Ada pendapat
yang mengatakan bahawa semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan rakyat
negara ini.
Huraikan
usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di
negara kita.
Semangat patriotik
semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti
yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini demikian kerana, masing-masing sibuk
dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain.
Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu
berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan
pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat
patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya
anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan
ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
Sebenarnya terdapat
banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam
kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses
pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini
membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata
peribahasa Melayu, “Kalau hendak
melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat
dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan
dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat
melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan
perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
Cara lain yang boleh
dijalankan adalah dengan membuat
pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini
dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya
perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat
patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu.
Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam
kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian
bak kata pepatah, “Alah bias tegal
biasa”. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur
dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan
atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab
hendaklah menjalankan kempen secara
besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan
semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang
kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh
itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti
televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan
semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen
dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan
semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang
kemerdekaan negara. Hal ini juga dapat menunjukkan bahawa masyarakat menghargai
jasa pejuang-pejuang negara bukanlah bagai
kacang lupakan kulit. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah
menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang
berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi kerajaan
yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan
aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik
dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti
tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan.
Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman
perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran
atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik
dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh
masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti
tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat
mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita. Sesuai dengan peribahasa
Melayu yang berbunyi, “Bulat air kerana
pembetung, bulat manusia kerana muafakat”, perpaduan kaum akhirnya dapat
menujudkan keamanan dalam negara.
Semangat patriotik juga
dapat dipupuk melalui contoh dan teladan
daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa,
agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan
mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang
tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan
menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh
pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh
hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah
dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak
dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar
untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi
yang akan datang. Para pemimpin tidak harus bersengketa sesama sendiri sambil
mencanangkan perpaduan dan semangat patriotik kerana sikap ini tidak sesuai bak
kata peribahasa lama yang berbunyi “Bagai ketam mengajar anaknya berjalan
lurus”.
Oleh hal yang demikian,
usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa
tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk
melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi
individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang
memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk
memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan
cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain umpana peribahasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.
Sekiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja,
pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka
hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan
peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan
dalam kalangan masyarakat.
No comments:
Post a Comment