Kaduk, Ayam dan Raja
(Zurinah Hassan)
Sinopsis
Cerpen
Kaduk, Ayam dan Raja mengisahkan perjuangan cucu Kaduk iaitu Hakim yang
berusaha mendapatkan tanah milik arwah datuknya yang diambil oleh Raja. Hakim yang merupakan lulusan universiti telah
meminta bantuan sahabatnya iaitu Azam seorang lulusan bidang undang-undang
untuk memfailkan kes tuntutan tanah seluas empat ekar itu. Melalui penghujahan
Azam, beliau telah berjaya menyakinkan mahkamah bahawa Kaduk menyerahkan ayam
Kunani kepada raja tanpa kerelaannya hatinya.
Hal ini menyebabkan kemenangan
berpihak kepada Hakim. Setelah itu, Hakim merancang untuk menternak ayam secara
pertanian kontrak dengan syarikat besar
yang menubuhkan cawangan di Malaysia dengan nama Rangkaian Jasa Agrikultur atau
singkatannya RAJA. Hakim menternak ayam bagi menyahut seruan kerajaan yang
banyak memberi insentif kepada penternak.
Kesungguhannya terbukti apabila Hakim telah membuat pinjaman bank
melebihi dua ratus ribu ringgit. Hakim terpaksa meminda kertas kerjanya
beberapa kali dan hasil bantuan seorang
Yang Berhormat telah menyebabkan bank meluluskan pinjaman tersebut untuk
membina sebuah reban ayam tertutup yang dilengkapi sistem penyaman udara serta
peralatan memberi makanan secara semi automatik. Setelah kelulusan bank
diperoleh, satu perjanjian kontrak dimeterai antara Hakim dan syarikat RAJA,
maka projek penternakan ayam pun bermula.
Konflik mula timbul
setelah setahun Hakim menjadi penternak ayam.
Sahabat karibnya Azam telah pulang dari luar negara kerana berkursus dan
terus berjumpa dengan Hakim. Hakim telah menceritakan masalah yang dialaminya
sepanjang dia menjadi penternak ayam iaitu terdapat rungutan orang kampung
terhadap lorinya yang telah menyebabkan keadaan jalan kampung bertambah teruk.
Selain itu, Hakim menjelaskan kepada Azam bahawa hidupnya dibelenggu hutang
dengan menunjukkan penyata hasil jualan
ayam dari rebannya yang bernilai lapan puluh lima ribu ringgit. Namun begitu
hanya tiga belas ribu ringgit sahaja yang diterimanya kerana selebihnya
digunakan untuk membayar hutang kepada syarikat RAJA. Jumlah wang yang diterima itu pula terpaksa
digunakan untuk membayar pelbagai kos seperti bil elektrik, bil air, hutang
bank dan sebagainya. Hakim menzahirkan penyesalannya tentang memilih ternakan
kontrak yang dianggapnya situasi menang menang tetapi keadaan yang sebaliknya
pula berlaku. Hakim mula menyedari bahawa dirinya telah dieksploitasi oleh Syarikat RAJA melalui
harga dedak dan ubat untuk ayam ternakannya sehingga hutangnya meningkat. Hakim
menganggap dirinya menerima nasib yang sama seperti nasib datuk yang tertipu
oleh orang yang memiliki kuasa.
Tema
Tema cerpen ini ialah kesungguhan seorang anak muda
menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh, Hakim berusaha
bersungguh-sungguh untuk menjalankan projek ternakan ayam walaupun terpaksa
menempuh pelbagai cabaran.
Persoalan
Terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam cerpen ini,
antaranya:
- Persoalan keberanian menuntut hak
Contoh:
Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah
melalui sahabatnya, Azam.
- Persoalan memahami selok belok bidang keusahawanan
Contoh:
Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan
ayam yang dirancangnya.
- Persoalan ketaatan terhadap pemerintah
Contoh:
Kaduk mentaati perintah raja dengan menukarkan ayam Kunani dengan ayam raja
atas perintah baginda semasa bersabung ayam.
- Persoalan penindasan golongan yang berkuasa terhadap golongan yang lemah
Contoh:
Syarikat RAJA mengambil kesempatan dengan menentukan harga dedak dan ubat ayam
ternakan sehingga menyebabkan Hakim menanggung beban hutang.
No comments:
Post a Comment