Thursday 3 November 2016

Format syarahan: Punca-Punca Berlakunya Gejala Buli dan Langkah-langkah Menanganinya



Anda telah menyertai pertandingan syarahan anjuran Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda.  Tajuk syarahan anda ialah punca-punca berlakunya gejala buli dalam kalangan pelajar di sekolah dan langkah-langkah menanganinya. 
Tuliskan teks syarahan anda selengkapnya. 

Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Khir Johari, Puan Hajah Fatimah bt Yusof, Yang dihormati Guru Penolong Kanan Puan Aisyah bt Ahmad,  barisan hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Assalamualaikum, salam sejahtera serta salam satu Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

            Berdirinya  saya pada hari ini yang berbahagia ini, adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Punca-punca gejala buli di sekolah serta langkah-langkah menanganinya’.  Sebelum saya meneruskan syarahan saya, ingin saya kemukakan satu soalan iaitu , apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan rangkai kata 'gejala buli?

Hadirin yang dihormati sekalian,

Menurut Kamus Dewan, gejala buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

Sebenarnya, antara punca berlakunya gejala buli ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang terlibat.   Agama Islam contohnya, menggariskan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang selaras dengan tuntutan agama.  Umpamanya, nilai hormat-menghormati sesama manusia, kasih-sayang, belas kasihan, amanah, bertanggungjawab dan sebagainya.  Malah setiap agama di dunia ini juga seperti agama Kristian dan Hindu turut menekankan nilai-nilai murni yang baik dalam kehidupan. Namun, mereka yang terlibat dalam gejala buli ini tidak lagi menghayati dan mengamalkan suruhan agama.  Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ahli falsafah tersohor, Hamka, pernah mengatakan, “Tiga sifat yang ditimbulkan oleh agama ialah perasaan malu iaitu enggan mendekati suatu yang tercela, boleh dipercayai di dalam pergaulan hidup iaitu amanah, benar dan jujur”. Ringkasnya, ketandusan nilai keagamaan dalam diri mereka  menyebabkan gejala buli ini semakin berleluasa.

           Selain itu, ibu bapa juga menjadi punca berlakunya gejala buli ini.  Pada zaman yang serba moden ini kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.  Hal ini menyebabkan mereka kurang memberikan belaian kasih sayang, kemesraan dan perhatian kepada anak-anak mereka. Contohnya, terdapat segelintir ibu bapa yang keluar bekerja seawal 6.30 pagi dan pulang lewat malam. Mereka tidak ada masa untuk mengambil tahu perkembangan anak-anak terutama yang remaja.  Tugas dan tanggungjawab menjaga anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah dan guru di sekolah. Anak-anak yang ketandusan kasih sayang ini akhirnya beralih perhatian ke arah perkara-perkara yang tidak baik. Pujangga lama Melayu ada berbunyi, “Anak yang ditinggalkan ayah, jarang yang tidak luka jiwanya sampai besar”. Justeru, kekurangan perhatian daripada ibu bapa turut menjadi punca gejala buli ini.

Di samping itu, pengaruh rakan sebaya di sekolah juga merupakan salah satu punca yang penting menyebabkan pelajar terlibat dalam kegiatan membuli ini.  Para pelajar yang masih terlalu muda,  dikatakan berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sebahagian besarnya masih belum boleh berfikir dengan matang.  Contohnya, mereka amat mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebaya dan tidak dapat berfikir tentang baik buruknya tindakan mereka itu. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pujangga mengatakan, bersahabat dengan orang jahat itu ibarat berperahu di laut. Sungguhpun kita selamat daripada tenggelam tetapi kita tidak terlepas daripada rasa takut. Malah ahli falsafah turut mencoretkan bahawa, sahabat sering menjadi musuh. Oleh itu berhati-hatilah memilih sahabat. Jelaslah,  rakan sebaya yang menjadi orang penting dalam kehidupan remaja selain ibu bapa menjadi punca gejala buli ini.

Bagaimana dengan pihak media massa?  Seperti yang kita ketahui, media masa terutamanya televisyen sering menayangkan filem-filem yang berunsur keganasan, pergaduhan dan sebagainya.  Filem dan rancangan terutamanya dari barat dan Hong Kong jelas memaparkan unsur keganasan seperti rancangan gusti, filem-filem aksi pertarungan dan pembunuhan jelas membawa pengaruh buruk kepada remaja kita.  Pelajar meniru aksi yang disaksikan di televisyen untuk membuli rakan-rakan mereka yang lain. Ibarat pepatah, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, kian hari perkara yang dipertontonkan kepada remaja menjadi ikutan dalam diri mereka sehingga merasa bangga untuk membuli rakan-rakan yang dipandang lebih lemah atau kekurangan.

Tuan-tuan dan puan-puan serta rakan seperjuangan sekalian,

Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.  Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam kurikulum di sekolah.  Contohnya,  melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya, ilmu tentang gejala-gejala negatif terutamanya buli dan kesan-kesan buruknya perlu dimasukkan dalam sukatan.   Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan yang boleh menggelapkan masa hadapan meeka.   Pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkan mereka daripada terbabit dalam kes buli ini. Pencegahan awal terhadap masalah ini perlu dititikberatkan kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

                  Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedarkan para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli.   Pihak luar seperti NGO boleh dipanggil untuk mengadakan pameran dan ceramah tentang gejala buli ini.  Selain itu pihak sekolah sendiri boleh menganjurkan aktiviti seperti kuiz, pidato dan sebagainya tentang kes buli dan juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya supaya tidaklah nanti sudah terhantuk baru nak terngadah.

Seterusnya , yang paling penting ialah diri pelajar itu sendiri.  Para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana kawan yang baik akan membawa mereka ke arah kebaikan dan begitulah sebaliknya.  Umpama berkawan dengan penjual minyak wangi, secara tidak langsung badan kita juga akan sentiasa wangi. Contohnya, jika berkawan dengan orang yang minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan gemar membaca bersama-sama. Oleh itu,  pelajar mesti  bijak memilih kawan supaya tidak terjebak dalam gejala buli di sekolah bak kata pujangga, sebaik-baik sahabat ialah yang elok dalam perangai dan budi pekerti. Namun, ahli pujangga juga menasihatkan bahawa, “Supaya engkau beroleh sahabat, hendaklah diri engkau sendiri sanggup menyempurnakan menjadi sahabat orang”.

Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah bagai aur dengan tebing dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar boleh menjadi mata dan telinga kepada para guru di sekolah.  Contohnya jika para pelajar ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli, mereka harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada guru disiplin atau pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah. Dalam hal ini, pelajar sendirilah yang harus memainkan peranan penting dan tahu bertindak dengan wajar apabila melihat gejala buli dalam kalangan pelajar. Pelajar harus menjaga maruah mereka kerana janganlah disebabkan segelintir pelajar yang suka membuli menyebabkan maruah pelajar-pelajar di sekolah tersebut tercemar ibarat nila setitik rosak susu sebelanga. Sesuai dengan  peribahasa yang berbunyi, seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Memang tidak dapat dinafikan lagi, pihak sekolah turut memainkan peranan penting untuk menangani gejala buli ini. Setiap laporan yang diterima daripada guru atau pelajar mesti diambil tindakan dengan segara.  Pihak sekolah haruslah bersungguh-sungguh dalam soal ini dan janganlah hanya melepaskan batuk di tangga dalam menangani isu ini. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah tidak harus berkompromi dengan kes buli malah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain. Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

            Tidak syak lagi, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana bapa borek, anak rintik. Ibu bapa juga perlu menunjukkan tingkah laku yang baik, contohnya  tidak bertengkar atau bergaduh di hadapan anak-anak, bergaul dengan baik dan mesra ketika berurusan dengan jiran tetangga dan orang lain.  Bak kata bidalan, bagaimana acuan , begitulah kuihnya.  Ibu bapa yang baik akan melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia. Sebuah al-Hadis yang bermaksud, “Peliharalah anak-anakmu dan perbaikilah budi pekerti mereka. Sesungguhnya anak-anak itu adalah hadiah Allah kepadamu,” jelas membuktikan bahawa peri pentingnya tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik tingkah laku peribadi anak-anak.

Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus meluangkan masa dengan anak-anak dan sentiasa mengambil berat tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah. Contohnya, pada hujung minggu atau cuti, ibu bapa boleh membawa anak-anak bercuti untuk mempererat kemesraan keluarga.  Perhatian dan  belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka akan menyebabkan  mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari anak-anak mereka sejak kecil lagi seperti pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Dengan ini anak-anak akan menyayangi ibu bapa dan sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama. Hamka pernah mengatakan, “Sewaktu kecil anak-anak lelaki menjadi perhiasan mata kerana lucunya, kerana dia itu harapan. Maka setelah dia besar, dia menjadi kebanggaan kerana kejayaan hidupnya”. 

             Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun jari sepuluh dan memohon kemaafan jika ada kesilapan tutur kata semasa menyampaikan syarahan saya tadi. Semoga apa yang telah saya sampaikan sebentar tadi dapat memberi manfaat kepada kita semua. Akhir kata terimalah dua rangkap pantun daripada saya.

    Kalau ada jarum yang patah, 
    Jangan di simpan di dalam peti; 
    Kalau ada silap dan salah,
    Jangan disimpan di dalam hati.


            Padi muda jangan ditampi;
            Padi huma si beras jati;
    Generasi muda harapan pertiwi,
            Didiklah mereka seikhlas hati.

Sekian.  Terima kasih.

No comments:

Post a Comment