Minat
membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan anak remaja belum
mencapai tahap yang memuaskan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk
menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan
generasi yang cinta akan ilmu.
Nyatakan
usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai hasrat tersebut.
Pada era globalisasi ini, ibu bapa memainkan
peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah
agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini
demikian kerana anak-anak muda pada era ini, lebih gemar membaca bahan-bahan
bacaan yang ringan seperti surat khabar,
novel cinta, komik, majalah hiburan dan animasi kartun. Majalah atau
buku yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan seperti buku-buku motivasi,
pembinaan kendiri, falsafah, Majalah Dewan Masyarakat, Solusi, Dewan Budaya, Al
Islam, dan Anis kurang diminati malah
ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu akan kewujudan majalah tersebut di
pasaran. Mereka berpendapat bahawa membaca karya-karya ilmiah dianggap berat
dan membosankan kerana memerlukan minda untuk berfikir sedangkan majalah atau buku-buku yang berunsurkan
hiburan lebih seronok untuk dibaca kerana pembacaan bagi mereka hanya sekadar
mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Apa pun yang jelas, buku yang baik adalah kunci kepada khazanah
kebijaksanaan. Ibu bapa merupakan insan yang penting untuk melahirkan anak
yang berilmu, bersahsiah baik dan dihormati oleh orang lain. Persoalannya,
apakah modus operandi yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan
generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan?
Untuk memupuk budaya membaca dalam
diri anak-anak, ibu bapa haruslah
membawa anak-anak ke pesta buku atau pameran buku seperti Pameran Buku Antarabangsa di PWTC yang diadakan pada setiap tahun. Hal
ini dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Apabila ibu
bapa membawa anak-anak ke pameran buku, minat anak-anak untuk membaca buku akan
bercambah. Anak-anak akan dapat melihat pelbagai jenis buku yang menarik serta
menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang
disukai dan diminati. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting untuk
membimbing anak-anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang mampu membina
pemikiran atau minda anak-anak. Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk
membaca buku-buku yang berunsurkan keagamaan, falsafah, motivasi dan
sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan ilmu pengetahuan
dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga berpeluang untuk membaca
buku-buku yang memaparkan sejarah negara lain. Hal ini, dapat meningkatkan pengetahuan
am anak-anak tentang Negara luar.Tegasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak
mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif yang melahirkan
minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan menjadi ulat buku dan seterusnya menjadi
generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Selain itu, ibu bapa harus menjadi
suri teladan kepada anak-anak dalam aspek membaca. Justeru, ibu bapa
hendaklah memulakan budaya membaca di rumah dengan menyediakan persekitaran
yang boleh merangsang minat anak-anak
untuk membaca buku-buku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku dan surat
khabar pada setiap hari terutama pada
waktu senggang. Perbuatan ibu bapa yang suka membaca pasti akan dicontohi dan
diikuti oleh anak-anak kerana pepatah menyatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke
nasi. Pada zaman ini, anak-anak tidak tahu untuk mengisi masa lapang dengan
aktiviti-aktiviti yang berfaedah Jadi, ibu bapa boleh mendidik anak anak sejak
kecil lagi untuk membaca buku-buku ilmiah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah. Ibu
bapa boleh melakukan aktiviti membaca bersama anak-anak pada hari cuti sewaktu
semua ahli keluarga berehat di rumah. Dalam hal ini, ibu bapa janganlah menjadi
seperti ketam mengajar anaknya berjalan
betul, sedangkan diri sendiri tidak
betul. Sekiranya, ibu bapa tidak pernah membaca bahan-bahan ilmiah,
bagaimanakah anak-anak hendak membaca bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan suka
membaca apabila melihat orang tuanya membaca. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi
suri teladan yang baik kepada anak-anak
kerana anak-anak akan menjadikan membaca sebagai satu amalan ke mana-mana
sahaja mereka pergi bak kata pepatah kalau
asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi
kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli banyak buku
atau majalah yang yang mengandungi
ilmu pengetahuan yang boleh
mengembangkan minda anak-anak. Pepatah
menyatakan bahawa membaca jambatan ilmu.
Apabila anak- anak banyak membaca, sudah tentu pengetahuan mereka pun
akan meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah membeli bahan bacaan secara
tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan
Siswa, Al Islam dan Solusi selain surat
khabar yang dibeli secara harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan
tertarik untuk membaca buku-buku dan majalah yang mengandungi banyak ilmu dan
pengetahuan yang dibeli oleh ibu bapa mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan
yang berkualiti pasti akan bercambah dalam jiwa mereka. Anak-anak yang
disuburkan dengan budaya membaca, pasti dapat membina jati diri unggul,
mempunyai minda sihat, berketerampilan sebagai orang berilmu dan berpengetahuan
tinggi. Selain itu, ibu bapa boleh memberikan hadiah berupa buku sempena hari
lahir atau hadiah sempena kejayaan anak-anak dalam pelajaran atau peperiksaan
sebagai ganjaran. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-buku
motivasi sempena hari lahir anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri
anak-anak. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh kerana menghargai jasa ibu
bapa. Amalan seperti ini akan menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia buku. Tak kenal maka tak cinta.
Seterusnya ibu
bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak
membaca buku dengan cara mendaftar anak mereka menyertai kelab buku. Melalui penyertaan dalam kelab buku,
anak-anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan buku
yang terkini. Sebagai contohnya,
anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka. Apabila anak-anak menjadi ahli kelab buku, mereka
didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan buku. Secara tidak
langsung, anak-anak juga dapat membezakan bahan bacaan yang bermutu dan bahan
bacaan yang tidak berkualiti. Anak-anak pasti memilih bahan-bahan yang
berkualiti kerana boleh mematangkan minda seseorang dalam mengeluarkan pendapat
atau melakukan tindakan. Selain itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak
menyertai Kempen Galakan Membaca dan Kembara Buku yang dianjurkan oleh
pelbagai pihak. Dengan menghadiri kempen-kempen
membaca, anak-anak bukan sahaja
mendapat kesedaran tentang pentingnya membaca malah ibu bapa turut memperoleh
manfaatnya. Hamka pernah berkata “Berfikir itu cahaya, kelalaian itu
kegelapan, kejahilan itu kesesatan”. Tegasnya, ibu bapa perlulah membawa
anak-anak menghadiri kempen-kempen membaca dan menggalakkan anak-anak menyertai
ahli kelab buku agar anak-anak membaca
bahan-bahan ilmiah yang dapat membentuk anak-anak menjadi insan yang mulia dan
disanjung tinggi.
Selain itu, ibu bapa boleh membina
perpustakaan mini yang mengandungi bahan-bahan ilmiah yang menempatkan
pelbagai jenis buku ilmiah seperti novel karya agung, kamus, buku- buku agama, dan buku motivasi
diri selain buku pelajaran dan buku
rujukan. Hal ini dapat menyuburkan minat anak-anak untuk membaca buku-buku yang disimpan di rak
buku tersebut. Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan dan memastikan anak
mereka membaca buku-buku yang disediakan dalam perpustakaan mini di rumah. Anak-anak
juga digalakkan untuk membaca surat khabar atau majalah ilmu
pada setiap hari dan membaca sebuah buku pada
setiap minggu. Hal ini akan menyebabkan masa lapang anak-anak terisi
dengan aktiviti membaca tanpa perlu keluar rumah. Perpustakaan mini yang
disediakan oleh ibu bapa tidak memerlukan modal yang banyak. Buku-buku dan
majalah yang dibeli pada setiap bulan boleh disimpan dalam perpustakaan mini
tersebut. Pembacaan buku dan majalah yang berulang kali dapat menguatkan minda
anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa bangsa
yang membaca, bangsa yang berjaya.
Apabila anak-anak sudah biasa didedahkan untuk membaca surat khabar
pada setiap hari dan sebuah buku pada
setiap minggu, anak-anak akan biasa berbuat demikian dan
menjadikan membaca sebagai amalan
rutin harian kerana alah bisa, tegal dek
biasa. Mereka akan selalu membaca apabila
ada masa terluang dan mereka akan
menghargai masa kerana masa itu emas. Tambahan pula, jika ibu bapa mempunyai
waktu terluang, mereka bolehlah membawa anak-anak ke perpustakaan awam yang
berhampiran dengan tempat tinggal mereka.
Perpustakaan awam memuatkan berjuta-juta buku yang boleh meningkatkan
ilmu pengetahuan anak-anak. Malahan, apabila anak-anak pergi ke perpustakaan
awam, mereka dapat membaca buku dalam keadaan yang senyap, aman, damai dan
tenang. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam
dan menyediakan perpustakaan mini di rumah dapat melahirkan generasi yang cinta
akan ilmu pengetahuan.
Tambahan lagi, ibu bapa juga boleh memupuk minat membaca
bahan-bahan ilmiah dengan membimbing anak-anak mereka melayari internet.
Internet merupakan sumber ilmu yang boleh digunakan oleh semua lapisan
masyarakat. Namun, terdapat remaja yang yang menyalahgunakan internet seperti
melihat gambar-gambar lucah. Dalam konteks ini, ibu bapalah merupakan
pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak melayari
internet untuk mencari judul buku ilmiah
yang terkenal supaya boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran. Hal ini
dapat menggalakkan anak-anak membaca
karya-karya ilmiah supaya boleh melahirkan generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan. Ilmu yang diperoleh daripada bahan-bahan ilmiah boleh dijadikan
sebagai panduan hidup. Hal ini disebabkan mesej-mesej yang terkandung dalam
bahan bahan ilmiah penting dalam kehidupan. Justeru, ibu bapa memainkan peranan
yang penting dalam memupuk minat membaca buku-buku ilmiah.
Secara izharnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa untuk
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang
memainkan peranan penting menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah.
Ibu bapa harus menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan anak mereka kerana
membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka cerdas. Oleh hal yang
demikian, ibu bapa mestilah menjadi
pendorong untuk menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak mereka. Jika anak-anak sudah jatuh cinta dengan
aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan terbentang luas di depan
mereka pada masa depan. Ibn Khaldun
dalam karya besarnya, Muqaddimah, pernah berkata bahawa kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat
dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah dan makna kepada
manusia dan bangsa terbabit. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang
penting dalam melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
No comments:
Post a Comment