Pengangkutan
awam di negara kita sedang berkembang maju. Kerajaan juga telah mengadakan
pelbagai langkah untuk menggalakkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan
awam bagi mengatasi masalah kesesakan khususnya di kawasan bandar.
Jelaskan
langkah-langkah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
“Zaman
beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing
selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan
kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri di mata dunia
dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan
paradigma. Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk
memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan
awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem
Transit Tren Ringan (LRT), Kereta api, komuter dan monorel. Jikalau bukan kita
sebagai warganegara Malaysia yang menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi
yang mesti menyokongnya? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan
drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan
pengangkutan awam.
Menurut satu kajian
yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa kepelbagaian
sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah
mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain
dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan
harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan
rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah
Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di
negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem
tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga
harus mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne,
Australia. Di Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang
rendah untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan
peribahasa “serampang dua mata”.
Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan yang kurang
berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan
harian mereka. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan,
jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh
pengendali pengangkutan awam.
Langkah seterusnya yang
dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti
pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah
dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi masalah
kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi rungutan orang
ramai. Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah mencontohi
perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah menggunakan kuasa elektrik
seperti Shinkansen (bullet train)
sehingga mencapai kelajuan melebihi 200 kilometer sejam. Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik,
kekerapan KTM di negara kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan
awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya
mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan
perjalanan pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa
untuk menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut kerana masa itu emas yang rugi dibazirkan semata-mata untuk menunggu
kenderaan awam. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan orang ramai secara
keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kelemahan
perkhidmatan dan kelewatan jadual perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan
kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap
pengakutan awam di negara kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan
untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan
pengangkutan awam.
Pada masa yang sama,
langkah kerajaan menggalakkan pemasangan
televisyen di dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada
orang ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam
perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran
televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan
lebih menarik. Perkara ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam yang
lain seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang menaiki
pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan,
siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan
masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang
mengimbas kembali detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti alat pendingin udara juga
perlu dipertingkatkan bagi menjadikan penumpang berasa lebih selesa apabila
menaiki pengangkutan tersebut. Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti
akan dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai
boleh mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum.
Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian
para penumpang untuk menaiki pengangkutan awam.
Bagi mengatasi masalah
pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin, sistem perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara
kita. Pemasangan alat perakam ini dapat merakamkan bukan sahaja perkara yang
berlaku di sepanjang perjalanan malah dapat merakamkan kelajuan pengangkutan
awam tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan masalah kenderaan awam seperti
bas yang dipandu terlalu laju sehingga melebihi had yang dibenarkan. Pada masa
yang sama, pemasangan alat ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya
khususnya bas yang sering diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu
lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi
memastikan pemandu pengangkutan benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas
daripada sebarang penyalahgunaan dadah. Tindakan kerajaan
menyenaraihitamkan pemandu yang kurang berdisiplin akan dapat mengatasi masalah
pekerja pengangkutan awam yang tidak bersopan sekali gus melenyapkan pekerja
yang tidak berkualiti. Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan
Pengangkutan Jalan atau pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada
kakitangan pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan
keselamatan pengangkutan awam yang digunakan bagi memastikan keselamatan
pengguna pengangkutan tersebut terjamin. Dengan cara itu, keyakinan orang ramai
untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan meningkat.
Pihak pengurusan atau
pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi
mereka yang menggunakan perkhidmatan ini. Di kawasan stesen komuter atau LRT
umpamanya, tempat meletakkan kenderaan
perlu ditambah bagi mengelakkan orang ramai meletak kenderaan mereka di
tepi-tepi jalan atau di tempat lain yang tidak sesuai. Hal ini sentiasa menjadi
rungutan orang ramai kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan kesesakan malah
pada masa yang sama turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya.
Begitu juga halnya dengan pengangkutan tambahan atau “bas fider” yang dikatakan
menjadi masalah kepada pengguna komuter dan LRT. Kekurangan pengangkutan bas
tambahan ini telah menyukarkan pengguna pengangkutan tersebut jika kawasan
stesen tersebut jauh dari pejabat. Justeru adalah penting sekiranya bas-bas
tambahan ditambah bilangannya bagi memudahkan dan mempercepat perjalanan
seseorang dari rumah ke destinasi yang dituju. Jarak atau lokasi pengangkutan awam
seperti komuter dan LRT juga perlu ditambah dari semasa ke semasa agar
lingkungan pengguna yang dapat menaiki kemudahan awam tersebut turut meningkat.
Biarpun langkah ini memerlukan biaya yang agak tinggi namun kesannya pada
sistem perhubungan di negara kita adalah amat besar. Oleh itu langkah-langkah
menyediakan kemudahan tambahan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam
tersebut perlu dilaksanakan agar pengangkutan awam di negara kita tidak
dianggap “indah khabar dari rupa”.
Seperti kata peribahasa
Melayu yang berbunyi “melentur buluh
biarlah dari rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu
langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Pihak sekolah dicadangkan supaya memberi
penerangan tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan
keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang
mendalam kepada fikiran pelajar agar menaiki perkhidmatan awam. Usaha ini bukan
sahaja perlu ditumpukan kepada para pelajar, tetapi harus juga diperluas kepada
mereka yang dewasa untuk mengubah imej dalam hati mereka apabila menaiki
pengangkutan awam. Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan golongan yang
bergantung pada perkhidmatan awam seperti kereta api dan bas sebagai
pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang untuk
menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kendera sendiri, tetapi
mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama
mereka jika konsep kebaikan menggunakan pengangkutan awam tertanam dalam jiwa
mereka.
Kesimpulannya,
pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada masyarakat di negara kita
seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan, mengurangkan pencemaran
udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari.
Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan
kerajaan agar menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari
satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan
langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam
di negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di
negara-negara lain bak kata pepatah, “duduk
sama rendah, berdiri sama tinggi”, seperti Jepun, Amerika Syarikat dan
Australia.
No comments:
Post a Comment