Wednesday 9 October 2019

TEKNIK PLOT - LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA


TEKNIK PLOT - LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA

Teknik plot merujuk kepada cara atau kaedah pengarang mengembangkan plot cerita supaya menjadi lebih menarik dan menambat hati pembaca. Perkara ini menyebabkan pembaca ingin meneruskan pembacaannya hingga ke penamat cerita. Biasanya, teknik plot yang digunakan ialah dialog, monolog luaran, monolog dalaman, pemerian, imbas kembali, imbas muka, kejutan dan saspens.

DIALOG.
Dialog bermaksud pertuturan atau percakapan sekurang-kurangnya antara dua watak ataupun lebih. Pengarang menggunakan teknik ini untuk menggerakkan atau mengembangkan cerita selanjutnya. Melalui dialog, pengarang dapat memaparkan atau menggambarkan pendapat atau pemikiran berkenaan dengan tema atau persoalan dalam novel tersebut. Sebagai contohnya, dialog antara Pak Saidi dengan Mak Milah. Pak Saidi melahirkan rasa terkilannya kerana orang Melayu miskin di tanah air sendiri. Hasil kekayaan negara diangkut keluar oleh penjajah sedangkan kaum bumiputera yang tinggal di kampung masih ketinggalan dari segi ekonomi.

MONOLOG LUARAN
Teknik ini merujuk kepada pengucapan atau tutur kata oleh sesuatu watak secara bersendirian. Dengan perkataan lain, teknik monolog bermaksud sesuatu watak itu akan bercakap seorang diri. Kadangkala, monolog itu juga mungkin berupa doa, rungutan, keluh-kesah ataupun ratapan. Sebagai contohnya, Adnan menuturkan kata-kata sewaktu bermain dan melakonkan watak Hang Tuah sambil menikam-nikam pokok pisang. Beliau berimaginasi menjadi pendekar dan menutur kata-kata sebagai pendekar menyerang musuh. Contoh lain pula, Mak Milah meratap hiba apabila mendapat berita kematian Ahmad sewaktu berlayar ke Australia kerana kapal British telah dibom oleh pihak Jepun.

MONOLOG DALAMAN
Teknik ini merujuk kepada percakapan, lintasan, atau rintihan dalam hati atau fikiran sesuatu watak dan tidak diketahui oleh watak-watak yang lain, contohnya pengarang menggunakan teknik ini semasa Adnan berkata dalam hatinya tentang Tok Mudin yang akan mengkhatankannya. Adnan juga menyimpan rasa gementar dan takut dan banyak berfikir dalam hatinya sewaktu majlis berkhatan.


PEMERIAN
Teknik pemerian digunakan oleh pengarang untuk menerangkan peristiwa dalam plot secara langsung. Hal ini bermaksud, pengarang menerangkan atau menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung. Dengan perkataan lain, pengarang seolah-olah menjadi tukang cerita dan menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung, contohnya pengarang menggambarkan keadaan sewaktu Leftenan Jeneral A.E Percival yang masih yakin bahawa kekuatan tentera British sebanyak 85 000 orang masih mampu menyekat kemaraan tentera Jepun yang hanya berjumlah 30 000 orang.

IMBAS KEMBALI
Teknik ini merupakan satu teknik plot yang digunakan oleh pengarang untuk menceritakan sesuatu peristiwa yang sudah berlaku sebelum peristiwa itu. Pengarang menggambarkannya melalui ingatan, kenangan, lintasan atau imbasan sesuatu watak terhadap sesatu peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Sebagai contohnya, Pak Saidi terkenang kembali peristiwa basikalnya yang dirosakkan oleh orang yang mencerobohi kawasan rumahnya. Beliau juga teringat akan kata-kata Adnan bahawa dia sempat membaling kayu belati dan terkena pada salah seorang daripada dua lembaga yang mencerobohi kawasan rumahnya.
Terdapat juga peristiwa imbas kembali tentang kehebatan dan kejatuhan Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Contohnya, Pak Saidi menceritakan kegemilangan kesultanan Melaka suatu masa dahulu kepada Mak Milah. Namun, kerajaan yang begitu kuat dan berkuasa itu berakhir akibat sikap negatif pemimpin dan pembesar Melaka.

IMBAS MUKA
Teknik ini merupakan satu teknik plot yang digunakan untuk memberikan bayangan awal tentang sesuatu peristiwa atau perkara yang akan berlaku dan masih belum berlaku lagi. Bayangan tersebut mungkin berpunca daripada sesuatu aksi watak atau aksi watak-watak lain atau perkara-perkara lain. Sebagai contohnya, pengarang menggambarkan kemungkinan-kemungkinan yang mungkin berlaku iaitu semasa berbual-bual dengan Mamat, Leftenan Adnan menyatakan keinginannya untuk menjadi seorang askar.  Beliau ingin menjadi askar kerana ingin menjaga negeri ini dan akan menembak musuh yang datang. Adnan memberitahu tentang cita-citanya apabila dewasa nanti kepada Mamat.

SASPENS
Teknik ini merujuk kepada peristiwa yang menggambarkan perasaan tertanya-tanya dan ingin tahu para pembaca untuk mengikuti cerita. Pembaca ingin tahu perkara yang akan berlaku seterusnya. Sebagai contohnya, peristiwa kedatangan seorang askar Jepun yang memakai turban mendapat pangkat Leftenan. Askar Jepun itu telah menyamarkan diri sebagai tentera Sikh. Peristiwa ini telah menimbulkan perasaan ingin tahu dan saspens kepada para pembaca sama ada dia benar-benar tentera Sikh. Akhirnya, Adnan sedar akan penyamaran itu dengan mengamati cara mereka melakukan formasi serta senjata mereka mempunyai bayonet. Tentera Jepun itu akhirnya telah mati ditembak oleh Adnan dan pasukannya. Hal ini melegakan perasaan saspens para pembaca.
Antara unsur saspens ialah hubungan antara Adnan dengan Budin dan Nordin. Dalam novel ini, hubungan mereka tidak begitu rapat selama berada di kampung. (……………………) Pembaca tertanya-tanya mengenai kesudahan hubungan mereka ini.

Selain itu, novel ini juga mengandungi unsur saspens tentang keselamatan Leftenan Adnan dan pasukannya. (……..) Pembaca tertanya-tanya tentang nasib Leftenan Adnan dan rakan-rakan sepasukannya ketika menentang Jepun.


KEJUTAN
Teknik ini merujuk kepada keadaan atau peristiwa yang berlaku tanpa disangka-sangka oleh pembaca. Dengan kata lain, pembaca tidak dapat menjangkakan peristiwa itu akan berlaku dan peristiwa tersebut berlaku secara mengejut. Pengarang menggambarkan teknik ini melalui peristiwa Samad yang ditangkap oleh penduduk kampung kerana mencuri. Pada mulanya, tiada seorang pun yang tahu indentiti lembaga yang memecah masuk ke dalam rumah orang-orang kampung yang telah dikosongkan demi keselamatan mereka. Namun, setelah hendapan dibuat, mereka berjaya menangkap lembaga tersebut yang memakai penutup di mukanya. Setelah penutup muka dibuka, penduduk kampung sangat terkejut kerana pencuri itu ialah Samad yang sebelum ini dipercayai oleh orang kampung. Hal ini memberikan unsur kejutan dalam cerita. Malah, unsur kejutan juga berlaku apabila sikap Samad yang sebenar terbongkar kerana Samad rupa-rupanya merupakan pemberi maklumat kepada Jepun serta sanggup mengkhianat bangsa dan tanah air sendiri demi kepentingan diri. Samad akhirnya mati ditembak oleh tentera Jepun yang dipercayainya sewaktu cuba melarikan diri dari askar Melayu.

No comments:

Post a Comment