Wednesday 9 October 2019

KBR - LANGKAH MENANGANI SALAH LAKU REMAJA


LANGKAH MENANGANI SALAH LAKU REMAJA


"Berikan aku sepuluh orang remaja waja, pasti aku bisa menggongcangkan dunia." Demikianlah kata-kata mantan Presiden Indonesia yang tersohor, Soekarno, yang jelas membawa maksud bahawa remaja merupakan tulang belakang sesebuah negara yang mampu menggerakkan jentera kemajuan sesebuah negara. Namun, amat menyedihkan apabila kita meneliti statistik salah laku remaja tahun 2017 yang dipaparkan dalam media arus semasa ketika ini. Sejumlah 67, 053 ribu remaja telah melakukan kesalahan ponteng sekolah manakala 6,917 telah terlibat dalam kancah jenayah. Kes-kes salah laku remaja kian merebak menjadi amalan biasa para remaja ibarat api dalam sekam. Menyedari hakikat yang pahit ini, pihak ibu bapa, sekolah dan kerajaan tidak wajar menutup sebelah mata kerana merekalah yang harus menyelesaikan kemelut yang memalukan negara ini sebelum kian parah ibarat kudis menjadi tokak. Persoalan yang bermain di ruang pemikiran ialah apakah prakarsa-prakarsa primer yang perlu digembeleng bagi mengatasi masalah salah laku dalam kalangan remaja modenisasi hari ini?

Pada pendapat saya, kemelut salah laku dalam kalangan generasi muda yang naif ini boleh di atasi dengan pemantauan ketat oleh ibu bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapalah pencorak kehidupan anak-anak sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW iaitu anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang menentukan corak dan warnanya. Pemantauan oleh ibu bapa boleh dimulakan dengan mengenali latar belakang rakan-rakan anak mereka termasuk aktiviti yang kerap dilakukan oleh mereka. Bukan itu sahaja, kebebasan penggunaan telefon bimbit juga harus dikawal malah ibu bapa patut memantau status dan gambar yang dimuat naik oleh anak-anak di media sosial. Natijahnya, ibu bapa dapat menghidu dengan lebih awal segala tindakan salah anak-anak jika pemantauan ketat dilakukan. Tingkah laku baik anak-anak juga harus dikukuhkan dengan memahat kukuh ilmu agama dalam sanubari anak-anak. Hal ini bersesuaian dengan kata-kata Benjamin Franklin yang mengatakan bahawa jika manusia masih tetap jahat dengan adanya agama, bagaimana lagi jika tiadanya agama? Ternyatalah bahawa pemantauan ibu bapa mampu membendung perbuatan salah laku remaja yang diharapkan menjadi pewaris keluarga.

Cendekiawan Inggeris, William J.Siegal pernah menyebut, manusia tidak merancang untuk gagal, tetapi mereka gagal untuk merancang. Kata-kata ini berbaur sinis sekiranya kita gagal merancang masa depan generasi tonggak negara. Oleh itu, kita tidak dapat menafikan peri pentingnya peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah. Sebagai institusi pembentuk masa depan, pihak sekolah melalui peranan guru-guru haruslah menekankan pendidikan akhlak dalam proses pembelajaran di dalam kelas dengan tidak mementingkan pencapaian terbaik dalam mata pelajaran sahaja. Malah, badan disiplin di sekolah haruslah telus dan tegas dalam mengimplimentasikan peraturan sekolah dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga atau tidak bersungguh-sungguh. Jika guru-guru dan badan disiplin berjaya menjadi mata dan telinga untuk pihak sekolah dan ibu bapa, nescaya tiada kes salah laku yang akan terlepas dari pemantauan malah pelajar-pelajar akan takut untuk melanggar peraturan akibat takut dibuang dari sekolah. Ternyatalah bahawa sekolah turut memainkan peranan yang signifikan dalam mengurangkan jenayah dan salah laku golongan pelajar.

Memegang prinsip peribahasa, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, kita tidak harus berputus asa bagi mengembalikan bakal pemimpin dengan kita ke landasan yang betul. Pihak kerajaan terutamanya harus meletakkan usaha murni dengan menganjurkan kempen-kempen pencegahan jenayah bagi memupuk kesedaran terhadap impak dan natijah perlakuan salah laku yang menyakitkan mata. Kerajaan boleh menyalurkan kempen-kempen tersebut melalui media sosial yang menjadi kegilaan remaja serta menghebahkan seluas yang mungkin melalui media cetak dan elektronik. Kempen seperti Dadah Membawa Padah, Katakan Tidak Kepada Rokok serta Tiada Toleransi Terhadap Buli harus diwara-warakan dalam laman Facebook, Twitter dan berita-berita perdana setiap saluran televisyen. Pegawai berpangkat tinggi dalam jabatan polis juga perlu di hantar ke setiap sekolah untuk memberikan ceramah kesedaran terhadap hukuman ke atas juvana yang terlibat dalam jenayah sosial. Impaknya, remaja akan ketakutan membayangkan bentuk hukuman yang keras jika disabitkan kesalahan. Izharlah disini bahawa kempen pencegahan jenayah mampu meletakkan noktah terhadap perlakuan sumbang remaja masa kini.

Sebagai penutup wadah perbincangan topik yang hangat ini, ingin saya memetik kata-kata Nelson Mandela, pejuang dasar aparteid serta mantan presiden Afrika yang menyatakan bahawa "jika anda ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah keadaan remajanya". Oleh itu, bayangkanlah masa depan Malaysia tercinta ini jika statistik yang dipaparkan tersebut semakin meningkat pada tahun 2019 ini. Oleh itu, marilah kita seluruh rakyat Malaysia yang berintelektual tinggi, menggembeleng tenaga dan bersendeng bahu, memikul amanah membentuk generasi pemegang tampuk kepimpinan negara supaya celik minda dan sahsiah malah sedar akan bertanggungjawab yang tergalas di atas bahu masing-masing. Saya percaya, jika kita memegang prinsip peribahasa, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, pasti kita akan berjaya menjadi warganegara berpemikiran kelas pertama demi nusa tercinta.

1 comment:

  1. ayo segera bergabung dengan kami hanya dengan minimal deposit 20.000
    dapatkan bonus rollingan dana refferal ditunggu apa lagi
    segera bergabung dengan kami di i*o*n*n*q*q

    ReplyDelete