Sunday 9 April 2017

CARA MENGHARGAI JASA GURU

 CARA MENGHARGAI JASA GURU

Guru ialah insan mulia yang mengajar dan mendidik kita tanpa mengira masa , tenaga serta wang ringgit. Mereka ibarat lilin yang membakar diri demi memberikan didikan terbaik kepada pelajar. Tanpa usaha dan pengorbanan guru tidak mungkin pelajar mencapai kejayaan yang cemerlang Lantaran itu, sewajarnya kita menghargai guru jasa dan pengorbanan para guru.

Budi bahasa dan adab sopan amalan yang mulia. Pelajar yang menjaga tutur kata dan adab ketika berhadapan dengan guru merupakan antara cara kita menghargai jasa guru. Para pelajar perlulah sentiasa bermuka manis sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberi salam ketika berhadapan atau berselisih dengan guru tanpa mengira keadaan. Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu guru menjalankan tugasnya. Mereka sewajarnya memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya semasa pengajaran guru dan sentiasa mengambil peluang bertanya dan berbincang tentang pelajaran. Ketika mengadakan sesi perbincangan di kelas, pelajar perlu menjaga tata susila, tidak meninggikan suara dan memandang guru serta rakan dengan mesra. Bukankah guru merupakan lubuk akal lautan ilmu? Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.

Selain itu, berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah juga cara menghargai jasa d guru. Antara ciri-ciri pelajar berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Selain itu, pelajar berpakaian seragam dengan kemas dengan rambut bersisir rapi. Amalan seumpama ini, memupuk disiplin pelajar untuk bersedia belajar seterusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Jika disiplin terkawal sudah tentu memudahkan tugas guru untuk mengajar seterusnya mendidik pelajar agar berjaya dengan cemerlang. Peribahasa “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”,membuktikan kerjasama erat antara guru dan pelajar dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan pasti menjadi pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar. Jelaslah, mematuhi disiplin mencerminkan penghormatan pelajar kepada guru.

Di samping itu, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan mengingati dan menghargai jasa guru adalah amalan yang mulia. Para guru akan merasakan bahawa jasa mereka dihargai walaupun mereka tidak berkhidmat sebagai seorang tenaga pengajar lagi. Kita boleh menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada setiap tanggal 16 Mei. Pada hari ini juga,kita boleh memberikan hadiah kepada guru yang mengajar kita sebagai tanda penghargaan atas segala usaha dan titik peluh yang dicurahkan. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertakan dengan hati yang tulus lagi ikhlas. Barang yang murah akan menjadi tanda mata yang sangat berharga jika pemberian tersebut dengan hati penuh ikhlas. Jika tidak mampu memberi hadiah, ucapan selamat hari guru sudah cukup bermakna buat para guru.

Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan dan sakit juga cara kita menghargai jasa para guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan. Misalnya guru mungkin ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya. Sebagai murid, kita perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit peha kanan peha kiri terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit, kita perlulah membawa buah tangan sebagai tanda kita bersimpati terhadap mereka. Jika mereka mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Jelaslah bahawa frasa ‘guru, jasamu dikenang, budimu disanjung’ bukanlah sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar.

Selain itu,kita juga boleh menghargai jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru yang telah mengajar dan mendidik kita. Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa mengenang jasa mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana jika guru sihat sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik kita dengan sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di alam barzakh. Sesungguhnya harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan sudah tentu jasa serta pengorbanan guru akan terus dikenang sepanjang masa.

Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan pengorbanan seseorang guru itu sukar untuk dibalas walau dengan segunung intan. Tanpa guru siapalah kita kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Justeru, marilah kita bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu yang kita perolehi daripadanya mendapat keberkatan daripada tuhan. Renungilah bait puisi di bawah.
Guru,
kau ibarat dian yang membakar diri
melahirkan insan yang lestari
tanpa mengira waktu dan hari
segala ilmu dicurah dan diberi
kerana kau sedar tanggungjawab yang diberi
tanpamu negara tak mungkin teguh berdiri.

IHSAN : blogbmspm.

KEBAIKAN PENGANJURAN SUKAN ANTARABANGSA

Soalan Contoh

Malaysia telah membuktikan kemampuannya untuk menganjurkan sukan pada peringkat antarabangsa dengan jayanya.
Huraikan kesan positif penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa kepada negara kita.

Rangka Karangan
Pendahuluan
- Sukan merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat - menaikkan nama Malaysia di persada dunia

Isi-isi
i.   kedatangan pelancong asing semakin meningkat
ii.  mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia
iii. dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama
iv. wadah untuk perpaduan
v.  meningkatkan mutu sukan negara

Penutup
- penganjuran sukan di peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai kesan positif

Karangan Contoh

       Sukan merupakan aktiviti yang baik untuk dilakukan kerana melibatkan pergerakan fizikal. Selain itu, aktiviti sukan turut megharumkan nama Malaysia di persada dunia. Negara kita sendiri telah berjaya menganjurkan beberapa kejohanan sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998, Grand Prix Formula One, Le Tour de Langkawi, Monsoon Cup dan sebagainya. Kejayaan penganjuran kejohanan-kejohanan tersebut telah memberikan imej yang positif kepada negara kita pada peringkat antarabangsa. Hal ini telah membuktikan bahawa Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain. Kejayaan ini telah mendatangkan kesan positif terhadap Malaysia daripada pelbagai aspek.

       Kesan positif yang paling ketara dapat kita lihat ialah kedatangan pelancong asing semakin meningkat ke negara kita. Melalui penganjuran sukan bertaraf dunia, industri pelancongan sukan di negara kita akan mengalami kemajuan. Hal ini sekali gus mampu menjana ekonomi negara dari segi tukaran mata wang asing. Sebagai contohnya, penganjuran kejohanan sukan antarabangsa yang diadakan secara tahunan di Malaysia seperti Grand Prix Formula One dan Le Tour de Langkawi telah berjaya menarik banyak pelancong asing, bak kata pepatah, “Di mana ada gula, di situ ada semut”. Para pelancong berkunjung ke Malaysia semata-mata untuk menonton pertandingan sukan ini secara langsung. Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dapat mempromosikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa. Hal ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mapan. Oleh itu, penganjuran sukan antarabangsa perlu diteruskan kerana banyak memberikan manfaat kepada ekonomi negara kita.

       Kejohanan sukan yang berprestij pastinya akan mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia. Bagi mereka yang tidak dapat menyaksikan kejohanan sukan yang dipertandingkan secara langsung, mereka boleh menyaksikannya melalui media massa seperti televisyen dan radio. Banyak siaran langsung dibuat oleh negara-negara yang mengambil bahagian untuk melaporkan perkembangan kejohanan itu kepada penduduk di negara masing-masing. Oleh itu, masyarakat dari seluruh dunia dapat menyaksikan kejohanan sukan yang diadakan di negara kita. Secara tidak langsung, orang yang tidak tahu akan kewujudan Malaysia akan mengenalinya melalui liputan-liputan yang disampaikan. Perkara ini akan meningkatkan imej Malaysia ke seluruh dunia.

       Selain itu, melalui penganjuran sukan antarabangsa, negara kita dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah terjalin pula akan bertambah erat dengan adanya penglibatan dalam bidang sukan. Sebagai contohnya, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah negara di Asia dan Eropah bagi memajukan sukan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri upacara perasmian dan penutupan sesuatu kejohanan. Dengan cara itu, sudah pasti para pemimpin tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan adanya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara yang terlibat, tentunya negara kita akan mendapat kelebihan daripada pelbagai aspek.

       Di samping itu, kita sering mendengar ungkapan bahawa sukan merupakan wadah untuk perpaduan. Melalui penganjuran sukan antarabangsa, kita dapat mengeratkan perpaduan sejagat antara masyarakat dari seluruh dunia. Sebarang pertelingkahan, pergaduhan dan permusuhan dapat dilupakan dan mereka dapat menerima kekalahan dengan semangat kesukanan. Sebagai contohnya, semasa Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia iaitu ketika Dato’ Lee Chong Wei menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia pada peringkat akhir, mereka masih boleh bergurau antara satu sama lain dan berpelukan sebagai tanda persahabatan. Hal ini menunjukkan bahawa perpaduan melalui penganjuran sukan juga boleh diwujudkan kerana sukan dilihat mampu memecahkan tembok perbezaan kaum. Oleh itu, nama Malaysia akan dijulang sebagai juara perpaduan kerana sikap kerjasama dan toleransi "bagai aur dengan tebing".

       Selain agen perpaduan, penganjuran sukan peringkat antarabangsa ini juga akan meningkatkan mutu sukan negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana ahli sukan di negara kita dapat menyaksikan kehebatan ahli sukan dari seluruh dunia bertanding di negara kita. Bagi ahli sukan di negara kita yang bertanding dalam sesuatu acara itu, sudah pasti mereka akan mendapat suntikan semangat yang lebih daripada penyokong-penyokong tempatan. Hal ini akan menyebabkan mereka lebih bersemangat untuk bertanding. Selain itu, mereka akan membuat persediaan yang lebih rapi dan membiasakan diri dengan gelanggang perlawanan sebenar untuk membuktikan bahawa kejayaan akan menjadi milik negara kita sendiri di samping slogan Malaysia Boleh.

       Kesimpulannya, penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai kesan positif terhadap perkembangan negara kita. Di samping itu, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi mengangkat martabat Malaysia di pentas antarabangsa. Pihak kerajaan terutamanya haruslah sentiasa membida hak untuk menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa dengan lebih kerap agar negara Malaysia akan lebih dikenali. Selain itu, penganjuran sukan juga mampu menjana ekonomi negara yang agak lembap sejak akhir-akhir ini. Hal ini boleh diibaratkan seperti “serampang dua mata”. Oleh itu, kita berharap agar matlamat negara untuk terus menjadi penganjur kejohanan-kejohanan sukan antarabangsa akan menjadi kenyataan.

Oleh Nurul Natasha Shahduddin, 6A2.

Tuesday 4 April 2017

MENUKAR KATA KUNCI SOALAN RUMUSAN


*Mengubah maksud perkataan kata kunci pertama soalan:
 
*Faktor = punca = sebab = penyebab = perkara yang mempengaruhi
 
*Langkah = inisiatif = cara = kaedah = tindakan
 
*Kesan = implikasi = keburukan = kesan negatif
 
*Kebaikan =  kesan positif
 
*Ciri = sifat = bentuk = kriteria
 
*Faedah = kepentingan = kebaikan = manfaat = kelebihan
 
*Tanggungjawab = peranan = sumbangan
 
*Masalah = kekangan = kesulitan = kerumitan = halangan
 
*Cara-cara = langkah = kaedah = usaha = modus operandi

Monday 3 April 2017

PENANDA WACANA DALAM KARANGAN



PENANDA WACANA
PENANDA WACANA UNTUK MEMULAKAN AYAT PENDAHULUAN KARANGAN
Ø  Sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu…….
Ø  Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah ….
Ø  Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat.
Ø  Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronal yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri.
Ø  Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini …
Ø  Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan …

PENANDA WACANA UNTUK AYAT TERAKHIR PENDAHULUAN KARANGAN
Ø  Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
Ø  Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
Ø  Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.
Ø  Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan …….
Ø  Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

PENANDA WACANA UNTUK AYAT PERTAMA SETIAP PERENGGAN
· Kita dapat menyaksikan betapa…
· Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana…
· Lazimnya, dalam keadaan …
· Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah …
· Pada hemat saya …
· Pada pandangan saya …
· Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa …
· Sebagaimana yang kita ketahui
· Sebagaimana yang kita maklumi
· Sejak awal lagi
· Sejak kebelakangan ini
· Selain itu, pada masa ini juga
· Seperti yang telah dinyatakan
· Umum mengetahui bahawa
· Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas





PENANDA WACANA UNTUK AYAT 2 DAN SETERUSNYA DALAM KARANGAN
· Bagi sesetengah orang …
· Begitu juga dengan …
· Begitu juga halnya dengan …
· Bertitik tolak daripada itu …
· Bukan itu sahaja …
· Dalam hal ini …
· Dalam konteks ini ..
· Dalam zaman yang serba canggih ini …
· Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …
· Dengan adanya …
· Dengan berbuat demikian …
· Dengan perkataan lain ..
· Disebabkan hal itu
· Disebabkan keistimewaan inilah kita ..
· Hal ini berlaku disebabkan
· Hal ini penting dalam
· Hal ini serupa dengan
· Hal yang serupa berlaku apabila
· Hal ini disebabkan
· Hal ini membuktikan bahawa
· Hal ini menggambarkan bahawa
· Hal ini secara tidak langsung akan
· Hal ini semua meninggalkan kesan kerana
· Hal ini tentu sekali membuatkan
· Jadi kita perlu
· Jadi kita hendaklah
· Keadaan ini tentunya
· Lantaran itu sehingga kini
· Kesemua ini menyumbang kepada
· Kita mengakui hakikat bahawa
· Kita sering menonton di kaca televisyen
· Kita sering membaca di dada-dada akhbar
· Memandangkan keadaan yang sedemikian
· Namun sejak kebelakangan ini
· Oleh itu, bolehlah dikatakan
· Secara logiknya masa yang
· Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita
· Keadaan ini seharusnya boleh
· Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini
· Kendatipun demikian, kita masih
· Yang paling nyata ialah
· Yang perlu kita pastikan ialah

PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN STATISTIK
· Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati sebanyak
· Bukti yang jelas dan terkini yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan
· Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian ….. pada tahun …… menunjukkan bahawa sebanyak …………

PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN CONTOH
· Sebagai contohnya
· Biar kita lihat
· Biar kita ambil contoh
· Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah
· Sebagai analoginya,
· Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah


PENANDA WACANA UNTUK KESIMPULAN KARANGAN
· Intihanya,
· Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas
· Konklusinya,
· Dengan ini diharapkan
· Bukan itu sahaja
· Mudah-mudahan perkara ini
· Dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa
· Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perkara ini akan …
· Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama

PANDUAN PENANDA WACANA

i) Penanda permulaan karangan
a) Pada era globalisasi ini,
b) Pada zaman pascakemerdekaan ini,
c) Dalam meniti arus kemodenan ini,
d) Dewasa ini,
e) Pada masa ini,
f) Kini,
g) Dasawarsa ini,
h) Dalam meniti kehidupan pada marcapada,
i) Sejak sedekad yang lalu,
j) Sejak negara menikmati arus kemerdekaan,
k) Kebelakangan ini,
l) Belakangan ini,
m) Sejak akhir-akhir ini,

ii) Penanda memulakan isi baharu
a) Selain itu,
b) Di samping itu,
c) Sementara itu,
d) Lebih-lebih lagi,
e) Dalam pada itu,
f) Lain daripada itu,
g) Pada waktu yang sama,
h) Dalam pada itu,
i) Seterusnya,

iii) Penanda huraian isi karangan
a) Hal ini demikian kerana
b) Hal ini berlaku kerana
c) Hal ini terjadi kerana
d) Hal ini disebabkan oleh
e) Hal ini wujud akibat daripada
f) Hal ini bersangkut-paut dengan
g) Hal ini berpunca daripada
h) Hal ini tercetus apabila
i) Hal ini timbul apakala


iv) Penanda memberi contoh dalam karangan
a) Misalnya,
b) Contohnya,
c) Sebagai contoh,
d) Tamsilnya,
e) Sebagaimana yang kita sedia maklum,
f) Antaranya adalah seperti

v) Penanda menghuraikan contoh
a) Hal ini mengakibatkan
b) Hal ini menyebabkan
c) Oleh itu,
d) Maka,
e) Oleh hal yang demikian,
f) Oleh sebab itu,
g) Jelaslah bahawa
h) Justifikasinya,

vi) Penanda menutup isi
a) Kesannya,
b) Natijahnya,
c) Akibatnya,
d) Akhirnya,
e) Dengan itu,
f) Dengan berbuat demikian,
g) Dengan keadaan sedemikian,

vii) Penanda menulis dua huraian dalam satu ayat
Contoh:
Masalah sosial yang dibincangkan oleh masyarakat ini memang memeningkan kepala (Huraian 1) _(x)_ membimbangkan semua pihak. (Huraian 2)

a) justeru
b) malah
c) malahan
d) tambahan pula
e) sementelahan
f) sekali gus
g) di samping
h) bahkan
i) malar-malar

viii) Penanda memulakan perenggan penutup
a) Kesimpulannya,
b) Intihanya,
c) Secara tuntas,
d) Konklusinya,
e) Sebagai penutup wacana,
f) Sebagai penghias bicara akhir,
g) Sebelum mengakhiri wacana ini,
h) Secara keseluruhan,
i) Secara total,
ix) Penanda menerangkan huraian atau pendapat yang berbeza
a) Walau bagaimanapun,
b) Walakin begitu,
c) Namun demikian,
d) Daripada perspektif yang berbeza,
e) Jika dilihat dari sudut lain,
f) Dengan kata lain,
g) Kontradiksinya,
i) Di sebalik itu,
j) Dalam pada itu,
k) Dari sudut lain,

x) Penanda memulakan atau memasukkan peribahasa
a) Bak kata peribahasa, .......
b) Bak kata peribahasa Melayu, ............
c) Bak kata orang tua-tua, ...........
d) Bak kata mutiara, .........
e) Bak peribahasa, ............
f) Bak kata cendekiawan, .............
g) Persis kata peribahasa, ............
h) Persis kata peribahasa Melayu, .............
i) Persis kata orang tua-tua, ............
j) Persis kata mutiara, ............
k) Persis peribahasa, ...............
l) Persis kata cendekiawan, .............
m) Hal ini sama dengan peribahasa ..........
n) Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni .......
o) Fenomena ini dikatakan
p) Masalah ini sama dengan peribahasa ...........
q) Saya yakin rakyat Malaysia mengenali peribahasa .......




KATA-KATA HIKMAT DIGUNAKAN DALAM KARANGAN
01. sebaik-baik kaya ialah kaya hati,sebaik-baik bekal ialah takwa,seburuk-buruk buta ialah buta hati dan sebesar-besar dosa ialah berdusta.
02. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).
03. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. ~Horne
04. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.
05. Kalau hidup ingin merdeka, Tiada tercapai hanya berkata, Ke muka maju sekata, maju kita, Melemparkan jauh jiwa hamba. ~Usman Awang
06. "Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." ~Surah al-Hajj:77
07. "Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sajalah tempat meminta pertolongan" ~Surah Yusuf:18
08. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.
09. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. ~Davey John Schwartz
10. "Peristiwa itu memberi pengajaran kepada saya mengenai bagaimana guru besar perlu bersikap profesional dan tidak menggunakan emosi dalam melakukan tindakan." ~Tengku Habsah Tengku Petera (Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan)
11. "Satu perkara yang menakutkan saya pada masa ini ialah peningkatan gejala rasuah. Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki." ~Profesor Diraja Ungku Aziz
12. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.
13. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.
14. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.
15. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.
16. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. ~ Saidina Ali Abu Talib
17. Sabda Rasulullah s.a.w: "Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu."
18. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.
19. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (surah Al-Baqarah:214)
20. Kekitaan yang erat tiada yang berat.
21. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.
22. Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu; dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya. - SAIDINA ABU BAKAR
23. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Kesihatan yang hilang boleh diperolehi dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.
24. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.
25. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati.
26  “Kebijaksanaan bukan merupakan produk dari sekolah, tapi dari usaha seumur hidup untuk mendapatkannya.” -Albert Einstein
27. Tiada manusia yang berjaya dalam semua yang dilakukannya dan kewujudan kita ini sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Yang penting ialah kita tidak menjadi lemah semasa kegagalan itu terjadi dan kekalkan usaha hingga ke akhir hayat. -Joseph Conrad
28. Keberanian yang sebenar ibarat layang-layang. Sentakan angin yang menentangnya bukan melemparkannya ke bawah, sebaliknya menaikkannya -John Petitsenn
29. Apabila kepercayaan telah hilang lenyap, kehormatan telah musnah, maka matilah orang itu. -Whittier
30. Berbahagialah orang yang dapat menjadi tuan untuk dirinya, menjadi pemandu untuk nafsunya dan menjadi kapten untuk bahtera hidupnya  -Saidina Ali
31. Kejayaan tidak datang kepada manusia yang leka. - Charles Cahier
32. Keruntuhan keluarga telah melahirkan generasi yang lemah -Rahmohan Ghandi
33. Nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih mulia, iaitu kerja dan bukannya usia. -Richard Brinsley Sheridan
34. Orang yang paling tidak bahagia ialah mereka yang paling takut pada perubahan -Mognon Me Lauhlin
35. Jika kamu mendapat kesusahan, ingatlah menyimpan kesabaran -Horatius
36. Jika manusia masih tetap jahat dengan adanya agama, bagaimana lagi jika tiada agama?-Benjamin Franklin
37. Manusia tidak merancang untuk gagal, mereka gagal untuk merancang. -William J. Siegel
38. Kurang semangat mengakibatkan lebih banyak kegagalan berbanding kurangnya kebijaksanaan atau kemahiran -Flower A. Newhouse
39. Masa depan itu dibeli oleh masa sekarang.-Samuel Johnson
40. Lebih baik tidur dengan perut yang lapar daripada bangun tidur dengan banyak hutang-Anonim
41. Kamu dapat mengenal lebih banyak tentang diri seseorang itu dari adab dan pertanyaannya, bukan dari jawapan-jawapannya -Voltaire
42. Jika satu bangsa telah mula berfikir, tidak ada satu kekuatan pun yang boleh menghentikannya -Voltaire
43. Supaya engkau beroleh sahabat, hendaklah diri engkau sendiri sanggup menyempurnakan menjadi sahabat orang –Hamka
44. Semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaaf ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat -Khalifah Abdul Malik Marwan
45. Dalam masyarakat manusia ada binatang  tetapi dalam masyarakat binatang tidak ada satu pun manusia -Aristotle
46. Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah.-Lao Tze
47. Seseorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkannya telah melakukan satu kesalahan lagi. –Confucius
48. Hidup biar beradab, bukan hidup untuk biadap –Al-Ghazali Bayruni
49. Rakyat itu akar bangsa. Jika akarnya sihat, pokoknya pun sihat -Beng Tju
50. Agama tanpa ilmu adalah buta. Ilmu tanpa agama adalah lumpuh -Albert Einstein
51. Jangan tanya apa yang dibuat oleh negara untukmu, tapi tanyalah apa yang boleh kamu buat untuk negara -Abraham Lincoln
52. Semiskin-miskin orang ialah orang yang kekurangan adab dan budi pekerti  -Hukama
53. Bangsa yang tidak percaya kepada kekuatan dirinya sebagai sesuatu bangsa, tidak dapat berdiri sebagai suatu bangsa merdeka –Soekarno
54. Bangsa penakut tidak boleh merdeka dan tidak berhak merdeka. Ketakutan adalah penasihat yang sangat curang untuk kemerdekaan -Andre Colin
55. Akhlak yang buruk itu ibarat tembikar yang pecah. Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah -Wahab B Munabin
56. Ukuran yang paling tinggi tentang adab seseorang itu, ia wajib menaruh perasaan malu akan dirinya terlebih dahulu -Aflatun
57. 'Hendaklah adab sopan anak-anak itu dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil mudah membentuk dan mengasuhnya. Belum dirosakkan oleh adat kebiasaan yang sukar ditinggalkan' - Hamka
58. 'Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya'- Hamka
59. 'Bertambah kuat kepercayaan kepada agama, bertambah tinggi darjatnya di dalam pergaulan hidup, dan bertambah naik tingkah laku dan akal budinya'- Hamka
60. Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan. - Peribahasa Arab