Kempen-kempen
untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang kebaikan membaca perlu
diteruskan dan dipelbagaikan kerana banyak kebaikannya.
Bincangkan
kebaikan membaca kepada semua lapisan masyarakat terutamanya golongan remaja.
Pada era globalisasi
ini, pendidikan dalam semua lapisan masyarakat semakin penting dan diutamakan.
Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa dalam memupuk
amalan membaca namun, budaya membaca dalam masyarakat masih rendah lagi.
Melalui pembacaan, seseorang dapat memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan yang
secara tidak langsung dapat membantu memajukan negara. Dengan ini, isu budaya
membaca dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan. Jika budaya
tersebut dibiarkan begitu sahaja hasrat masyarakat untuk menjadikan negara kita
negara maju pasti akan terganggu. Pengamalan budaya membaca dalam kalangan
masyarakat akan mendatangkan pelbagai faedah terhadap diri kita. Oleh itu,
semua lapisan masyarakat haruslah berusaha mengamalkan budaya membaca kerana Membaca Jambatan Ilmu.
Memang tidak dapat
dinafikan bahawa dengan membaca, seseorang akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Hal ini kerana terdapat
berbagai-bagai maklumat termasuk isu semasa dan pengetahuan tentang kehidupan
harian yang terdapat di dalam buku, majalah dan surat khabar. Terdapat banyak
bahan bacaan telah dipasarkan di pasaran. Ibu bapa haruslah sanggup membelikan
bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak dan diri sendiri. Dengan membaca,
seseorang dapat meneroka pelbagai ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk mencapai
kejayaan kerana Bangsa Membaca Bangsa
Berjaya. Sewajarnya masyarakat rajin berusaha dalam memupuk amalan membaca
dan seterusnya menjayakan kempen-kempen yang telah dianjurkan oleh kerajaan
tentang amalan membaca. Pembacaan yang luas juga dapat memupuk nilai-nilai
murni dalam diri seseorang. Oleh itu, masyarakat hendaklah rajin membaca supaya
dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
Selain itu, membaca
akan membantu menambahkan perbendaharaan
kata yang kita miliki. Hal ini kerana dengan membaca kita akan menemukan
pelbagai jenis perkataan baharu. Jika kita membaca bahan bacaan yang berkaitan
dengan bidang Sains kita akan mengenali lebih banyak istilah atau kosa kata
baharu dalam bidang berkenaan seperti Anemia dan X-ray. Malah, apabila
seseorang telah mengenali banyak perbendaharaan kata, mereka akan dapat bertutur
dengan lancar dalam bahasa berkenaan. Individu itu juga akan dapat menguasai
sesuatu bahasa dengan mudah. Penguasaan perbendaharaan kata sangat berguna
dalam menongkah arus globalisasi kini. Persaingan antara masyarakat dalam
pelbagai disiplin ilmu juga akan menjadi lebih mudah. Dengan ini, kita haruslah
rajin membaca supaya dapat menambahkan perbendaharan kata dalam minda kita.
Tambahan pula, budaya
membaca dapat membantu pelajar lulus
dengan keputusan yang cemerlang. Hal ini demikian kerana pembacaan bahan
bacaan yang banyak dapat menambahkan pengetahuan tentang sesuatu mata
pelajaran. Terdapat juga mata pelajaran tertentu yang memerlukan pembacaan yang
banyak. Sebagai contoh, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah. Mata
pelajaran tersebut memerlukan pembacaan yang luas kerana kita akan dapat
maklumat atau isu semasa yang amat berguna dalam penulisan esei. Pembacaan
boleh dilakukan di perpustakaan mahupun di rumah. Dengan ini, perpustakaan
hendaklah dinaik taraf dengan kemudahan yang lebih selesa seperti meja, kerusi,
penghawa dingin dan kemudahan ICT supaya pelajar-pelajar dapat menjalankan
pembacaan mereka dalam keadaan yang kondusif. Secara eksplisit, pelajar akan
mengingati lebih banyak ilmu pengetahuan daripada bahan bacaan tersebut.
Pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang rajin membaca. Oleh itu, semua
pelajar hendaklah menjadikan tabiat membaca sebagai rutin harian agar mendapat
keputusan yang cemerlang.
Membaca juga dapat memenuhi masa lapang kita. Masa lapang
ialah masa senggang antara dua pekerjaan. Masa lapang perlu diisi dengan
perkara yang berfaedah. Kita boleh menjadikan amalan membaca sebagai hobi kita.
Selain membaca, kita boleh menjadikan perkara lain sebagai hobi sekiranya
perkara itu berfaedah. Terdapat 24 jam diperuntukkan kepada seseorang, namun
masa yang singkat itu sememangnya tidak cukup untuk kita melaksanakan pelbagai
aktiviti. Dengan ini, kita haruslah menggunakan masa lapang dengan efisien
kerana masa itu emas. Sekiranya
seseorang itu tidak mempunyai masa untuk membaca, mereka boleh membaca ketika
menunggu bas. Oleh itu, sebagai insan yang begitu mengutamakan masa mereka
seharusnya mengisi masa dengan amalan membaca.
Di samping itu, budaya
membaca dapat membantu memajukan negara.
Hal ini demikian kerana tokoh-tokoh yang pakar dalam bidang tertentu dapat
membantu meningkatkan ekonomi negara kita. Lanjutan itu, negara kita dapat
membangun dengan pesat. Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah
menyebabkan banyak ciptaan baharu direka. Sebagai contoh, negara Jepun yang
maju dalam bidang sains dan teknologi telah mencipta pelbagai jenis barangan
yang berfungsi secara automatik. Membaca akan menambahkan ilmu pengetahuan kita
dan ilmu-ilmu yang diperoleh ini bolehlah digunakan dalam memajukan
sektor-sektor tertentu seperti sektor pelancongan. Apabila sektor-sektor
dibangunkan, ekonomi negara kita akan pesat membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Secara umumnya, negara kita akan layak bersaing
dengan negara maju yang lain. Kemajuan negara pula perlu disusuli dengan budaya
menulis buku. Oleh itu, kita hendaklah rajin membaca supaya tanah air kita
dapat dibangunkan dan dimajukan. Malah, kita dapat hidup dalam keadaan yang
lebih baik.
Kesimpulannya, budaya
membaca banyak mempunyai faedah kepada individu mahupun negara. Melalui membaca
kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita. Ilmu pengetahuan yang
diperoleh itu bukan sahaja dapat membantu seseorang mendapat keputusan yang
cemerlang malah dapat memajukan negara. Walaupun pada hari ini pelbagai
prakarsa telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut
diumpamakan hujan jatuh ke pasir.
Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memupuk budaya membaca. Hal
ini disebabkan budaya membaca perlu dipupuk sejak anak-anak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Ibu bapa juga bertanggungjawab menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan
banyak membaca buku. Selain itu, pihak kerajaan perlu menyediakan pelbagai
kemudahan seperti perpustakaan supaya kita dapat membaca dengan selesa. Kempen-kempen
membaca juga perlu dipergiat. Jika usaha-usaha memupuk budaya membaca giat
dijalankan, negara Malaysia pasti akan menjadi negara yang maju. Oleh itu,
semua orang wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya membaca agar
masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan.
No comments:
Post a Comment