Minat
untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat ini semakin
berkurangan.
Bincangkan
langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat
orang ramai membaca karya sastera.
Pada zaman berteknologi
tinggi ini, orang ramai telah memilih untuk memiliki sebuah komputer untuk
mendapatkan maklumat daripada internet berbanding mencari maklumat atau membaca
daripada buku. Hal ini menyebabkan minat untuk membaca karya-karya sastera
dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang telah lupa dan tidak
kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti Usman
Awang, Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh
dipandang remeh kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan warisan bangsa
yang menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca karya-karya
sastera ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat. Persoalannya,
apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik
minat orang ramai untuk membaca karya sastera?
Langkah-langkah yang perlu diambil
oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera
termasuklah peranan pihak sekolah
khususnya Pusat Sumber Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku
sastera dan karya agung seperti novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ oleh Shahnon
Ahmad, ‘Salina’ oleh A.Samad Said, ‘Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur’ oleh
Kamaludin Muhamad dan ‘Tulang-tulang Berserakan’ oleh Usman Awang agar murid
mahupun guru berpeluang untuk membacanya. Pusat sumber boleh mengadakan
pertandingan mengulas novel, sajak, puisi dan pantun pada setiap bulan. Langkah
ini membolehkan para pelajar untuk membaca
karya-karya sastera memandangkan mereka ingin menghasilkan ulasan yang menarik.
Secara tidak langsung, minat pelajar terhadap karya sastera akan semakin
bertambah. Pihak sekolah turut boleh menggalakkan setiap kelas menyediakan satu ruang atau sudut membaca di
kelas bagi memudahkan pelajar untuk menghayati karya sastera ketika guru tiada
di dalam kelas. Tegasnya, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam
menarik minat pembaca terhadap karya sastera.
Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk
menarik minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan
pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata
pepatah melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca sastera rakyat kepada
anak-anak sebelum mereka masuk tidur. Melalui cara ini, hubungan silaturahim
antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat dipereratkan, malah anak-anak
dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat kita sendiri. Selain itu, ibu
bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca oleh anak-anak supaya
mereka dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa selain dapat mengisi
masa lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel yang sesuai
kepada anak-anak mengikut umur mereka.
Ibu bapa juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk anak-anak
sewaktu membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku.
Seterusnya, ibu bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi
dengan pelbagai bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau
puisi tradisional dan moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor di rumah. Dengan itu, minat anak-anak untuk
membaca karya sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa mereka.
Di samping itu, media massa turut memainkan peranan
yang penting dalam mengambil langkah menarik minat semua lapisan masyarakat
membaca karya sastera. Sebagai contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya
sastera kepada masyarakat melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui
cara ini, lapisan masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan karya
sastera di pasaran. Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut
sastera atau ulasan karya sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang
ramai. Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di
negara kita dengan lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh
menganjurkan peraduan teka teki atau menulis sajak dan syair yang bertemakan
karya-karya sastera. Jelasnya, pihak media haruslah mengambil langkah untuk
menarik perhatian orang ramai untuk membaca karya sastera.
Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen
menghayati karya sastera di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini,
rakyat berpeluang untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat.
Tambahan pula, pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap
daerah bagi memudahkan rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera
untuk dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan
kadar cukai penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku
tersebut agar semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang
untuk memiliki karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak
kerajaan turut memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik
minat orang ramai membaca karya sastera.
Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih
banyak karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak
penerbit boleh bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai
genre sastera. Penerbit juga perlu
memberikan bayaran setimpal dan berpatutan kepada penulis. Persatuan
Karya-karya Sastera boleh ditubuhkan untuk melindungi karya-karya penulis
supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu yang bermotifkan keuntungan dan bagi
membolehkan para peminat berkongsi pendapat
bersama dengan penulis. Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah penerbitan
karya sastera dalam setahun dan bekerjasama dengan seberapa ramai penulis dan
penerbit untuk menghasilkan karya sastera yang bermutu.
\
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapat disimpulkan bahawa semua pihak menggalas tanggungjawab yang berat dalam
usaha untuk menghidupkan minat orang ramai membaca karya sastera. Masyarakat
pula harus bersikap berhati terbuka
supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan
seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah
mencintai dan menghayati karya sastera kita kerana sastera merupakan warisan
bangsa dan mencerminkan identiti kita.
No comments:
Post a Comment