Dalam era ledakan
maklumat ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT amat penting.
Teknologi ini sudah menguasai global ini dengan berleluasa. Hampir setiap saat
orang menggunakan teknologi ini dan dengan teknologi jugalah menyebabkan kita
boleh menguasai dan mengawal hampir setiap perkara di hujung jari sahaja. Negara yang tidak mengutamakan ICT akan
ketinggalan dalam arus pembangunan atau umpama
katak di bawah tempurung. Kemajuan ICT ini telah mendatangkan banyak
manfaat kepada individu, masyarakat dan negara.
Sesuatu perkara yang
dicipta atau diwujudkan tentu sekali mendatangkan kebaikan serta keburukan. Perkara
yang baik tentu sekali lebih mendatangkan faedah atau kepentingan kepada
pengguna. Begitu jugalah dengan ICT. Kemajuan ICT telah menyumbang dalam meningkatkan pengurusan dan pentadbiran negara ke arah
lebih sistematik dan teratur. Segala
urusan baik kerajaan mahupun swasta dapat dipercepat melalui kemajuan ICT.
Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan masa, bahkan tenaga, dan wang kerajaan
serta rakyat sendiri. Kegunaan ICT sememangnya cukup mendewasakan
Malaysia. Pentadbiran negara dan swasta
menjadi lebih cepat dan cekap. Dengan itu, Malaysia akan lebih cepat mencapai
wawasannya dan mencipta nama di persada dunia ini. Sebagai analoginya, kerja
pengurusan dokumen, permohonan dan sebagainya menjadi tepat dan cekap. Dengan adanya ICT, data dapat diproses dan
disimpan dengan segera tanpa membuang masa. Sesungguhnya, masa itu emas. Urusan kewangan melalui mesin teler automatik (ATM)
dan Internet membolehkan kita menguruskan wang kita di seluruh dunia dengan
mudah dan lancar.
Jika ditinjau secara
lebih mendalam lagi, ICT bukan sahaja membantu dalam pentadbiran dan pengurusan
negara, malah ICT penting dalam ramalan
cuaca dan panduan pelayaran. Jika dahulu, pelayar merujuk kepada kedudukan
bintang di langit untuk dijadikan sebagai “kompas” semasa belayar. Jika dahulu ada yang merujuk keadaan langit
dan awan untuk meramal cuaca ataupun mempercayai ramalan ahli nujum. Sekarang,
dengan adanya satelit cuaca, fenomena alam dapat diramal dengan lebih tepat
serta terperinci. Melalui satelit cuaca ini, siri gambar awan dapat diambil dan
seterusnya kita dapat meramalkan keadaan cuaca dunia. Persediaan awal dapat
kita buat untuk mengelakkan berlakunya kerugian harta benda dan pengorbanan
nyawa. Banjir, ribut taufan, tsunami,
dan gempa bumi adalah antara contoh fenomena alam yang tidak dapat tidak kita
sebagai manusia perlu untuk mengawalnya dengan membuat persediaan rapi kerana
kita perlu sediakan payung sebelum
hujan. Dengan ramalan fenomena El Nino dan La Nina yang tepat itu, kita
dapat membuat persediaan awal. Sebagai contohnya, sistem satelit aeronautik
(USA) dapat menghubungi kapal terbang yang melintasi Lautan Atlantik dan
Pasifik. Teknologi komunikasi pelayaran juga penting dalam sistem pengangkutan
udara dan laut. Teknologi ini berfungsi sebagai panduan pelayaran. Sistem
Satelit Laut (IMMARISAT) dapat mengesan kapal-kapal yang menghadapi masalah di
samping berfungsi sebagai panduan.
Sudah
terang lagi bersuluh bahawa ICT memainkan peranan yang
penting kepada dunia. Hal ini dapat dibuktikan apabila ICT mempercepat hubungan antarabangsa. Dunia seakan-akan menjadi
semakin kecil dengan wujudnya ICT. Kita dapat menghubungi sesiapa sahaja di
seluruh dunia. Perkara ini ternyata sekali mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan. Kita dapat berhubung dengan sesiapa sahaja sama
ada di laman sembang, e-mel, sistem pesanan ringkas (SMS), Skype dan
sebagainya. Kita juga dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia dengan
menggunakan telefon bimbit. Sesuai dengan pepatah lama, ICT mendekatkan jarak, yang jauh didekatkan, yang dekat
dirapatkan.
Bukan itu sahaja, perkembangan semasa yang berlaku di seluruh
dunia juga dapat diikuti dengan serta-merta
seperti siaran langsung konsert artis popular, perlawanan bola sepak
dunia dan siaran berita mutakhir. Acara sukan, persidangan dan sebagainya yang
berlangsung di sesebuah negara seperti di Korea di Jepun mahupun di Amerika
Syarikat dapat dipancarkan ke seluruh dunia secara langsung. Siaran ini dapat ditonton melalui Internet
dan Astro, telefon, faksimili, televisyen, dan persidangan video bergantung
pada ICT untuk membolehkan kita merasai nikmat ini. Internet dan komputer riba
turut berfungsi melalui teknologi serba canggih ini. Sememangnya ICT merupakan
pembuka laluan yang luas kepada masa depan yang gemilang.
Kewujudan ICT turut membantu dalam sistem pengajaran dan
pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di sekolah dimajukan oleh ICT
sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari
seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-projek di sekolah.
Pelajar akan belajar mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang
celik komputer. Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih bercirikan
pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain
menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor kelas
dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai cendekiawan. Fakta ini nyata terbukti apabila ada
kanak-kanak yang baru berusia setahun
jagung sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik
daripada pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).
Pelajaran di sekolah rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari
melalui modul pemelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca
sahaja (CD-ROM) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Sehubungan dengan itu,
selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.
Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara Malaysia dapat diatasi dengan
bantuan ICT. Televisyen litar tertutup (CCTV) banyak digunakan dan ditempatkan
di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan terbang,
dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk
menghantar isyarat ke tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak
dihantar secara terbuka, hal ini berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini
digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja. Di
samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya
memberkas penjenayah yang terbabit ibarat
senjata serampang dua mata. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang
bernama Nurin ditemui. Kes penculikan kanak-kanak tersebut pernah menggegarkan
seluruh Malaysia. Kejadian ini tentu
sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak tersebut
ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati, tetapi dengan adanya kamera video
dapat merakamkan lokasi beg yang terkandung mayat kanak-kanak tersebut. Dengan
CCTV juga, kes disiplin yang berlaku di sekolah dapat dikawal oleh pihak
sekolah.
Bertitik tolak dari
itu, kita dapat melihat bahawa pembangunan negara bergantung pada kemajuan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Langkah kerajaan melancarkan Koridor
Raya Multimedia (MSC) sememangnya tepat pada masanya. Sudah tiba masanya untuk
negara Malaysia berjaya di peringkat kebangsaan mahupun serantau. MSC memainkan
peranan penting untuk menjadi pemangkin kemajuan ICT di Malaysia. Untuk
menjayakan harapan ini, semua pihak tidak kira pihak kerajaan ataupun pihak
swasta, perlulah berganding bahu bersama-sama rakyat bagai aur dengan tebing, sehati seia untuk melonjakkan nama negara Malaysia ke
pentas dunia. Oleh tiu, Malaysia dapat duduk
sama rendah, dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
No comments:
Post a Comment