Wednesday 9 October 2019

KBR - FAKTOR PEMILIHAN KERJAYA


FAKTOR PEMILIHAN KERJAYA

Zaman beralih, musim berganti, demikianlah timbul tenggelamnya matahari dan bulan lalu kita kini masyarakat moden berada dalam era yang penuh dengan materialistik dan individualistik. Perubahan dari zaman pascaindustri ke pascaglobalisasi telah mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan malah mewujudkan peluang pekerjaan yang dahulunya mustahil untuk difikirkan. Persaingan untuk mendapatkan pekerjaan juga semakin sengit kerana kesedaran masyarakat moden hari ini terhadap kepentingan melanjutkan pendidikan yang lebih tinggi. Semakin maju dunia hari ini maka semakin banyak wujudnya peluang pekerjaan. Persoalannya di sini ialah, apakah faktor-faktor pemilihan kerjaya dalam kalangan generasi millenium yang berpendidikan tinggi hari ini?

Di mana ada gula, di situ ada semut. Peribahasa lama ini menganalogikan bahawa di mana ada peluang di situlah manusia berlumba-lumba mencari kesempatan. Dalam hal ini, semestinya kerjaya yang mempunyai prospek yang tinggi akan menjadi pilihan ramai. Hal ini dikatakan demikian kerana kerjaya berprospek tinggi mampu menjamin masa depan yang cerah dan bahagia. Sebagai contoh, kerjaya dalam bidang teknologi maklumat, pengkomputeran serta ahli perniagaan menjanjikan pendapatan yang lumayan memandangkan taraf hidup dan gaya masyarakat moden yang semakin maju. Kerjaya ini juga dapat membaiki taraf hidup diri dan keluarga. Malah, kerjaya ini mampu menaikkan nama negara serta menyumbang pendapatan dalam ekonomi negara. Ternyatalah bahawa kerjaya berprospek tinggi menjadi elemen pemilihan kerjaya generasi alaf baru.

Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, kerjaya yang menjaminkan pendapatan setimpal juga turut dipertimbangkan dalam pemilihan kerjaya. Adakalanya, sesetengah kerjaya agak berisiko dan susah untuk dilaksanakan. Contohnya kerjaya seperti bidang pembinaan dan bidang sains. Bukan itu sahaja, ada juga bidang kerjaya yang memerlukan kelayakan yang terlalu tinggi lalu masa dan wang perlu dihabiskan demi mendapatkan ijazah lanjutan dalam bidang tersebut. Tamsilnya bidang pakar kedoktoran serta guaman. Namun, semua kerjaya ini tetap menjadi pilihan kerana pendapatan yang berbaloi serta lumayan. Malah pekerjaan ini juga amat mulia dalam kalangan masyarakat serta dihormati oleh orang ramai. Bak kata peribahasa, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit- sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Izharlah bahawa pendapatan yang lumayan menjadi pertimbangan utama dalam pemilihan kerjaya.

Cendekiawan Inggeris pernah berkata bahawa semiskin-miskin manusia adalah manusia yang miskin akhlaknya. Oleh itu, dalam kita mengejar kerjaya yang membawa kekayaan, janganlah kita lupa akan akhlak kita terhadap masyarakat. Biar apapun kriteria pemilihan kerjaya seseorang, pilihlah kerjaya yang sah dari segi agama dan moral. Janganlah kita menggunakan daya intelektual kita memilih kerjaya yang merosakkan ketenangan dan kebahagian masyarakat malah mendatangkan dosa dalam kehidupan. Misalnya, kepintaran dalam bidang teknologi maklumat janganlah digunakan dengan menjadi penggodam laman sesawang atau menjadi pakar modus operandi bagi perlakuan jenayah. Bukan itu sahaja, kebijaksanaan menjalankan perniagaan janganlah terlalu mementingkan keuntungan sehingga sanggup terlibat dalam gejala rasuah dan penipuan. Sebab itulah bagi sesetengah orang yang bersikap patriotik, sanggup memilih kerjaya sebagai tentera atau polis walaupun pendapatan tidak menjaminkan kekayaan. Hal ini demikian kerana kerjaya tersebut memberi kepuasan demi berbakti kepada nusa dan bangsa. Terbuktilah di sini bahawa pemilihan kerjaya yang berpendapatan halal harus menjadi keutamaan masyarakat moden yang berpaksikan materialistik.

Bulan semakin terang, bayang kian jelas, kata-kata semakin telus bahawa banyak elemen yang harus diperhatikan dalam memilih kerjaya masa depan. Remaja khususnya haruslah memilih kerjaya yang sesuai dengan kemampuan diri masing-masing. Bukan itu sahaja, minat yang tinggi juga harus ada supaya apa jua kerjaya yang diidamkan mampu dicapai dan mampu konsisten dalam menjalankan tugas. Semua kerjaya idaman mampu digapai jika kita memegang prinsip peribahasa, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Tepuk dada tanyalah selera. Andalah penentu masa depan diri sendiri dan keluarga.

1 comment:

  1. ayo segera bergabung dengan kami hanya dengan minimal deposit 20.000
    dapatkan bonus rollingan dana refferal ditunggu apa lagi
    segera bergabung dengan kami di i*o*n*n*q*q

    ReplyDelete