Nusa tercinta kita
Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup
secara bersama sehati sejiwa ibarat
seikat bak sirih, serumpun bak serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan
anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar
bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama
lain. Namun ada lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang
menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada
masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat
hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan usaha telah dijalankan oleh
pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana
semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama
dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat. Kerjasama ini boleh
dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang
diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti
gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat
mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka
akan lebih mesra, saling membantu bagai
aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan.
Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk
kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang
kukuh dan ampuh.
Selain itu semangat
kejiranan juga penting kerana dapat membentuk
semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas
kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu
padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat
tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua
anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang
kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain
seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan
saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk
masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke
arah kegemilangan.
Di samping itu,
semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan
membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara
Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat
sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan
dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup
bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang
disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati
bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah
berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukur di kawasan taman-taman
perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak
mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang
ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal.
Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu
kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak
kerajaan.
Negara yang cemerlang
lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia
sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan
yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan
merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni,
mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara. Melalui hubungan
kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat
diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan
pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan
dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling jelas, dan
atas sokongan rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo
mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang dengan penuh kejayaan. Hal
Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka
melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melonjakkan Malaysia di
persada antarabangsa.
Semangat kejiranan yang
wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan.
Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan
kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang
menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya,
perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya
ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan,
Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan
masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat disukai oleh para pelancong
asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program
Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat
hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya. Maka sememangnya semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa
pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.
Intihanya, semangat
kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di
Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar
sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, semangat kejiranan bukan
sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di
negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia
terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya
yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang
dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat. Maka,
Wawasan 2020 bukanlah lagi angan-angan
Mat Jenin tetapi bakal menjadi kenyataan dalam beberapa tahun yang
mendatang ini. Sesungguhnya, benarlah seperti slogan negara yang berbunyi “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!”.
No comments:
Post a Comment