“Anak-anak
ibarat kain putih, ibu bapalah yang menetukan coraknya”. Memetik
sabda Nabi Muhammad SAW, jelaslah membuktikan bahawa ibu bapa memainkan peranan
yang penting dalam mendidik anak-anak. Anak-anak merupakan anugerah tuhan yang
tidak ternilai dan merupakan penyeri dalam rumahtangga. Setiap pasangan yang
berkahwin, pasti akhirnya menginginkan anak dalam rumahtangga mereka. Hamka
pernah berkata, “Sewaktu kecil anak-anak
lelaki menjadi perhiasan mata kerana lucunya, kerana dia itu harapan. Maka
setelah dia besar, dia menjadi kebanggaan kerana kejayaan hidupnya”. Malah
terdapat al-Hadis yang bermaksud, “Peliharalah
anak-anakmu dan perbaikilah budi pekerti mereka. Sesungguhnya anak-anak itu
adalah hadiah Allah kepadamu”. Sekali lagi jelas di sini bahawa, ibu bapa
mempunyai tanggunjawab yang besar dalam membesarkan anak-anak.
Memetik kata-kata pakar
motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar “seribu mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun,
cahaya keimanan pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal
yang demikian, langkah awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk merealisasikan
hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan
dan memberikan didikan agama yang sempurna. Rasulullah S.A.W bersabda yang
bermaksud; “suruh dan perintahlah
anak-anakmu mendirikan solat sedari umurnya tujuh tahun”. Solat merupakan
perkara terpenting yang perlu dipantau oleh ibu bapa. Solat dapat mendidik
anak-anak untuk sentiasa melakukan perkara baik dan menjauhi perkara mungkar.
Apabila anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti menghormati
oarng tua dan berbudi pekerti luhur, sudah pasti segala apa yang
diangan-angankan oleh ibu bapa akan menjadi realiti. Insan yang berguna ialah insan yang tahu nilai diri dan estetika.
Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, segala apa yang
dirancang pasti menjadi nyata.
Seterusnya usaha yang
wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan melihat anak-anak mereka
berjaya itu tercapai adalah dengan bermain “tarik tali’ dengan anak-anak. Dalam
usaha mendidik anak-anak ibu bapa perlu
mengamalkan toleransi, perasaan kasih sayang dan bertegas dalam bicara
perlu menjadi tunjang utama. Ibu bapa tidak perlu memanjakan anak-anak sehingga
mereka merasakan bahawa diri seperti anak
emas dalam keluarga, ibu bapa boleh menuruti rengekkan dan permintaan
anak-anak. Namun, mereka harus berpada-pada, Sedikit penegasan perlu diberikan.
Hal ini bertujuan mengelakkan anak-anak menjadi manja dan besar kepala.
Menghukum apabila anak-anak melakukan kesalahan tidak bererti ibu bapa membenci,
tetapi hal ini merupakan tanda ibu bapa menyayangi anak-anak. Apabila perasaan
kasih sayang dan bertegas sudah menjadi sama rata, maka tidak akan wujud
sebarang kekangan. Anak-anak akan sentiasa mengawal tingkah laku dan peradaban
mereka. Malah, mereka pasti akan melakukan yang terbaik demi membahagiakan diri
sendiri dan ibu bapa yang tercinta. “Di
mana ada kemahuan di situ ada jalan”. Perpeganglah kepada peribahasa
tersebut, nescaya kesudahan yang baik akan menjadi milik kita.
“Lampu
Alladdin tidak akan bersinar dengan sendiri tetapi Alladdin akan mengosoknya
terlebih dahulu”. Begitulah kata-kata azimat yang ditinta
oleh Alex Osborn. Hasrat ibu bapa untuk menyaksikan anak-anak mereka menjadi
insan yang berguna tidak akan berhasil jika ibu bapa sahaja yang bertungkus
lumus menggembleng tenaga. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu memberi sedikit penekanan terhadap kepentingn pendidikan
dalan sanubari anak-anak. Ibu bapa perlu mengasuh anak-anak untuk memahami
dan mendalami ilmu. Anak-anak pula perlulah berusaha untuk mencapai keinginan
tersebut. Anak-anak umpama jentera yang
memerlukan minyak pelincir bagi melancarkan pergerakannya. Apabila minyak pelincir sudah dituang, maka
akan lencarlah pergerakannya. Sehubungan dengan itu, kedua-dua belah pihak
perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masnig bagi memastikan kelangsungan
perjalanan hidup mereka.
Tun Dr Mahathir pernah
berkata, “banyak masalah di dunia ini
berpunca daripada sikap manusia yang tidak pernah berusaha memahami antara satu
sama lain dan berbincang untuk melepaskan diri daripada sebarang musibah”. Oleh
yang demikian, langkah drastik yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk
memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna ialah dengan menyelami hati dan keinginan anak-anak.
“Umpama menarik rambut dalam tepung,
rambut tidak putus tepung tidak berselerak”, ibu bapa perlu sebaik-baiknya
mengetahui rasa hati anak-anak. Cara sebegini akan dapat menghindari anak-anak
daripada berasa tertekan. Tertekan dalam konteks ini bermaksud bahawa anak-anak
akan berasa dalam dilema sama ada menurut kemahuan diri dan menghancurkan
harapan ibu bapa atau menurut kemahuan ibu bapa dan merobek hati sendiri.
Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak-anak berusaha untuk mencapai mimpi mereka
tanpa memikirkan kemampuan sebenar anak-anak. Anak-anak akan memberontak akibat
desakan yang bertubi-tubi daripada ibu bapa. Apabila situasi ini berlaku, lain
yang diharap lain yang menjadi, bak kata pepatah, yang dikejar tidak dapat yang diikendong berciciran. Oleh itu, ibu
bapa perlu memikirkan sedalam-dalamnya atas segala tindakan yang akan diambil.
Setiap insan memiliki paradigma dan pandangan yang berbeza dalam menentukan
hala tuju hidup mereka. Dato Dr Fadzillah Kamsah, ada menyebut “usah direnung ke langit hingga terlupakan
bumi, sedangkan langit tidak mungkin digapai, sedangkan bumi sedia di tapak
kaki”.
Selanjutnya ibu bapa
haruslah memberikan sedikit ruang kepada
anak-anak untuk melakukan apa yang mereka hajati, asalkan tidak menyipang
dan tersasar jauh ke lembah kehancuran. Dalam memastikan anak-anak berhasil
menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak boleh terlalu mengongkong anak-anak.
Tiada paksaan dalam menuntut ilmu. Jika anak-anak tidak mampu meneruskannya,
ibu bapa tidak boleh terus memaksa. Sebaliknya dorongan dan kata-kata semangat
perlu diberi untuk menaikkan semula semangat membara anak-anak. Ahli Falsafah
Pascal mengungkapkan “kalau kita
berusaha mencapai keinginan, mulakan dengan kata-kata yang lembut kerana
kata-kata yang lembut umpama air yang menyirami tanah yang tandus”. Desakan
dan paksaan akan menjatuhkan anak-anak. Sebaliknya dorongan dan nasihat akan
mendorong anak-anak untuk berjaya kerana “anak
umpama bunga-bunga yang tumbuh di taman, yang menjadi tanah dan baja ialah ibu
bapa”. Justeru mulakan dengan kelembutan dalam memastikan kejayaan menjadi
hak hakiki dan azali anak-anak.
Intihanya, sudah terang
lagi bersuluh, usaha untuk memastikan anak-anak mereka supaya menjadi insan
berguna bukanlah mudah. Professor Beetcher pernah berkata, “anak-anak ibarat simen basah, sesiapa yang jatuh ke atasnya pasti
memberi kesan”. Justeru, ibu bapa perlu berhati-hati mengambil sebarang
tindakan dalam usaha melahirkan model insan yang cemerlang. Usaha yang
sewajarnya perlu diambil dan segala emosi yang membungkam jauh dalam sanubari
perlu ditolak ke tepi. Kepentingan setiap individu perlu diambil kira dan dipertimbangkan.
Akhir kalam, pendayung sudah di tangan,
perahu sudah di air, segala tindakan wajar sudah terpampang hanya yang
tinggal adalah usaha untuk melaksanakannya. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jauhkan emosi untuk
meningkatkan prestasi.
No comments:
Post a Comment