Usaha berterusan membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara.
Pada
pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan
ini?
Orang Kurang Upaya
(OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat keadaan fizikal atau mentalnya sejak lahir
atau kesan kemalangan atau penyakit tertentu. Kecacatan fizikal dan mental ini menghalang mereka dari melakukan aktiviti-aktiviti normal seperti sosial, rekreasi , pelajaran dan
pekerjaan. Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) secara umumnya dapat dikategorikan
kepada dua kumpulan utama, iaitu kurang upaya secara kekal dan kurang upaya
secara sementara. Walaupun banyak kekurangan yang ada, masyarakat kurang upaya ini tidak harus
dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi sumbangan kepada negara. Oleh
sebab itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu OKU meneruskan kehidupan dengan sempurna.
Antara usaha yang dapat
dilakukan ialah masyarakat perlu menerima
kehadiran golongan kurang upaya ini seadanya dan membantu mereka menjalani
kehidupan dengan sebaiknya. Hal ini kerana
masyarakat perlu sedar bahawa OKU tidak meminta dilahirkan dalam keadaan
yang tidak sempurna malah mempunyai hak untuk hidup sama seperti orang lain.
Golongan Kurang Upaya (OKU) haruslah diberi layanan yang baik kerana mereka
turut mempunyai perasaan yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka
dipandang rendah dan dianggap tidak berguna. Pepatah ada mengatakan, “berat mata memandang, berat lagi bahu
memikul”. Namun begitu kita harus melayan mereka secara istimewa dalam
keadaan-keadaan tertentu seperti membantu mereka melintas jalan, memberi tempat
duduk di dalam kenderaan awam dan sebagainya.
Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak
dengan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, simpati, belas kasihan dan
tolong menolong agar mereka dapat membantu OKU dengan seikhlas hati.
Selain itu, media massa sama ada media elektronik atau
media cetak juga berperanan penting dalam membantu golongan kurang upaya
ini. Pihak media massa perlu menyiarkan artikel dan rancangan khas tentang OKU
kepada segenap lapisan masyarakat. Rancangan di TV3 seperti Bersamamu kerap
kali memaparkah kisah sedih dan pilu OKU
untuk perhatian masyarakat. Melalui rancangan ini , perasaan masyarakat
pasti akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud perasaan simpati dan
terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana dan tabung khas disediakan oleh
pihak media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan kewangan kepada OKU.
Oleh hal yang demikian, nasib OKU akan terbela dan mendapat simpati berterusan
daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka. Sesungguhnya, “tangan yang memberi lebih baik daripada
tangan yang menerima”.
Selain itu, kerajaan juga pula dapat membantu OKU dengan memberi peluang kepada mereka
untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang . Golongan
Kurang Upaya (OKU) diberi peluang mengikuti latihan kemahiran seperti membaiki
kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok dan kraf tangan di Pusat
Giat Mara, Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Cacat(JARO) dan
lain-lain institusi. Di sini ,OKU dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran
supaya mereka dapat berdikari dan boleh bekerja sama ada makan gaji atau
berniaga sendiri. Setelah mantap dalam
bidang pekerjaan, mereka akan duduk sama
rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain membantu negara dan tidak
lagi menyusahkan orang lain bahkan mampu menyara hidup sendiri dan keluarga.
Tambahan pula, pihak kerajaan juga turut membantu OKU
dengan memberikan bantuan dan elaun dalam bentuk wang ringgit, makanan dan
minuman, pakaian, tempat tinggal, peralatan pembelajaran dan kenderaan khas.
Peruntukan dari kerajaan ini disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat,
MARA dan sebagainya. Bantuan seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban
OKU malah dapat mengembirakan hati mereka dalam meneruskan kehidupan di dunia ini. Bantuan modal juga diperlukan oleh
golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan. Hal ini demikian kerana rata-rata golongan
ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan dengan itu,
pihak kerajaan telah berusaha memberi
bantuan modal kepada semua OKU yang berminat melalui permohonan dan sokongan
daripada persatuan masing-masing. Oleh
itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk membolehkan golongan
ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada
orang lain bak kata pepatah, “ada padi
semua jadi, ada beras semua deras”.
Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan peluang
untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU.
Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar
supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak
mereka. Sehubungan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan
bagi melahirkan para pelajar yang setanding dengan pelajar yang normal. Malah
pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kuota pengajian di
peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat
keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi
Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi
pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka ke arah yang lebih baik pada masa
akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu.
Di samping itu, pihak swasta pula digalakkan mengambil
pekerja OKU untuk berkhidmat dalam syarikat mereka. Mereka perlu memberi
peluang ini kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada
untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang
bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani di mana
sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja. Selain
itu, usaha murni Pasaraya Besar Carrefour yang telah mensasarkan 5 peratus
daripada pekerjanya ialah OKU haruslah diberi pujian kerana mereka memberi
peluang kepada OKU dan membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan
keluarga mereka.
Kesimpulannya, golongan OKU sangat
memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri
mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut
semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu
menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sunggguh membantu
golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara
menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat
membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha
membantu golongan OKU.
No comments:
Post a Comment