Masyarakat Melayu mempunyai
pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan
ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan
mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan Melayu. Lantaran resam yang majmuk
ini, maka banyak permainan tradisional yang dipertandingkan. Permainan
tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui
oleh nenek moyang kita. Tonggak penting yang menjamin kesinambungan permainan
tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita.
Keadaan ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah
sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian
ibarat kata “alah bisa tegal biasa”.
Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung
berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi
semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial
di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh hal yang demikian
permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat antaranya
termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain.
Namun begitu,akibat daripada kemajuan dunia dalam pelbagai skop, permainan ini
seolah-olah dianaktirikan begitu sahaja oleh masyarakat kita ibarat melukut ditepi gantang malah hidup segan mati tak mahu. Oleh itu, pelbagai
langkah yang pragmatik perlu dilaksanakan dalam usaha menggiatkan permainan
tradisional pada hari ini.
Keluarga mendukung obligasi yang dominan dalam usaha ke arah
menggiatkan permainan tradisional tanah air. Sebagai contoh, ibu bapa boleh
menghadiahi anak-anak dengan set-set permainan tradisional sebagai hadiah hari
lahir iaitu congkak dan gasing. Melalui langkah ini, ternyata anak-anak akan
berasa terhibur dan teruja selain dapat mengenali warisan nenek moyang kita. Pada
waktu senggang, ibu bapa boleh membawa setiap ahli keluarga mereka bermain
permianan tradisional ini agar anak-anak akan mempunyai semangat untuk bermain
permainan ini memandangkan ke mana
tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Bahkan, ibu bapa juga mampu menyerapkan
minat terhadap permainan ini dalam kalangan anak-anak dengan menggalakkan
mereka menyertai pertandingan permainan tradisional di peringkat sekolah
mahupun anjuran badan-badan bebas. Hal ini dapat mencambahkan minat generasi muda untuk terus
berkecimpung dalam tradisi permainan ini. Golongan pascamerdeka khususnya
generasi baru sepatutnya menyanjung dan menjunjung warisan budaya kita persis
peribahasa Melayu yang berbunyi biar
mati anak,jangan mati adat. Oleh itu, setiap ahli keluarga terutamanya ibu
bapa memikul tanggungjawab murni untuk mempopularkan permainan tradisional
negara kita.
Selain itu, permainan
tradisonal juga dapat digiatkan dengan adanya peranan daripada pihak sekolah. Pihak sekolah boleh memainkan
peranan dengan menganjurkan kelab permainan tradisional dalam aktiviti
kokurikulum. Dalam hal ini, pihak sekolah perlu memastikan kelab ini bergerak
secara aktif bukan sekadar melepaskan
batuk di tangga. Pelajar sekolah perlu diberi galakkan untuk menyertai
kelab ini kerana dapat didedahkan dengan pelbagai jenis permainan tradisional
yang boleh menjadi salah satu hobi mereka. Sebagai contoh, permainan congkak, permainan
gasing dan permainan batu seremban. Bahkan, pelajar juga dapat mendominasi
teknik bermain permainan warisan ini dengan tepat dan betul. Dengan itu, mereka
akan lebih menguasai permainan ini kerana mereka telah belajar dengan orang
yang berpengalaman dan profesional kerana jauhari
jua yang mengenal manikam.
Pihak sekolah boleh menjemput pihak luar seperti orang
perseorangan yang mahir dalam sesuatu permainan tradisonal untuk mengajar asas
dan teknik permainan. Pelajar akan dibimbing secara efektif dengan pihak
yang berkemahiran itu. Sebagai contoh, dalam permainan congkak, pelajar dapat
mengetahui tentang guli yang dikenali
sebagai buah dan kawasan pemain dikenali sebagai rumah. Pihak sekolah juga
boleh menggiatkan permainan tradisional dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan lebih banyak alatan permainan
ini. Hal ini mencerminkan dengan jelas sekiranya mereka sukar mendapatkan
permainan ini, minat mereka mulai pudar dan beranggapan peluang untuk
mendekatkan diri dengan permainan amat nipis. Alatan permainan tradisonal juga
sukar diperoleh di pasaran dan kebiasaannya amat terhad. Pelajar akan menemui
kesukaran untuk membeli alatan permainan pusaka nenek moyang ini. Dengan cara
membeli alatan permainan ini terus daripada kilang, kos untuk membelinya
menjadi bertambah murah. Dengan itu, pihak sekolah dapat membelinya dalam
kuantiti borong yang banyak. Dengan adanya pelbagai permainan tradisional yang
dibekalkan oleh pihak sekolah, pelajar akan berminat untuk bermain permainan ini. Bukan sahaja
pelajar yang menyertai kelab ini, bahkan semua pelajar boleh mencuba untuk
bermain permainan tradisional ini. Masalah seperti kekurangan peralatan untuk
bermain tidak akan timbul lagi.
Pihak sekolah juga
boleh menjadi pendukung utama dalam mempopularkan permainan tradisonal dalam
kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan
tempat-tempat permainan ini. Hal ini akan memudahkan mereka untuk bermain
dalam suasana yang selesa dan kondusif. Mereka menyediakan padang untuk bermain
gasing dan kawasan yang luas untuk bermain wau. Oleh hal yang demikian,
usaha-usaha untuk menggiatkan permainan dalam kalangan masyarakat dapat
dilaksanakan dengan adanya peranan pihak sekolah dalam memikul obligasi
tersebut kerana kalau tidak dipecahkan
ruyung manakan dapat sagunya.
Dalam fasa itu, masyarakat memainkan peranan yang tidak
kurang pentingnya dalam menjayakan usaha ini. Pihak masyarakat wajar
memberikan sokongan terhadap permainan tradisional dengan menubuhkan kelab
permainan tradisonal di tempat tinggal. Dengan wujudnya kelab-kelab seperti ini
seperti kelab sepak raga, kelab congkak dan kelab wau, usaha untuk membaja
kembali permainan ini akan menjadi lebih mapan. Hal ini demikian kerana dengan
adanya kelompok besar masyarakat yang memperjuangkan warisan ini, permainan
tradisional tidak akan lapuk dek
hujan,tidak akan lekang dek panas. Hal ini berbeza sekiranya perjuangan
mempertahankan permainan hanya mengharapkan sebilangan kecil rakyat Malaysia
kerana sebatang lidi amat mudah
dipatah-patahkan berbanding seberkas lidi. Pastinya, dengan penglibatan
bilangan komuniti yang ramai, usaha untuk mempopularkan permainan nenek moyang
ini tidak akan menjadi sekadar
hangat-hangat tahi ayam. Tambahan lagi, masyarakat perlu berusaha untuk
mewujudkan tapak permainan tradisional di kawasan perumahan mereka. Hal ini
dapat menarik perhatian penduduk sekitar beriadah sambil memainkan permainan
ini. Pelbagai pertandingan berkisarkan permainan tradisional dapat dianjurkan
di tapak itu bagi mengelakkan permainan ini daripada terus berkubur begitu
sahaja tanpa mendapat sebarang pembelaan. Oleh hal yang demikian, pihak
masyarakat perlu berganding bahu dalam mengetengahkan permainan tradisional
agar permainan ini akan terus utuh berdiri dalam arus perdana.
Langkah yang paling
afdal bagi memajukan permainan tradisional ialah kerajaan hendaklah mengadakan lebih banyak lagi kempen dan promosi
yang progresif menerusi media massa serta media cetak bagi mendedahkan
masyarakat tentang peri pentingnya kita menjaga warisan nenek moyang kita iaitu
permainan tradisional yang sudah lama wujud di negara kita ini. Kita acap kali
diperdengarkan mengenai peribahasa yang berbunyi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah
kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman.
Dengan itu, Kementerian Warisan dan Kebudayaan telah mengambil langkah bagi
mempopularkannya dengan mengadakan kempen seperti kempen “Jom Main Permainan
Tradisional” dan pertandingan ‘Festival Layang –Layang Antarabangsa’ yang
merupakan rencah maslahat untuk memajukannya. Langkah tersebut penting supaya
ahli masyarakat tidak kira dari dalam negara mahupun luar negara mendapat pendedahan dan
mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan
kerana tak kenal, maka tak cinta.
Bukan itu sahaja, kerajaan juga boleh menetapkan satu bulan sebagai ‘Bulan
Permainan tradisional’. Oleh hal yang demikian, dengan adanya langkah proaktif
tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan
budaya untuk generasi yang akan datang.
Minat yang mendalam terhadap permainan
tradisional seperti wau, layang-layang, sepak raga, gasing dan sebagainya tidak
mencukupi sekiranya tiada kemudahan untuk memainkannya. Bagi menangani isu ini,
kerajaan haruslah menyediakan lebih
banyak tempat atau gelanggang permainan tradisional untuk memudahkan rakyat
bermain permainan ini. Pembinaannya pula hendaklah di tempat-tempat yang
strategik seperti di sekitar taman perumahan supaya setiap lapisan masyaarkat
lebih-lebih lagi golongan belia dapat menghabiskan waktu senggang mereka dengan
bermain permainan tradisional. Selain itu, jurulatih yang terlatih juga patut
disediakan di setiap gelanggang bagi mendidik para pemain tentang cara-cara
sebenar untuk memainkannya. Gandingan kedua-dua ini dapat menambahkan bilangan
peminat permainan tradisional di seluruh negara sekali gus mempopularkannya di
mata dunia. Sekolah juga memainkan peranan penting dalam memajukan permainan
tradisional ini. Oleh itu, kerajaan boleh menetapkan pemainan tradisional
sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah. Kelab Permainan Tradisional
juga boleh ditubuhkan serta pihak sekolah boleh menjadikan permainan
tradisional sebagai salah satu acara dalam sukan. Kerjasama yang erat antara
kaum ibarat aur dengan tebing dalam
permainan ini dapat meningkatkan
perpaduan dan merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain sekali gus
visi kudsi 1 Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perpaduan
dapat digarap sepenuhnya. Hal ini sesuai dengan pepatah yang berbunyi, “ ada padi semua jadi, ada beras semua deras”.
Secara tuntas, pelbagai pihak
memainkan peranan yang sepada dalam usaha mempopularkan permainan tradisional.
Oleh itu, mereka perlulah mengambi langkah yang vital, imperatif, kritis dan
pragmatik supaya dapat memanifestasikan generasi pelapis negara yang tidak akan
lupa akan warisan mereka ibarat kacang
lupakan kulit. Generasi pada hari ini perlu digarap agar menghargai dan
menjunjungi pusaka warisan mereka sejak
dari rebung lagi. Barulah warisan permainan tradisional akan terus hidup
subur dalam kehidupan masyarakat kita. Generasi muda perlu berusaha
bersungguh-sungguh untuk memastikan warisan ini tidak hanyut ditelan zaman.
Sekarang tibalah waktunya anak-anak remaja yang merupakan generasi penggerak wawasan
menimba sebanyak ilmu pengetahuan agar dapat digunakan dalam usaha memelihara
permainan tradisional ini pada masa akan datang. Oleh itu, semua pihak perlulah
berganding bahu bagai lebah menghimpun
madu, agar impian ini tidak akan dipersia-siakan begitu sahaja dan terus
dapat dihidupkan dari semasa ke semasa.
No comments:
Post a Comment