Kesihatan dari
segi fizikal, mental, rohani dan emosi amat penting dalam kehidupan remaja.
Berdasarkan
pernyataan di atas, huraikan amalan-amalan remaja yang sihat.
Kesihatan bukan sahaja
berkaitan dengan bebas daripada penyakit tetapi juga memiliki pemikiran yang
cerdas bersama-sama emosi yang stabil. Pemilikan kesihatan yang baik penting
buat remaja kerana tahap kesihatan ketika usia mudalah yang akan menentukan
tahap kesihatan mereka pada masa tua kelak. Malah, penting untuk remaja
sentiasa membesar dengan sihat kerana negara ini bergantung harap kepada
generasi muda untuk kemajuan masa hadapan bak kata pepatah “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Mantan Presiden
Indonesia pernah berkata, “Berikan aku
sepuluh orang remaja waja, pasti aku biasa goncangkan dunia” jelas
membuktikan bahawa remaja yang waja sihat mental dan fizikal mampu mengorak
kemajuan sesebuah negara. Untuk mendapatkan kesihatan yang baik, remaja harus
melakukan amalan yang baik untuk perkembangan fizikal, mental dan emosi.
Antara amalan yang harus
dilakukan ialah remaja perlu mempunyai
disiplin diri yang baik. Maksud disiplin dalam aspek ini ialah remaja itu
mematuhi jadual belajar, menghormati orang tua, guru, rakan-rakan dan peraturan
budaya serta undang-undang negara. Remaja yang berdisiplin sebegini pasti tidak
akan terjebak dalam sebarang aktiviti yang tidak sihat dalam kehidupan mereka
lalu mampu memiliki tahap kesihatan yang baik. Maka, amalan disiplin yang baik
menjadikan seseorang remaja itu mempunyai kesihatan yang baik. Sesuai dengan
pendapat ahli falsafah Hamka yang mengatakan bahawa, “Di dalam medan hidup, ada beberapa undang-undang yang harus dijaga dan
diperhatikan. Ada yang berhubungan dengan kesihatan tubuh, dengan kebersihan
akal dan yang berhubung dengan kemuliaan adab dan budi”.
Selain itu, remaja juga perlulah mengamalkan cara hidup
yang sihat. Konsep cara hidup yang sihat ini meliputi makanan yang
seimbang, melakukan riadah dan aktiviti kemasyarakatan seperti melakukan
kebajikan di rumah anak-anak yatim dan melawat rumah orang-orang tua. Aktiviti
tersebut akan membantu kecerdasan fizikal dan mental remaja kerana badan cergas, otak cerdas. Sudah banyak
kajian yang membuktikan bahawa amalan cara hidup yang sihat menjadikan diri
seseorang itu lebih positif dan mampu menjalani kehidupan mereka dengan lebih
baik lagi. Terdapat sebuah al-Hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang termasuk orang yang baik-baik ialah orang yang
paling baik akhlak dan adab sopannya”. Sesungguhnya, cara hidup yang sihat
menjamin kesihatan yang seimbang kepada remaja di negara ini.
Malahan, amalan mempelajari dan mematuhi ajaran
agama merupakan satu lagi amalan yang turut mampu menguatkan kesihatan
seseorang itu. Semua ajaran agama menekankan aspek keseimbangan kehidupan seseorang supaya mampu menjalani satu kehidupan yang
baik di dunia dan akhirat kelak. Sikap mematuhi amalan agama memberikan remaja
satu matlamat hidup yang mampu meninggikan tahap kesihatan mereka pada masa
yang serupa pula. Ahli falsafah Hamka pernah mengatakan bahawa “Agama tidak melarang sesuatu perbuatan
kalau perbuatan itu tidak merosak jiwa. Agama tidak menyuruh, kalau suruhan
tidak membawa selamat dan bahagia jiwa”. Jadi, sikap mematuhi ajaran
keagamaan boleh memberi remaja satu kepuasan dalam hidupnya yang berupaya juga
meningkatkan tahap kesihatan.
Remaja juga perlu bersikap tegas terhadap tindakan-tindakan
negatif yang wujud dalam kehidupan mereka. Sikap suka merokok, melepak,
dadah dan jenayah haruslah dikikis dalam minda remaja. Ketegasan remaja dalam
semua aspek di atas itu mampu menjauhi remaja daripada sebarang kemelut sosial
yang melanda negara ini lalu memberikan kesihatan yang baik kepada remaja juga.
Bukan sahaja remaja sihat tetapi mereka seolah-olah sedar keperluan atau
kepentingan hidup mereka di dunia ini.
Amalan murni yang
penting diamalkan seterusnya ialah remaja hendaklah mampu mengawal emosinya
apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. Ketenangan inilah yang
memberikan remaja satu pemikiran yang rasional dan rela berbincang apabila mengalami
sesuatu kemelut dalam hidup mereka. Semua tindakan yang diambil ketika berfikir
rasional mampu memberikan satu persepi baru yang boleh menunjukkan jalan keluar
terhadap masalah yang dihadapi itu. Pujangga pernah mengatakan bahawa tiada satu kejahatan pun yang dapat dinilai
sebagai baik, meskipun melakukan kejahatan itu dikatakan bertujuan baik. Oleh
itu, sikap rasional ketika melakukan sesuatu tindakan boleh menjadikan
kesihatan seseorang itu lebih baik.
Kesimpulannya, semua
amalan yang positif ini perlu dilaksanakan oleh remaja. Kesihatan remaja yang
mengamalkan semua amalan ini pasti baik kerana bukan sahaja tubuh mereka sihat
tetapi emosi serta pemikiran mereka turut menerima impak positifnya. Ingatlah
bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada
jalan. Remaja yang sihat sebeginilah yang diperlukan oleh negara dalam
mengharungi cabaran kehidupan moden kini. Sekiranya remaja benar-benar sedar
tentang kepentingan amalan hidup yang sihat, pasti remaja akan berusaha untuk
mencapainya kerana hendak seribu daya,
tak hendak seribu dalih.
No comments:
Post a Comment