Thursday 3 November 2016

Usaha Membantu Golongan Orang Kurang Upaya (OKU)


Usaha berterusan membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara.  
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini?
      
Orang Kurang Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat  keadaan fizikal atau mentalnya sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit tertentu. Kecacatan fizikal dan  mental ini menghalang mereka  dari melakukan aktiviti-aktiviti normal  seperti sosial, rekreasi , pelajaran dan pekerjaan. Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua kumpulan utama, iaitu kurang upaya secara kekal dan kurang upaya secara sementara. Walaupun banyak kekurangan yang ada,  masyarakat kurang upaya ini tidak harus dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi sumbangan kepada negara. Oleh sebab itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu OKU  meneruskan kehidupan dengan sempurna.

Antara usaha yang dapat dilakukan ialah masyarakat perlu menerima kehadiran golongan kurang upaya ini seadanya dan membantu mereka menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Hal ini kerana  masyarakat perlu sedar bahawa OKU tidak meminta dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna malah mempunyai hak untuk hidup sama seperti orang lain. Golongan Kurang Upaya (OKU) haruslah diberi layanan yang baik kerana mereka turut mempunyai perasaan yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka dipandang rendah dan dianggap tidak berguna. Pepatah ada mengatakan, “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”. Namun begitu kita harus melayan mereka secara istimewa dalam keadaan-keadaan tertentu seperti membantu mereka melintas jalan, memberi tempat duduk di dalam kenderaan awam dan sebagainya.  Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, simpati, belas kasihan dan tolong menolong agar mereka dapat membantu OKU dengan seikhlas hati.

Selain itu, media massa sama ada media elektronik atau media cetak juga berperanan penting dalam membantu golongan kurang upaya ini. Pihak media massa perlu menyiarkan artikel dan rancangan khas tentang OKU kepada segenap lapisan masyarakat. Rancangan di TV3 seperti Bersamamu kerap kali memaparkah kisah sedih dan pilu OKU  untuk perhatian masyarakat. Melalui rancangan ini , perasaan masyarakat pasti akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud perasaan simpati dan terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana dan tabung khas disediakan oleh pihak media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan kewangan kepada OKU. Oleh hal yang demikian, nasib OKU akan terbela dan mendapat simpati berterusan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka. Sesungguhnya, “tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima”.

Selain itu, kerajaan juga pula dapat membantu  OKU dengan memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang . Golongan Kurang Upaya (OKU) diberi peluang mengikuti latihan kemahiran seperti membaiki kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok dan kraf tangan di Pusat Giat Mara, Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Cacat(JARO) dan lain-lain institusi. Di sini ,OKU dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran supaya mereka dapat berdikari dan boleh bekerja sama ada makan gaji atau berniaga sendiri. Setelah  mantap dalam bidang pekerjaan, mereka akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain membantu negara dan tidak lagi menyusahkan orang lain bahkan mampu menyara hidup sendiri dan keluarga.

Tambahan pula, pihak kerajaan juga turut membantu OKU dengan memberikan bantuan dan elaun dalam bentuk wang ringgit, makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal, peralatan pembelajaran dan kenderaan khas. Peruntukan dari kerajaan ini disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, MARA dan sebagainya. Bantuan seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban OKU malah dapat mengembirakan hati mereka dalam meneruskan kehidupan di  dunia ini. Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan.  Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah berusaha  memberi bantuan modal kepada semua OKU yang berminat melalui permohonan dan sokongan daripada persatuan masing-masing.  Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada orang lain bak kata pepatah, “ada padi semua jadi, ada beras semua deras”.

Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang setanding dengan pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kuota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka ke arah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu.       
   
Di samping itu, pihak swasta pula digalakkan mengambil pekerja OKU untuk berkhidmat dalam syarikat mereka. Mereka perlu memberi peluang ini kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani di mana sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja. Selain itu, usaha murni Pasaraya Besar Carrefour yang telah mensasarkan 5 peratus daripada pekerjanya ialah OKU haruslah diberi pujian kerana mereka memberi peluang kepada OKU dan membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga mereka.     
    
           Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.

No comments:

Post a Comment