Pengangkutan
awam merupakan salah satu pengangkutan yang amat penting di negara kita. Namun
begitu, masih banyak kelemahan yang kerap menjadi sungutan orang ramai.
Terangkan
kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam di negara ini.
Dalam sistem
perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari
satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut
menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan
masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan
awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit
Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang
dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh
lagi ibarat hidup segan, mati tak mahu..
Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita
harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
Sudah pasti dilema
utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita
ialah kos atau tambangnya yang agak
mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah dianggap
mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang mereka
daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap. Keadaan ini
menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan
tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya menggunakan pengangkutan
awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut
utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat
negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan awam tersebut.
Selain itu, kemelut
pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan
amalan pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem
pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi ketepatan
waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual
perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk
merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah
kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama akibat kegagalan pihak
pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam, LRT dan
teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan kerana
penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja
kecewa melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah
pada masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan
awam turut dirasai.
Kita juga sering
terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh.
Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu yang
kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah rumit
kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider bus” di kawasan itu.
Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan
menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya di antara
stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan stesen
monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa
beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula.
Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini
dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang
bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin
rumit untuk diselesaikan.
Malah, pengangkutan
awam turut turut terjejas akibat tindakan
segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak
sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu
pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan
yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah
memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem
pengangkutan awam negara kerana seekor
kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih
mengamalkan sikap ingin menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja
membahayakan penumpang kenderaan tersebut malah pada masa yang sama turut
membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Justeru, semua pekerja
pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra
pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
Banyak juga aduan yang
sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen
LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya perancangan yang teliti
sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan
orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah menghalang orang ramai untuk
menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah stesen komuter dan LRT di ibu
kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat untuk meletakkan kenderaan
menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka sesuka hati atau di
tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah
kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada sebahagian
kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini timbul
akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna pengangkutan
awam tersebut perlu ditangani dengan baik agar pengangkutan awam di negara kita
tidak menjadi “indah khabar dari rupa”.
Kesimpulannya, masalah
pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil berat oleh pihak yang
terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan tanpa sebarang
tindakan, kita bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam
sebagai salah satu pengangkutan utama di negara kita akan terkubur. Kesungguhan
pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat
ditagih dan pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan
masyarakat dalam media massa negara. Ibarat
menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
Masalah ini harus ditangani dengan bijaksana. Mungkin sudah sampai masanya
kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini dan bukan bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.
No comments:
Post a Comment