Tuesday 23 August 2016

Puisi Moden - Aku Membaca Lagi



Aku Membaca Lagi 
(Razali Mohd Yussof)

Maksud
Rangkap pertama
Penyajak memandang ke langit lalu memerhatikan keadaan langit. Dengan perasaan penuh kesyukuran, dia menghayati keindahan alam yang diciptakan oleh Tuhan yang digambarkan melalui awan yang bergumpal, angin yang berhembus dan banjaran gunung.

Rangkap kedua
Penyajak menghayati anugerah Tuhan kepada manusia yang digambarkan melalui burung yang berkicau, kewujudan pantai dan ombak, dan kemunculan pelangi.

Rangkap ketiga
Penyajak mendapati bahawa alam semula jadi semakin tercemar apabila negara semakin makmur. Pencemaran alam semula jadi ini dikaitkan dengan keadaan bahasa Melayu yang semakin lama semakin kurang didaulatkan oleh rakyat walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan. Selain itu, penyajak mendapati bahawa kemakmuran negara tidak dapat menjamin kedaulatan  bahasa Melayu.

Rangkap keempat
Para pejuang bahasa yang cinta akan bahasa Melayu berasa sedih melihat nasib bahasa Melayu yang tidak dimartabatkan.

Rangkap kelima
Penyajak meluahkan  kekesalannya apabila bahasa Melayu yang semakin diketepikan terus dipinggirkan oleh semua pihak.




Tema
Tema yang terdapat dalam puisi “Aku Membaca Lagi” tulisan   Razali Mohd Yussof
 ialah nasib bahasa Melayu yang semakin dipinggirkan di negara kita. Buktinya penyajak mendapati bahawa semakin lama semakin kurang orang yang mendaulatkan bahasa Melayu walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan.

Persoalan
Terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam puisi  ini, antaranya:
i.      Keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan
Contoh : Penyajak menghayati keindahan alam yang diciptakan oleh Tuhan yang digambarkan melalui awan yang bergumpal, angin yang berhembus dan banjaran gunung.

ii.    Kedaulatan bahasa Melayu yang kian hilang
Contoh : Penyajak mendapati bahawa semakin lama semakin kurang orang yang mendaulatkan bahasa Melayu walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan.

iii.   Kesedihan pejuang bahasa terhadap nasib bahasa Melayu
Contoh : Para pejuang bahasa yang cinta akan bahasa Melayu berasa sedih melihat nasib bahasa Melayu yang tidak dimartabatkan.




No comments:

Post a Comment