Sunday 6 October 2019

Kebaikan Rumah Terbuka - CONTOH KARANGAN PELAJAR


Kebaikan Rumah Terbuka
Oleh : Low Su-Yunn (5A)
            Pada era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita, amalan rumah terbuka telah menjadi lumrah pada sambutan hari perayaan bagi masyarakat majmuk di negara Malaysia. Kerencaman citra budaya dan keceriaan landskap sosial yang berwarna-warni dalam masyarakat Malaysia menjadikan Malaysia memiliki keunikan yang tersendiri. Setelah bertahun lamanya kita menghirup udara yang sama, kita kini boleh hidup bersama tanpa sebarang persengketaan. Malah, kita juga bersama-sama menyambut hari perayaan seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Raya Aidilfitri dan lain-lain. Perayaan-perayaan ini selalu meniti dari bibir ke bibir masyarakat pada zaman pascakemerdekaan ini. Rakyat Malaysia sentiasa meraikan hari perayaan tersebut kerana kita percayai bahawa biar mati anak, jangan mati adat. Pada tahun 2000, kerajaan Malaysia telah memutuskan sebanyak enam perayaan dianggap sebagai perayaan utama yang diraikan julung-julung kalinya di peringkat kebangsaan. Dalam perkataan yang lain, rumah terbuka akan dianjurkan bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk berkongsi kegembiraan pada saat tersebut bersama-sama. Menyedari usaha kerajaan yang gigih mengadakan rumah terbuka, persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah kebaikan-kebaikan amalan rumah terbuka?
Negara kita berbeza bangsa,
Berbeza pandangan perkara biasa.
Jangan dibiar menjadi bisa,
Hidup terancam sepanjang masa.
            Rangkap tersebut telah menunjukkan bahawa betapa berbeza agama serta bangsa anak watan Malaysia, kita tetap perlu bersatu padu. Sebagaimana yang kita ketahui, amalan rumah terbuka dapat mengeratkan perpaduan dan tali silaturahim pelbagai kaum. Realitinya, jika kita mengadakan rumah terbuka pelbagai kaum akan hadir ke majlis tersebut seperti orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan dan sebagainya. Oleh itu, sudah pasti amalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim seperti isi dengan kuku. Hal ini dinyatakan demikian kerana wujudnya interaksi sosial antara kaum. Sebagai contohnya, pelancong dapat mencuba permainan tradisional seperti gasing, wau, catur Cina, kabaddi dan lain-lain. Dalam proses bermain permainan tradisional tersebut, pastilah mereka akan memahami budaya yang berlainan dan juga berkomunikasi dengan mereka. Kegiatan tersebut memainkan peranan yang amat signifikan terutamanya dalam golongan belia Malaysia. Tonggak negara harus dipupuk sejak kecil lagi agar berinteraksi dengan kaum lain kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Demi mengelakkan sejarah hitam, iaitu Peristiwa 13 Mei berulang kembali dan pisang berbuah dua kali, kita hendaklah menjadikan majlis rumah terbuka sebagai medium untuk menyatukan rakyat. Tambahan pula, rumah terbuka dapat mengukuhkan hubungan antara rakyat dan pemimpin. Hal ini dinyatakan kerana pemimpin negara sanggup menunjukkan suri teladan dengan turun padang bagi meraikan hari perayaan dengan rakyat. Bak kata slogan negara, Kempimpinan Melalui Teladan. Rakyat akan berasa terharu dengan kesungguhan beliau dan menyokongnya. Sebagai tamsilannya, rakyat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi sehingga sanggup hadir ke rumah terbuka di kediaman Perdana Menteri walaupun dari jauh. Selain itu, rumah terbuka dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat untuk menjayakan rumah terbuka. Masyarakat seharusnya tidak mementingkan diri ibarat kata mutiara yang berbunyi adat bernegeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung iaitu dengan bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mengadakan jamuan. Mereka akan berganding bahu menyediakan makanan tradisional, menghias kawasan perumahan dan menjalankan aktiviti gotong-royong. Memang tidak dapat dinafikan bahawa amalan rumah terbuka dapat merapatkan hubungan antara pelbagai bangsa
            Lanjutan daripada huraian yang dinyatakan di atas, ayuh kita capahkan lensa perbincangan kita kepada kemaslahatan rumah terbuka seterusnya iaitu menjamin keamanan, kemakmuran dan kestabilan negara. Sudah terang lagi bersuluh bahawa masyarakat berbilang kaum di negara kita sudah tentu mempunyai budaya dan agama yang berbeza. Perbezaan ini dapat diatasi jika adanya sikap memahami dan menerima adat resam dan kepercayaan kaum lain. Misalnya, perayaan yang berbeza seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak dan Pesta Keamatan dapat diterima dengan tangan terbuka. Semasa majlis tersebut diadakan, setiap kaum akan menyediakan pelbagai juadah tradisi kaum-kaum masing-masing. Lagipun, juadah yang dihidangkan dapat memberikan gambaran tradisi setiap kaum. Sebagai contoh yang jelas, kaum Melayu akan menyajikan hidangan seperti rendang, ketupat dan lemang yang merupakan juadah wajib semasa menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri. Bagi orang Cina, mereka akan menyajikan limau mandarin sebagai juadah wajib kerana dapat membawa tuah kepada hidup mereka. Sekiranya kita menghormati variasi budaya tersebut, kita dapat mengelakkan perselisihan faham antara rakyat pelbagai kaum dan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni seperti bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Tambahan pula, para tetamu dapat beramah mesra dengan tetamu lain. Sebagai analoginya, mereka berbual mesra, bertegur sapa dengan orang ramai semasa menghadiri rumah terbuka. Ketika kita memahami budaya kaum lain, kita dapat melupakan pertentangan pendapat, perbezaan ideologi dan perbezaan konsep politik. Keadaan ini persis kata orang tua buang yang keruh, ambil yang jernih. Oleh itu, kita dapat mengelakkan pergaduhan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat. Tegasnya, amalan rumah terbuka dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni tanpa perasaan syak wasangka.
            Jika ditinjau daripada satu lagi perspektif, penganjuran majlis rumah terbuka dapat mengurangkan penglibatan remaja dalam gejala sosial. Hal ini demikian kerana remaja akan melibatkan diri dalam persembahan seperti nyanyian, lakonan dan sketsa. Mereka tidak membazirkan masa mereka dan terjebak dalam gejala sosial seperti vandalisme, gengsterisme, membuli dan sebagainya. Presiden Soekarno pernah berkata, “Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini”. Ungkapan tersebut telah menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan. Jadi, remaja patutlah menyertai persembahan ataupun persediaan rumah terbuka. Sebagai analoginya, mereka akan membabitkan diri dalam aktiviti gotong-royong seperti membersih, mengemas dan menyediakan atur cara majlis. Hal ini dapat mengalihkan perhatiannya daripada gejala sosial. Lebih-lebih lagi, hal ini dapat menyemai nilai-nilai murni sejagat pada golongan muda. Cuba kita bayangkan bagaimana keadaan sekiranya tiada bantuan dan kerjasama daripada orang lain, terutamanya golongan muda yang kuat dari segi fizikal? Mungkinkah majlis rumah terbuka dapat dijalankan dengan jayanya? Dalam konteks ini, kebiasaannya remaja dengan ahli keluarganya akan bergotong-royong, membanting tulang dan bekerjasama ibarat aforisme, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Oleh hal yang demikian, pemuda akan meluangkan lebih banyak masa bersama-sama ahli keluarga dan secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam hubungan kekeluargaan. Rumah terbuka amat dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh bukannya semakin layu dan pudar. Generasi muda dapat mengenali mereka yang tua dan meluahkan perasaan rindu kepada mereka. Senario ini dapat mencerminkan yang tua dihormati, yang muda disayangi. Sementara itu, remaja lebih menghargai adat resam dan kebudayaan di Malaysia. Tamsilnya, menziarahi saudara-mara dan bersalaman dengan mereka. Mereka juga gemar untuk memakai pakaian tradisional pada setiap tahun. Pendek kata, rumah terbuka dapat mengurangkan risiko remaja terlibat dalam kegiatan negatif.
            Namun demikian, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah rumah terbuka dapat meningkatkan imej negara di persada dunia. Dalam majlis tersebut, rakyat Malaysia yang bersikap ramah mesra, berbudi Bahasa, saling membantu dan bertolak ansur dalam kalangan rakyat telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang beradab. Al-Ghazali Bayruni, seorang ilmuwanan Islam pernah berkata “hidup biar beradab, bukan hidup untuk biadap”. Ungkapan tersebut telah membuktikan bahawa masyarakat Malaysia berjaya bertoleransi antara satu sama lain kerana kita merupakan orang yang beradab. Sikap tersebut dapat dicontohi oleh pelancong asing sekali gus meningkatkan imej negara. Tambahan pula, pelancong asing memang gemar sesuatu yang baharu. Maka, sikap toleransi dan persefahaman multietnik yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sudah menjadi salah satu daya tarikan yang kuat dalam kalangan pelancong asing. Hal ini disebabkan oleh konsep ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni telah lama sebati dan menjadi pegangan utuh masyarakat kita. Hakikatnya, rumah terbuka dapat mengangkat nama negara ke peringkat antarabangsa. Pelancong juga teringin melihat kebudayaan unik ini yang dipersembahkan dalam bentuk yang asli. Sebagai contoh, tuan rumah memakai pakaian tradisional masing-masing. Hal ini dapat memajukan industri pelancongan kerana pelawat asing akan teruja dengan cara-cara masyarakat majmuk menyambut perayaan melalui rumah terbuka. Pengalaman pelancong asing meraikan pelbagai perayaan di Malaysia akan menyebabkan nama Malaysia menjadi buah mulut di segenap empat penjuru dunia ini. Jadi, tuan rumah patutlah memastikan kawasan di sekitar rumah terbuka bersih setelah majlis berakhir. Selain itu, prasarana yang cekap dan cepat patutlah disediakan bagi menyambut kedatangan pengunjung. Pihak kerajaan hendaklah meningkatkan kemudahan pengangkutan seperti jalan raya, pengangkutan udara dan penginapan seperti hotel untuk keselesaan para pelancong. Intihanya, konsep rumah terbuka dapat meningkatkan reputasi Malaysia di persada antarabangsa.
            Dari kaca mata yang berbeza, menganjurkan rumah terbuka dapat memupuk semangat patriotik dan jati diri masyarakat Malaysia. Hal ini disebabkan kerana rakyat akan berasa bangga akan negara apabila kita meraikan setiap perayaan bersama-sama walaupun berbeza daripada tradisi perayaan sendiri. Kepelbagaian adat budaya yang datang daripada variasi perkauman di negara ini kesan daripada penjajahan berates-ratus tahun lamanya. Dasawarsa ini, rakyat Malaysia telah gigih menjamin keharmonian di negara kita serta memelihara warisan budaya tersebut. Kita sayang akan tanah air ini kerana kita bersyukur bahawa kita dapat menghadiri rumah terbuka tanpa mengira warna kulit, bangsa, kaum, agama dan sebagainya. Sikap perpaduan ibarat kata mutiara, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Segala keistimewaan ini telah menimbulkan rasa cinta akan negara terhadap rakyat Malaysia. Di samping itu, para tetamu menggunakan Bahasa Kebangsaan, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama dalam setiap majlis rumah terbuka. Setiap kaum di Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan semasa berinteraksi antara satu dengan yang lain. Tambahan pula, rumah terbuka bukan sahaja menjadi landasan dan titik pertemuan antara pemimpin dengan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dalam setiap majlis. Semasa menteri-menteri dan rakyat saling bermesra, pemimpin dapat menyelami permasalahan rakyat dan memahami kehendak rakyat dengan lebih telus. Izharlah bahawa semangat patriotik dan jati diri akan dipupuk kerana tidak terpengaruh daripada anasir budaya asing.
            Bulan kian terang, bayang kian jelas, ternyatalah bahawa rumah terbuka yang diadakan telah membawa pelbagai manfaat dari pelbagai sudut dan aspek yang telah diketengahkan. Sesungguhnya, ikatan yang terjalin antara kaum di Malaysia adalah pengikat kepada keharmonian sejagat. Sebagai tuan rumah dalam majlis rumah terbuka, kita hendaklah sentiasa berlapang dada dan mengalu-alukan tetamu yang hadir tanpa mengira kaum dan kedudukan sosialnya. Persis kata peribahasa, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Di samping itu, setiap kaum haruslah meneruskan pelaksanaan majlis rumah terbuka pada musim perayaan, terutamanya pihak kerajaan. Pihak kerajaan patutlah menggalakkan penganjuran rumah terbuka dan tidak melaksanakan tugas seperti melepaskan batuk di tangga. Bak kata orang tua, pengayuh sayang dibasahkan, sampan tidak akan sampai seberang, yang bermakna tanpa usaha tidak tercapailah tujuannya. Oleh itu, jika tidak berusaha mempromosikan amalan rumah terbuka, kita tidak akan mengetahui manfaatnya kepada kita. Sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat biar putih tulang, jangan putih mata untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah sebuah negara yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang!

4 comments:

  1. ayo segera bergabung dengan kami hanya dengan minimal deposit 20.000
    dapatkan bonus rollingan dana refferal ditunggu apa lagi
    segera bergabung dengan kami di i*o*n*n*q*q

    ReplyDelete
  2. permission me to copy this essay

    ReplyDelete