Showing posts with label KOMSAS TINGKATAN 5 2011. Show all posts
Showing posts with label KOMSAS TINGKATAN 5 2011. Show all posts

Saturday, 3 November 2012

PUISI TRADISIONAL - Syair Makna Riak




Syair Makna Riak


Kemudian dinyatakan makna riak,

Amal ibadat kerana manusia

Inilah lkebencian Tuhan yang sedaya,

Sebab kerana syirikkan Dia.


Terkadang riak pula dilakukan,

Mengiringkan beberapa puasa tak makan,

Bertutur itu suara diperlahankan,

Tubuh dan badan tidak dihiraukan.


Supaya disangka ianya wali,

Akan dunia tidak dipeduli,

Hemahnya itu sangatlah ali,

Tetapi hatinya ke dunia bertali.



Terkadang riakkan ia berilmu,

Bersurah ketika orang berjamu,

Berkata-kata tidaklah jemu,

Nahu dan sarap habis disapu.


Terkadang bercakap ilmunya mantik,

Bicara alhayat konon diselidik,

Supaya disangka ianya cerdik,

Sukalah orang memberinya gundik.


Terkadang riak dengan pakaian,

Berserban lilit ekor berhambayan,

Sejadah di bahu bersampaian,

Tasbih di tangan beruitan.


Pejamkan mata duduk bersila,

Lidah berzikir Allah Taala,

Terkadang jazbah seperti gila,

Kasadnya hendak jadi kepala.


Riak demikian menjadi balak,

Amal itu tentu ditolak,

Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,

Allah Taala sualak.

(Puisi Melayu Tradisi 1993)


Maksud 

Rangkap 1:
Riak merupakan perbuatan menunjuk-nunjuk sifat baik kepada orang ramai. Perbuatan ini dibenci oleh tuhan kerana mendatangkan syirik. 

Rangkap 2:
Kadang-kadang perbuatan riak ini ditunjukkan dengan cara berpuasa. Apabila bercakap, suara diperlahankan dan membiarkan fizikal diri tidak terurus. 

Rangkap 3:
Perkara sebegitu dilakukan agar orang menganggap dirinya wali yang tidak peduli akan hal-hal keduniaan. Hemah yang ditunjukkan sangat tinggi tetapi sebenarnya dia sekadar berpura-pura dan mengharapkan habuan keduniaan. 

Rangkap 4:
Kadang-kadang riak ditunjukkan dengan menonjolkan kelebihan ilmunya. Dia sentiasa membaca al-quran dan menunjuk-nunjukkan kepandaian ilmunya dalam majlis keraian yang dihadiri oleh ramai orang. Banyak perkara yang diperkatakannya tanpa mempedulikan sama ada perkara itu betul atau salah. 

Rangkap 5:
Kadang-kadang dia bercakap seolah-olah idea atau fikirannya logik. Dia berlagak seperti orang yang telah membuat penyelidikan supaya dia disangka cerdik. Oleh itu, banyak orang ingin menjadikannya sebagai menantu. 

Rangkap 6:
Kadang-kadang orang riak dengan cara berpakaian. Mereka berserban dan sejadah sentiasa terletak di bahunya serta tangannya membilang tasbih. 

Rangkap 7:
Duduk bersila dan mata terpejam sambil berzikir menyebut nama Allah. Gayanya keterlaluan seolah-olah mahu diiktiraf sebagai ketua. 

Rangkap 8:
Riak boleh mendatangkan bala dan kecelakaan. Amalan kita akan ditolak malah mendatangkan dosa. Allah tidak suka kepada orang yang bersifat riak. 

Tema 
Sifat-sifat manusia yang riak. 

Persoalan 
i. Tingkah laku sesetengah golongan manusia yang suka berpura-pura/ hipokrit. 
ii. Sikap suka menunjuk-nunjuk tentang kelebihan diri.
iii. Penyalahgunaan ilmu yang dimiliki untuk kepentingan diri
iv. Amalan sia-sia/ tidak berkat orang yang riak di sisi agama. 

Nilai Murni
i. Kesyukuran
Contoh: bersyukur dengan ilmu yang dimiliki. 
ii. Kesederhanaan
Contoh: bersederhana dalam segala perbuatan tanpa menunjuk-nunjuk. 
iii. Keikhlasan
Contoh : Amalan yang dilakukan mesti ikhlas dan kerana Allah semata-mata.

Pengajaran 
i. Kita janganlah bersifat riak dalam melakukan sesuatu amalan.
ii. Kita janganlah mengharapkan pujian dan sanjungan orang lain terhadap kelebihan yang ada
pada diri kita.
iii. Kita haruslah menggunakan ilmu yang dimiliki ke arah jalan benar.
iv. Kita hendaklah melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas.
v. Kita janganlah melakukan sebarang perkara yang membawa kepada syirik.

SAJAK - Di Bawah Langit Yang Sama


Di Bawah Langit Yang Sama
(Lim Swee Tin)
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum (KPM) 

Di bawah langit yang sama 
Kita hirupi udara 
Tanpa mengira Beirutmu 
Atau Kuala Lumpurku 
Kita menghirup udara 
Di bawah langit yang sama. 

Aku suka gerimis di Kota London 
Pernah terpesona angin dingin-tajam di Washington 
Pohon-pohon hijau atau aneka warna
Tiada bezanya. 

Siapa pun menghuni Australia penghuni Afrika 
Kerana di bawah langit ini 
Kita sama. 

Aku ingin menyeberangi Laut China Selatan 
Layari Lautan Teduh rentasi Laluan Sutera 
Berkongsi siang miliki malam 
Anyam cinta pelangikan zaman 
Tiupkan harapan senada 
Sesama kita - warga dunia 
Di bawah langitnya 
Yang sama. 

Peta-peta itu yang memisahkan 
Jangan tutup pos sempadan 
Visa hanya keperluan rasmi seketika 
Pasport dokumen pengenalan titik mula 
Kita dakapi mimpi tak berbeza gapai hasrat 
Lebur kebencian kuburkan sejarah hitam 
Di bawah langit ini yang 
Sama. 


Oleh : Lim Swee Tin 
Antologi Dirgahayu Bahasaku. 

Maksud
Rangkap 1
Penyajak menggambarkan bahawa walau di manapun kita berada, kita menghirup udara yang sama dan berada di bumi ciptaan Tuhan. Taraf manusia pun sama.
Rangkap 2
Penyajak kagum akan gerimis di kota London dan terpesona dengan tiupan bayu dingin di Washington. Namun aneka warna tumbuh-tumbuhan tetap serupa. Tempat-tempat lain yang mempunyai keisimewaan tersendiri juga didiami oleh manusia.
Rangkap 3
Penyajak ingin menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan berkongsi impian yang sama iaitu melihat keamanan dan keharmonian dunia. Beliau ingin melihat dunia bersama-sama bagi memperjuangkan keamanan.
Rangkap 4
Penyajak mendapati manusia sering dipisahkan oleh sempadan negara dan untuk memasuki negara tersebut perlu ada dokumen rasmi seperti pasport dan visa. Penyajak menyeru rakyat di dunia agar sama-sama berjuang mencapai keamanan dunia serta mengikis rasa benci dan dendam .

Tema
Kesamatarafan manusia walau di mana-mana mereka berada. Walaupun manusia itu berada dan dipisahkan oleh sempadan, mereka setaraf dan mengimpikan kehidupan yang aman dan harmoni.

Persoalan
1. Persoalan keindahan alam semula jadi di sesuatu tempat. Setiap tempat mempunyai keindahan alam semulajadi yang tersendiri.
2. Persoalan harapan dan impian manusia sejagat untuk kehidupan yang aman dan harmoni.Setiap orang mempunyai impian dan harapan untuk kehidupan yang aman dan harmoni.
3. Persoalan garis sempadan seringkali memisah dan membezakan manusia.Manusia dipisahkan oleh faktor geografi.
4. Persoalan kepentingan nilai hormat dan menghormati antara manusia. Nilai ini penting dalam kehidupan.

Bentuk
1. Bebas
2. Terdapat 4 rangkap dalam sajak ini.
3. Rima akhir baris-baris ayat
 Rangkap 1 terdapat 6 baris ayat. Rima akhirnya aabbaa.
 Rangkap 2 terdapat 7 baris ayat. Rimanya aabbbca
 Rangkap 3 terdapat 8 baris ayat. Rima akhirnya abcabbbb
 Rangkap 4 terdapat 9 baris ayat. Rima akhirnya aabbbcdeb

Nada
Sinis

Gaya Bahasa
1. Ayatnya pendek-pendek
Contohnya : Di bawah langitnya
2. Diksi – mudah difahami dan puitis
Contohnya: Aku suka gerimis di Kota London.
3. Kata pinjaman bahasa Inggeris
Contohnya :i visa, pasport,
4. Aliterasi – perulangan konsonan’n’
Contohnya : : pohon-pohon hijau atau aneka warna
5. Asonansi – perulangan vokal ’i’
Contohnya : berkongsi siang miliki malam
6. Sinkope
Contohnya : mu, ku
7. Perulangan
. Contohnya Di bawah langit ini.
8. kata ganda
. Contohnya : pohon-pohon, peta-peta

Nilai
1. Nilai menghargai keindahan alam. Keindahan alam perlu dihargai.
2. Nilai hormat- menghormati sesama manusia. Nilai ini penting dalam kehidupan seharian.
3. Nilai bertoleransi antara masyarakat. Toleransi penting dalam kehidupan bermasyarakat.
4. Nilai bekerjasama dalam menjayakan sesuatu.Kerjasama penting untuk menjayakan sesuatu.

Pengajaran
1. Kita mestilah menganggap manusia sebenarnya sama taraf walau di manapun mereka berada.
2. Kita mestilah menganggap setiap tempat mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
3. Kita hendaklah sedar bahawa manusia seringkali dipisah dan dibezakan oleh sempadan waktu dan tempat
4. Kita mestilah mewujudkan hubungan harmoni sesama negara dan rakyatnya.
5. Kita hendaklah mengimpikan kehidupan yang lebih baik dan harmoni.

Baca sajak di atas dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)  Terangkan maksud tiupkan harapan senada. [3 markah] 

(ii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk mengeratkan perpaduan antara negara di peringkat antarabangsa? [3 markah] 

(iii) Jelaskan tema sajak ini. [3 markah]





Friday, 30 September 2011

KOMSAS - Sajak Bangkitlah

Maksud
Rangkap 1
Penyajak menyeru anak bangsanya agar sedar daripada terlena dibuai kelalaian. Negara sudah lama merdeka dan semakin maju.
Rangkap 2
Negara kita semakin makmur dan bangsa-bangsa asing sibuk merebut kekayaan tanah air. Penyajak tertanya-tanya mengapa anak bangsanya masih leka.
Rangkap 3
Penyajak menyeru anak bangsanya supaya bangkit dari lena agar mereka tidak menyesal. Kekayaan hasil bumi negara semakin berkurangan dek pembangunan.
Rangkap 4
Penyajak berasa risau akan masa depan bangsanya yang mungkis terus ketinggalan dan hidup dalam kesusahan. Beliau tidak mahu bangsanya berputih mata.
Rangkap 5
Jikalau bangsanya tidak mahu perkara itu berlaku, mereka perlu bangkit dan berusaha. Masih ada waktu dan kesempatan mereka untuk maju dan mengejar arus pembangunan.

Tema
Kesedaran anak bangsa perlu untuk bangkit daripada leka dalam mengejar arus pembangunan selepas kemerdekaan. Mereka harus merebut kemakmuran negara agar tidak menyesal.
Persoalan

1. Persoalan kepentingan mengejar arus pembangunan.Arus pembangunan perlu disedari dan diikuti oleh anak-anak.


2. Persoalan kemajuan dan pembangunan negara tidak akan menunggu sesiapa yang leka.Kemajuan dan pembangunan negara tidak akan menunggu sesiapapun.


3. Persoalan sumber bumi dan khazanah negara semakin berkurangan.Hal ini perlu disedari oleh semua orang.


4. Persoalan masa depan anak bangsa yang masih leka. Kelekaan anak bangsa merunsingkan penyajak tentang masa depan mereka.

Bentuk

1. Bebas


2. Terdapat 5 rangkap


3. Rima akhir baris-baris ayat

Rangkap 1 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya abcd.

Rangkap 2 terdapat 4 baris ayat. Rimanya abbbc

Rangkap 3 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya abccd

Rangkap 4 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya abcde

Rangkap 5 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya abcd

Nada
Patriotik

Gaya Bahasa

1. Ayatnya pendek-pendek

Contohnya : bangkitlah

2. Diksi – mudah difahami dan puitis

Contohnya : Anak-anak yang sedang lena

3. Aliterasi – perulangan konsonan’n’

Contohnya : burung-burung berterbangan di udara

4. Asonansi – perulangan vokal ’a’

Contohnya: : Anak-anak yang sedang lena

5. Sinkope

Contohnya; kau

6. Perlambangan

Contohnya ; anak-anak, matahari, puncak gunung, madu bumi, perut belantara

7. Personifikasi

Contohnya : burung-burung belum menjamah awan.

Nilai

1. Nilai kegigihan.. Kegigihan diperlukan untuk mengejar kekayaan..


2. Nilai kerjasama ..Semangat ini diperlukan untuk merebut peluang yang ada.


3. Nilai kerajinan. Kerajinan diperlukan untuk memajukan diri.

Pengajaran

1. Kita tidak boleh leka walaupun telah merdeka.


2. Kita perlulah merebut peluang yang ada.


3. Kita perlulah bersaing dengan bangsa lain untuk maju.


4. Kita janganlah leka kerana kelekaan menyebabkan kita menderita dan terus dihimpit kemiskinan.

Latihan

1. Apakah yang dimaksudkan oleh penyajak dengan perkataan bangkitlah?

Jawapan: sedarlah/ insaflah

2. Apakah unsur gaya bahasa kaumakan?

Jawapan: sinkope

KOMSAS - Sajak Pasar Perasaan

Maksud
Rangkap 1
Penulis mendapati warung atau kedai kopi menjadi gelanggang untuk pengunjung melontarkan pendapat dan berdebat. Perdebatan yang berlaku pula dikuasai oleh emosi.
Rangkap 2
Semasa berdebat, kata-kata yang dilontarkan lebih luahan perasaan dan bukannya hasil daripada pertimbangan akal fikiran.
Rangkap 3
Mereka juga melontarkan pelbagai hujah sesuka hati tanpa sebarang makna dan fakta kukuh. Hujah-hujah yang sebegitu rapuh dan mudah disangkal.
Rangkap 4
Di warung jugalah para pengunjung silih berganti dan kerap menjadi tumpuan. Di sinilah mereka kerap berbual-bual dan berdebat kosong tanpa kesudahan.
Rangkap 5
Di warung jugalah, para pengunjungnya memperlihatkan kelemahan mereka yang kurang ilmu pengetahuan. Perdebatan kosong terus menjadi agenda walaupun tidak membawa kebaikan.
Rangkap 6
Penyajak cuba terlibat dan menyelami intipati perdebatan tersebut. Beliau mendapati pendebat-pendebat itu lebih dikuasai emosi ketika berbicara berbanding fakta dan ilmu.
Rangkap 7
Bagi penyajak perdebatan di warung atau kedai kopi hanya sesuai untuk mereka bercakap tanpa berfikir dahulu. Perdebatan nampak menarik tetapi tidak membawa makna.

Tema
Perbincangan kosong di kedai kopi. Seringkali dikatakan kedai kopi sebagai tempat perdebatan pengunjungnya. Hujah mereka kosong tanpa fakta dan ilmu. Hanya sekadar meluahkan perasaan. Seringkali juga berlaku perdebatan yang sia-sia kerana dikuasai emosi.
Persoalan

1. Persoalan perbincangan kosong dan tidak ilmiah hanya sekadar menghamburkan kata-kata dan meluahkan perasaan.


2. Persoalan luahan pendapat akan menjadi sia-sia kerana kurangnya kebijaksanaan.


3. Persoalan pendapat tanpa ilmu dan fakta mudah dipatahkan dan ditepis.


4. Persoalan kepentingan ilmu pengetahuan dalam menyampaikan hujahan.

Bentuk

1. Bebas


2. Terdapat 7 rangkap


3. Rima akhir baris-baris ayat

Rangkap 1 terdapat 3 baris ayat. Rima akhirnya abb

Rangkap 2 terdapat 4 baris ayat. Rimanya abcd

Rangkap 3 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya abbcd

Rangkap 4 terdapat 3 baris ayat. Rima akhirnya abc

Rangkap 5 terdapat 3 baris ayat. Rima akhirnya abc

Rangkap 6 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya aaabb

Rangkap 7 terdapat 2 baris ayat. Rima akhirnya ab

Nada
Sinis
Gaya Bahasa

1. Ayatnya pendek-pendek

Contohnya ; ini pasar perasaan

2. Diksi – mudah difahami dan puitis.

Contohnya :bagai ranting kering

3. Aliterasi – perulangan konsonan’n’

Contohnya :: di tengah-tengah penjual dan pembeli

4. Asonansi – perulangan vokal ’i’

Contohnya : kususuri sungai sibuk ini

5. Personifikasi

Contohnya : ini pasar tidak berakal

6. Metafora

Contohnya : pasar perasaan , sungai manusia

7. Simile

Contohnya : bagai kayu buruk.

8. Epifora

Contohnya ; kumasuki pasar ini
kususuri sungai sibuk ini

Nilai

1. Nilai rasional . Kerasionalan diperlukan dalam menyampaikan maklumat.


2. Nilai kerajinan. Kerajinan diperlukan untuk mencari ilmu untuk menguasai kemahiran


3. Nilai kebijaksanaan. Nilai ini diperlukan untuk mengemukakan maklumat


4. Nilai kesabaran . Kesabaran diperlukan dalam menghadapi cabaran hidup..


5. Nilai keprihatinan . Keperihatinan terhadap persekitaran amat diperlukan..

Pengajaran

1. Kita hendaklah mendengar dengan teliti sebelum memberi pendapat.


2. Kita mestilah mengemukakan pendapat yang bernas dan berfakta


3. Kita janganlah beremosi ketika berdebat kerana ini akan mendedahkan kelemahan diri sendiri.

Latihan

1. Dalam rangkap sajak sering diulang rangkai kata ini pasar perasaan. Apakah yang fungsinya rangkai kata ini diulang dalam beberapa rangkap?

Jawapan: menunjukkan penegasan aspek utama

2. Apakah gaya bahasa bagi baris berikut?

Bagai ranting kering
Jawapan: simile

Drama Tiang Cengal Dinding Sayung

Sinopsis
Mak Jimah isteri Pak Jumaat menghadapi kesedihan apabila Pak Jumaat didapati hilang semasa kejadian ombak tsunami di Kedah. Anak-anak Jimah iaitu Sabri, Shahrul, Sabriah dan Salmah, manakala Sani anak angkatnya cuba menenangkan perasaan Jimah agar sabar dengan takdir Tuhan. Shahrul meminta pertolongan Sani agar menyatakan hasratnya pulang ke Kuala Lumpur kepada emaknya kerana telah tamat cuti, sebaliknya Sani meminta Shahrul sendiri memberitahunya. Sabriah yang panas baran baru balik dari London menyalahkan bapaknya (Jumaat) yang terus turun ke laut untuk menangkap ikan. Sebenarnya dia telah mengirim wang kepada ibu bapanya supaya mereka tidak perlu bekerja. Sikapnya ditegur oleh Pak Man jiran mereka yang tidak memahami Jimah. Salmah merupakan anak Jimah yang baru balik dengan pakaian seksi dimarahi Sabriah supaya menukar pakaian sebelum berjumpa emaknya. Berlaku pertengkaran antara Sabri dan Sabriah untuk menyerahkan tugas menjaga emak mereka. Sikap mereka ditegur Pak Man. Sikap anak-anaknya menyebabkan Jimah menyerahkan kembali buku bank hasil pemberian mereka. Sabriah memarahi Jimah yang masih berharap bapa mereka akan selamat. Dalam keadaan kecoh itu Wahid dan Senin mengambil kesempatan untuk menipu serta mencuri barangan mangsa tsunami.
Akhirnya Jumaat dijumpai dan dikhabarkan oleh Man Bengap serta menyatakan Sani sahaja diminta menemani Jimah menjemput Jumaat di balai polis. Walau bagaimanapun, atas sikap bertolak ansur Sani maka mereka sama-sama menjemput Jumaat. Sabriah, Salmah, Shahrul memohon maaf kepada Jimah. Pak Man dan Mak Jah terharu dengan peristiwa itu. Atas pengajaran peristiwa yang menimpa Mak Jah, maka Pak Man berfikir bahawa dia harus bersyukur mempunyai Man Bengap walaupun hanya sebagai cucu angkat tetapi dapat menghiburkannya terutama dalam masa dia dan isterinya sunyi.

Tema
Kesetiaan isteri dan kasih sayang isteri dan anak-anak terhadap ketua keluarga (suami/bapa) serta kepincangan sikap anak-anak dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai anak-anak.
Persoalan

1. Persoalan kasih sayang isteri kepada suami yang tidak berbelah bagi.

2. Persoalan sikap hormat menghormati antara ahli keluarga.

3. Persoalan simpati atas nasib malang yang menimpa seseorang.

4. Persoalan jujur dan amanah dalam menyampaikan maklumat.

5. Persoalan sikap sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup.

6. Persoalan kepincangan masyarakat yang mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain.

Plot
Secara keseluruhan drama ini disusun mengikut kronologi iaitu mengikut urutan cerita bermula dengan permulaan dan diakhiri dengan peleraian.

Pembinaan Plot
Secara keseluruhan drama ini digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu;

(i) Permulaan


Dialog Pak Man dengan Sani yang bertanya khabar dan menyatakan simpati atas nasib keluarga Jimah yang kehilangan Pak Jumaat semasa kejadian tsunami.


(ii) Perkembangan


Nasihat Pak Man terhadap nasib Sani walaupun sebagai anak angkat dalam keluarga Mak Jimah tetapi telah dibesarkan dengan mendapat pendidikan yang sempurna.

Berlaku pertengkaran antara Shahrul dan Sani mengenai sikap Shahrul yang mementingkan kerjayanya dan hendak pulang ke kuala Lumpur walaupun bapa mereka belum ditemui lagi.


(iii) Konflik


Arahan Shahrul agar Sani menasihati Jimah (ibu mereka) agar menerima kenyataan bahawa bapa mereka telah meninggal di laut semasa kejadian tsunami.

Sabriah yang tidak puas hati atas sikap bapanya yang terus turun ke laut walaupun dia telah mengirimkan wang kepada bapanya untuk menyara kehidupan mereka.

Mak Jah menyatakan perasaannya yang mengambil berat terhadap anak-anak Jimah kepada Sani dan dia menganggap mereka sebagai anak-anaknya juga.

Sabriah menyindir sikap Sani yang hanya sebagai anak angkat menumpang kehidupan mereka.

Jimah memahami sikap anak-anaknya terutama Sabriah yang hanya mementingkan kerjaya dan diri sendiri sahaja.


(iv) Klimaks


Jimah memulangkan wang anak-anaknya yang disimpan di dalam bank dan meminta mereka pulang ke tempat masing-masing walaupun Pak Jumaat belum ditemui.


(v) Peleraian


Jumaat dijumpai terselamat dalam kejadian tsunami. Dengan penemui itu memberi banyak kesedaran kepada anak-anak Jimah bagi memohon maaf atas kesalahan masing-masing. Jimah meminta anak-anaknya juga memohon maaf daripada Sani yang banyak dihina oleh mereka. Pak Man bersyukur dengan situasi yang ceria itu dan dia juga bersyukur dikurniakan cucu angkat seperti Man Bengap.

Teknik Penceritaan

1. Pemerian


Dia budak lurus. Putih, putihla yang dia kata. Kalau hitam, hitamlah yang dia kata. Dia manusia yang tidak ada kepentingan langsung…(ms 439)


2. Suspens


Man: Orang sudah jumpa tuk, sudah jumpa dah.


3. Kejutan


… Kita ni sibuk dengan kerja, dengan laki, dengan bini, dengan perniagaan. Beginilah, kalau sudah semua tidak mahu, kita hantar ke rumah welfare. Mahu? (ms 434)

Watak dan Perwatakan
Watak Utama

1. Jimah


Isteri Jumaat, berusia 55 tahun

Seorang yang setia, penyayang dan bertanggungjawab. Setiap hari Jimah ke tepi pantai menanti kepulangan suaminya yang hilang di tengah laut.

Sabar dengan dugaan dengan berdoa. Jimah sentiasa berfikir dan berdoa pada Tuhan sejak kejadian suaminya hilang di laut.

Watak Sampingan

2. Sani


Anak angkat Jimah – seorang doktor dan telah beristeri

Seorang yang bertanggungjawab dan sabar. Sangat mengambil berat akan emaknya terutama ketika bapanya hilang di laut.


3. Sabri


Anak sulung Jimah

Mengetuai ahli keluarga

Penyabar. Sabri mahu semua adik beradiknya memujuk emaknya selagi mayat bapa mereka tidak dijumpai.


4. Sabariah


Graduan ekonomi bekerja di London

Panas baran, anak kedua dalam keluarga. Dia menyalahkan bapanya kerana tidak berhenti pergi ke laut walaupun wang belanja bulanan dikirim setiap bulan.

Tidak sukakan Sani. Sabariah memarahi kepada Sani supaya tidak memandai-mandai dan berdolak dalik tentang soal kematian. Dia juga menginggatkan bahawa Sani bukanlah ahli keluarga mereka.


5. Shahrul

Anak ketiga dalam keluarga

Seorang akauntan di Kuala Lumpur

Mementingkan kerjayanya. Shahrul hendak balik ke Kuala Lumpur walaupun mayat bapanya belum dijumpai.


Berselisih faham dengan Sani. Shahrul sindir menyindir dengan Sani ketika dia pulang ke rumah emaknya.


6. Salmah


Seorang pereka fesyen

Seorang yang mengikut fesyen terkini. Salmah pulang ke rumah dengan hanya memakai skirt.

Lebih mementingkan kerjayanya. Salmah lewat pulang ke kampung atas urusan pekerjaan.


7. Wan Malin


Isteri Sani

Banyak membantu Sani menjaga Jimah. Wan Malin berjanji dengan Jimah akan bersama-sama mentuanya itu menunggu bapa mentuanya sehingga pulang.


8. Man Bengap


Pemuda kurang akal tetapi lurus bendul. Dia menyebut mayat untuk bangkai ikan dugong sehingga menyebabkan Pak man ketawa.

Cucu angkat Pak Man


9. Pak Man


Jiran Jimah yang prihatin dengan kelurga Jimah. Pak Man menyuruh isterinya Mak Jah memujuk Jimah yang begitu sedih dengan kehilangan suaminya. Beliau bimbang akan kesihatan Jimah yang setiap hari pulang lewat malam dari pantai.

Banyak memberi nasihat kepada anak-anak Jimah. Pak Man menasihati anak-anak Jimah supaya bertanggungjawab apabila musibah menimpa ketua keluarga.


10. Mak Jah


Isteri Pak Man

Seorang yang penyayang. Mak Jah sanggup bersama-sam keluarga Jimah menenangkan mereka ketika mereka bersedih kehilangan bapa mereka di laut.


11. Wahid dan Senin


Penjahat yang mengambil kesempatan. Mereka berpura-pura ditugaskan membanci kerugian yang di hadapi mangsa Tsunami.

Mencuri harta mangsa tsunami. Mereka hendak mencuri barang di rumah Jumaat semasa ketiadaan orang di rumah tersebut.


Latar
Latar masa

Siang, tepi pantai berhampiran dengan sebuah perahu yang telah rosak

Pagi, semasa Man mencuci kereta Abang Sabri

Senja di rumah Jimah

Latar tempat

Tepi pantai, Jimah berdiri di gigi air sambil memandang ke tengah laut

Rumah Jimah semasa Sabariah memarahi Salmah.

Anak tangga rumah Jimah semasa Sabariah duduk termenung memikirkan nasib emaknya

Latar masyarakat

Masyarakat penyayang iaitu menyayangi anak-anak contohnya sikap Jimah dan Jumaat yang tidak mahu menyusahkan anak-anak mereka dalam mencari rezeki pada usia emas.

Masyarakat yang prihatin dalam memberi bantuan, misalnya Pak Man yang datang menziarahi keluarga Jimah semasa kehilangan Jumaat.


Masyarakat yang berpendidikan, misalnya anak-anak Jimah yang berjaya dengan kerjaya masing-masing, Salmah sebagai pereka fesyen, Sani sebagai doktor, Shahrul sebagai akauntan.

Masyarakat yang mementingkan kerjaya misalnya Shahrul yang ingin kembali ke Kuala Lumpur setelah tamat cutinya.

Masyarakat yang menghormati orang yang lebih tua misalnya Sani dan Wan Malini yang menghormati Jimah dan Jumaat.

Gaya Bahasa

1. Diksi

Kata pinjaman bahasa Inggeris (survey, HQ)


2. Falsafah

Daun dapat dilayang, getah jatuh ke perdu juga


3. Simile

.. air matanya itu macam anak air mengalir


4. Metafora

Ombak susu, gigi ombak


5. Repetisi

Putih, putihlah yang dia kata kalau hitam, hitamlah

Nilai

1. Nilai kasih sayang kepada suami. Jimah menangisi kehilangan suaminya berterusan.


2. Nilai kesetiaan seorang isteri kepada suami. Misalnya Jimah tetap setia menanti suaminya yang hilang.


3. Nilai hormat-menghormati orang yang lebih tua. Misalnya Sani tetap menghormati Sabariah walaupun kerap dimarahinya.


4. Nilai nasihat-menasihati. Pak Man menasihati Sabariah supaya tidak menghina Sani anak angkat emaknya.


5. Nilai tanggungjawab anak-anak kepada ibu bapa. Misalnya Sani dan Wan Malini terus menjaga Jimah dan Jumaat setiap hari.

Pengajaran

1. Kita hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan sebaik memberi pendidikan kepada anak-anaknya. Contohnya Pak Jumaat dan Mak Jah memberi pendidikan kepada anak-anaknya sehingga ke universiti.


2. Kita hendaklah mengenang jasa ibu bapa yang telah membesarkan kita. Misalnya menyayangi mereka sepenuh hati walaupun dibesarkan oleh keluarga angkat sahaja.


3. Kita perlu menyesal dan insaf terhadap kelemahan kita. Contohnya Sabariah insaf atas kesilapannya yang tidak dapat meluangkan masa dengan ibu bapanya.


4. Kita perlu bertsyukur dengan apa-apa yang kita miliki, misalnya Man Bengap bersyukur dengan kehidupannya yang serba kekurangan.


5. Kita perlu menjaga hubungan yang baik dalam keluarga.


6. Kita perlu berjimat cermat dalam berbelanja. Misalnya Pak Jumaat menyimpan duit yang dikirim oleh anak-anaknya.

Latihan

1. Berapa lamakah Pak Jumaat hilang di Laut?

Jawapan: Empat hari.

2. Mengapakah Pak Man tidak ke laut pada hari kejadian tsunami?

Jawapan: Kerana Pak Man demam.