Sunday 6 October 2019

CARA BELAJAR YANG BERKESAN - CONTOH KARANGAN PELAJAR


Cara Belajar Yang Berkesan
Oleh : Long Yuxuan (5A)
Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak melayang. Peribahasa lama ini telah menyatakan bahawa untuk mendapat rezeki lumayan atau keuntungan, seseorang haruslah berusaha sedaya upaya. Menurut kata-kata pakar Fizik terkenal, Albert Einstein, “ilmu tanpa agama adalah buta, agama tanpa ilmu adalah lumpuh.” Kata-kata ini benar dan menegur seseorang untuk selalu menimba ilmu pengetahuan serta perkembangan diri dari aspek agama dan rohaniah secara seimbang dengan mementingkan kedua-duanya. Dalam era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang sering mencabar akal dan minda ini,  kita telah menyumbang kepada ekonomi pesat yang memerlukan remaja yang lebih berintelektual dan lebih berinovatif. Dalam konteks ini, untuk seseorang remaja terus berdaya maju dan mencapai kejayaan dalam kehidupan, dia seharusnya belajar dengan bersungguh-sungguh. Bak kata orang-orang tua, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakah dapat sagunya. Sekiranya anak bangsa kini hendak mencapai kejayaan, kita hendaklah berusaha. Oleh itu, pendidikan telah menjadi teras kemajuan seseorang pada peringkat individu, masyarakat dan negara. Izharlah bahawa pendidikan dan keputusan pelajar dipentingkan dalam era teknologi dan informasi ini, dan semua remaja haruslah berdaya maju sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah cara-cara untuk belajar dengan berkesan?
            Menurut kata-kata William J.Siegal, “manusia tidak merancang untuk gagal, tetapi gagal untuk merancang.” Nasihat beliau telah menegur manusia terutamanya remaja kini untuk membuat persediaan, persiapan dan rancangan sejak awal lagi, bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Antara cara untuk belajar yang berkesan ialah membuat jadual waktu. Generasi-Z kini sering menghadapi cabaran dan dugaan yang berkaitan dengan masa. Hal ini demikian kerana untuk berjaya dalam masyarakat pesat ini, seseorang akan lebih menyertai aktiviti-aktiviti kokurikulum di sekolah atau menyertai pertandingan di luar sekolah. Aktiviti-aktiviti tersebut telah banyak menggunakan masa remaja dan menjejaskan keputusannya. Oleh itu, sebuah jadual waktu perlulah dirancang untuk mengatur masa seseorang dengan lebih sistematik, persis kata-kata orang Melayu, masa itu emas. Sebuah jadual yang baik mestilah mengandungi masa untuk belajar, masa untuk aktiviti bersukan, kokurikulum dan beriadah. Hal ini adalah untuk mengurangkan tekanan seseorang remaja dan dapat mendidik akhlak serta pemikiran yang positif. Jika aktiviti-aktiviti disusun dan dirancang dengan baik, seseorang remaja tidak akan mengabaikan aktviti kokurikulum serta mengelakkan kemerosotan aspek akademiknya. Tegaslah bahawa membuat sebuah jadual waktu dapat menyedia seseorang remaja untuk menghadapi cabaran dan dugaan kehidupan dengan lebih produktif tanpa tekanan.
Jika ditinjau dari sudut dimensi yang sama, mengamalkan tabiat mengulangkaji pelajaran merupakan teras kejayaan seseorang remaja. Teknologi-teknologi baharu yang diperkenalkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan telah menjadi daya perhatian semua remaja. Walau bagaimanapun, kita seterusnya mengamalkan nilai berdisiplin dan berdikari untuk mengulang kaji pelajaran. Hal ini penting kerana perkara-perkara yang telah diajar dalam kelas mudah untuk dilupakan. Ahli-ahli sains telah membuktikan bawah 10 peratus yang diajar oleh guru sekolah diingat oleh pelajar selepas 1 bulan. Oleh itu, kita dapat mengekalkan ingatan fakta-fakta dan teori yang diajar oleh guru jika kita rajin mengulang kaji.  Tambahan pula, seseorang remaja seharusnya menetapkan masa yang tetap untuk mengulangkaji. Contohnya 1 jam sehari, setiap malam pada pukul 8 hingga 9. Dengan menggunakan cara ini, seseorang remaja akan lebih terbiasa dengan tabiat mengulang kaji dan tidak akan mengelakkannya sesuai dengan kata-kata aforisme lama, alah bisa tegal biasa. Justeru, seseorang remaja yang ingin belajar dengan berkesan haruslah melakukan  latihan intensif melalui buku-buku latihan atau kertas peperiksaan tahun-tahun lepas. Cara ini sangat penting terutamanya dalam bidang Matematik dan Fizik. Hal ini demikian kerana bidang-bidang tersebut bergantung kepada aspek teori dan aplikasi dalam kehidupan dan dengan melatih minda kita untuk mengaplikasikan bahan yang dipelajari, secara tidak langsung informasi penting dapat dikekalkan. Tambahan pula, seseorang yang rajin membuat buku latihan akan lebih memahami format dan struktur soalan yang ditanya dalam peperiksaan. Hal ini dapat melatih remaja tersebut dalam teknik jawab yang betul serta jawapan lebih tepat. Tuntasnya, salah satu cara untuk belajar dengan berkesan ialah untuk mengulang kaji pelajaran serta membuat latihan intensif melalui buku latihan.
Bak kata pepatah, badan cergas, minda cerdas. Salah satu cara yang efektif lagi pragmatik yang telah diabaikan oleh generasi muda untuk belajar dengan berkesan ialah mengamalkan gaya hidup sihat. Seseorang remaja haruslah menjalankan aktiviti senaman, makan makanan berkhasiat, tidur awal dan sebagainya jika hendak menjadi pelajar yang cemerlang. Sebuah kajian tempatan telah dibuat dan menyatakan 70 peratus atlet negara merupan pelajar cemerlang di sekolah seperti Datuk Nicole Ann David. Hal ini demikian kerana semasa melakukan aktiviti senaman, sel-sel di badan kita dapat menghantar oksigen ke otak dengan lebih efisien serta dapat menyumbang kepada otak yang berfungsi dan bertindak dengan lebih cepat dan tepat. Tambahan pula, aktiviti senaman yang dilakukan juga meningkatkan aliran darah ke organ-organ dengan lebih cepat dan tidak akan berasa keletihan semasa berada dalam kelas. Di samping itu, seseorang remaja juga mestilah mendapat masa tidur yang secukupnya. Pada usia 13 hingga 17 tahun, pakar sains telah menyarankan bahawa ritma sirkadian kita memerlukan sekurang-kurangnya 8 jam untuk tidur. Maka, hakikat remaja yang ingin tidur selepas tengah malam kian membimbangkan. Oleh itu, kita haruslah mendisiplinkan diri dan tidur pada masa yang ditetapkan. Perkara ini penting untuk mengelak keadaan lesu di sekolah pada hari esoknya. Selain itu, pemakanan yang seimbang juga penting untuk belajar dengan berkesan. Remaja-remaja kini sering memilih makanan segera dan makanan ringan seperti burger, mi segera dan kentang goreng. Pengambilan makanan-makanan ini akan menyumbang kepada kesan-kesan negatif seperti obesiti tekanan darah tinggi. Jika menghidapi dengan penyakit kronik tersebut, seseorang remaja tidak dapat memberi perhatian penuh di kelas dan terpaksa mengabaikan pendidikan untuk mengubati penyakitnya. Selain itu, pengambilan air berkarbonat seperti Coke dan Pepsi mempunyai kandungan gula serta sodium glutanat yang tinggi. Hal ini akan memberi tenaga segera kepada pengguna tetapi mereka akan berasa keletihan selepas beberapa jam. Tambahan pula, pengambilan minuman tersebut akan menyumbang kepada penyakit kencing manis dan penyakit kardiovaskular yang tidak dapat diubati. Oleh itu, remaja yang ingin belajar dengan berkesan seharusnya makan makanan yang berzat serta seimbang. Contohnya, lauk-pauk yang mempunyai 7 elemen kesihatan seperti kabohidrat, lemak, vitamin, mineral, serat, air dan protin. Hal ini akan memperkuatkan sistem imunisasi seorang remaja dan membolehkannya memberi perhatian dalam jangka masa yang lebih panjang. Sesuailah dengan kata-kata orang-orang tua dahulu, mencegah lebih baik daripada mengubati. Sudah terang lagi bersuluh bahawa seorang remaja yang ingin belajar dengan berkesan haruslah mengamalkan gaya hidup sihat.
Sehubungan dengan itu, seseorang remaja yang ingin belajar dengan berkesan seharusnya memberi perhatian dan tumpuan dalam kelas. Hal ini demikian kerana perkara atau bidang yang diajar oleh guru merupakan perkara khusus yang akan ditanyakan dalam peperiksaan nanti. Contohnya, Sijil Peperiksaan Malaysia hanya bertanya perkara dan bidang berkaitan dengan buku teks yang diajar oleh guru sekolah. Tambahan pula, guru-guru yang berpengalaman dapat meramalkan bab-bab yang penting dan bahagian tertentu yang harus diberi tumpuan dan penekanan semasa peperiksaan yang akan datang. Di samping itu, guru-guru Malaysia juga perlu menghadiri seminar-seminar yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Jika format jawapan telah diubah, guru-guru merupakan orang pertama yang akan diberitahu. Oleh itu, seseorang remaja yang berwaspada wajar mendengar dan memberi perhatian untuk mengetahui format soalan dan jawapan terkini. Jika seseorang pelajar tidak mendengar nasihat yang diberi oleh guru, dia mungkin akan mendapat keputusan yang buruk walaupun menjawab dengan jawapan betul. Hal ini kerana pelajar tersebut tidak menepati format terkini dan ini akan menjejaskan masa depannya. Izharlah bahawa memberi perhatian di dalam kelas penting untuk belajar dengan berkesan.
Sebelum bicara petua diakhiri, cara terakhir untuk belajar secara berkesan ialah mendapat bantuan dari pusat tuisyen atau bimbingan guru kelas tambahan. Kini, bahan bacaan seperti Sejarah dan bidang kesusasteraan Melayu terlalu banyak untuk dipelajari. Oleh itu, guru-guru di kelas tidak dapat mengajar topik-topi tersebut dengan menyeluruh. Walau bagaimanapun, peperiksaan awam akan memberi soalan berkaitan dengan topik yang tidak diajar oleh cikgu. Dalam konteks ini, seseorang remaja yang ingin belajar dengan berkesan seharuslah meminta bantuan daripada guru pusat tuisyen atau bimbingan guru kelas tambahan. Pusat tuisyen dapat dijadikan sebuah tempat pelajar mempelajari topik yang tidak dapat dirangkumi oleh guru sekolah atau untuk mengulang kaji pelajaran. Guru-guru di pusat tuisyen juga berpengalaman mendidik dan menambah baik keputusan seseorang murid. Untuk berjaya dalam peperiksaan, seseorang remaja mestilah berdaya maju dan memohon bantuan guru sekolah selepas waktu sekolah atau pada waktu rehat. Jika mempunyai topik yang tidak difahami, seseorang pelajar dapat menguasai bidang tersebut dengan lebih terperinci jika bertanya gurunya. Remaja-remaja tidak harus bimbang untuk mengambil langkah ini yang mungkin memakan masa seorang guru atau membazirkan masa guru kerana keseluruhan guru berbudi pekerti mulia dan tidak bersikap seperti enau belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Guru-guru biasanya sedia membantu pada bila-bila masa jua. Konklusinya, mendapat bantuan daripada pusat tuisyen dan memohon bantuan serta nasihat oleh guru di luar kelas merupakan cara yang utuh untuk belajar dengan lebih berkesan.
Izinkan saya mengakhiri perbicaraan ini dengan peribahasa lama yang berbunyi, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Peribahasa ini telah mengajar kita untuk selalu rajin dan berdaya maju dalam sesuatu perkara dahulu, walaupun betapa susahnya demi masa depan yang akan menjadi lebih senang. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain juga. Jika seseorang remaja yang berusaha ingin mencapai kejayaan, dia hendaklah bermula sejak awal lagi dengan belajar dengan berkesan. Dengan mengikuti cara-cara yang diulaskan tersebut, pastilah seseorang akan menjadi salah satu ahli generasi muda negara kita yang melambangkan kebijaksanaan Malaysia. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Izharlah remaja merupakan teras pembangunan negara kita untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara yang telah mencapai anjakan paradigma di alaf baru ini. Sebelum padi menjadi lalang, sebelum ayam di reban di sembar helang, marilah kita sebagai generasi muda melambangkan kedaulatan, keinsafan dan kebijaksanaan kita kepada seantero dunia dengan membuktikan kejayaan dalam pencapaian akademik yang cemerlang!

7 comments:

  1. Numpang promo ya Admin^^
    ingin mendapatkan uang banyak dengan cara cepat
    ayo segera bergabung dengan kami di ionpk.club ^_$
    add Whatshapp : +85515373217 || ditunggu ya^^

    ReplyDelete
  2. Menjawab soalan dengan mengangkat tangan

    ReplyDelete