Wednesday 9 September 2020

KONFLIK WATAK UTAMA & CARA WATAK UTAMA MENYELESAIKAN KONFLIK

Terdapat beberapa konflik dalam setiap novel yang telah anda kaji semasa di Tingkatan 4 dan 5.

Berdasarkan dua buah novel tersebut huraikan satu konflik yang dialami oleh watak utama dan cara watak utama  menyelesaikan konflik tersebut.

Rangka jawapan berdasarkan Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa (Abdul Latib bin Talib) dan Novel Tirani (Beb Sabariah).

KONFLIK WATAK UTAMA LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA : ADNAN BIN SAIDI

KONFLIK

LANGKAH MENGATASI

(Ayat utama jawapan)

Watak utama novel ini iaitu Adnan mengalami konflik dengan Budin sewaktu zaman kecilnya.

 

(Bukti peristiwa)

Konflik dengan Budin bermula setelah tamat  perlawanan bola sepak antara Kampung Sungai Merap dengan Kampung Sungai Ramal. Budin daripada pasukan Kampung Sungai Merap tidak berpuas hati kerana kekalahan di tangan pasukan Kampung Sungai Ramal. Konflik ini menjadi buruk akibat ejek-mengejek antara penyokong kedua-dua pasukan tersebut.

Bagi meredakan keadaan tidak puas hati itu, mereka mengatur pula perlawanan tinju antara kedua-dua pasukan. Mereka membuat gelanggang tinju di tepi sungai dan memaksa Adnan dan Budin bertinju bagi menunjukkan kekuatan pasukan masing-masing. Dalam perlawanan tersebut, Adnan dan Budin saling mengacah namun tiada yang memulakan tumbukan. Adnan yang mempunyai ilmu seni silat hanya bertahan kerana dia tidak mahu menyalahgunakan ilmu silat yang dipelajarinya. Akhirnya, Adnan dan Budin bersepakat untuk tidak meneruskan perlawanan tinju itu dan mereka menjadi sahabat. Mereka bersalam-salaman dan berpelukan sebagai tanda berdamai walaupun penyokong pasukan masih tidak berpuas hati.

 

(Ayat utama jawapan)

Watak utama, Adnan juga mengalami konflik pelekehan rakan-rakannya  berkaitan dengan cita-citanya untuk menjadi askar.

 

(Bukti peristiwa)

Nordin dan beberapa rakannya memperlekehkan usaha Adnan untuk menjadi tentera. Adnan telah dituduh sebagai pengkhianat bangsa kerana keluarganya pernah menjadi tali barut kepada Inggeris ketika moyangnya telah menjadi orang buruan Inggeris. Adnan juga dihina kerana ingin berkhidmat dengan penjajah yang telah menjajah Tanah Melayu. Malah, Adnan sanggup bersekolah di Sekolah Inggeris.

Bagi menyelesaikan konflik ini, Adnan bersabar dengan pelekehan rakan-rakannya dengan tidak menghiraukan tempelak rakan-rakan sekampungnya itu. Baginya, Nordin dan rakan-rakannya itu tidak memahami niat Adnan iaitu untuk berkihdmat dengan Tanah airnya sendiri dan bukannya menjadi hamba pihak British. Semangatnya berjuang semasa peperangan dan kejayaan menjadi rekrut terbaik membuktikan bahawa tanggapan Nordin serta rakan-rakannya itu salah. Adnan kembali ke kampung dengan kejayaan dan mendapat pangkat dalam ketenteraan malah telah mendapat anugerah khas daripada King George IV sewaktu ke London. Adnan telah menjadi kebanggaan seluruh kampungnya.

 

 

(Ayat utama jawapan)

Watak utama, Adnan menghadapi konflik dengan ibunya berkaitan dengan cita-citanya untuk menjadi askar.

 

(Bukti Peristiwa)

Selepas tamat pembelajaran dengan cemerlang dari Sekolah Inggeris, Adnan menyuarakan cita-citanya kepada ibu bapanya. Pak Saidi menerima baik cita-cita Adnan namun, Mak Milah langsung tidak bersetuju dengan hasrat Adnan untuk menjadi askar. Mak Milah lebih berbangga sekiranya Adnan bekerja di pejabat atau menjadi seorang guru.

Adnan meredakan konflik ini dengan menjadi seorang guru di Sekolah Sungai Ramal. Namun selepas setahun berkhidmat sebagai guru, Adnan mengambil keputusan untuk menyertai Rejimen Askar Melayu setelah kedatangan pihak British ke kampung mereka bagi mencari rekrut tentera yang baharu. Adnan meleraikan konflik dengan memujuk ibunya serta menjelaskan niat sucinya untuk berbakti kepada negara tercinta. Akhirnya, Mak Milah merestui pemergian Adnan untuk menjalani rekrut sebagai tentera di Kem High Lines Port Dickson.

(Ayat utama jawapan)

Watak utama, Adnan menghadapi konflik dengan tentera Jepun sewaktu mengetuai Kompeni C mempertahankan Pasir Panjang dan Bukit Candu.

 

(Bukti peristiwa)

Leftenan Adnan yang mengetuai Kompeni C telah menghadapi serangan sengit daripada tentera Jepun. Peristiwa pertama adalah sewaktu sepasukan askar Jepun yang menyamar sebagai tentera Sikh cuba merapati kubu pertahanan Leftenan Adnan di Pasir Panjang. Selepas itu, Leftenan Adnan juga menhadapi tentangan yang amat sengit dengan jumlah askar Jepun yang lebih ramai di Bukit Candu. Pertahanan Bukit Candu amat penting bagi melindungi depot penyimpanan senjata dan ubat-ubatan iaitu Alexandria. Keadaan semakin sukar apabila semakin ramai anggota tentera Melayu mati, cedera parah dan mereka kehabisan peluru serta bom tangan.

Konflik di Pasir Panjang dapat ditangani oleh Leftenan Adnan dan pasukannya. Leftenan Adnan yang bijak telah berjaya mengesan teknik penyamaran askar Jepun dengan mengamati senjata mereka yang mempunyai bayonet serta formasi tentera yang salah. Malah, saiz mereka juga kecil jika dibandingkan dengan saiz tentera Sikh. L.Adnan telah mengarahkan pasukannya menembak mati semua tentera Jepun yang menyamar tersebut. Pasukan L.Adnan menang. Sementara itu, di Bukit Candu, L.Adnan menyedari bahawa mereka tidak akan mampu menang dengan jumlah askar Jepun yang semakin bertambah. L.Adnan mengarahkan pasukannya berlawan dengan jarak dekat setelah kehabisan peluru dan bom. Dia memberikan semangat kepada pasukannya untuk terus berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir dan tidak melarikan diri dari medan perang. Akhirnya, kesemua mereka terkorban. Terakhir kali, L.Adnan dilihat oleh Koperal Yaakob yang cedera parah, diseret dan digantung di bawah pokok ceri. L.Adnan telah diserkup dalam guni dan ditikam sehingga mayatnya hancur oleh tentera Jepun. Hal ini membuktikan bahawa L.Adnan bersikap tidak menyerah kalah dan rela mati demi negara.

 

KONFLIK WATAK UTAMA NOVEL TIRANI : WAHEEDA NURLYANA HAJI FADHIL

KONFLIK

LANGKAH MENGATASI

(Ayat utama jawapan)

Salah satu konflik yang dihadapi oleh watak utama ialah konflik Waheeda antara dirinya dan ibu bapanya berkaitan hasratnya untuk menjalani pembedahan plastik pada wajahnya.  

 

(Bukti peristiwa)

Konflik ini tercetus apabila Waheeda merupakan seorang gadis biasa yang mahu menjadi cantik dan berhidung mancung kerana hidung asalnya pesek. Hidungnya yang kemet  atau pesek ini menjadi ejekan kepada kawan-kawannya seperti  Si Nuar, Si Man dan Mat Gusi. Hatinya sentiasa memberontak dengan keadaan itu. Waheeda memasang niat untuk membuat pembedahan plastik di bahagian hidung dan matanya.

 

Bagi mengatasi konflik dirinya yang mahu kelihatan cantik, Waheeda telah menyatakan hasrat tersebut kepada ibu bapanya iaitu Raidah dan Fadhil. Namun begitu, bapa Waheeda tidak menggalakkannya kerana  bercanggah dengan hukum agama. Ibu Waheeda terus memujuk anaknya supaya tidak melakukan perkara yang dihajatinya. Waheeda menerima baik nasihat ibu bapanya dengan menerima keadaan dirinya. Namun selepas peristiwa mukanya dicakar monyet belanda yang mengakibatkan parut yang dalam, Waheeda telah menjalani pembedahan kosmetik di SMC Singapura dan menjadi sangat cantik. Hal ini telah menyelesaikan konflik dalamannya. Ibu bapanya juga terpaksa membenarkan Waheeda menjalani pembedahan tersebut.

(Ayat utama jawapan)

Selain itu, watak utama, Waheeda juga menghadapi konflik dengan suaminya, Zahid berkaitan pelbagai tuduhan dan rasa cemburu dalam hubungan rumah tangga mereka.

 

(Bukti peristiwa)

Konflik ini tercetus apabila Zahid telah menemui Waheeda di sebuah bilik penginapan penghuni di Chalet Tajau Emas. Zahid berasa cemburu dan salah sangka atas kesetiaan Waheeda itu. Zahid juga berasa cemburu kerana Waheeda bersahabat baik dengan Halloway dan Dr.Rushdi semasa dia di Singapura. Rentetan daripada peristiwa itu, Zahid telah mempertikaikan status anak yang dilahirkan oleh Waheeda setelah meneliti ciri-ciri fizikal yang terdapat pada anak perempuannya itu yang tidak mewarisi kecantikan mereka berdua.

 

Bagi menyelesaikan konflik ini, Waheeda telah menerangkan bahawa dia benar-benar mencintai Zahid dan tidak pernah bersikap curang dalam hubungan perkahwinan mereka. Waheeda juga telah melakukan ujian DNA ke atas anaknya dan menyerahkan laporan ujian tersebut kepada Zahid sebagai bukti kesetiaan dan status anak perempuan mereka. Bagaimanapun, Zahid menolak untuk melihat laporan tersebut lalu menceraikan Waheeda dengan talak 1 dalam kemarahannya.

(Ayat utama jawapan)

Watak utama, Waheeda juga mengalami konflik dalaman antara dirinya selepas penceraian dengan suaminya, Zahid.

 

(Bukti Peristiwa)

Konflik ini tercetus selepas Waheeda tidak dapat menerima hakikat bahawa dia telah diceraikan oleh suaminya dengan talak 1. Bukan itu sahaja, penceraian itu juga amat menyakitkan kerana Waheeda telah dituduh curang dalam hubungan mereka lalu menyebabkan Zahid tidak mengakui anak yang baharu sahaja dilahirkan itu adalah darah daging mereka. Zahid juga tidak melihat langsung laporan DNA tersebut. Waheeda telah mengalami tekanan perasaan yang teruk lalu dia mengalami migrain meroyan dan tekanan mental.

Bagi mengatasi konflik dalaman ini, Waheeda telah bersetuju untuk menjalani rawatan psikologi di Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) Kuala Lumpur. Keluarga Waheeda telah membawanya menjalani rawatan dengan Dr.Qamariah. Waheeda meluahkan semua kekesalan dan permasalahannya yang mengakibatkan penceraiannya kepada Dr.Qamariah. Melalui sesi kaunseling tersebut, Waheeda kembali pulih dan bersemangat untuk menjalani kehidupan yang baharu. Waheeda kembali menumpukan perhatian ke atas anaknya yang terabai sepanjang dia mengalami depresi. Malah, Waheeda telah mengambil keputusan membeli Chalet Iwana-Iwani daripada Pak Cik Aziz dan memulakan kehidupan baharu di Cameron Highland bersama anak perempuanya, Izzati.


6 comments: