Sunday 6 October 2019

Kebaikan Industri Pelancongan Terhadap Rakyat Dan Negara - CONTOH KARANGAN PELAJAR


Kebaikan Industri Pelancongan Terhadap Rakyat Dan Negara
Oleh: Tsui Yi Wern (5A)

            Zaman beralih, musim berubah yang menandakan bahawa masyarakat Malaysia perlulah berasa bertuah kerana dapat menjadi anak bangsa Malaysia yang begitu bahagia demi masa yang kian beredar ini. Hal ini dikatakan demikian kerana kedudukan Malaysia yang berada dalam lingkungan api Pasifik adalah bebas dari segala ancaman bencana alam yang mengejutkan. Bukan itu sahaja, negara kita yang telah menyambut kemerdekaan yang ke-62 pada tahun ini telah menikmati keamanan dan kesejahteraan selama itu juga. Malaysia merupakan sebuah negara yang terletak di garisan Khatulistiwa. Lokasi yang strategik tersebut telah mewujudkan cuaca negara kita panas dan lembap sepanjang tahun itu. Keadaan negara kita telah menarik minat pelancong asing untuk melawat ke negara kita. Persoalan yang sedang bermain-main di minda kita ialah, apakah kebaikan industri pelancongan terhadap rakyat dan negara kita?

            Antara kebaikan perdana yang diimpakkan oleh industri pelancongan ialah industri pelancongan tersebut telah memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Contohnya, masyarakat tempatan boleh menjadi usahawan untuk memonopolikan perniagaan dan segala urusan perkhidmatan di sekeliling tempat pelancongan. Sebagai tamsilan, perkhidmatan seperti penginapan, makanan, atau pun industri kraftangan berpeluang untuk terus dikembangkan di sekitaran kawasan tempat pelancongan. Masyarakat Malaysia harus mengambil peluang tersebut untuk meningkatkan gaji dan taraf hidup masing-masing. Sekiranya tempat tersebut menjadi tempat pelancongan di negara kita, sudah tentunya ramai masyarakat Malaysia akan datang meneroka kawasan tersebut untuk mencari rezeki kerana bak kata pepatah di mana ada gula, di situ ada semut. Rakyat yang mengusahakan industri pelancongan di lokasi Malaysia yang di kelilingi oleh keindahan alam semula jadi seperti Bukit Fraser, Tanah Tinggi Cameron dan Pulau Tioman dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan mengelakkan masalah pengangguran dalam kalangan rakyat supaya taraf hidup rakyat dapat diperbaiki. Bukan itu sahaja, masyarakat Malaysia juga boleh mempunyai ilmu yang lebih mendalam tentang sejarah dan gaya hidup tempat pelancongan tersebut melalui pengusahaan industri pelancongan. Oleh itu, mereka dapat menjadi pemandu pelancong yang penuh dengan informasi tempatan untuk disampaikan kepada para pelancong. Jelaslah bahawa industri pelancongan memainkan peranan yang penting untuk memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu bijak merancang strategi mengusahakan industri pelancongan negara kita supaya kita terus berkembang pesat kerana Willian J. Siegal pernah berkata “manusia tidak merancang untuk gagal, tetapi gagal untuk merancang.”

            Jika ditinjau dari sudut pandangan yang sama, industri pelancongan juga memberi peluang masyarakat Malaysia untuk memperkenalkan budaya tempatan ke seantero dunia. Negara kita terdiri daripada pelbagai kaum iaitu kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh, Murut, Melanau dan sebagainya. Bak kata pepatah, banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam. Kesemua kaum ini mempunyai budaya dan adat yang berbeza. Bukan itu sahaja, cara hidup sesebuah kaum juga berbeza di seluruh negara. Oleh itu, masyarakat Malaysia telah banyak mengamalkan nilai toleransi dalam kehidupan seharian supaya dapat mengekalkan keharmonian antara kaum. Dengan perkembangan industri pelancongan yang maju di negara kita, masyarakat Malaysia boleh mengusahakan penghasilan kraftangan untuk dijual kepada pelancong sebagai cenderamata. Seterusnya, tarian tradisional ataupun makanan trdisional juga boleh disediakan di pusat penginapan seperti percutian inap desa supaya pelancong dapat mengenali budaya-budaya yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas tersebut. Industri pelancongan membenarkan pelancong untuk mencuba gaya hidup yang berlainan kerana tak kenal maka tak cinta dan hal tersebut boleh dijadikan kenangan manis kepada rakyat Malaysia dan juga pelancong pada masa yang sama. Tegasnya, industri pelancongan dapat mengekalkan budaya negara kita dan juga memastikan budaya kita terus diwarisi kepada generasi yang akan datang kerana rakyat Malaysia dapat menghayati budaya kita melalui pelancongan.

            Impak penting yang dikesankan adalah industri pelancongan juga menyebabkan rakyat Malaysia mampu bergaul dengan masyarakat tempat lain. Hal tersebut akan meningkatkan kemahiran komunikasi seseorang. Dalam konteks ini, bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dan bahasa antarabangsa iaitu bahasa Inggeris dapat digunakan dalam pertuturan sewaktu rakyat Malaysia berinteraksi dengan pelancong. Hal tersebut dapat meningkatkan daya intelektual masyarakat negara kita supaya rakyat negara kita setanding dengan masyarakat negara-negara maju yang lain, ibarat peribahasa, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Seterusnya, masyarakat Malaysia juga mampu melakukan pertukaran pengalaman dari segi budaya ataupun teknologi. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila masyarakat bergaul dengan pelancong, mereka boleh meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dengan lebih efektif. Contohnya, borang maklum balas boleh disediakan di tempat pelancongan supaya pelancong dapat mengisi borang untuk menerangkan pengalaman dan pendapat tentang aspek-aspek yang digemari atau perlu dipertingkatkan supaya rakyat Malaysia boleh membuat penambahbaikan yang sewajarnya untuk menaik taraf perkhidmatan yang ditawarkan. Impaknya, industri pelancongan akan terus membangun lalu taraf hidup masyarakat dipertingkatkan. Oleh itu, industri pelancongan perlu dipergiat kerana industri tersebut merupakan medium dan medan rakyat Malaysia untuk melakukan pertukaran idea dengan pelancong.

            Jika kita selusuri lubuk minda dengan lebih mendalam, tidak dinafikan bahawa negara kita juga memperoleh manfaat daripada industri pelancongan negara kita dari segi perkembangan ekonomi. Ekonomi negara kita dapat dimajukan dengan pembangunan industri pelancongan Malaysia. Hal tersebut demikian kerana pelancong akan berbelanja di tempat pelancongan dan perbelanjaan tersebut dianggap sebagai modal yang boleh membangunkan bidang yang diusahakan oleh masyarakat Malaysia. Bukan itu sahaja, keindahan dan keselesaan lokasi pelancongan Malaysia juga menarik minat pelancong asing datang ke negara kita untuk berbelanja. Sebagai buktinya, mereka akan berbelanja ke atas makanan, barangan keperluan asas, perkhidmatan, pengangkutan dan perhubungan serta penginapan di negara kita. Hal tersebut telah membawa kepada kemasukan mata wang asing ke negara kita untuk meningkatkan ekonomi negara Malaysia. Dengan perkembangan ekonomi yang pesat, negara kita akan mempunyai dana yang cukup untuk meningkatkan infrastruktur di Malaysia supaya prasarana di Malaysia menjadi antara yang paling selesa dan kondusif yang boleh dinikmati oleh pelancong dan juga rakyat Malaysia. Selain infrastruktur, kerajaan juga mampu menggunakan wang tersebut dalam aspek pendidikan dan kesihatan masyarakat supaya taraf hidup anak bangsa Malaysia ditingkatkan. Jadi, jelaslah bahawa industri pelancongan banyak menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara kita.

            Implikasi yang tidak kurang impaknya adalah industri pelancongan juga boleh mengukuhkan hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dengan negara-negara yang lain. Contohnya, Malaysia telah menghantar agen ke negara lain untuk melakukn persidangan untuk bermesyuarat tentang perkembangan dan promosi bidang pelancongan Malaysia. Pakej pelancongan yang menarik juga ditawarkan ke negara lain untuk mempelawa pelancong asing supaya datang ke negara kita untuk melancong. Seterusnya, program ‘Cuti-cuti Malaysia’ yang bermatlamat untuk meningkatkan bilangan pelancong melawat ke negara kita juga dilancarkan oleh kerajaan hampir saban tahun. Tidak dinafikan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan telah mendatangkan hasil yang lumayan kepada negara kita. Hal ini demikian kerana perkembangan industri pelancongan telah menarik pelaburan ke negara kita. Contohnya, kereta hasilan Malaysia yang berjenama ‘Proton’ telah menarik perhatian pelabur China untuk melabur negara kita. Dalam konteks tersebut, negara kita dapat mencapai kemajuan dari pelbagai segi walaupun industri pelancongan hanya merupakan satu sektor kecil di negara kita. Orang cerdik pandai pernah berkata, yang kecil jangan disangka anak, yang besar jangan disangka bapa. Sudah terang lagi bersuluh, kita tidak boleh menafikan keupayaan industri pelancongan dalam membawa perkembangan kepada negara kita melalui hubungan diplomatik antara negara-negara luar yang terjalin baik.

            Akhirulkalam, bidang pelancongan merupakan industri yang sangat penting bagi menjamin kemajuan negara kita. Hal ini dikatakan kerana kebaikan yang didatangkan oleh industri pelancongan bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh negara Malaysia, bahkan semua anak bangsa yang tinggal di Malaysia. Menyedari hakikat tersebut, rakyat Malaysia dan pihak kerajaan haruslah berganding bahu ibarat kata seikat bagai sirih, serumpun bak serai untuk memajukan industri pelancongan negara kita. Hal ini demikian kerana perkembangan sektor pelancongan Malaysia merupakan tanggungjawab kita bersama yang perlu dipikul seperti peribahasa Melayu yang berbunyi, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.” Oleh itu, masyarakat Malaysia tidak boleh mengamalkan sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dengan mementingkan diri dan menuding jari ke mana-mana pihak dalam usaha mencapai kemajuan industri pelancongan. Bak kata pujangga, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Peribahasa tersebut memanifestasikan bahwa kita perlulah melakukan segala langkah yang proaktif dan pragmatif untuk memajukan sektor pelancongan tersebut dengan sedaya upaya sebelum nasi menjadi bubur. Jelaslah bahawa usaha yang sempurna perlu diambil oleh rakyat dan pihak kerajaan untuk memajukan industri pelancongan supaya kita mendapat manfaat daripadanya. Negara Maju Rakyat Sejahtera!

2 comments:

  1. Numpang promo ya Admin^^
    ingin mendapatkan uang banyak dengan cara cepat
    ayo segera bergabung dengan kami di ionpk.club ^_$
    add Whatshapp : +85515373217 || ditunggu ya^^

    ReplyDelete
  2. Jualan nih bakso kontol bakso kontol

    ReplyDelete