Buli
semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin
gusar. Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.
Apakah itu kes buli?
Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut,
menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh
seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini,
kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini
telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak
seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi. Menurut
kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan
pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika
tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang
berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal
pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.
Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama
yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka
sanggup berbuat demikian hanya untuk
mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain.
Pelajar-pelajar yang ketandusan nilai-nilai agama tidak mengenal perkara
yang baik dan buruk malah tidak mempedulikan pahala dan dosa lalu sanggup
menganiaya rakan-rakan sendiri tanpa rasa berdosa. Mereka juga sanggup bersikap
kejam dengan memukul, memeras ugut dan menghina rakan-rakan yang lemah. Ringkasnya,
mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.
Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian
kasih sayang dan perhatian kepada anak juga menjadi antara puncanya kes
buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap
materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.
Anak-anak yang kurang mendapat perhatian merasakan diri mereka tidak disayangi
dan menyusahkan. Anak-anak yang berperasaan begini akan cuba mencari perhatian
dengan melakukan pelbagai perkara yang tidak baik dan salah satunya membuli
rakan-rakan mereka kelihatan pasif.
Di samping itu, para
pelajar yang masih berumur setahun
jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika
kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut
perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga
menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin
menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.
Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat
pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras
kemelut ini. Antaranya ialah pihak
kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus
menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata
pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik
dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli
ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai
maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara
mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini. Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli
juga boleh diadakan oleh kerajaan secara berterusan di setiap sekolah dari
semasa ke semasa bagi menyedarkan para pelajar agar menjauhi diri daripada
gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan
sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.
Namun begitu, pihak
sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang
bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak
memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli
mangsanya. Pihak sekolah juga boleh
menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah
dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan
tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa
dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh
itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.
Langkah yang lain ialah
para pelajar juga harus pandai memilih
kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan
perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar
tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga
jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah. Di
samping itu, para pelajar juga harus
berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala
ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa
pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan
segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan
sekolah.
Manakala, pihak sekolah
yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan
bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan
sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan
semakin bertambah dan berleluasa lagi. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan
juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar
tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada
pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga
dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.
Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang
penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik
kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka
kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan
patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja,
sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata
pepatah ‘bapa borek, anak rintih’,
‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’. Tambahan
pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil
perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan
belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa
sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi
seperti melentur buluh biarlah dari
rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi
kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.
Natijahnya, selagi
masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu
bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan
sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal
sebagai angan-angan Mat Jenin
semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting
dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes
buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha
yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama
negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.
No comments:
Post a Comment