Showing posts with label KOMSAS TINGKATAN 4 2010. Show all posts
Showing posts with label KOMSAS TINGKATAN 4 2010. Show all posts

Thursday, 27 September 2012

KOMSAS - SAJAK MAHSURI


Mahsuri
(Zurinah Hassan)

Rangkap 1
Sajak ini  mengisahkan tentang diri Mahsuri dan sumpahannya yang menjadi lagenda di Pulau
Langkawi. Mahsuri digambarkan sebagai lambing wanita yang setia tetapi telah difitnah akibat
hasad dengki dan dendamnya terhadap orang yang menzalimi dirinya. Sumpahan dan darah
suci Mahsuri yang mengalir berwarna putih ketika dia dibunuh telah menjadi lagenda. Setelah
tamatnya tempoh sumpahan Mahsuri tujuh keturunan, kini langkawi telah membangun dengan
pesat dan maju.

Rangkap 2
Penyajak menzahirkan pertikaian beberapa pendapat tentang kewujudan Mahsuri kerana ada
yang mengatakan kisah Mahsuri hanyalah khayalan seorang seniman.Namun realitinya kisah
Mahsuri itu benar dan keunikan Mahsuri itu telah digarapkan dalam karya sastera dan akhirnya
menjadikan lagenda itu lebih mahsyur. Lagenda inilah yang menjadi batu loncatan kepada
kemajuan Langkawi. Hasil karya sastera telah memperkasa dan memartabatkan kesusasteraan
tanah air tercinta.

TEMA
Sejarah dan sastera yang begitu bernilai dan mampu menjana ekonomi Negara.

PERSOALAN
1. Persoalan fitnah dalam kalangan masyarakat. Mahsuri dihukum bunuh kesan fitnah
yang menimpa dirinya. Disebabkan itu warna darahnya yang mengalir telah menjadi
putih.
2. Persoalan sumpah dan dendam. Kezaliman yang berlaku ke atas dirinya telah
menimbulkan dendam sehingga terzahirnya sumpah Mahsuri tujuh keturunan.
3. Persoalan sastera dan sejarah. Sejarah menjadi bukti sahih yang digarapkan menjadi
hasil sastera yang bernilai.
4. Persoalan mengharumkan nama Negara di persada dunia. Lagenda Mahsuri telah
memahsyurkan nama Langkawi diserata dunia.

BENTUK SAJAK
1. Terdiri daripada dua rangkap
2. Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama ada enam belas baris manakala
rangkap kedua ada sebelas baris.
3. Mengandungi antara satu hingga enam patah kata sebaris.
4. Rima akhirnya bebas iaitu abbaccdedfaaaaba dan abbaccdeeed.
5. Sajak ini berbentuk bebas.

NADA
Melankolik.

GAYA BAHASA
1. Pemilihan kata atau diksinya indah.
Contoh : air matamu dingin embun.
2. Aliterasi :pengulangan konsonan m
Contoh : rambutmu menjadi jalur hitam (rangkap 1  baris 5)
3. Asonansi :pengulangan vokal u
Contoh : menyambut tetamu pulau
4. Metafora
Contoh : terapung di laut malam  (rangkap 1, baris 6)
5. Hiperbola
Contoh : melengkung tujuh tanjung (rangkap 1, baris 10)
                Putihlah pulau ini (rangkap 1, baris 11)
6. Sinkope
Contoh : kerana tanpamu
7. Personifikasi
Contoh : nyanyian ombak pagi (rangkap 1, baris 4)

NILAI
1. Nilai menghargai.  Sejarah dan  sastera perlu dihargai sebagai warisan negara yang
bernilai tinggi.
2. Nilai kesetiaan. Mahsuri digambarkan sebagai seorang isteri yang sangat setia kepada
suaminya.
3. Nilai patriotisme. Perasaan cinta akan sejarah dan sastera penting dalam pembinaan
negara bangsa yang berjaya.
4. Nilai kreativiti penulis.Penulis yang kreatif mampu mengolah bahan sejarah menjadi
hasil sastera yang indah.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah menghargai sejarah dan sastera kerana kedua-duanya mempunyai
kebaikannya kepada pembangunan negara.
2. Janganlah kita suka menfitnah seseorang tanpa usul periksa.
3. Kita hendaklah berfikiran kreatif dalam usaha merancang pembangunan negara.

Soalan
1. Nyatakan tema sajak Mahsuri.
2. Nyataka dua faktor Pulau langkawi popular sebagai destinasi pelancongan negara.

Jawapan
1. Tema sajak Mahsuri ialah sejarah dan sastera yang begitu bernilai dan mampu menjana
ekonomi negara.
2. Dua faktor Pulau Langkawi menjadi popular sebagai destinasi pelancongan negara ialah
kisah lagenda Mahsuri dan keindahan dan keunikan pulau itu.

  
Wanita ini adalah waris Mahsuri ke tujuh - Wan Aisyah namanya.

Friday, 14 September 2012

SAJAK ADAT SEZAMAN


ADAT SEZAMAN (Wan Nazihah Wan Abdullah)

Peradaban zaman semakin berlalu
meninggalkan kesan mendalam
terlalu indah apabila dipandang
terlalu mulia apabila diselidik
santun si dara jadi idaman
warak  si teruna jadi ikatan
si tua tersenyum mesra
memandang teruna dara
sama cantik sama padan
berganding bersama
di singgahsana …

Masa itu telah jauh
zaman sudah berlalu
santun sang dara
dan warak sang teruna telah lenyap
si tua berduka lara
memandang teruna dara
berganding tanpa silu
tanpa hormat
tanpa batasan
adapt sezaman ditinggal jauh
adat agama dipandang remeh
adat kuning jadi ikutan.

Maksud

Peradaban zaman semakin berlalu dan meninggalkan kesan kepada masyarakat. Adat tradisi nenek moyang mempunyai nilai murni yang tinggi dari aspek keindahan budayanya. Budaya tradisi ini mulia dan sesuai untuk dijadikan bahan kajian. Sikap gadis timur yang penuh kesopanan dan sang teruna yang mempunyai pegangan agama yang sangat sepadan untuk digandingkan bersama di atas pelamin.

Namun kini perubahan zaman telah memberi kesan dalam kehidupan masyarakat. Kini gadis yang bersopan santun amat sedikit dan lelaki yang kuat pegangan agama dan nilai ketimuran mulai lenyap ditelan arus globalisasi. Golongan tua kini berasa malu dengan sikap anak muda yang suka berkelakuan tidak sopan di tempat awam tanpa segan silu. Sehinggakan ada sesetengahnya yang melampaui batasan agama.

TEMA
Perubahan adat tradisi akibat arus modenisasi.

PERSOALAN
1. Persoalan adat ketimuran yang tinggi nilainya. Adat timur amat indah dan mulia dalam
kehidupan masyarakat terdahulu.

2. Persoalan pergaulan bebas dalam kalangan anak muda. Pada hari ini anak muda
bergaul bebas tanpa rasa malu.

3. Persoalan perasaan kecewa golongan tua terhadap generasi muda. Golongan tua
berasa sangat kecewa dan sedih apabila melihat budaya kuning yang menjadi ikutan
dan sanjungan.

4. Persoalan pegangan agama yang kuat dapat mengelakkan unsur-unsur negatif. Gadis yang mempunyai pegangan agama mampu mengelakkan diri daripada perbuatan yang negatif seperti pergaulan bebas.

BENTUK SAJAK
1. Sajak ini terdiri dari 1 rangkap.
2. Panjang pendek baris tidak sama dengan jumlah perkataan yang tidak terkawal.
3. Terdiri daripada 4 – 13 suku kata.
4. Sajak berbentuk bebas.

NADA
Melankolik.

GAYA BAHASA

1. Pemilihan kata atau diksinya indah.
Contoh : warak si teruna jadi ikatan

2. Aliterasi :pengulangan konsonan l
Contoh : terlalu mulia apabila diselidik (rangkap 1,baris 4)

3. Asonansi :pengulangan vokal a
Contoh : sama cantik sama padan 

4. Metafora
Contoh : si tua berduka lara  (rangkap 1, baris 16)

5. Anafora
Contoh : terlalu indah apabila dipandang (rangkap 1, baris 3)
               terlalu mulia apabila diselidik (rangkap 1, baris 4)

6. Inversi
Contoh : adat sezaman ditinggal jauh (rangkap 1, baris 4)
               adat agama dipandang remeh (rangkap 1, baris 21)

NILAI

1. Nilai ketinggian budi bahasa. Pada masa dahulu anak gadis dan teruna mempunyai budi
pekerti yang tinggi..

2. Nilai ketakwaan. Ketakwaan pada ajaran agama mampu menghindarkan seseorang itu
daripada melakukan perbuatan yang melampaui batas agama.

3. Nilai jati diri. Gadis yang mempunyai jati diri pasti akan menjunjung adat ketimuran.

PENGAJARAN

1. Kita hendaklah mengikut adat dan berpegang teguh kepada ajaran agama. Adat dan agama mampu  menjadi panduan untuk mengekang masyarakat daripada melakukan perkra yang melanggar norma-norma hidup.

2. Kita hendaklah mempunyai nilai jati diri yang utuh. Sekiranya remaja mempunyai nilai jati diri yang tinggi, mereka pasti akan menjunjung adat ketimuran.

3. Kita hendaklah bijak memilih pasangan. Seseorang yang rasional akan memilih pasangan yang berpegang teguh kepada ajaran agama supaya terhindar daripada pergaulan bebas.

Soalan
1. Nyatakan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak Adat Sezaman.
2. Mengapakah golongan muda perlu memelihara adat mengikut ajaran agama?

Jawapan:
1. Tiga persoalan yang terdapat dalam sajak Adat Sezaman ialah persoalan adat
ketimuran yang tinggi nilainya, persoalan pergaulan bebas dalam kalangan anak muda serta persoalan perasaan kecewa golongan tua terhadap generasi muda yang menyanjung budaya kuning.

2. Golongan muda perlu memelihara adat mengikut ajaran agama untuk menghindarkan mereka daripada terjebak dengan budaya kuning yang mengagungkan pergaulan bebas.

SAJAK DI PERPUSTAKAAN


DI PERPUSTAKAAN

Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati

Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya sedetik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman

Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak berpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tak pernah langsai.

Shafie Abu Bakar
Antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka,2009.


Maksud Sajak.

Rangkap 1
Penyajak menggambarkan suasana di dalam perpustakaan sangat berbeza daripada tempat-tempat lain. Perpustakaan amat kaya dengan pelbagai ilmu. Para pengunjungnya pula tekun menelaah.

Rangkap 2
Penyajak berasakan bahawa dirinya terlalu kerdil apabila berada di rak buku yang mengandungi pelbagai jenis buku. Penyajak berasakan ilmu yang dimilikinya terlalu sedikit jika dibandingkan dengan lautan ilmu yang terdapat di perpustakaan dan dirinya tidak mugkin dapat menguasai semua ilmu yang ada di dunia.

Rangkap 3
Penyajak berusaha mencari ilmu pengetahuan walaupun dia mengetahui ilmu yang ada tidak akan habis diterokainya.


Tema.

Perpustakaan merupakan gedung ilmu yang menjadi kunjungan pencinta ilmu.


Persoalan.

1.Persoalan pelbagai khazanah ilmu yang terdapat di perpustakaan dan perlu dimanfaatkan.
2.Persoalan tentang pencarian ilmu pengetahuan yang terlalu luas bidangnya.
3.Persoalan cinta akan ilmu pengetahun.


Bentuk Sajak.

1.Terdiri daripada tiga rangkap
2.Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama ada sepuluh baris, rangkap kedua ada lima belas baris dan rangkap ketiga terdiri daripada enam baris.
3.Mengandungi antara dua hingga lima patah kata sebaris.
4.Rima akhirnya bebas abccdddddd, abacdbbefegehcc,, abbaba.
5.Sajak ini berbentuk bebas.


Nada.
Sinis


Gaya Bahasa.
1.Pemilihan kata atau diksinya indah. Contoh : Gua pendeta bersamadi.

2.Aliterasi :pengulangan konsonan n
Contoh : Ke kedinginan yang menerpa (rangkap 1 baris 4)
Pengulangan konsonan t
Contoh : satu pertukaran yang kontras

3.Asonansi :pengulangan vokal a
Contoh :Dahaga tak pernah langsai (rangkap 3, baris 6)
Pengulangan vokal i
Contoh : hanya sebiji dari mutiara (rangkap 2, baris 12)

4.Anafora – pengulangan perkataan pada awal baris
Contoh : Di puncak sepi
Di sana sini (rangkap 1, baris 7-8)

5.Metafora
Contoh : Di dada samudera (rangkap 3, baris 3)
Bahtera ilmu (rangkap 2, baris 7)

6.Sinkope
Contoh : Melangkah ke ruangmu
Yang akan kucatat

7.Personifikasi
Contoh : Ke kedinginan yang menerpa

8.Imejan
Contoh : Gua pendeta bersemadi. (rangkap 1, baris 6)


Nilai.

1.Nilai kerajinan, contohnya rajin menuntut ilmu.
2.Nilai ketekunan, contohnya tekun dalam mempelajari ilmu pengetahuan.
3.Nilai bertanggungjawab contohnya berminat untuk mendalami ilmu pengetahuan.


Pengajaran.

1.Kita hendaklah tekun semasa menuntut ilmu.
2.Kita hendaklah meneliti minat untuk mendalami sesuatu bidang ilmu.
3.Kita hendaklah memiliki kegigihan dalam usaha mngejar ilmu.
4.Kita hendaklah rajin mengunjungi perpustakaan.


Soalan Latiha:

1.Mengapakah penyajak berasa kagum apabila melangkah ke ruang perpustakaan?

2.Nyatakan dua kepentingan perpustakaan kepada masyarakat.

Jawapan:

1.Penyajak kagum apabila melangkah ke ruang perpustakaan kerana dipenuhi pelbagai buku ilmiah yang membezakan perpustakaan daripada tempat-tempat lain.

2.Dua kepentingan perpustakaan kepada masyarakat ialah tempat rujukan kepada pencinta ilmu dan sumber ilmu dalam pelbagai bidang.

Tuesday, 27 September 2011

KOMSAS - SAJAK Harga Remaja

MAKSUD


Rangkap 1
Pengajak menerangkan tentang kepentingan usia remaja yang tinggi nilainya dalam meniti kehidupan.


Rangkap 2
Penyajak mencetuskan persoalan tentang pengisian kehidupan remaja sama ada dipenuhi kelalaian atau digunakan untuk menuntut ilmu.


Rangkap 3
Usia remaja amat bernilai dan tidak boleh dibeli dengan perjanjian. Remaja perlu teguh pendirian, berani menghadapi cabaran dan gigih menuntut ilmu.


Rangkap 4
Remaja perlu mempunyai matlamat hidup untuk menjadi insan yang berguna.
Ketinggian nilai usia remaja berdasarkan pengisian usia muda.


TEMA
Zaman remaja ialah zaman paling berharga dan para remaja mesti mengisinya dengan sesuatu yang baik. Remaja juga mesti berani berpendirian dan berilmu pengetahuan serta mempunyai hala tuju.


PERSOALAN
1 Kehidupan remaja yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
2 Jati diri remaja.
3 Keberanian remaja dalam menempuh liku-liku kehidupan.
Tanpa keberanian, remaja susah menghadapi zaman remaja yang penuh masalah dan pengaruh.
4 Hala tuju hidup dalam diri remaja.
Zaman remaja dapat diisi dengan sebaik-baiknya dengan adanya hala tuju dan matlamat hidup.


BENTUK
1 Terdiri daripada empat rangkap
2 Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama, kedua dan ketiga terdiri daripada enam baris, manakala rangkap keempat terdiri daripada dua baris.
3 Mengandungi antara satu hingga empat patah kata sebaris.
4 Rima akhirnya bebas abaccd,abcdcd, abcdce dan aa.
5 Sajak ini berbentuk bebas.


NADA
Sinis


GAYA BAHASA
1 Ayatnya pendek-pendek.

 Contoh: pendirian (rangkap 3, baris 5)
2 Diksinya mudah difahami.

 Contoh: dengan apakah akan kaupenuhi (rangkap 2, baris 1)
3 Aliterasi :pengulangan konsonan m

 Contoh : remaja amat mahal (rangkap 3, baris 1)
4 Pengulangan konsonan t

 Contoh : dengan ketentuan tuju (rangkap 4, baris 2)
5 Asonansi :pengulangan vokal a

 Contoh :dengan apakah akan kaupenuhi (rangkap 2, baris 1)

 Pengulangan vokal i

 Contoh : di pinggir perjalanan ini? (rangkap 1, baris 6)
6 Anafora – pengulangan perkataan pada awal baris

 Contoh : bagai kehijauan daun

 bagai kesegaran pohon (rangkap 1, baris 4-5)
7 Metafora

 Contoh : piala remajamu (rangkap 2, baris 2)

 cuka kesangsian (rangkap 2, baris 3)

 madu ajaran (rangkap 2, baris 5)
8 Simile

 Contoh : bagai kehijauan daun (rangkap 1, baris 4)
9 Sinkope

 Contoh : Penuhilah remajamu

 Dengan apakah akan kau penuhi


NILAI
1 Keberanian. Remaja perlu berani untuk menegakkan kebenaran.
2 Kegigihan. Remaja mestilah berusaha untuk menuntut ilmu.
3 Kebijaksanaan. Remaja perlu bijak menentukan hala tuju diri dalam hidup mereka.


PENGAJARAN
1 Kita hendaklah mengisi masa remaja dengan perkara-perkara yang bermanfaat.
2 Kita mestilah rajin berusaha dan menuntut ilmu demi masa depan yang cerah.
3 Kita hendaklah berani menempuh dugaan hidup.Remaja mestilah mempunyai keberanian kerana tanpa keberanian, remaja susah menghadapi zaman remaja yang penuh masalah dan pengaruh.
4 Kita perlu mempunyai pendirian yang tetap dan yakin akan diri sendiri.


SOALAN
1 Nyatakan dua nilai yang terdapat dalam sajak Harga Remaja.
2 Nyatakan dua pengajaran yang diperoleh daripada sajak Harga Remaja.


JAWAPAN
1 Nilai itu ialah keberanian. Nilai ini penting buat remaja kerana mereka perlu berani untuk menegakkan kebenaran. Selain itu, terdapat nilai kegigihan. Nilai ini pula dapat membantu remaja usaha mereka untuk menuntut ilmu.
2 Pengajaran pertama ialah kita hendaklah mengisi masa remaja dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Selain itu, pengajarannya ialah kita mestilah rajin berusaha dan menuntut ilmu demi masa depan yang cerah.

KOMSAS - PROSA TRADISIONAL - Hikayat Khoja Maimun

Prosa Tradisional
(Hikayat Khoja Maimun)

Sinopsis
Bab 1 :
Khoja Maimun yang berasal dari negeri Ajam, mempunyai seorang isteri yang cantik bernama Bibi Zainab. Pada suatu hari, mereka pergi ke pekan lalu membeli seekor burung Bayan jantan dengan harga seribu dinar. Burung itu sungguh istimewa kerana boleh membuat ramalan. Menurut ramalannya, dalam masa tiga hari lagi Khoja Maimun akan mendapat keuntungan hasil daripada menjual sanbal ( wangi-wangian). Hasil keuntungan tersebut, Khoja Maimun turut membeli seekor burung tiung betina.
Khoja Maimun keluar berniaga dan meninggalkan isteri tercintanya di rumah. Pemergiannya menyebabkan Bibi Zainab berasa sunyi lalu duduk di tepi jendela. Pada ketika itu dia terpandang anak raja negeri yang sangat kacak dan mereka saling jatuh hati. Bibi Zainab ingin berjumpa dengan anak raja itu lalu meminta nasihat burung tiung. Namun, tiung melarangnya dengan memberi nasihat bahawa perbuatan tersebut bertentangan dengan hukum Allah. Bibi Zainab amat marah mendengar nasihat itu, lantas menghempas tiung sehingga mati. Seterusnya, dia meminta pandangan daripada Bayan pula. Bayan berusaha melalaikan Bibi Zainab dengan bercerita kepadanya.

Bab 2: Cetera Pertama
Cetera pertama berkisar tentang Kisah Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Isteri saudagar berbuat demikian kerana mengesyaki bahawa Bayan telah membocorkan dia telah bermukah dengan seorang fakir kepada suaminya. Bayan menyembunyikan dirinya di dalam saluran tempat membuang air beras menyebabkan isteri saudagar tersebut mengganggap Bayan telah mati
Isteri saudagar menberitahu kepada suaminya bahawa bayan telah mati akibat dimakan kucing. Namun, helah itu diketahui suaminya menyebabkan saudagar tersebut marah dan menghalau isterinya. Dia telah pergi ke kubur Tuan Sheikh Wali Allah untuk memohon doa agar suaminya menerimanya kembali. Setelah bulu bayan tumbuh kembali, dia keluar dari tempat persembunyian lalu terbang ke kubur Tuan Syeikh untuk menyuruh isteri saudagar bertaubat. Bayan menyuruh isteri saudagar mencukur rambut dan bulu kening kerana ingin membalas dendam. Bayan menyatakan hasrat untuk membantu isteri saudagar agar dapat kembali ke pangkuan suaminya. Bayan menemui saudagar dan menjelaskan bahawa bukan isterinya yang membunuh Bayan, menyebabkan isterinya diterima kembali. Bayan menyuruh Bibi Zainab menemui anak raja yang dicintainya, malangnya hari telah siang. Pada hari yang lain Bibi Zainab sekali lagi ingin keluar menemuai anak raja itu, namun Bayan telah bercerita tentang Hikayat Taif untuk melalaikannya.

Bab 3: Cetera Kedua
Taif menemui Raja Tabristan kerana Raja Arab tidak menghargai jasa yang dicurahkannya selama ini. Kehadirannya dialu-alukan dan Raja Tabristan yang menganugerahinya emas, perak dan tempat penginapan. Dalam suatu majlis keramaian, Taif telah menyatakan hasrat untuk melawan Isteri Syah Alam sehingga menyebabkan rajanya murka.
Suatu malam ketika Taif sedang berkawal, Raja Tabristan terdengar suara perempuan. Raja menitahkan Taif untuk menyiasat perkara tersebut. Menurut perempuan itu, jika Taif inginkan daulat raja Tabristan bertambah dan umur baginda dipanjangkan, dia harus membunuh anaknya sendiri. Taif begitu setia dan rela melakukan perkara tersebut, namun dihalang oleh perempuan itu kerana dia sebenarnya hanya ingin menguji Taif.
Peristiwa itu sebenarnya diintip oleh Raja Tabristan. Ketaatan Taif menyebabkan dia dianugerahi sebuah negeri dan harta yang banyak. Cerita itu sekali lagi melalaikan Bibi Zainab menyebabkan dia tidak berkesempatan untuk bertemu kekasihnya. Malam berikutnya, Bayan bercerita lagi.

Bab 4 : Cetera Ketiga
Terdapat seorang suami yang begitu mencemburui isterinya menyebabkan segala tindak tanduk isterinyanya dikawal. Isterinya telah bercerita tentang seorang suami yang terlalu memahami isterinya dan tidak akan marah walaupun isterinya berlaku sumbang terhadapnya. Hal ini demikian kerana, dia pernah melihat suami yang cemburu turut diduakan oleh isterinya. Akibat terlalu cemburu si suami sanggup menjadikan dirinya seekor gajah untuk membawanya berjalan-jalan, kerana bimbang isterinya akan bersenda gurau dengan lelaki lain. Isteri kepada suami yang cemburu itu selalu menegaskan kepada suaminya bahawa dia setia, namun kesetiaannya masih diragui. Oleh sebab itu, dia membekalkan bunga dan sehelai kain kesumba ketika suaminya pergi belayar. Jika isterinya curang, bunga itu akan layu dan kain itu akan luntur . Bunga yang dibawa oleh saudagar (suami) itu tidak layu walaupun ketika itu musim kemarau. Raja di negeri itu tertanya-tanya akan keunikan bunga itu menyebabkan saudagar itu menceritakan hal sebenar. Kebijaksanaan isteri saudagar itu menyebabkan Raja ingin menguji kesetiaan isteri saudagar dengan menghantar seorang hamba raja menemuinya namun gagal. Seterusnya, tiga orang hamba dihantar untuk menguji kesetiaan isteri saudagar tadi, namun turut mengalami kegagalan. Akhirnya raja sendiri yang pergi untuk menguji isteri saudagar tadi. Isteri saudagar menasihati Raja agar takut akan azab Allah dan segera bertaubat. Sekali lagi Bibi Zainab gagal menemui kekasihnya. Hajatnya masih tidak kesampaian apabila Bayan bercerita pula kisah Hikayat Serimala dengan Pandai Emas. Akhirnya, Bibi Zainab insaf dan sedar bahawa seorang perempuan mestilah taat kepada suaminya.

Tema
Nilai etika yang harus diutamakan oleh golongan wanita terutamanya para isteri.
Cerita-cerita yang disampaikan oleh Bayan berkisar tentang pentingnya kesetiaan seseorang isteri dan perlu memiliki etika yang murni untuk menghindarkan daripada berlaku curang.

Persoalan

1. Persoalan kebijaksanaan melaksanakan sesuatu tindakan.

Apabila melihat Bibi Zainab menghempas burung tiung sehingga mati, bayan berpura-pura tidur.

2. Persoalan kecurangan seorang isteri

Semasa ketiadaan suami, Bibi Zainab jatuh hati dengan anak raja.

3. Persoalan kewajipan menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga.

Khoja Maimun keluar berniaga untuk mencari rezeki.

4. Persoalan kejujuran dalam sebuah perhubungan

Isteri saudagar jujur terhadap suaminya walaupun banyak lelaki cuba mendekatinya.

PLOT
Secara keseluruhannya plot prosa tradisional digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

i. Permulaan

Khoja Maimun digambarkan sebagai seorang saudagar yang kaya dan memiliki isteri yang cantik bernama Bibi Zainab. Mereka membeli burung bayan jantan dan tiung betina. Khoja Maimun mengusahakankan perniagaannya di tempat lain tanpa membawa isterinya.

ii. Perkembangan

Bibi Zainab rindu akan suaminya yang pergi belajar. Bibi Zainab jatuh hati kepada anak raja. Dalam Cetera Pertama, Bayan bercerita kisah seekor burung Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Manakala dalam cetera kedua, Bayan bercerita kisah Taif dengan Raja Tabristan. Seterusnya dalam Cetera Ketiga, Bayan bercerita kisah suami yang amat cemburu kepada isterinya.

iii. Konflik

Bibi Zainab ingin bertemu dengan anak raja semasa ketiadaan suaminya.

iv. Klimaks

Bibi Zainab berpakaian cantik untuk bertemu kekasihnya. Bayan menasihati Bibi Zainab supaya tidak berpakaian yang keterlaluan kerana boleh mendatangkan fitnah.

v. Peleraian

Bibi Zainab melupakan hasrat untuk bertemu kekasihnya kerana lebih berminat dengan cerita Hikayat Serimala dengan Pandai Emas. Akhirnya Bibi Zainab insaf kerana berniat curang terhadap suaminya.

WATAK DAN PERWATAKAN

Watak Utama

Burung Bayan

Bersaiz kecil

Taat pada tuannya – Burung Bayan cuba mengelakkan Bibi Zainab daripada berlaku curang kepada tuannya Khoja Maimun.

Pandai membuat ramalan – Ramalan Burung Bayan bahawa akan datang kafilah untuk membeli sanbal benar-benar terjadi.

Bijak bercerita – Cerita yang disampaikan Bayan menarik hati Bibi Zainab sehingga dapat mengelakkannya daripada berlaku curang.

Watak Sampingan
Bibi Zainab

Cantik

Penyayang terhadap suami – Dia ingin bersama-sama suaminya pergi berlayar.

Curang – Dia jatuh hati kepada putera raja dan ingin berjumpa pada waktu malam.

Kejam - Dia membunuh Tiung yang cuba menasihatinya.

Khoja Maimun

Bertanggungjawab – Dia pergi belayar demi mencari rezeki.

Penyayang – Dia terlalu kasih akan isterinya Bibi Zainab.

Bijak – Khoja Maimun bijak menjalankan perniagaan.

Taif

Setia – Taif tetap berbakti kepada raja walaupun dimurkai oleh raja.

Rela berkorban - Dia sanggup kematian anaknya demi Raja Tabristan.

Taat perintah – Taif menurut perintah Raja Tabristan yang mahu dia menyiasat tentang bunyi suara yang didengar.

LATAR

Latar Masa
Waktu malam

Bibi Zainab berhias dengan cantik untuk menemui kekasih hatinya.

Waktu pagi

Bayan selesai bercerita pada waktu pagi .

Latar Tempat

i. Negeri Ajam

Khoja Maimun menetap di situ

ii. Pekan

Khoja Maimun dan Bibi Zainab membeli burung bayan dan tiung di pekan.


iii. Jendela

tempat Bibi Zainab melihat anak raja

iv. Kubur Tuan Syeikh

Isteri saudagar berdoa di kubur dan bertemu semula dengan Bayan.

LATAR MASYARAKAT

1. Masyarakat yang mementingkan ajaran agama -Isteri saudagar menasihati raja agar bertaubat

2. Masyarakat yang menurut hawa nafsu - Bibi Zainab tidak dapat menahan perasaan berahinya terhadap anak raja

3. Masyarakat yang pemurah - Raja Tabristan menganugerahi Taif pelbagai hadiah.

4. Masyarakat yang jujur memikul amanah yang diberikan - Taif begitu setia dan jujur kepada Raja Tabristan.

Teknik Penceritaan
Pemerian
Pengarang menceritakan suasana ketika Khoja maimun hendak pergi belayar –
Setelah sudah maka Khoja Maimun pun bermohonlah kepada isterinya lalu dipeluk diciumnya akan isterinya yang cantik molek itu, muda molek dengan kelakuannya yang baik dengan tiada yang tidak baiknya itulah adanya, antara keduanya itu bertangisan dengan air matanya serta menaruh akan dua ekor burung itu. Maka Khoja maimun pun pergilah belayar.

Dialog
Dialog antara Khoja Maimun dengan penjual burung bayan di pekan –
“Hendakkah tuan hamba membeli Bayan?”
Maka sahut Khoja Maimun, “Berapa harganya?” Maka kata orang itu, “Seribu dinar Bayan hamba ini harganya.”

Monolog dalaman
Taif pun fikir di dalam hatinya, “Jikalau aku katakan yang sebenarnya pada raja bahawa sekali-kali raja tiada percaya seperti kataku. Jikalau demikian baik aku katakan yang lainlah.”

Gaya Bahasa

a) Simile

….dan ia seumpama air yang masin…kuning seperti muka orang durjana

b) Penggunaan bahasa Arab

Allah azzawajalla

c) Perlambangan

….emas itu berkuasa….

d) Inversi

“ seribu dinar bayan hamba ini harganya”
Nilai

1. Nilai kasih sayang terhadap pasangan

Contoh: Khoja Maimun menyayangi isterinya Bibi Zainab sepenuh hati.

2. Nilai ketaatan terhadap ketua

Contoh: Taif begitu taat akan perintah Raja Tabristan sehingga rela membunuh anaknya.

3. Nilai prihatin terhadap keluarga

Contoh: Khoja Maimun dan saudagar prihatin dengan tanggungjawab untuk mencari nafkah buat keluarga

4. Nilai keinsafan atas kesalahan yang dilakukan -

Contoh: Bibi Zainab insaf atas kesalahan yang dilakukan kerana cuba menduakan suaminya.

Pengajaran

1. Kita mestilah patuh kepada perintah Allah agar dapat menghindarkan diri daripada kemungkaran

2. Kita haruslah berusaha untuk mencari rezeki buat keluarga agar kehidupan lebih sejahtera.

3. Kita perlulah menyayangi ahli keluarga dengan sepenuh hati agar memperoleh kebahagian yang berkekalan.

4. Kita mestilah bijak menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi agar tidak mendatangkan kemudaratan.


Latihan

1. Senaraikan tiga perwatakan Bayan seperti yang terdapat dalam Hikayat Khoja Maimun.

2. Tuliskan tiga nilai yang di peroleh dalam Hikayat Khoja Maimun berserta contoh.

Jawapan

1. Tiga perwatakan Bayan seperti yang terdapat dalam Hikayat Khoja Maimun ialah

Bayan merupakan binatang yang bijaksana. Selain itu, taat kepada tuannya dan boleh membuat ramalan tentang sesuatu yang bakal berlaku pada masa depan.

2. Tiga nilai yang terdapat dalam cerita ini ialah nilai kasih sayang terhadap pasangan contohnya Khoja Maimun menyayangi isterinya Bibi Zainab sepenuh hati. Kedua nilai ketaatan terhadap ketua contoh Taif begitu taat akan perintah Raja Tabristan sehingga rela membunuh anaknya. Ketiga nilai prihatin terhadap keluarga contoh Khoja Maimun dan saudagar prihatin dengan tanggungjawab untuk mencari nafkah buat keluarga