Monday 6 May 2013

KARANGAN : TEMA ULASAN NOVEL

BAHASA MELAYU SPM
TOPIK  :  KARANGAN DAN PROSA TRADISIONAL


Anda telah membaca sebuah novel.  Anda tertarik akan karya tersebut
dan berhasrat untuk membuat ulasan tentang novel tersebut. 
Tulis ulasan anda selengkapnya.
                            

                                                  Ulasan Novel

                              Judul         :         Konserto Terakhir
                          
                             Penulis       :        Abdullah Hussain
                            
                            Penerbit      :        Publication Distributors Sdn. Bhd
                          
                            Harga           :        RM 8.90
                          
                           Muka Surat  :        285                    

                           Pengulas      :


Abdullah Hussain dilahirkan di Sungai Limau, Yan Kedah pada tahun 1920. Beliau berpendidikan Sekolah Melayu dan Inggeris, Pada tahun 1940-an, Abdullah pernah menjadi pengarang akhbar sandaran Pulau Pinang. Minat beliau dalam penulisan dibuktikan dengan terhasiinya novel Terjebak, Rantau Selamat, Intan dan Intelek. Konserto Terakhir merupakan karya beliau yang tersohor, novel ini telah dijadikan kajian pelajar-pelajar tingkatan 5 dalam mata pelajaran kesusasteraan.

Konserto Terakhir memaparkan kisah Hilmi yang datang dari Kedah untuk mencari pekerjaan di ibu kota. Pakciknya, Datuk Johari berusaha mencari pekerjaan untuknya tetapi gagal kerana Hilmi berkelulusan setakat darjah empat Sekolah Melayu dan tidak tahu bertutur bahasa Inggeris. Datuk Johari menyuruh dia menjaga kebun serta pokok-ppkok bunga sekeliling di rumah beliau. Isteri Datuk Johari iaitu Datin Salmah amat benci akan Hilmi tetapi anak mereka, Hayati senang akan pemuda itu. Setelah tidak tahan akan kerenah Datin Salmah, Hilmi keluar dari rumah Datuk Johari dan bekerja di sebuah stesen minyak. Hilmi turut mendalami ilmu muzik. Setelah mahir, dia bekerja sebagai pemuzik dan berkahwin dengan anak gurunya, Azizah. Hayati pula mengahwini Mohsin.
Kejayaan demi kejayaan diraih oleh Hilmi hingga dia diberi penghormatan mengendalikan Konsert Perdana. Tanpa menghiraukan kesihatan diri, dia bekerja keras untuk menjayakan konsert tersebut. Pada malam konsert berkenaan diadakan, Hilmi jatuh sakit. Hayati telah menggantikannya. Datuk Johari, Datin Salmah, Hayati, Azizah dan Pak Karim telah menziarahi Hilmi yang terlantar di hospital. Kejutan terbesar berlaku apabila Pak Karim mendedahkan rahsia bahawa Hilmi merupakan anak Datuk Johari sendiri. Datuk Johari, Datin Salmah dan Azizah yang berasa bersalah terhadap Hilmi berazam untuk menebus dosa mereka. Namun, hasrat mereka tidak kesampaian keranan Hilmi meninggal sebelum mengetahui kedudukan sebenar. Datuk Johari amat terkejut dan turut menghembuskan nafasnya yang terakhir.


Tema novel Konserto Terakhir ialah kegigihan. Tema ini  berdasarkan kegigihan Hlimi berusaha di samping ketabahannya menghadapi dugaan demi dugaan hingga mencapai kejayaan yang gilang-gemilang. Persoalan cinta dan kasih sayang anak muda turut dipaparkan melalui novel ini. Selain cinta, pengarang turut memasukkan persoalan perbezaan darjat. Hal ini jelas apabila Datin Salmah amat benci akan Hilmi  kerana Hilmi orang miskin dan tidak berkelulusan tinggi. Pengarang turut memasukkan persoalan kepercayaan karut dan perkembangan muzik tanah air dalam karya beliau.

Watak utama dalam novel 'Konserto Terakhir' ialah Hilmi yang digambarkan
sebagai seorang pemuda kampung berkelulusan darjah empat Sekolah Melayu. Dia amat taat kepada tuhan, rajin dan berbakat semula jadi. Para pembaca amat sayang akan watak ini hingga mereka tidak dapat menerima kematiannya pada penghujung cerita.  Hayati pula gadis cantik, anak kesayangan Datuk Johari dan Datin Salmah. Dia juga diklasifikasikan sebagai watak protagonis. Kekejaman dan sikap busuk hatimereka menyebabkan para pembaca berasa benci akan watak-watak berkenaan. Beberapa watak sampingan lain seperti  Encik Bakar, Mohsin, Pak Karim dan Doktor Nathan turut menghidupkan novel ini.                                               

Plot novel Konserto Terakhir boleh dikatakan mengikut kronologi iaitu bermula dengan Hayati sedang belajar bermain piano dan berakhir dengan kematian Hilmi serta Datuk Johari. Teknik plot imbas kembali dan imbas muka turut digunakan oleh penulis. Kewujudan unsur suspens dan kejutan menyebabkan para pembaca tidak berasa bosan sepanjang tempoh mereka membaca novel ini. Ada kalanya, pengarang mewujudkan monolog atau monolog dalaman untuk menghidupkan cerita dalam novelnya. Dari segi   gaya bahasa, beliau memilih diksi yang sesuai. Kewujudan peribahasa, simile, metafora dan personifikasi menampakkan kematangan Abdullah Hussain ketika berkarya.
Banyak nilai murni yang terdapat dalam novel 'Konserto Terakhir'. Antaranya ialah taat kepada tuhan, sebagaimana Hilmi yang tidak pernah mengabaikan solat. Di samping itu nilai patuh kepada ibu bapa turut terkandung dalam novel ini sebagaimana Hayati yang sanggup berkahwin dengan Mohsin atas kemahuan Datin Salmah dan Datuk Johari. Nilai-nilai murni yang lain dalam novel ini ialah ikhlas, tolong-menolong dan bertimbang rasa. Melalui novel 'Konserto Terakhir', kita mendapat beberapa pengajaran. Pengajaran yang paling ketara dalam novel ini ialah kita mesti berusaha untuk mencapai kejayaan. Di samping itu, kita juga mendapat iktibar bahawa kita tidak harus menghina orang miskin.
Sebenarnya, pengarang telah menggarap pelbagai aspek terutamanya aspek moral melalui novel 'Konserto Terakhir'. Novel ini memang sesuai dibaca oleh segenap lapisan masyarakat. Banyak pengajaran atau iktibar tersirat dalam novel ini. Novelis juga turut menyindir pihak-pihak tertentu meialui karyanya. Diyakini, para pembaca Konserto Terakhir akan berasa puas dan berminat untuk membaca karya Abdullah Hussain yang lain pula selepas membaca novel ini.