Sunday 17 March 2024

TATABAHASA: KATA TUNGGAL

 Bentuk Kata Tunggal

Bentuk kata ialah proses pembentukan kata menghasilkan bentuk kata tunggal, bentuk kata terbitan, bentuk kata majmuk dan bentuk kata ganda.

Kata Tunggal

Bentuk kata tunggal ialah bentuk kata yang terdiri daripada hanya satu bentuk kata dasar yakni tidak menerima apa-apa bentuk imbuhan atau kata dasar lain. Kebanyakan kata tunggal dalam Bahasa Melayu mempunyai potensi untuk diperluaskan dengan bentuk terbitan.

Kata tunggal boleh terdiri daripada satu suku kata dan dua atau lebih suku kata. Contoh:
satu suku kata – am, dan, roh, skru
dua suku kata – itu, ubi, aku

Jenis Kata Tunggal Ada 2:

i. Unit yang bebas dan dapat berdiri sendiri sebagai satu ayat.
Contoh:
a.Itu ?
b.Bakal!
c.Saya.

ii. Unit yang tidak dapat berdiri sendiri tetapi memerlukan sekurang-kurangnya satu unit yang bebas untuk melaksanakan tugas nahunya.
Contohnya:
a.di mana?
b.untuk siapa?
c.ke Johor.

Bentuk Kata Tunggal Ada 5:

i.Kata tunggal satu suku kata
Contoh:
am - VK
had - KVK
wang - KVK
brek- KKVK
skrip- KKKVK

ii. Kata tunggal dua suku kata
Contoh:
aku { a + ku }V + KV
syahdu { syah + du} KVK + KV
bulat{ bu + lat }KV + KVK
buih { bu + ih} KV + VK
bengkok{ beng + kok}KVK +KVK

iii. Kata tunggal tiga suku kata
Contoh:
bahaya{ba+ha+ya} KV+KV+KV
mentua{men+tu+a} KVK+KV+V
isyarat {i+sya+rat} V+KV+KVK
Gembira {gem+bi+ra} KVK+KV+KV
Matlamat {mat+la+mat}KVK+KV+KVK

iv. Kata tunggal empat suku kata atau lebih
Contoh:
anugerah {a+nu+ge+rah} V+KV+KV+KVK
masyarakat {ma+sya+ra+kat}KV+KV+KV+KVK
universiti {u+ni+ver+si+ti} V+KV+KVK+KV+KV
klasifikasi {kla+si+fi+ka+si}KKV+KV+KV+KV+KV
personifikasi {per+so+ni+fi+ka+si} KVK+KV+KV+KV+KV+KV

v. Akronim
-Berasaskan perlaksanaan tatabahasa, kata tunggal dapat dibahagikan kepada tiga jenis:
a)Kata tunggal yang merupakan unit bebas dan dapat berdiri sendiri sebagai satu perkataan yang bermakna. Contoh : orang, gitar, pen, botol

b)Kata tugas, iaitu unit yang yang tidak dapat berdiri sendiri tetapi memerlukan sekurang-kurangnya satu unit yang bebas untuk melaksanakan tugas nahunya. Contoh : dari, dan, pada, demi, untuk

c)Kata akronim, iaitu perkataan yang diterbitkan melalui proses penggabungan beberapa perkataan dan membentuk satu perkataan yang utuh. Bentuk-bentuk singkatan ini terdiri daripada suku kata atau huruf-huruf tertentu.

Contoh :
berdikari – berdiri di atas kaki sendiri
komuter – keretapi berkomputer
kugiran – kumpulan gitar rancak
pawagam – panggung wayang gambar


Sumber:https://pelajaranbahasamelayu.blogspot.com/2011/12/bentuk-kata-tunggal.html 

Sunday 18 October 2020

PLOT NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA : ABDUL LATIP BIN TALIB

PLOT NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA


Secara keseluruhannya plot drama digarap mengikut kronologi. Terdapat lima peringkat garapan plot iaitu:

Permulaan 

Pengarang menceritakan kehidupan Leftenan Adnan semasa kecil yang membesar bawah jagaan bapanya Pak Saidi dan ibunya, Mak Milah.  Adnan merupakan seorang anak yang sangat baik dan rajin kerana sering membantu ayahnya menoreh getah, bersawah padi dan membersihkan kebun durian. Bapanya, Pak Saidi seorang yang sangat tegas dan berpandangan jauh kerana sanggup menentang tohmahan orang kampung demi menyekolahkan anak-anaknya di sekolah Inggeris. Oleh itu, Adnan mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris di pekan sungai Ramal sebelum memasuki kem tentera di Kem Haig Lines untuk melayakkannya menjadi seorang tentera. Adnan telah berjaya menjadi rekrut terbaik selepas tamat sesi latihan di Port Dickson. Adnan juga mendapat kenaikan pangkat yang sangat cepat dalam ketenteraan kerana kredibilitinya malah telah dianugerahkan uniform khas sewaktu berada di London untuk majlis pertabalan King George IV. Dia kemudiannya berkahwin dengan Sophia Pakih Muda dan mendapat tiga orang anak iaitu Mokhtar, Zainuddin dan Fatimah sebelum Perang Dunia Kedua.

 

Perkembangan

Peristiwa tertumpu pada suasana kehidupan penduduk di Kamung Sungai Ramal yang hidup dalam kemikinan. Kebanyakkan penduduk kampung melakukan aktiviti bercucuk tanam, bersawah padi, menorah getah, dan menternak. Kemiskinan penduduk kampung telah memberikan kesedaran kepada ayah Adnan iaitu Pak Saidi untuk mengubah nasib bangsanya. Mereka tidak harus kekal menjadi petani yang miskin. Pak Saidi berpendapat bahawa anak-anak perlu diberi pelajaran yang sempurna agar mereka lebih berpendidikan dan akhirnya mampu membawa perubahan kepada keluarga, bangsa dan negara. Pak Saidi juga turut membekalkan anak ilmu silat sebagai pertahanan diri dan mengajar anak-anaknya ilmu agama dengan mengaji al-Quran pada waktu malam. Malah, Pak Saidi sentiasa menasihati anak-anaknya tidak kira masa dan membawa mereka bersembahyang berjemaah di surau di kampung mereka.

 

 

Perumitan

Perumitan cerita bermula apabila Jepun mula mendarat di Kota Bharu dan tercetusnya Perang Dunia Kedua.  Leftenan Adnan dan kumpulannya daripada Kompeni C diarahkan ke Pasir Panjang dan Bukit Candu  bagi menyekat kemaraan tentera Jepun yang ketika itu sudahpun berjaya menguasai beberapa tempat di Tanah Melayu.  Pasir Panjang dan Bukit Candu merupakan laluan ke Alexandria yang merupakan depot penyimpanan senjata dan ubat-ubatan.  Di Pasir Panjang pasukan Leftenan Adnan berjaya menembak mati beberapa orang tentera Jepun sehingga memaksa tentera Jepun berundur.  Namun begitu kedatangan semula pasukan tentera Jepun dengan bilangan yang lebih ramai menyebabkan askar dalam Kompeni C berjuang bermati-matian sehingga kehabisan peluru. 

 

Klimaks

Pertahanan di Bukit Candu semakin meruncing kerana askar Melayu terus diasak oleh tentera Jepun.  Askar Melayu terus berjuang dan tidak berputus asa.  Ketika itu peluru hampir habis dan banyak askar Melayu mati sedangkan tentera Jepun semakin ramai menghampiri Bukit Candu.  Semua askar Melayu terkorban dan Leftenan Adnan turut tercedera.  Tentera Jepun telah berjaya menawan Leftenan Adnan lalu mengheretnya. Tentera Jepun kemudiannya telah mengikat dan mneyerkup dengan guni Leftenan Adnan yang cedera parah itu. Leftenan Adnan digantung pada dahan pokok ceri lalu ditikam bertubi-tubi oleh setiap tentera Jepun dengan bayonet sehingga mayatnya hancur. Peristiwa ini telah dilihat oleh Koperal Yaakob yang cedera parah di sebalik timbunan mayat askar-askar yang lain. Beliaulah yang telah menceritakan peristiwa ini kepada penduduk kampung yang telah menyelamatkannya. Penghulu Baharom dan penduduk kampung telah bekerjasama menggali lubang kubur bagi mengebumikan semua mayat askar Melayu yang terkorban di atas Bukit Candu.

 

Peleraian

Zaman pemerintahan Jepun merupakan zaman yang penuh penyiksaan bagi seluruh penduduk Tanah Melayu tidak kira bangsa. Perlakuan kejam berlaku di mana-mana dan penduduk tiada kebebasan. Pada masa inilah Sophia telah melahirkan bayi ketiganya iaitu Fatimah. Namun, satu-satunya nak perempuan Leftenan Adnan itu tidak dapat hidup lama kerana diserang demam panas. Sophia membesarkan anak-anaknya dengan kepayahan hidup pada zaman pemerintahan Jepun. Beliau melakukan kerja-kerja bercucuk tanam dan bersawah padi sebelum berkhidmat semula sebagai guru di sekolah Melayu Sungai Ramal apabila sekolah itu dibuka setelah British mengambil alih Tanah Melayu dengan kekalahan Jepun.  Pada 15 Ogos 1945 Jepun telah menyerah kalah dengan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Penduduk kampung kembali bebas dengan melakukan kerja-kerja pertanian. Sewaktu bertugas sebagai guru di sekolah tersebut, Sophia telah bertemu dengan seorang guru agama lelaki yang baharu bertugas di situ.  Sophia berkahwin dengan Ustaz Riduan dan berpindah ke Melaka. Sophia kemudiannya meninggal dunia akibat penyakit leukemia setelah 4 tahun berkahwin dan hidup bahagia.

PLOT NOVEL TIRANI : BEB SABARIAH

PLOT NOVEL TIRANI : BEB SABARIAH


Secara keseluruhannya plot drama digarap mengikut kronologi. Terdapat lima peringkat garapan plot iaitu:

Permulaan:

Waheeda Nur Lyana binti Haji Fadhil ialah seorang yang gigih berusaha dan tabah untuk mencapai cita-cita dan sasarannya. Dia tinggal dengan keluarganya di Tajau Emas, Sarawak. Keluarganya mengasaskan industri perkhidmatan pelancongan. Waheeda selalu memandang rendah terhadap diri sendiri kerana wajahnya tidak cantik.  Waheeda memiliki mata yang sepet dan hidung yang pesek. Pada zaman sekolah rendah, Waheeda sering menjadi usikan budak-budak nakal iaitu Si Nuar, Si Man, dan Mat Gusi yang memanggilnya dengan gelaran muka keropok. Setelah menjelang zaman remaja,  Waheeda menaruh keinginan  untuk menjadi cantik walaupun ibunya, Puan Raidah sentiasa menasihati Waheeda agar dia  menghargai wajahnya kerana itulah ciptaan atau hadiah yang diberikan oleh Tuhan. Secara kebetulan, wajahnya mengalami kecederaan setelah diserang oleh seekor monyet belanda ketika sedang berada di dalam pejabatnya bersama dengan sepupunya, Fatimah.  Waheeda telah dikejarkan ke Hospital Besar Kuching bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Namun, Dr. Zakaria menyarankan Waheeda mendapatkan rawatan pembedahan kosmetik sekiranya ingin menghilangkan parut tersebut. Oleh hal yang demikian, dia mengambil keputusan untuk menjalani  pembedahan plastik di Singapura bagi mengelakkan sentimen pandangan masyarakat.

 

Perkembangan:

Waheeda telah meninggalkan Sarawak dan bertolak ke Singapura untuk menjalani pembedahan plastik. Di sana, dia tinggal di rumah kawan lamanya, Bazilah di Yinshun Street dan telah mengenali kawan baharu seperti Dr. Zahari iaitu tunangan kepada sahabat baiknya. Waheeda juga mengenali Dr. Alma Chan, Dr. Sirrim Gazizadeh dan Dr. Rushdi (Averose) semasa menjalani pembedahan plastik atau rekonstruksi pada hidungnya di Silicon Medical Centre. Selepas beberapa bulan, dia mendapat pekerjaan baharu di Flamingo Resort semasa dia bercuti di Pulau Sentosa. Dia bekerja sebagai seorang pegawai perhubungan awam. Pada masa itu, dia  mengenali banyak kawan baharu termasuklah Lais dan Halloway. Waheeda juga berkenalan rapat dengan Zahid yang menginap di situ setelah pulang dari Amerika Syarikat. Secara kebetulan, Zahid merupakan anak kepada Dato Yasser yang memiliki Hotel Sri Gading di Sarawak. Syarikat pelancongan Waheeda sering kali melakukan kerjasama dengan syarikat Dato Yasser. Perhubungan Waheeda menjadi semakin serius dan mereka telah dilamun percintaan. Waheeda kemudiannya terpilih untuk mewakili Flaminggo Resort dalam pertandingan Ratu Pelancongan Antarabangsa. Setelah dia memenangi pertandingan tersebut, Waheeda menjadi Ratu Pelancongan Antarabangsa dan semakin sibuk dengan kerjayanya. Akibat kesibukkannya,  Waheeda juga telah jatuh sakit dan terkena selesema sehingga tulang rawan hidungnya runtuh. Selepas masalah hidungnya yang runtuh  selesai, Waheeda pulang ke Sarawak untuk melangsungkan  majlis perkahwinan dengan Zahid. 

 

Perumitan:

Selepas berkahwin, hubungan antara Waheeda dengan Zahid semakin erat. Waheeda ingin memajukan syarikat sektor perlancongannya sendiri. Oleh itu, Waheeda menolak tawaran penggabungan syarikatnya dengan syarikat Dato Yasser. Hal ini menyebabkan Zahid merasakan Waheeda agak bongkak. Kesibukan bekerja juga menyebabkan hubungan mereka tidak rapat lagi.  Mereka terpaksa berjumpa dengan pelbagai tetamu sehingga sentiasa lupa akan janji temu untuk makan tengah hari bersama-sama. Zahid yang sentiasa dilupakan oleh Waheeda berasa sangat marah dan mula  mengesyaki keikhlasan hati Waheeda terhadapnya. Zahid telah menuduh Waheeda curang dan menganggap anak dalam kandungan Waheeda bukan anaknya. Hal ini telah mengakibatkan Zahid sentiasa tidak pulang ke rumah walaupun Waheeda hamil. Semasa Waheeda hendak melahirkan anak, Zahid menghilangkan diri. Raidah berasa tidak berpuas hati terhadap perbuatan Zahid yang membiarkan anak yang baru dilahirkan dan isterinya di hospital.

 

Klimaks:

Hubungan Waheeda dan Zahid semakin meruncing. Hal ini disebabkan sikap pemarah dan sikap cemburu Zahid terhadap Waheeda. Zahid bertambah marah apabila melihat wajah bayi mereka tidak mewarisi kecantikan dirinya apatah lagi Waheeda. Waheeda cuba membuktikan tuduhan Zahid tidak benar dengan menunjukkan keputusan  DNA anaknya yang dapat membuktikan bahawa Izzati ialah anak Zahid ketika Zahid melawatnya di hospital. Hal yang menyedihkan ialah Zahid langsung tidak mahu melihat keputusan DNA itu. Dia menuduh Waheeda mengkhianatinya kerana mempunyai seorang anak dengan lelaki lain.  Hal ini menyebabkan Zahid menceraikan Waheeda dengan talak 1. Akibat penceraian tersebut, Waheeda mengalami migrain meroyan dan kemurungan kerana terlalu mencintai Zahid  serta tekanan emosi. Namun, keluarga Waheeda segera merawat Waheeda dengan membawanya ke Hospital PUSRAWI dan mendapatkan rawatan melalui Dr. Kamariah. Di sana, Waheeda terserempak dengan Lais lalu mencetus idea pembelian Chalet Iwana Iwani di Tanah Tinggi Cameron  melalui Pak Cik Aziz yang merupakan bapa saudara Lais. Waheeda kemudiannya memulakan kehidupan barunya di sana bersama Izzati.


Peleraian:

Waheeda telah berumur 45 tahun tetapi kelihatan wajahnya lebih cantik dan muda berbanding dengan Izzati yang telah berumur 20 tahun sehingga menjadi tanda tanya kepada Izzati. Waheeda menjelaskan kepada Izzati bahawa kecantikan itu adalah tirani yang berumur pendek dan tidak kekal. Walaupun hanya berumur 20 tahun, Izzati telah menamatkan pelajarannya dan mempunyai ijazah. Izzati membantu ibu menguruskan hal ehwal syarikat ibunya di Syarikat Aya-Sajinah. Zahid yang baru pulang dari Los Angeles sedang bercuti di Aya-Sajinah ternampak Izzati dan dia berasa terdapat satu ikatan antara mereka iaitu ikatan antara seorang ayah dengan anak. Zahid bercuti bersama rakan baiknya, Aiman telah meluahkan segala kekesalan dalam hidupnya kepada Aiman termasuklah peristiwa Zahid menceraikan Waheeda kerana bersikap cemburu serta peristiwa dia menolak untuk melihat keputusan ujian DNA anaknya. Zahid juga menceritakan bahawa dia mengalami kemalangan lalu menjadikan dirinya tempang serta tidak mampu mempunyai anak lagi. Akhirnya, Zahid dan Waheeda bertemu. Zahid menyesali segala perbuatannya terhadap Waheeda dan Izzati dan meminta pengampunan daripada Waheeda. Izzati merayu kepada ibunya supaya mengampunkan kesalahan bapanya, Zahid.

Sunday 13 September 2020

KARANGAN BAHAN RANGSANGAN : FAEDAH MEMBAWA BEKAL KE SEKOLAH (PERCUBAAN TERENGGANU MPP3 2019)

FAEDAHNYA JIKA MURID MEMBAWA BEKALAN MAKANAN KE SEKOLAH

         Makanan merupakan keperluan murid-murid untuk membesar dengan sihat. Walau bagaimanapun, murid-murid pada hari ini malas membawa bekalan makanan dari rumah kerana mereka lebih suka akan makanan yang berlemak dan berkalori tinggi. Sebagai contohnya, mereka lebih suka membawa piza dan kerepek kentang berjenama Mister Potato dan Pringles. Selain itu, murid-murid tidak mengetahui hakikat bahawa bekalan makanan yang dibawa dari rumah juga ada faedahnya kerana tak kenal maka tak cinta. Marilah kita mengkaji faedahnya jika murid membawa bekalan makanan dari rumah.
          Bekalan makanan yang dibawa dari rumah dijamin bersih dan lebih sihat. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa kita akan menyediakan makanan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa akan menyediakan makanan yang seimbang berpandukan piramid makanan seperti sandwic, mihun goreng dan nasi berlauk. Kesannya, murid tidak terdedah kepada kes keracunan makanan dan masalah obesiti. Hal ini merupakan bukti ibu bapa menjaga anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Tegasnya, kebersihan makanan yang dibawa dari rumah menjamin kesihatan murid.
          Selain itu, isi yang tidak boleh dikesampingkan ialah murid-murid dapat menjimatkan masa mereka beratur di kantin sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak perlu beratur dalam barisan yang amat panjang untuk membeli makanan mereka. Murid-murid terus menikmati bekalan makanan mereka yang dibawa sambil membaca buku mereka. Impaknya, murid-murid mendapat faedah berganda daripada amalan yang sihat ini. Usaha murid menjimatkan masa ini dikatakan sambil menyelam minum air kerana mereka bukan sahaja dapat menambah ilmu pengetahuan mereka, malahan memantapkan pengetahuan yang diajarkan oleh guru-guru mereka. Tuntasnya, murid yang membawa bekalan makanan dapat menjimatkan masa dan memanfaatkan masa dengan perkara yang berfaedah.
          Ditinjau dari kaca mata yang berbeza pula, perbelanjaan murid dapat dijimatkan dengan membawa bekalan makanan. Hal ini dikatakan demikian lantaran murid-murid tidak perlu membelanjakan wang saku mereka untuk membeli makanan-makanan tambahan. Hal ini dapat menggalakkan murid-murid menabungkan wang ke dalam tabung secara tidak langsung mereka juga dapat mengurangkan beban ibu bapa mereka. Cara ini dapat mendidik murid menghargai titik peluh dan pengorbanan ibu bapa untuk mencari sesuap nasi dan seteguk air. Selain itu, murid-murid juga akan sedar bahawa ibu bapa mereka telah bekerja keras untuk mengisi perut mereka. Deduksinya, bekalan makanan yang dibawa murid dapat menjimatkan perbelanjaan.
          Sebagai penghias akhir bicara bagi segala isi yang telah saya huraikan di atas, jelaslah bahawa murid digalakkan membawa bekalan makanan kerana membawa banyak faedah. Ibu bapa haruslah menyediakan bekalan makanan yang sihat dan segar secara berterusan dari rumah supaya kebahagiaan dalam keluarga dapat dibina dan hubungan antara murid dan ibu bapa mereka dapat dirapatkan. Walakin begitu, semua usaha yang dilaksanakan oleh ibu bapa hanya akan tinggal angan-angan Mat Jenin seandainya anak-anak sendiri tiada inisiatif untuk menjaga kesihatan diri masing-masing. Para murid mestilah mula membawa bekalan makanan sendiri dari rumah kerana murid-murid dapat mendisiplinkan diri dengan amalan yang bermanfaat ini. Sebagai intiha, saya ingin menegaskan bekalan makanan yang dibawa dari rumah ternyata banyak kebaikannya.


(Jawapan sumbangan Kumpulan Telegram PdP BM)