Umpamanya, nilai hormat-menghormati sesama
manusia, kasih-sayang, belas kasihan, amanah, bertanggungjawab dan
sebagainya. Malah setiap agama di dunia
ini juga seperti agama Kristian dan Hindu turut menekankan nilai-nilai murni
yang baik dalam kehidupan. Namun, mereka yang terlibat dalam gejala buli ini
tidak lagi menghayati dan mengamalkan suruhan agama. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk
mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain.
Ahli falsafah tersohor, Hamka, pernah mengatakan, “Tiga sifat yang ditimbulkan oleh agama ialah perasaan malu iaitu
enggan mendekati suatu yang tercela, boleh dipercayai di dalam pergaulan hidup
iaitu amanah, benar dan jujur”. Ringkasnya, ketandusan nilai keagamaan
dalam diri mereka menyebabkan gejala
buli ini semakin berleluasa.
Selain itu, ibu bapa juga menjadi punca berlakunya gejala buli ini. Pada zaman yang serba moden ini kebanyakan
ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing untuk meningkatkan taraf
kehidupan mereka. Hal ini menyebabkan
mereka kurang memberikan belaian kasih sayang, kemesraan dan perhatian kepada
anak-anak mereka. Contohnya, terdapat segelintir ibu bapa yang keluar bekerja
seawal 6.30 pagi dan pulang lewat malam. Mereka tidak ada masa untuk mengambil
tahu perkembangan anak-anak terutama yang remaja. Tugas dan tanggungjawab menjaga anak-anak
diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah dan guru di sekolah. Anak-anak
yang ketandusan kasih sayang ini akhirnya beralih perhatian ke arah
perkara-perkara yang tidak baik. Pujangga lama Melayu ada berbunyi, “Anak yang ditinggalkan ayah, jarang yang
tidak luka jiwanya sampai besar”. Justeru, kekurangan perhatian daripada
ibu bapa turut menjadi punca gejala buli ini.
Di
samping itu, pengaruh rakan sebaya
di sekolah juga merupakan salah satu punca yang penting menyebabkan pelajar
terlibat dalam kegiatan membuli ini.
Para pelajar yang masih terlalu muda,
dikatakan berumur setahun jagung
dan berdarah setampuk pinang sebahagian besarnya masih belum boleh berfikir
dengan matang. Contohnya, mereka amat
mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebaya dan tidak dapat berfikir tentang
baik buruknya tindakan mereka itu. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli,
pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat
diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pujangga mengatakan, bersahabat dengan orang jahat itu ibarat berperahu di laut. Sungguhpun
kita selamat daripada tenggelam tetapi kita tidak terlepas daripada rasa takut.
Malah ahli falsafah turut mencoretkan bahawa, sahabat sering menjadi musuh. Oleh itu berhati-hatilah memilih sahabat.
Jelaslah, rakan sebaya yang menjadi
orang penting dalam kehidupan remaja selain ibu bapa menjadi punca gejala buli
ini.
Bagaimana dengan pihak
media massa? Seperti yang kita ketahui, media masa terutamanya televisyen sering
menayangkan filem-filem yang berunsur keganasan, pergaduhan dan
sebagainya. Filem dan rancangan
terutamanya dari barat dan Hong Kong jelas memaparkan unsur keganasan seperti
rancangan gusti, filem-filem aksi pertarungan dan pembunuhan jelas membawa
pengaruh buruk kepada remaja kita.
Pelajar meniru aksi yang disaksikan di televisyen untuk membuli
rakan-rakan mereka yang lain. Ibarat pepatah, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, kian hari perkara yang
dipertontonkan kepada remaja menjadi ikutan dalam diri mereka sehingga merasa
bangga untuk membuli rakan-rakan yang dipandang lebih lemah atau kekurangan.
Tuan-tuan dan puan-puan
serta rakan seperjuangan sekalian,
Bak
kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada
penyembuhnya’. Terdapat pelbagai
langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut
ini. Antaranya ialah pihak kerajaan
seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu
kes buli ini dalam kurikulum di sekolah.
Contohnya, melalui mata pelajaran
seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya,
ilmu tentang gejala-gejala negatif terutamanya buli dan kesan-kesan buruknya
perlu dimasukkan dalam sukatan. Dengan
itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan
yang boleh menggelapkan masa hadapan meeka.
Pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk
daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkan mereka daripada terbabit
dalam kes buli ini. Pencegahan awal terhadap masalah ini perlu dititikberatkan
kerana sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tiada gunanya.
Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti
buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke
semasa bagi menyedarkan para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala
buli. Pihak luar seperti NGO boleh
dipanggil untuk mengadakan pameran dan ceramah tentang gejala buli ini. Selain itu pihak sekolah sendiri boleh
menganjurkan aktiviti seperti kuiz, pidato dan sebagainya tentang kes buli dan
juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di
sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak
pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar
menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan
informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar
tahu akannya supaya tidaklah nanti sudah
terhantuk baru nak terngadah.
Seterusnya
, yang paling penting ialah diri pelajar
itu sendiri. Para pelajar juga harus
pandai memilih kawan kerana kawan yang baik akan membawa mereka ke arah
kebaikan dan begitulah sebaliknya. Umpama berkawan dengan penjual minyak
wangi, secara tidak langsung badan kita juga akan sentiasa wangi.
Contohnya, jika berkawan dengan orang yang minat membaca buku, maka pelajar
tersebut juga akan dipengaruhi dan gemar membaca bersama-sama. Oleh itu, pelajar mesti
bijak memilih kawan supaya tidak terjebak dalam gejala buli di sekolah
bak kata pujangga, sebaik-baik sahabat
ialah yang elok dalam perangai dan budi pekerti. Namun, ahli pujangga juga
menasihatkan bahawa, “Supaya engkau
beroleh sahabat, hendaklah diri engkau sendiri sanggup menyempurnakan menjadi
sahabat orang”.
Di
samping itu, para pelajar juga harus
berganding bahu dengan pihak sekolah bagai
aur dengan tebing dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar
boleh menjadi mata dan telinga
kepada para guru di sekolah. Contohnya
jika para pelajar ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli,
mereka harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada guru disiplin atau pihak
sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin
demi kesejahteraan sekolah. Dalam hal ini, pelajar sendirilah yang harus
memainkan peranan penting dan tahu bertindak dengan wajar apabila melihat
gejala buli dalam kalangan pelajar. Pelajar harus menjaga maruah mereka kerana
janganlah disebabkan segelintir pelajar yang suka membuli menyebabkan maruah pelajar-pelajar
di sekolah tersebut tercemar ibarat nila
setitik rosak susu sebelanga. Sesuai dengan
peribahasa yang berbunyi, seekor
kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit.
Hadirin yang dihormati
sekalian,
Memang
tidak dapat dinafikan lagi, pihak sekolah
turut memainkan peranan penting untuk menangani gejala buli ini. Setiap
laporan yang diterima daripada guru atau pelajar mesti diambil tindakan dengan
segara. Pihak sekolah haruslah
bersungguh-sungguh dalam soal ini dan janganlah hanya melepaskan batuk di tangga dalam menangani isu ini. Pihak sekolah
boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan
juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar
tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah tidak harus berkompromi
dengan kes buli malah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar
tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan
sebagai iktibar kepada pelajar yang lain. Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Tidak syak lagi, ibu bapa juga memainkan peranan yang
penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah
menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi
kelakuan ibu bapa mereka kerana bapa
borek, anak rintik. Ibu bapa juga perlu menunjukkan tingkah laku yang baik,
contohnya tidak bertengkar atau bergaduh
di hadapan anak-anak, bergaul dengan baik dan mesra ketika berurusan dengan
jiran tetangga dan orang lain. Bak kata
bidalan, bagaimana acuan , begitulah
kuihnya. Ibu bapa yang baik akan
melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia. Sebuah al-Hadis yang bermaksud, “Peliharalah anak-anakmu dan perbaikilah
budi pekerti mereka. Sesungguhnya anak-anak itu adalah hadiah Allah kepadamu,” jelas
membuktikan bahawa peri pentingnya tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik
tingkah laku peribadi anak-anak.
Tambahan
pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus meluangkan masa dengan
anak-anak dan sentiasa mengambil berat tentang keadaan anak mereka semasa di
sekolah. Contohnya, pada hujung minggu atau cuti, ibu bapa boleh membawa
anak-anak bercuti untuk mempererat kemesraan keluarga. Perhatian dan
belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka akan menyebabkan mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu
bapa juga harus memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari anak-anak mereka sejak
kecil lagi seperti pepatah, melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Dengan
ini anak-anak akan menyayangi ibu bapa dan sentiasa sudi meluahkan isi hati dan
masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama. Hamka
pernah mengatakan, “Sewaktu kecil
anak-anak lelaki menjadi perhiasan mata kerana lucunya, kerana dia itu harapan.
Maka setelah dia besar, dia menjadi kebanggaan kerana kejayaan hidupnya”.
Natijahnya, selagi masalah ini
masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang
bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat
negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya.
Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan
menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes
buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha
yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama
negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.
Hadirin yang dikasihi
sekalian,
Sebelum
saya mengundur diri, saya menyusun jari sepuluh dan memohon kemaafan jika ada
kesilapan tutur kata semasa menyampaikan syarahan saya tadi. Semoga apa yang
telah saya sampaikan sebentar tadi dapat memberi manfaat kepada kita semua. Akhir
kata terimalah dua rangkap pantun daripada saya.
Kalau
ada jarum yang patah,
Jangan di simpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.
Padi
muda jangan ditampi;
Padi huma si beras jati;
Generasi muda harapan pertiwi,
Didiklah mereka seikhlas hati.
Sekian. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment