Wednesday 9 October 2019

LATIHAN NOVEL - LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA


LATIHAN MENJAWAB SOALAN NOVEL
Jawab soalan di bawah berdasarkan Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa Karya Abdul Latip Talib.

1)      Pengarang mewujudkan peristiwa-peristiwa yang dapat dijadikan teladan oleh pembaca. Berdasarkan  novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang dapat dijadikan teladan.
[8 markah]
JAWAPAN :

Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib. Peristiwa yang dapat menjadi teladan ialah peristiwa Penghulu Deraman bersama-sama anak buahnya yang terdiri daripada pengawal kampung datang bertemu dengan Leftenan Adnan. Tujuan mereka untuk menyatakan persediaan mereka bertempur membantu pasukan Askar Melayu menentang Tentera Jepun. Penduduk kampung sangat prihatin bahawa Rejimen Askar Melayu kekurangan anggota dan sanggup menawarkan khidmat mereka demi mencapai kemenangan melawan tentera Jepun. Hal ini menunjukkan bahawa semangat patriotik dalam kalangan orang Melayu dalam menentang musuh dapat diteladani oleh generasi pada masa ini.

Peristiwa seterusnya ialah peristiwa berpuluh-puluh askar Jepun sampai ke kampung Sungai Ramal, Kajang. Mereka mencari keluarga Leftenan Adnan. Penduduk kampung telah berpakat untuk tidak bekerjasama dengan tentera Jepun. Mereka menyembunyikan keluarga Leftenan Adnan. Hal ini menunjukkan bahawa keberanian Leftenan Adnan menjadi pencetus semangat anak-anak muda bagi menentang tentera Jepun . Ramai yang menyertai pasukan pembebasan rakyat bagi menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Semangat dan keberanian Leftenan bukan sahaja menjadi teladan kepada penduduk kampung pada masa itu malah generasi kini juga perlu mempunyai rasa sanggup berkorban demi negara.


2)  Watak utama lazimnya mendapat perhatian dan disukai oleh pembaca.Berikan tiga alasan bagi menyokong pandangan anda dengan berdasarkan novel yang telah anda kaji.                                                                                                           
[7 markah]

JAWAPAN:

Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip Talib. Watak utama dalam novel tersebut ialah Adnan bin Saidi. Perwatakan  beliau yang disukai oleh pembaca ialah beliau merupakan seorang yang rajin. Buktinya, Adnan rajin membantu ayahnya menoreh getah, bersawah padi dan memungut buah durian di dusun duriannya. Adnan juga seorang pelajar yang sangat rajin menuntut ilmu.

Seterusnya, Adnan juga seorang yang memiliki semangat cinta akan negara yang tinggi. Buktinya, Adnan bercita-cita untuk menjadi seorang tentera kerana sayang akan negaranya. Untuk mencapai cita-citanya, Adnan menolak jawatan sebagai guru pelatih, sebaliknya memohon jawatan sebagai seorang tentera. Adnan sanggup meninggalkan kedua ibu bapanya demi mengejar cita-cita sebagai pejuang negara. Malah, Adnan juga berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir demi menjaga maruah Rejimen Askar Melayu.

Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang berani. Buktinya, Adnan berikrar tidak akan sekali-kali menyerah kalah walau apa-apa pun yang terjadi dalam peperangan menentang tentera Jepun. Setelah kehabisan peluru, beliau sanggup bertempur jarak dekat dengan bersenjatakan bayonet sahaja. Walaupun bilangan askar Jepun semakin ramai tetapi bilangan anggota tentera Melayu semakin berkurangan, hal tersebut tidak melemahkan semangat beliau malah beliau semakin berani mengasak pihak musuh.

Seperti yang dihuraikan di atas, watak utama mempunyai keistimewaan, kesempurnaan nilai-nilai kehidupan dan bersemangat serta penuh kecekalan yang menjadikan watak utama tersebut mendapat perhatian pembaca.

3) Mengapakah unsur konflik antara watak dalam sesebuah novel itu sangat penting? Nyatakan tiga alasan berdasarkan novel yang telah anda kaji.                     
[7 markah]

JAWAPAN:

Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip. Unsur konflik antara watak dalam sesebuah novel itu sangat penting kerana konflik dapat menjadikan jalan cerita lebih menarik. Buktinya, konflik antara Pak Saidi dengan penduduk Sungai Ramal. Mereka gempar apabila mendapat tahu Pak Saidi menghantar anaknya belajar di sekolah Inggeris. Hal ini demikian kerana ada sekolah pondok dan sekolah Melayu di sekitar kawasan tersebut. Mereka khuatir anak Pak Saidi menjadi murtad. Berdasarkan realiti tersebut, kita dapat menilai corak pemikiran masyarakat pada waktu itu.

Seterusnya konflik juga digunakan untuk memperlihatkan keistimewaan watak utama menyelesaikan konflik yang dihadapi. Buktinya, konflik askar Melayu dengan tentera Jepun. Leftenan Adnan terus memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya. Mereka semakin kehabisan peluru sedangkan asakan tentera Jepun semakin bertambah. Berlaku pertempuran jarak dekat antara askar melayu yang menggunakan bayonet dengan askar Jepun yang menggunakan pedang samurai. Unsur konflik ini menunjukkan betapa watak utama iaitu Leftenan Adnan memainkan peranan penting dalam menaikkan semangat askar-askar Melayu untuk menentang penjajah.

Akhir sekali, konflik juga dapat dijadikan iktibar atau teladan kepada pembaca. Buktinya, konflik Samad bertengkar dengan Penghulu Sidek. Samad mengatakan bahawa kedatangan Jepun bukannya mahu menjajah tetapi British yang mahu menguatkan cengkaman penjajahannya. Dari sini kita mengetahui bahawa terdapat segelintir penduduk yang menjadi penyokong kepada kedatangan tentera Jepun di Tanah Melayu kerana terpengaruh oleh propaganda pihak Jepun.

2 comments: