Saturday 25 August 2012

CAKAP AJUK CAKAP PINDAH

Cakap Ajuk Cakap Pindah

1.             Bentuk-bentuk cakap pindah atau perbualan berupa soalan atau dalam bentuk tanda soal hendalah ditukar kepada bentuk kenyataan atau pernyataan.
 Contoh :
Cakap Ajuk              “Petang semalam engkau pergi ke mana?” Tanya Jusoh kepada Ali.
Cakap Pindah             Jusuh menanya Ali ke mana dia pergi pada petang semalamnya.

2.             Ayat-ayat untuk cakap pindah hendaklah dihubungkan dengan kata-kata penghubung dan juga kata depan.
Contoh:
Sudin                     : Man! Kita dah sampai ni. Jangan lupa, tanggal kasutmu sebelum kita menyeberang parit itu.
Man                        : Baiklah, Din. Nah, tolong pegang beg aku ni, Din!

Jawapan:              Sudin memberitahu Man yang mereka sudah sampai sambil mengingatkannya supaya menanggalkan kasut sebelum menyeberang parit besar tersebut. Man menyetujuinya tetapi meminta Sduin menolongnya memegang begnya.

3.             Beberapa kata ganti nama perlu diperhatikan, termasuklah kata ganti nama orang yang pertama. Kata ganti pertama dalam cakap ajuk tidak berubah kiranya yang bercakap itu diri yang pertama.
Contoh:
Cakap Ajuk               “Aku akan menjelaskan wang pendahuluan sewa rumah  sebelum akhir bulan ini,” Aku memberitahu penjual rumah
Cakap Pindah               Aku memberitahu penjual rumah yang aku akan menjelaskan wang pendahuluan sewa rumah sebelum akhir bulan ini.                  

4.             Kata ganti nama diri pertama dalam cakap ajuk menjadi diri kedua apabila yang bercakap itu didi yang kedua.
Contoh:
Cakap Ajuk                  Awak memberitahu saya. “Saya akan balik berjumpa orang tua saya pada hujung minggu ini.”
Cakap Pindah               Awak memberitahu saya yang awak akan balik berjumpa orang tua awak pada hujung minggu ini.

5.             Kata ganti diri pertama hendaklah diubah menjadi kata ganti diri ketiga apabila orang yang bercakap itu diri yang ketiga.
Contoh:
Cakap Ajuk                    Dia berpesan kepada saya, “Jika saya tidak datang menjemput awak sebelum pukul dua petang ini bolehlah awak balik sendiri dengan bas.”
Cakap Pindah                 Dia berpesan kepada saya bahawa jika dia tidak datang menjemput saya sebelum pukul dua petang bolehlah saya balik sendiri dengan bas.

6.             Kata ganti diri kedua tidak ada apa-apa perubahan kiranya yang dilawan bercakap itu diri kedua.
Contoh:
Cakap Ajuk                      “Awak selalu lewat datang ke pejabat,” kata saya kepada awak.
Cakap Pindah                   Saya memaklumkan kepadanya bahawa dia selalu lewat datang ke pejabat.

7.             Kata ganti diri kedua dalam cakap ajuk hendaklah menjadi kata ganti diri pertama apabila yang dilawan bercakap itu diri pertama.
 Contoh:
Cakap Ajuk             Dia berkata kepada saya,”Awak memang rajin tetapi segala kerja suka bertangguh-tangguh.”
Cakap Pindah          Dia memberitahu saya bahawa saya memang rajin tetapi segala kerja suka bertangguh-tangguh.

8.             Kata ganti diri kedua dalam cakap ajuk hendaklah dipindahkan menjadi diri ketiga apabila yang dilawan bercakap itu diri ketiga.
Contoh:
Cakap Ajuk                 Kata Samad kepada dia, “Tindakan awak itu membahayakan orang lain.”
Cakap Pindah              Samad memberitahu bahawa tindakannya membahayakan orang lain.

 9.             Beberapa perubahan dari segi masa juga diambil kira;
                                                sekarang                               =>           masa itu
                                                hari ini                                   =>           hari itu
                                                esok                                     =>           esoknya, keesokannya
                                                pagi tadi                                =>           pagi itu
                                                malam tadi                            =>           malam sebelumnya
                                                semalam                               =>           semalamnya
                                                tadi                                       =>           tadinya
                                                sini, di sini                             =>           situ, di situ
                                                ini                                         =>           itu
                                                begini                                    =>           begitu

10.          Apabila terdapat tanda baca atau tanda soal perlulah dihilangkan dan diganti dengan pemberitahuan sahaja.
Contoh:
Cakap Ajuk                         Jamal bertanya emaknya, “ Berapa ringgit harga seluar itu mak?”
Cakap Pindah                      Jamal menyoal emaknya berapa ringgit harga seluar itu.

KONSERTO TERAKHIR - SINOPSIS SETIAP BAB

Sinopsis Bab 1 hingga 14

Sinopsis Bab 1 – KeluargaHayati tidak ada mood ( keinginan ) untuk belajar piano pada hari itu kerana sering membuat kesalahan. Keadaan ini menimbulkan salah faham antara Hayati dengan guru pianonya. Tiba-tiba muncul Hilmi di saat-saat getir tersebut. Hilmi memperkenalkan dirinya sebagai dua pupu Hayati iaitu anak Pak Karim dari Kedah. Hayati berasa gusar melihat gerak-geri Hilmi yang serba canggung. Dia tidak pernah mengetahui bahawa bapanya masih mempunyai saudara di kampung. Datin Salmah juga tidak menyenangi kehadiran Hilmi di rumahnya. Sementara menunggu kepulangan Datuk Johari, Hilmi ditempatkan di sebuah bilik berhampiran dengan bilik Pak Amat, drebar mereka. Kehadiran Hilmi telah mengingatkan Datuk Johari tentang kampung halamannya yang telah ditinggalkan selama tujuh belas tahun lalu.
Hilmi menyatakan hasratnya untuk mencari pekerjaan. Walau bagaimanapun, kelulusannya yang hanya setakat darjah empat sekolah Melayu menyukarkan usaha Datuk Johari mencari pekerjaan untuknya. Akhirnya Hilmi disuruh menjadi tukang kebun di rumahnya. Hilmi bekerja dengan tekun membersihkan kebun itu. Dalam masa yang sama, perasaannya cemburu melihat kemesraan antara Hayati dengan Mohsin.


Sinopsis Bab 2 – Kuli

Hilmi gembira dengan pekerjaannya sebagai tukang kebun. Dia telah melakukan perubahan yang besar di pekarangan rumah itu sehinggakan mendapat pujian daripada Datuk Johari dan juga Dr. Nathan iaitu jiran Datuk Johari. Hilmi berkawan baik dengan Pak Amat. Pak Amat pernah menjadi penyelam mutiara di Darwin, Australia. Datuk Johari gelisah apabila Dr. Nathan bertanyakan tentang tukang kebun barunya itu kerana dia tidak sampai hati menganggap Hilmi sebagai tukang kebunnya. Hilmi amat tertarik dengan mainan piano Hayati. Rumah Datuk Johari juga sering didatangi oleh saudara mara Datin Salmah yang berpangkat.
Dalam pada itu, Datin Salmah teringat akan kata-kata kakaknya Siti Hajar tentang Hilmi kerana lambat laun orang akan mengetahui bahawa Hilmi itu anak saudara Datuk Johari. Hasutan Siti Hajar itu menimbulkan rasa gelisah di hati Datin Salmah dan dia berusaha mencari jalan untuk mengusir Hilmi dari rumahnya.


Sinopsis Bab 3 – Piano

Hilmi kecewa apabila dia mendapati tanamannya dirosakkannya oleh kumbang. Dia telah melepaskan geramnya dengan memijak-mijak kumbang-kumbang itu dengan tumitnya. Tindakan Hilmi itu ditegur oleh Hayati dan menganggap dia seorang yang kejam. Akhirnya Hayati faham kenapa Hilmi memusnahkan kumbang yang mengancam keselamatan tanamannya. Kadangkala Hayati ikut bersama-samanya mencari kumbang dan ulat. Dua kali dalam seminggu iaitu hari Sabtu dan Khamis, Hayati belajar bermain piano di rumahnya. Pada hari-bari tersebut Hilmi akan mencari kerja yang dapat dibuatnya di depan rumah berhampiran dengan ruang tamu. Pada kedua-dua hari tersebut keletihannya terasa hilang, dan dia menunggu kedua-dua hari itu dengan penuh harapan kerana dia dapat mendengar lagu-lagu merdu yang keluar dari hujung-hujung jari Hayati yang diletakkan di atas pianonya. Lagu-lagu itu menjadi makanan rohaninya. Pada suatu hari Khamis, Hilmi gelisah kerana Hayati belum pulang lagi. Rupa-rupanya Hayati dan Mohsin pergi menonton wayang.
Hati Datin Salmah mulai berubah terhadap Hilmi. Dia tidak lagi menyebutnya sebagai tukang kebun tetapi sebagai kaum keluarganya. Datuk Johari juga mulai bangga kerana tiap-tiap orang yang datang memuji-muji tanaman bunga di rumahnya. Malah hasil tanaman seperti terung, kacang, timun, dan petola telah berbuah dengan lebatnya dan menjadi satu kebanggaan pula kepada Datin Salmah. Dia menghadiahkan hasil tanaman itu kepada teman-temannya apabila pergi ke morning coffee dan juga ketika ada antara kawannya yang datang berkunjung ke rumahnya, mereka pulang dengan membawa buah tangan. Datin Salmah gembira mendengar pujian daripada kawan-kawannya.


Sinopsis Bab 4 – Hukuman

Leha, penolong pembantu rumah telah pulang ke kampung. Hilmi telah ditugaskan oleh Datin Salmah untuk membersihkan ruang tamu. Hilmi amat senang hati menerimanya kerana dapat datang berhampiran dengan piano. Suatu hari Hilmi keseorangan di rumah kerana Datin tidak ada di rumah, manakala Hayati belum pulang dari sekolah, sementara Mak Minah keluar ke rumah seorang kenalannya. Hilmi telah mencuba memainkan piano tersebut sehingga tidak menyedari kepulangan Mak Minah. Perbuatan Hilmi itu ditegur oleh Mak Minah kerana takut dimarahi oleh Datin Salmah. Kebimbangan Hilmi jelas terlihat apabila Datin Salmah memanggilnya. Rupa-rupanya Datin Salmah menyuruhnya mengambil bunga yang dibawa dari rumah kawannya. Hilmi juga berasa lega kerana Mak Minah tidak memberitahu mak ciknya tentang perlakuannya tadi.
Ketika Hayati pulang dan hendak menghiburkan tetamunya iaitu pak cik dan mak ciknya, dia menyedari pianonya telah rosak. Apabila dia meletakkan jari-jarinya pada mata-mata piano dan membuat "intro"-nya dengan C minor, tiba-tiba pada mata yang mengeluarkan nada “fa” nadanya begitu melenting. Peristiwa itu telah menimbulkan kegemparan kecil. Datin Salmah mula mencari siapa yang mengganggu piano itu. Ketika dipanggil oleh Datin Salmah, Mak Minah terpaksa memberitahu yang Hilmi telah memainkan piano itu. Datin Salmah ingin mengambil kesempatan dari peristiwa itu untuk mengusir Hilmi. Atas kebijaksanaan Datuk Johari, Hilmi dimaafkan dan dipotong gajinya. Datin Salmah juga menyuruh Hilmi memujuk Hayati dan memohon maaf daripadanya.
Sementara itu, Datin Salmah sekeluarga akan bercuti selama satu bulan. Mak Minah dan Pak Amat juga diberi cuti balik ke kampung. Hilmi diminta untuk menjaga rumah tersebut sepanjang peninggalan mereka. Hilmi amat kesunyian sepanjang ketiadaan mereka terutamanya rasa kehilangan terhadap Hayati kerana sebulan lamanya dia tidak akan mendengar lagu-lagu yang dimainkan oleh Hayati. Kehidupan Hilmi sepanjang waktu hanya bertemankan bunga-bunga dan tanamannya sahaja.


Sinopsis Bab 5 – Penunggu

Hilmi tidak ikut menghantar Datuk Johari dan keluarganya berangkat ke luar negeri. Dia memuatkan barang-barang yang mahu dibawa ke dalam motokar. Datuk Johari berpesan supaya menjaga rumah dengan baik. Datin Salmah pula tidak bercakap sepatah pun dengannya. Dia sibuk bercakap dengan orang lain. Sepeninggalan mereka, Hilmi mendapat simpati jiran Datuk Johari, iaitu Dr. Nathan. Mamat kawan baiknya iaitu drebar Dr. Nathan juga balik ke kampung. Hilmi sibuk mengemaskan rumah Datuk Johari. Hidupnya terasa bebas. Dia menjadi tuan rumah dan dia juga menjadi raja. Setelah selesai mengemas, Hilmi masuk ke bilik mak ciknya. Dia amat terkejut kerana bilik itu seperti sebuah syurga. Dari bilik mak ciknya, dia pergi pula ke bilik Hayati. Seolah-olah perasaannya amat dekat dengan Hayati. Dia amat merindui Hayati. Hilmi masuk pula ke bilik tamu. Di ruangan tamu, matanya tertumpu pada piano. Keinginannya untuk bermain piano begitu kuat dan meronta-ronta di dalam dirinya tetapi dia tidak berani menyentuhnya. Akhirnya dia menuju ke biliknya. Tiba-tiba Hilmi teringat kucing Siam kesayangan Hayati. Dia masuk ke dalam rumah mencari kucing itu. Dia membawa kucing itu ke dapur dan diberi makan ikan.
Dalam pada itu, Mamat, drebar Dr. Nathan telah balik dari kampung dan membawa bersama isterinya Esah. Esah telah diperkenalkan oleh Mamat kepada Hilmi. Mamat mengajak Hilmi makan bersama-samanya. Esah juga telah bekerja sebagai tukang masak di rumah D. Nathan. Hilmi berasa kecewa. Dia mengharapkan bila Mamat balik dari Kelantan dia mahu mengajak Mamat tidur bersama-sama menemaninya. Mamat telah memperkenalkan Hilmi dengan Encik Bakar, seorang ketua sebuah quartet. Encik Bakar menyuruh Hilmi bermain organ dan Hilmi telah mendapat pujian daripada Encik Bakar. Encik Bakar mengajar Hilmi muzik secara percuma. Hilmi amat gembira mendengar kata-kata Encik Bakar kerana pada sangkaannya Encik Bakar akan mengenakan bayaran kepadanya.
Justeru, Hilmi pada mulanya kurang senang kerana setiap kali dia pergi ke rumah Encik Bakar, dia akan meninggalkan rumah pak ciknya. Dia berasa bersalah kerana telah melanggar janji-janjinya pada pak ciknya. Walau bagaimanapun kerana minat yang amat mendalam terhadap muzik, Hilmi terpaksa melakukannya. Hilmi telah belajar dengan tekun dan Encik Bakar juga telah mengajarnya tentang not-not muzik.


Sinopsis Bab 6 - Muzik

Hilmi berasa bertuah kerana dapat belajar muzik dengan Encik Bakar. Sebaik sahaja pulang dari rumah Encik Bakar, Hilmi menjalankan tugas biasanya seperti menyiram pokok-pokok bunga. Hilmi juga mendapat sokongan dan galakan yang kuat daripada Mamat dan isterinya. Setelah kembali dari bilik Mamat kerana berbual-bual dengan mereka, Hilmi balik ke rumah. Hilmi terus ke sudut di mana terletaknya piano dan memainkannya. Tanpa disedari Datuk Johari dan keluarganya telah kembali dari luar negeri. Hayati terpesona melihat Hilmi bermain piano. Datin Salmah terpegun. Datuk Johari tegak tidak bergerak. Akhirnya dia menyedari seperti diperhatikan. Lantas terperanjat kerana tidak menyedari kepulangan pak ciknya sekeluarga. Hilmi bergegas membawa masuk beg-beg yang banyak dan terus kembali ke dalam biliknya. Hilmi dikejutkan dengan kedatangan Hayati yang membawa oleh-oleh untuknya yang berupa sebuah patung wanita dengan pakaian gaun kembang zaman kuno. Patung itu juga boleh mengeluarkan bunyi lagu “Blue Danube”. Hubungan mesra Hilmi dan Hayati tidak disenangi oleh Datin Salmah. Lebih-lebih lagi apabila Hayati membeli oleh-oleh kepada Hilmi. Sedangkan selama perjalanan mengelilingi England itu, tidak pernah sekalipun disebutnya nama Hilmi. Hayati Cuma menyebut nama Mohsin sahaja. Naluri keperempuanan Datin Salmah merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada Hayati.

Sinopsis Bab 7 – Oleh-oleh

Mohsin terperanjat apabila mendengar kepulangan Hayati dan kesal kerana dia tidak dapat menjemput Hayati di lapangan terbang. Sebelum ke pejabatnya Mohsin singgah dahulu ke rumah Hayati. Ketika Datin pergi memanggil Hayati dia terlihat Hayati sedang berdiri amat dekat dengan Hilmi memerhatikan sesuatu di pokok ros. Hayati tidak menghiraukan panggilan ibunya kerana asyik bercerita kepada Hilmi tentang perjalanan mereka di England, tentang konsert muzik yang disaksikannya di Vienna, tentang pemandangan yang indah di kebun tulip di negara Belanda. Hayati juga senang mendengar cerita Hilmi tentang bunga-bunganya.
Apabila diberitahu tentang kedatangan Mohsin, Hayati tidak berminat untuk mengetahuinya. Hayati hanya mencecah dengan hujung jarinya sahaja apabila Mohsin menghulurkan tangannya. Hayati telah menghadiahkan neck tie ( tali leher ). Mohsin juga terasa ada sesuatu yang aneh pada gerak-geri Hayati tetapi dia tidak berapa pasti. Hayati selalunya gembira menyambut kedatangannya tetapi tidak sekarang ini.
Sebaik sahaja Mohsin keluar dari rumah itu, Hayati terus masuk berkurung di dalam biliknya. Datin Salmah semakin gelisah dan hatinya mulai percaya bahawa perubahan perangai anaknya itu mesti ada sangkut paut dengan dukun. Mesti ada anasir-anasir jahat memainkan peranannya. Suaminya tidak mudah percaya dengan cerita karut serupa itu, lebih-lebih lagi apabila membabitkan anak penakannya sendiri. Datin Salmah memanggil Hayati untuk mendapat penjelasan daripadanya tetapi anaknya itu telah menjawab dengan kasar menyebabkan Datin Salmah memberi amaran dan Hayati tidak dibenarkan bercakap lagi dengan Hilmi. Datin Salmah juga sudah nekad untuk mencari jalan supaya Hilmi keluar dari rumahnya.
Dalam pada itu, Mak Minah datang pada petang itu dari kampung setelah Datin Salmah menelefon kepadanya melalui Balai Polis Lenggeng. Dia membawa oleh-oleh dari kampung yang Hayati gemari. Hayati pula menghadiahkan Mak Minah jam tangan kecil buatan Swiss. Mak Minah amat gugup mendapat jam baru. Dia teringat setiap kali Hayati pulang dari tempat-tempat yang jauh setiap kali itu pula ada oleh-oleh untuknya.

Sinopsis Bab 8 - Sengketa

Hilmi ke rumah Encik Bakar. Kedatangannya itu disambut oleh Azizah, anak Encik Bakar. Sebaik sahaja Hilmi melangkah masuk, Azizah menutup pintu. Azizah cuba menggoda Hilmi. Mula-mula Hilmi agak kekok tetapi lama-kelamaan sudah tidak terasa apa-apa baginya duduk satu bangku dengan Azizah dan bersentuhan badan. Tiba-tiba Azizah tersentak apabila mengetahui yang Hilmi hanya tukang kebun bapa saudaranya sahaja. Pada sangkaannya Hilmi itu paling tidak seorang kerani kecil atau seorang guru. Hilmi kemudian terus meminta izin untuk pulang.
Apabila menghampiri rumah bapa saudaranya, perasaan Hilmi gementar kerana terdapat tiga motokar asing di depan pekarangan rumah itu. Hilmi masuk dari pintu kecil di sebelah belakang. Mak Minah datang memberitahunya bahawa Datin Salmah heboh mencarinya. Ketika Hilmi sedang menyiram bunga-bunga yang terletak di bahagian anjung depan rumah itu, Datin Salmah datang dengan marah bertanyakan ke manakah dia pergi. Hilmi meminta maaf daripada mak ciknya dan berlalu pergi. Setelah selesai semuanya, Hilmi pun mandi dan terus masuk ke dalam biliknya. Dia teringatkan peristiwa yang berlaku antara dia dengan Azizah.
Dalam pada itu, ketika Encik Bakar pulang, Azizah memberitahu kedatangan Hilmi. Encik Bakar berpesan kepada Mamat supaya memberitahu Hilmi yang dia akan pergi ke rumah adik iparnya di Klang. Dia meminta Mamat menyampaikan pesan supaya Hilmi datang besok. Azizah juga cuba memberitahu bapanya tentang pekerjaan Hilmi sebagai tukang kebun tetapi bapanya tidak mengendahkan berita itu. Dia tahu Azizah kecewa kerana pada anggapannya Hilmi tidak setaraf dengannya. Azizah lulusan MCE dan sedang mencari kerja. Paling rendah pasangan yang ingin dicarinya ialah kerani. Bagi Encik Bakar untuk menjadi ahli muzik bukan perlu persekolahan tinggi. Ilmunya jika tidak diajarkan kepada orang, habislah reput dengan tulang-belulang di dalam kubur nanti. Azizah terdiam dan berasa kesal akan sikapnya itu terhadap Hilmi.
Namun begitu, perkara lain berlaku di rumah Datuk Johari. Hilmi tidak mahu makan makanan yang dibawa oleh Mak Minah kerana kecewa apabila diberitahu bahawa mak ciknya tidak membenarkan Mak Minah memanggilnya makan. Mak Minah meletakkan makanan itu di atas meja kecil dan balik ke dapur mengambil tudung saji dan air minum. Hayati muncul bersama-sama Mak Minah untuk memujuk Hilmi makan. Hayati bangun dan duduk di sebelah Hilmi. Hilmi memandang Hayati dengan perasaan pilu. Dia bingung dengan sikap yang diperlihatkan oleh Hayati. Selama ini dia menyangka Hayati tidak pernah mempedulikannya, Hilmi akhirnya menyuruh Hayati keluar. Mak Minah cuba menenangkan Hilmi dan menasihatinya supaya jangan terlalu ambil hati terhadap sikap mak ciknya. Hilmi kemudiannya keluar untuk berjumpa Mamat dan meminta pertolongannya mencari tempat untuknya berpindah dari rumah Datuk Johari.

Sinopsis Bab 9 – Pertemuan

Setelah dua hari Hilmi tiada di rumah barulah Datin Salmah menyedari bahawa kehadiran Hilmi selama ini mempunyai erti besar kerana adanya Hilmi di rumah itu, dia tidak perlu memikirkan sedikit pun tentang tanaman bunganya. Sami yang dihubungi oleh Datuk Johari tidak dapat datang bekerja, paling cepat akhir bulan. Dalam tempoh 12 hari itu, Datin Salmah mengerahkan Mak Minah, Pak Amat, dan Hayati sendiri untuk menolongnya menyiram bunga-bunga itu pada waktu petang. Hayati kini tidak mahu bercakap dengan ibunya sejak diketahui Hilmi telah pergi. Dia asyik berkurung di dalam bilik sahaja. Hayati kecewa kerana pada hari itu setelah pulang dari sekolah, dia mahu memberikan Hilmi tiket untuk menonton permainan piano seorang pianist dunia yang terkemuka yang akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Hayati amat kecewa apabila diberitahu oleh Mak Minah bahawa Hilmi telah pulang ke kampung. Tetapi Hayati tahu itu merupakan helah ibunya yang sememangnya tidak suka Hilmi tinggal di situ. Datin Salmah kemudian memujuk Hayati dan menyatakan bahawa Hilmi akan datang lagi selepas itu. Datin Salmah juga mulai risau tentang perubahan yang berlaku pada Hayati. Matanya sudah mulai cengkung, makannya sudah tidak banyak lagi. Dia bercadang untuk menyatukan Hayati dan Mohsin seberapa segera. Hayati boleh melanjutkan pelajarannya di England dan Mohsin pula boleh menyambung pelajaran tetapi Hayati menolak. Apabila ditanya oleh Mohsin tentang perubahan Hayati mereka membuat alasan keadaan Hayati yang murung dan susut tubuhnya itu kerana teringatkan Mohsin.
Dalam pada itu, Mamat menghantar Hilmi ke tempat bas. Hilmi amat gelisah. Bapanya sebenarnya tidak sakit. Surat yang diperlihatkan kepada pak ciknya itu ialah surat yang ditulis oleh Mamat. Dia amat risaukan Hayati. Hilmi teragak-agak mahu naik atau tidak. Akhirnya dia ikut naik. Waktu bas itu meninggalkan Tanjung Malim setelah berhenti rehat selama 30 minit, salah satu kerusi bas itu telah kosong. Hilmi tidak dapat menahan tekanan perasaannya. Dengan sebuah teksi dia pulang semula ke Kuala Lumpur. Hilmi terus berjalan mencari kerja. Dia menuju ke kios tempat jualan minyak. Dia tahu sekurang-kurangnya dia dapat menjadi pekerja sementara dengan gaji harian sebanyak dua ringgit setengah. Hilmi juga diberikan sebuah kanvas dan dibenarkan tidur bersama-sama dengan seorang penjaga malam.
Hilmi bekerja dengan rajin dan berdoa supaya pak cik atau mak ciknya jangan datang mengisi minyak di situ. Walau bagaimanapun, Hilmi telah terserempak dengan Mohsin. Mohsin telah menghasut tauke kedai minyak itu supaya membuang Hilmi tetapi tauke itu tidak mempedulikannya. Minggu pertama di bulan kedua bekerja di situ, Hilmi bertekad berjumpa semula dengan Encik Bakar. Dalam perjalanannya dia telah bertemu Pak Amat di kedai kopi. Kesempatan itu digunakan oleh Hilmi untuk bertanya khabar tentang Hayati. Dia amat sedih kerana Hayati kini sudah banyak berubah perangai dan dia tidak segembira dan senang dahulu lagi.
Sesampai Hilmi di rumah Encik Bakar, rumah itu seperti tiada penghuni. Tingkap dan pintunya tertutup rapat. Ketika di mahu berpatah balik, tiba-tiba sebuah jendelanya terbuka dan Azizah telah muncul dan terkejut dengan kehadiran Hilmi. Kedatangannya itu disambut dengan Hilmi. Hilmi menceritakan kisahnya kepada Encik Bakar dan hasratnya ingin menyambung belajar muzik dengannya. Encik Bakar tidak keberatan. Hilmi meminta izin pulang awal kerana telah berjanji dengan Ah Kong akan kembali sebelum pukul 7.00 malam untuk menggantikannya bekerja.
Hilmi diajar oleh Encik Bakar peringkat demi peringkat. Dia tidak sahaja belajar berbagai-bagai alat muzik tetapi juga diajar untuk mengenal lebih dekat tiap-tiap jenis alat itu. Hilmi sering diingatkan oleh Encik Bakar bahawa dia akan berjaya kerana mempunyai bakat. Hubungan Azizah dengan Hilmi juga semakin rapat. Setiap kali dia ke rumah Encik Bakar, Azizah selalu menyambutnya dengan mesra. Hilmi juga sudah mula kenal dengan not kerana menurut Encik Bakar untuk menjadi pemain muzik yang baik seseorang itu mesti tahu membaca not. Selain itu Hilmi telah belajar bermain trompet, seksofon, klarinet, dan biola.

Sinopsis Bab 10 - Bebas

Sejak Hilmi meninggalkan rumah pak ciknya, pokok-pokok bunga di taman Jepunnya yang dulunya menjadi kebanggaan kepada Datin Salmah dan Datuk Johari telah mulai musnah sedikit demi sedikit. Hayati pula seolah-olah ikut meratapi kehancuran taman bunga itu. Keadaan itu menyebabkan atin Salmah mendesak suaminya menulis surat ke kampung bertanyakan Hilmi, kalau benar Hilmi menggunakan sesuatu kuasa ghaib ke atas Hayati tetapi Datuk Johari menolak. Dia tahu isterinya itu telah terpengaruh dengan cakap-cakap morning coffee. Datin Salmah serba salah dengan keadaan Hayati. Hayati bukan lagi anak kecil yang dapat dipujuk dengan hadiah atau janji apabila dia menangis. Hayati sekarang sudah menjadi gadis remaja malah sudah bertunang. Ketika masuk ke bilik Hayati, dia terkejut kerana terjumpa buku agama dan lebih memeranjatkan lagi ialah sejadah dan telekung yang terlipat dengan baik di sudut biliknya. Anaknya itu sudah mula sembahyang. Dia keluar dari bilik itu dan menelefon suaminya. Perasaan ngeri mulai menguasai dirinya apabila dia mengetahui anaknya sembahyang setiap waktu sementara dia dan suaminya tidak sembahyang. Dia mula menyiasat dengan siapakah Hayati berkawan. Ketika suaminya pulang makan tengah hari dia terburu-buru menunjukkan buku-buku agama di bilik Hayati, tikar, dan telekung.
Hayati menyambut kepulangan Mohsin di lapangan terbang. Mohsin turut hairan melihat perubahan diri Hayati. Mohsin mengumumkan berita gembira iaitu dia hanya pulang sebentar sahaja dan akan berangkat lagi ke London kerana telah dilantik menjadi penolong pengurus di cawangan banknya yang baru sahaja dibuka di kota metropolitan Inggeris itu. Datin Salmah mencadangkan supaya perkahwinan antara Hayati dan Mohsin disegerakan. Cadangan itu tidak dibantah oleh Hayati, malah Hayati kelihatan terlalu gembira.
Berita perkahwinan Hayati dan Mohsin tersiar dalam semua surat khabar Melayu dan Inggeris. Hilmi terpegun ketika Azizah menunjukkan kepadanya berita perkahwinan itu. Hilmi memohon untuk beredar dan tidak ada mood untuk belajar muzik pada hari itu. Mamat pula datang ke biliknya membawa berita bahawa Hayati dan Mohsin akan berangkat ke England sebaik sahaja mereka pulang dan berbulan madu di Cameron Highland. Seminggu lamanya Hilmi berkurung di rumah. Habis kerja dia terus balik ke biliknya dan tidak keluar-keluar lagi. Penghuni di sebelah menyebelah biliknya itu hanya sering mendengar gesekan biola ataupun petikan gitar. Hari kelapan Hilmi pergi semula ke rumah Encik Bakar dengan memperlihatkan sebuah lagu yang telah dikarangkannya. Encik Bakar mencuba lagu itu di piano sambil dipindanya sedikit-sedikit. Hilmi memberi judul lagu itu “Sebuah Intermeso”. Hilmi berasa gembira kerana dia telah mengetahui bahawa dia mempunyai bakat bukan sahaja sebagai pemain muzik, tetapi juga sebagai penggubah lagu.

Sinopsis Bab 11 – Intermeso

Hilmi telah berhenti dari kios minyak petrol kerana akan menjadi anggota salah sebuah quartet yang terkenal di ibu kota. Encik Bakar telah mengambil Hilmi bermain di dalam quartetnya sebagai menggantikan tempat pemain biolanya yang kebetulan telah berpindah ke Pulau Pinang. Pertama kali berlatih Hilmi berasa gugup. Dia berasa mahu menarik diri sahaja daripada quartet tersebut tetapi atas dorongan Encik Bakar semangatnya pulih kembali. Hilmi memainkan lagu gubahannya “Sebuah Intermeso”. Seluruh hadirin terpesona dan terpegun. Hilmi telah diinterview ( ditemu ramah ) oleh pemberita hiburan dari sebuah surat khabar Inggeris yang terkemuka. Hasil interview itu telah disiarkan di dalam ruangan hiburan akbarnya pada hari yang berikutnya. Datuk Johari juga terpegun ketika melihat gambar Hilmi terpampang di ruangan hiburan surat khabar bertajuk “Penemuan Baru Abad ini Pemain Biola Hikmat Malaysia”.
Hayati tidur di rumah mak ciknya bersama Maimun. Maimun hairan dengan perubahan Hayati yang sudah sembahyang. Perbualan mereka berdua berkisar kepada Hilmi. Maimun tidak menyangka tukang kebun Hayati ada bakat muzik. Hati Hayati bergelodak kerana dia ingin menceritakan perkara sebenar bahawa Hilmi bukan tukang kebun. Daripada akhbar itu Hayati mendapat tahu Hilmi masih berada di Kuala Lumpur dan telah menjadi seorang pemain muzik dalam quartet tetap di Hotel Titiwangsa. Cuma Hayati kesal kerana Mamat sering berdalih apabila ditanya tentang Hilmi.
Pada malam kedua, Encik Bakar mendesak Hilmi memainkan lagunya “Sebuah Intermeso” tanpa nyanyian. Seluruh hadirin terpesona. Kisah Hilmi mendapat perhatian Setiausaha Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional. Encik Bakar telah melanggar peraturan perlembagaan persatuannya. Semua pemain muzik di hotel dan kelab-kelab malam hendaklah terdiri daripada anggota-anggota persatuan itu yang sah. Encik Bakar telah menerima surat daripada Setiausaha Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional. Encik Bakar menganggap itulah masa yang paling malang sekali dalam hidupnya. Dia bukan tidak sedar tentang hal ini, tetapi keadaan terdesak. Pemain biolanya tiba-tiba berhenti. Encik Bakar mengumpul semua ahli kumpulannya kecuali Hilmi untuk berbincang. Akhirnya mereka sebulat suara menyokong kemasukan Hilmi dalam kumpulan mereka. Hilmi kemudian diberitahu tentang krisis yang terjadi dan tentang keputusan mesyuarat itu. Walaupun keputusan itu dicapai sebulat suara, tetapi meninggalkan kesan yang parah dalam hati Hilmi. Dia berasa kesal kerana menjadi sebab Encik Bakar diancam oleh persatuannya. Walau bagaimanapun pada malam itu mereka bermain seperti biasa.
Seminggu sesudah itu, Encik Bakar telah dipanggil oleh Jawatankuasa Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional untuk menghadapi tuduhan melanggar tatatertib persatuan dan melanggar arahan setiausaha. Tiga jam lamanya ahli jawatankuasa persatuan itu membuat persidangan tertutup. Encik Bakar disuruh menunggu di luar bilik persidangan. Keputusan mesyuarat akhirnya memaafkan Encik Bakar kerana mengenangkan jasa-jasanya terhadap persatuan tersebut dan menerima keahlian Hilmi.


Sinopsis Bab 12 - Krisis

Hilmi gelisah kerana Encik Bakar belum pulang dan Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional dan dia tidak dibenarkan hadir sama dalam mesyuarat tersebut. Keyakinan Hilmi pulih setelah ibu Azizah menasihatinya supaya bertenang kerana dia percaya suaminya tidak akan diapa-apakan. Encik Bakar seorang yang jujur dan dia tidak akan dipecat. Kepulangan Azizah membawa berita tentang Hayati mendapat biasiswa dari British Council untuk belajar muzik di Conservatory of Music selama dua tahun dan akan berangkat esoknya. Hilmi tergesa-gesa pulang. Semasa Hilmi keluar, Encik Bakar pun sampai bersama-sama dengan Rahmat dan Harry Lam. Melihat Hilmi tidak ada di situ, Rahmat dan Harry Lam pun meminta diri pulang ke rumah.
Pada malam itu, ada dua penerbangan ke London. Satu kapal terbang British Airways dan satu lagi Qantas yang datang dari Sydney. Sekiranya Hilmi pergi ke lapangan terbang pada waktu itu bererti dia tidak dapat ikut bermain dalam orkestra Encik Bakar. Fikirannya terlalu runsing. Akhirnya dia pulang ke bilik. Di pintu biliknya ada sekeping surat yang ditinggalkan oleh Mamat menyatakan dia barangkali akan datang pada pukul tujuh malam dan ingin membawa Hilmi berjumpa Hayati. Di dalam pertemuan itu Hayati menyatakan bahawa dia amat mencintai Hilmi tetapi dia tidak mahu membantah kata orang tuanya dan terpaksa berkahwin dengan Mohsin. Mohsin juga tahu akan pertemuannya dengan Hilmi. Hayati juga menyatakan bahawa lagu “Sebuah Intermeso” itu menjadi ubat yang paling mujarab bila hatinya luka. Kaset lagu itu dibawanya di dalam beg ke mana sahaja dia pergi. Hayati juga meminta Hilmi memaafkan ibu dan bapanya kerana tindakan dan kelakuan mereka terhadapnya dahulu.
Encik Bakar pula gelisah kerana Hilmi belum muncul-muncul. Setelah kemunculan Hilmi, Encik Bakar memberikan resit sebagai bukti dia telah menjadi pemain muzik profesional yang sah. Pada malam itu, permainan yang luar biasa telah diperlihatkan oleh Hilmi. Ketika jam berdeting pukul 12.40 malam jantungnya ikut berdetak kuat kerana pada saat itu pesawat yang dinaiki oleh Hayati terbang meninggalkannya. Pada malam perpisahan itu Hilmi telah berjaya menggubah sebuah lagu yang lahir dari perpisahan dengan Hayati dan diberi judul “Perpisahan”. Encik Bakar juga telah memberikan petua-petua bagaimana cara menggubah lagu yang baik dan menasihati Hilmi supaya mengarang beberapa buah lagu lagi dan lagu-lagunya itu disimpan dahulu. Apabila telah banyak dan sudah cukup barulah dirakamkan menjadi rekod.
Pengaruh gitar rancak dan Barat telah mulai melanda ke negara ini. Hilmi telah mendapat keizinan Encik Bakar untuk menubuhkan kugiran yang diberi nama “Kugiran Dahlia” ringkasan nama Daniel, Azizah, Hilmi, Tony Lim, Dan Arasu. “Kugiran Dahlia” dengan cepat mendapat popularitinya. Hilmi banyak menggubah lagu untuk dinyanyikan oleh Azizah dan nama Azizah mulai terkenal. Perhubungan mereka semakin erat. Apabila gelombang kugiran mulai merosot, Hilmi kembali bergiat dalam orkestra yang bermain di kelab-kelab malam. Walaupun rekod dan kaset yang mengandungi lagu-lagu gubahannya sudah banyak terjual tetapi sebagai penggubah lagu dia tidak pernah mendapat hasil yang lumayan malah berdepan pula dengan masalah cetak rompak.
Setelah setahun lebih bergaul rapat, dia dan Azizah diijabkabulkan sebagai suami isteri. Pada mulanya kehidupan mereka sebagai suami isteri amat harmoni tetapi kira-kira setahun setelah anak lelaki mereka yang pertama lahir, Azizah mulai berubah dan Hilmi juga ikut berubah. Rumah tangga mereka mula goyah. Kepedihan yang dirasai dari penghidupan itu menyebabkan Hilmi banyak berfikir dan telah mendatangkan ilham untuknya menggubah lagu. Sebahagian besar lagu-lagu yang digubahnya tidak ditunjukkan kepada orang lain, walaupun kepada Encik Bakar.

Sinopsis Bab 13 – Perpecahan
Keretakan yang terjadi dalam rumah tangga Hilmi telah tidak dapat diselamatkan lagi. Encik Bakar dan isterinya, walaupun pada mulanya tidak mahu campur tangan kerana itu urusan rumah tangga mereka terpaksa memanggil kedua-duanya kerana keadaan semakin buruk. Tetapi pertemuan itu tidak membawa apa-apa hasil. Persengketaan antara mereka tidak boleh diatasi malah Azizah mengajar anaknya memanggil Hilmi dengan panggilan “bapa jahat”. Azizah cemburu kerana pada anggapannya beberapa buah lagu yang telah digubah khas oleh Hilmi adalah untuk Hayati. Sedangkan dia tidak mengetahui Hilmi juga pernah menggubah lagu tentang cinta dan sayangnya kepada isteri dan anaknya dalam lagu “Balada Kasih”.Lagu itu ialah curahan isi hatinya yang jujur. Kini hidupnya terasa kesunyian yang amat sangat. Dia sering menyembunyikan kesedihannya daripada kawan-kawannya. Dia terus menghiburkan orang-orang yang datang mencari hiburan di tempatnya bermain muzik. Dia juga tetap menggubah lagu. Sekali sekala dia teringatkan Hayati. Tragedi yang menimpanya menyebabkan dia mencipta sebuah lagu yang diberi tajuk “Cinta dan Tangis”. Lagu “Cinta dan Tangis” menjadi inspirasi kepadanya untuk menggubah lagu-lagu lain dan menulis sendiri sari katanya. Dia mulai terasa bahawa menggubah lagu-lagu itu sebagai satu misi yang telah ditugaskan oleh Tuhan kepadanya biarpun terpaksa bekerja keras siang dan malam tetapi hatinya senang dan tenteram. Harapan untuk kembali dengan Azizah telah pudar. Walau bagaimanapun dia belum berniat untuk menceraikan Azizah kerana Azizah sendiri tidak pernah memintanya. Setiap malam sebaik sahaja pulang dari tempatnya bekerja, Hilmi akan duduk di hadapan pianonya menggubah lagu-lagu baru. Kalau ilhamnya tidak ada dia akan memainkan rekod. Lagu-lagu yang telah digubahnya kini berjumlah ratusan buah.
Orkes Hilmi telah mendapat undangan untuk bermain dalam pertunjukan Hari Keputeraan Sultan Kelantan di Kelantan. Hilmi mendapat sambutan yang luar biasa. Peminat-peminatnya telah menyerbunya. Kira-kira jam empat pagi, Hilmi dikejutkan dengan panggilan telefon dari Rahmat tentang kematian Encik Bakar. Hilmi menaiki kapal terbang MAS pulang ke Kuala Lumpur. Dalam penerbangan tersebut dia telah selesai menyiapkan sebuah lagu yang diberi nama “Seniman” yang dicipta khas untuk Encik Bakar iaitu guru, kawan, dan bapa mertuanya.
Tiga tahun berturut-turut Hilmi muncul sebagai pemenang dalam pesta muzik tahunan yang dianjurkan oleh RTM. Hilmi telah diberi penghormatan untuk memimpin satu pertunjukan Orkes Perdana yang dianjurkan oleh RTM. Pertunjukan itu sama tarafnya dengan Royal Performance ( persembahan di-Raja ) yang diadakan di England. Hilmi diminta untuk membuat arrangement (penyusunan) semua lagunya dan diberi nama “Hilmi Potpouri”. Publisiti (berita) tentang pertunjukan itu tersebar luas. Bukan sahaja melalui RTM, tetapi juga melalui media massa di seluruh negara. Datin Salmah juga telah mendesak Datuk Johari mencari kad jemputan pertunjukan Orkes Perdana itu kerana saudaranya iaitu Datin Mastura (kakak), dan Datuk Roslan (abang ipar), Datin Maniam (kakak), dan seluruh geng morning coffee telah bercadang untuk menontonnya.

Sinopsis Bab 14 – Seniman
Dewan Tunku Canselor telah penuh sesak. Keadaan kalut mulai terasa apabila Hilmi belum kelihatan. Ketua Pengarah RTM mengarahkan Amat, seorang pengawal RTM pergi menjemput Hilmi tetapi Hilmi tidak ada di rumahnya. Ketua Pengarah itu tidak puas hati lalu mengajak Amat sekali lagi bersama-samanya pergi ke rumah Hilmi Dan akhirnya mereka mendapat tahu daripada seorang pemuda Cina bahawa Hilmi sakit dan dimasukkan ke hospital. Ketua Pengarah berkejar ke hospital dan dia mendapati keadaan Hilmi dalam bahaya dan telah dibawa ke unit rawatan rapi ( ICU ). Doktor juga telah memberitahu bahawa nyawa Hilmi terancam dan dia tidak mungkin dapat memimpin Orkes Perdana. Ketua Pengarah telah mengarahkan Borhan supaya mencari pengganti Hilmi dan kembali ke universiti. Kebimbangannya itu dikongsi bersama oleh Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha. Tiba-tiba muncul Hayati, wanita yang ingin menonton pertunjukan tersebut. Keadaan menjadi semakin kelam kabut. Berbagai-bagai spekulasi telah dibuat kerana ketiadaan Hilmi itu. Hayati mendapat tahu tentang kesakitan yang dialami oleh Hilmi dan berminat untuk membantu Hilmi memimpin pertunjukan tersebut. Setelah menunjukkan bukti kelulusan dan pengalamannya serta hubungan rapat dengan Hilmi, akhirnya ketua pengarah membenarkan Hayati memimpin Orkes Perdana tersebut.
Datuk Johari dan Datin Salmah menyesali perbuatan mereka terhadap Hilmi, lebih-lebih lagi apabila mendengar puji-pujian yang diberikan kepada Hilmi oleh penonton. Mereka juga menyedari yang memimpin pertunjukan orkes itu ialah Hayati. Baginda Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Perdana Menteri amat terhibur dengan persembahan itu dan dukacita di atas kemalangan yang menimpa Hilmi. Setelah pertunjukan selesai Hayati bergegas ke hospital, begitu juga Datuk Johari dan Datin Salmah apabila mengetahui perkhabaran tersebut. Di hospital, Datuk Johari telah bertemu dengan abang sepupunya iaitu bapa Hilmi yang baru sampai dari kampung. Suasana menjadi bertambah pilu dengan kehadiran Azizah, ibunya serta Hakim, anak Hilmi.
Abang sepupunya itu kemudian menceritakan kepada Datuk Johari dan Datin Salmah bahawa Hilmi selalu memuji kebaikan pak cik dan mak ciknya itu. Akhirnya abang sepupunya iaitu Karim akhirnya membongkar rahsia bahawa Hilmi sebenarnya anak kandung Datuk Johari. Dia sengaja menyimpan rahsia itu kerana tidak mahu merosakkan rumah tangga mereka. Datuk Johari dan Datin Salmah amat menyesal dan akan menebus dosa mereka sekiranya Hilmi pulih. Setelah doktor yang merawat Hilmi membenarkan mereka melawat Hilmi, mereka pulang ke rumah Datuk Johari. Karim bersyukur kerana Allah memanjangkan usianya dan dapat membuka rahsia yang terpendam di hati selama ini. Sesampai sahaja di pekarangan rumah, mereka dikejutkan dengan panggilan telefon dari hospital. Datuk Johari telah menerima khabar tentang kematian Hilmi dan pada saat yang sama Datuk Johari jatuh terjelepok di atas lantai dan pergi buat selama-lamanya.

PENGAJARAN DAN BUKTI - KONSERTO TERAKHIR



Pengajaran
Bukti
Kita hendaklah membantu orang yang memerlukan tanpa mengharap akan balasan.
Encik Bakar sanggup mengajar Hilmi bermain muzik tanpa mengenakan bayaran kerana bersimpati dengan anak muda itu.
Manusia janganlah memandang hina orang lain walaupun berasal dari kampung.
Datin Salmah memandang hina kepada Hilmi hanya kerana anak muda itu berasal dari kampung di Kedah.
Seorang isteri hendaklah menghormati suaminya demi sebuah rumah tangga yang bahagia.
Rumah tangga Datuk Johari tidak begitu stabil kerana Datin Salmah tidak menghormati suaminya dan sering mempengaruhi keputusan Datuk Johari.
Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu yang kita impikan dalam kehidupan.
Hilmi berusaha dengan gigih untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang ahli muzik yang terkenal.
Manusia hendaklah insaf dan berusaha untuk menebus dosa apabila menyedari kesilapan yang pernah dilakukan.
Datin Salmah akhirnya insaf akan perbuatan kejamnya terhadap Hilmi.  Dia ingin mengambil  anak Hilmi untuk dipelihara sebagai tindakan menebus dosanya.
Kitta hendaklah menjaga nama baik saudara atau adik beradik sendiri.
Hilmi tidak menceritakan yang buruk-buruk tentang Datuk Johari dan Datin Salmah kepada bapanya, sebaliknya memuji-muji kedua-duanya.


KUPASAN TEMA DAN PERSOALAN NOVEL KONSERTO TERAKHIR

Tema:
Kegigihan dan ketabahan seorang anak muda dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan sehingga berjaya mengecapai kejayaan yang gemilang sebagai seorang seniman.

Persoalan:
1. Kepentingan Ilmu pengetahuan dalam kehidupan.
a) Hilmi tidak berjaya untuk mendapatkan pekerjaan yang baik walaupun cuba dibantu oleh Datuk Johari kerana beliau tidak mempunyai pendidikan.

2. Kerajinan dan kegigihan dapat menjadikan diri seseorang berjaya.
a) Walaupun tidak berpendidikan dan miskin, Hilmi akhirnya berjaya menjadi seorang seniman yang terkenal kerana usaha gigih beliau mempelajari ilmu bermain alat muzik.

3. Sikap sesetengah masyarakat yang mementingkan pangkat dan memandang rendah pada orang lain.
a) Datin Salmah memandang hina kepada Hilmi kerana beliau anak kampung yang tidak berpendidikan dan miskin.
b) Datin Salmah menganggap kehadiran Hilmi ke rumah beliau hanya menjejaskan status keluarganya. Hilmi juga dimarah apabila mengusik piano anaknya Hayati.

4. Keikhlasan dalam memberikan pertolongan tanpa mengharapakan balasan.
a) Encik Bakar sanggup mengajar Hilmi bermain alat muzik dan mencipta lagu sehingga Hilmi berjaya menjadi seorang seniman yang terkenal. Encik Bakar tidak mengenakan apa-apa bayaran semasa mengajar Hilmi.

5. Berkorban demi kebahagiaan orang lain.
a) Hayati sanggup mengorbankan cintanya demi kebahagiaan ibu bapanya. Hayati mencintai Hilmi tetapi berkahwin dengan Mohsin kerana memenuhi kehendak Datuk Johari dan Datin Salmah.
b) Pak Karim berkorban untuk kebahagiaan Datuk Johari dan Datin Salmah. Pak Karim sanggup merahsiakan Hilmi adalah anak Datuk Johari kerana takut mengancam kebahagiaan rumah tangga Datuk Johari dan Datin Salmah.

6. Sifat bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
a) Hilmi menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya sebagai tukang kebun. Hilmi menanam pelbagai sayur seperti bayam, petola, terung, kacang dan mentimun. Hilmi menternak ayam dan hasilnya dapat dijadikan lauk pauk. Hilmi dapat menjaga pokok bunga sehingga halaman rumah Datuk Johari sangat cantik.
b) Hilmi bekerja keras untuk menjayakan Pertunjukan Orkestra Perdana kerana tugas itu telah diamanahkan kepadanya oleh Ketua pengarah RTM.

7. Menyedari kesilapan yang pernah dilakukan.
a) Datuk Johari insaf akan perbuatannya yang kejam terhadap isteri pertamanya.
b) Datin Salmah menangis apabila mengetahui kisah sebenar Hilmi ketika Hilmi sedang sakit.
c) Azizah menyesali kerana perbuatannya meninggalkan Helmi. Beliau datang ke hospital memohon maaf daripada Pak Karim kerana berbuat salah terhadap Hilmi.

KONSERTO TERAKHIR Karya Abdullah Hussain


Sinopsis/Ringkasan cerita

Hilmi berhijrah dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Dia menumpang tinggal di rumah sepupu bapanya iaitu Datuk Johari. Walau bagaimanapun, kehadiran Hilmi tidak disukai oleh Datin Salmah kerana Datin Salmah memandang hina terhadap orang kampung yang miskin seperti Hilmi. Datuk Johari menawarkan kerja kepada Hilmi iaitu sebagai tukang kebun di rumahnya. Kerajinan dan sifat artistik yang dimiliki oleh Hilmi telah mengubah lanskap di kawasan pekarangan rumah Datuk Johari hingga menjadi lebih cantik.

            Hayati, anak Datuk Johari pula tertarik oleh kebolehan Hilmi bermain piano.  Hubungan Hayati dengan Hilmi yang semakin rapat menyebabkan Datin Salmah bertekad untuk menghalau Hilmi dari rumahnya. Hilmi kemudiannya meninggalkan rumah Datuk Johari dan belajar bermain alat muzik daripada Encik Bakar. Seterusnya, Hilmi berjaya menjadi seorang pemain alat muzik dan penggubah lagu yang terkenal. Sebelum berangkat ke London dengan suaminya, Hayati datang berjumpa dengan Hilmi dan menyatakan perasaan cintanya kepada Hilmi.

            Orkestra Hilmi berjaya memenangi Festival Muzik di Jepun. Hilmi berkahwin dengan Azizah tetapi Azizah meninggalkannya selepas mendapat seorang anak. Hilmi terjatuh dan terlantar di hospital pada malam “Pertunjukan Orkes Perdana.” Ketika itu, Hayati pulang dan mengambil alih tugas Hilmi sebagai pemimpin orkestra pada malam “Pertunjukan Orkes Perdana”. Di hospital pula, Pak Karim memberitahu Datuk Johari bahawa Hilmi sebenarnya ialah anak Datuk Johari hasil perkahwinannya dengan isterinya yang pertama. Sebagai kesannya, Datuk Johari dan Datin Salmah insaf akan perbuatan mereka yang menyeksa Hilmi sebelum itu. Akhirnya, Datuk Johari meninggal dunia secara mengejut selepas menerima berita kematian Hilmi.

 Tema
Ketabahan seorang pemuda yang menghadapi cabaran dalam kehidupan hingga mencapai kejayaan yang cemerlang.

 Persoalan
i.   Sikap masyarakat yang mementingkan pangkat dan kedudukan sehingga sanggup menghina keluarga sendiri.
ii.  Keikhlasan dalam memberikan pertolongan tanpa memikirkan balasannya.
iii. Kesanggupan berkorban demi menjaga kepentingan pihak lain.
iv. Kejayaan dalam bidang seni dicapai tanpa memerlukan pendidikan tinggi.
v.  Keinsafan setelah melakukan sesuatu kesalahan.

Watak Utama
Hilmi
 Perwatakan Hilmi
i.   Pemuda kampung yang miskin dan berpendidikan sekolah Melayu hingga darjah empat sahaja.
ii.  Rajin bekerja dan mempunyai kemahiran artistik.
iii. Mempunyai bakat yang luar biasa dalam bidang muzik.
iv. Memiliki kegigihan dalam menghadapi dugaan.
v.  Bersikap penyayang, bersopan, dan akur kepada nasihat orang tua.
vi.  Taat kepada perintah Tuhan dengan menunaikan sembahyang.
vii.  Bijak memanfaatkan kekecewaan untuk mencipta kejayaan.
viii. Pencipta dan penggubah lagu yang terkenal.
ix.  Memenangi Festival Muzik di Tokyo dan pesta muzik tahunan RTM.
x.   Meninggal dunia tanpa mengetahui bahawa dia ialah anak kandung Datuk Johari.

Watak Sampingan
Hayati
i.   Anak Datuk Johari dan Datin Salmah.
ii.  Bersifat simpati dan belas kasihan kepada Hilmi.
iii. Gadis yang penyayang dan mencintai Hilmi.
iv. Sikapnya berubah selepas mencintai Hilmi, iaitu mulai sembahyang dan membaca buku-buku agama.
v. Berkahwin dengan Mohsin kerana taat akan perintah ibu bapanya.
vi. Suka berterus terang dan jujur.
vii. Menjadi penyelamat pada malam pertunjukan Orkes Perdana dengan menggantikan Hilmi sebagai peneraju orkestra itu.  

Binaan Plot
Peristiwa disusun secara tidak kronologi kerana ada teknik imbas kembali.
i.   Permulaan – Kehadiran Hilmi di rumah Datuk Johari dan Datin Salmah.
ii.  Perkembangan - Konflik berlaku antara Datin Salmah dengan Hilmi dan antara Azizah dengan Hilmi.
iii. Perumitan - Pembaca tertanya-tanya tentang perkara yang mungkin berlaku pada malam Pertunjukan Orkes Perdana kerana Hilmi sebagai teraju utama sedang terlantar di hospital.
iv. Kemuncak cerita – Pak Karim memberitahu Datuk Johari bahawa Hilmi ialah anak Datuk Johari.
v. Peleraian – Datuk Johari mati setelah beliau mendapat tahu bahawa Hilmi, anak kandungnya itu meninggal dunia di hospital.

Nilai
i. Kasih sayang - contohnya Hilmi sayang akan Hayati hingga dia berasa cemburu melihat Hayati berjalan dengan Mohsin.
ii. Simpati - contohnya, Hayati bersimpati kepada Hilmi yang tidak makan nasi kerana dilarang oleh Datin Salmah.
iii. Tolong-menolong - contohnya, Mamat menolong Hilmi dengan cara memperkenalkan Hilmi kepada Encik Bakar supaya Hilmi dapat mempalajari alat muzik.
iv. Gigih - contohnya, Hilmi gigih berusaha tanpa mengenal jemu hingga berjaya menjadi pemain muzik dan penggubah lagu yang terkenal.
v. Taat kepada ibu bapa contohnya, Hayati berkahwin dengan Mohsin kerana taat kepada ibu bapanya walaupun Hayati mencintai Hilmi.
vi. Insaf - contohnya, Datuk Johari dan Datin Salmah insaf akan perbuatan kejam mereka terhadap Hilmi selepas mengetahui bahawa Hilmi ialah anak Datuk Johari sendiri.
vii. Nasihat-menasihati - contohnya Pak Amat menasihati Hilmi supaya berusaha memajukan diri.
viii. Ikhlas - contohnya, Encik Bakar menolong Hilmi dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Pengajaran
i.  Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai cita-cita.
ii. Kita janganlah mementingkan darjat dan pangkat hingga sanggup menghina orang lain.
iii. Kita perlulah menolong orang lain yang memerlukan pertolongan.
iv. Kita hendaklah insaf akan kesalahan yang telah dilakukan.
v. Kita janganlah mementingkan keseronokan hingga sanggup mengorbankan rumah tangga sendiri.
vi. Kita perlulah mematuhi nasihat orang yang berpengalaman kerana banyak manfaatnya.
vii. Kita haruslah sayang-menyayangi antara sesama insan.
viii. Kita janganlah terlalu gembira dengan kemewahan hidup hingga lupa akan kampung halaman sendiri.