Thursday 10 September 2020

KARYA PELAJAR : ISU WARGA TUA

 


Oh, Ayah! Oh, Ibu!

Oleh : Suci Musalmah binti Mohd Nasir (5R, 2018)

 

“Anak Derhaka Semakin Ramai”. "Ibu Tua Ditinggalkan di Hospital". "Gelandangan Warga Tua Kian Meningkat". Demikianlah  antara tajuk perdana yang menghiasi dada-dada akhbar dan paparan skrin media sosial yang tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang mengamalkan konsep masyarakat penyayang. Walaupun isu pengabaian warga tua tidaklah segah isu keruntuhan akhlak remaja, namun, hal ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Lebih menyedihkan lagi, ada yang menganggap bahawa warga tua ini banyak menimbulkan beban kepada mereka. Sebelum kita mendalami isu ini dengan lebih lagi, eloklah kita menyelami dahulu erti atau definisi frasa warga tua? Warga tua atau warga emas ditakrifkan sebagai mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Lazimnya, kelompok warga emas merupakan mereka yang kurang bertenaga dan semakin merosot dari segi kesihatan badan. Oleh itu, perbuatan pengabaian warga tua secara tidak langsung telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa golongan tua ini. Mereka akan merasakan diri mereka tidak diperlukan lagi. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai cara untuk mengatasi masalah ini. Antaranya ialah dengan mewujudkan sebuah rumah warga tua yang berkonsepkan penjagaan harian. Pada mulanya, cara ini mungkin kelihatan seperti perbuatan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana dari kecil kita diberitahu untuk selalu menghormati orang tua dan menjaga dan mengasihi ibu bapa kita sehingga tua. Namun, terdapat beberapa kes seperti sesetengah masyarakat yang tidak mampu menjaga orang tuanya. Analoginya, anak-anak mungkin tidak berupaya secara kewangan atau tidak cekap secara fizikal.

 

Tambahan pula, terdapat sejenis penyakit yang dipanggil Dimentia iaitu sebuah istilah umum yang menggambarkan pelbagai gejala yang dikaitkan dengan kemerosotan memori atau kemahiran berfikir semakin lemah lalu mengurangkan keupayaan seseorang untuk melakukan aktiviti seharian. Penyakit ini sering mengakibatkan orang yang lebih tua. Antara rawatan yang sesuai digunakan ialah melalui aktiviti bersosial. Hal ini kerana, proses berinteraksi dengan orang lain, walaupun pasif, dapat merangsang rasa harga diri, perasaan kepunyaan dan bukannya pengasingan. Justeru, dengan mendedahkan mereka kepada lebih ramai orang akan menyebabkan mereka bersosial, khususnya di rumah orang tua, penyakit tersebut akan dapat dirawati atau semakin pulih.

 

Namun, pada hakikatnya,  agak menyedihkan dengan kewujudkan rumah warga tua. Hal ini seolah-olah menggambarkan sikap “bagai kacang lupakan kulit” dalam diri anak-anak. Jasa ibu bapa seolah-olah tidak dihargai. Sikap masyarakat zaman ini terhadap warga tua menunjukkan seolah-olah mereka tiada langsung mempunyai rasa bersyukur dalam kamus hidup sendiri walaupun terhadap ibu bapa sendiri. Si ibu yang telah bersusah payah mengandungkan mereka selama sembilan bulan, menyusu, menjaga serta mendidik daripada tapak kaki sekecil tiga jari sehingga dewasa bagai tiada maknanya. Akhirnya, pada penghujung hidup ibu bapa, berakhir di rumah warga tua walaupun memiliki anak-anak yang berjaya. Tidak terpalitkah langsung rasa menghargai ibu bapa di jiwa masing-masing?

 

Antara punca yang menunjangi masalah ini ialah sikap hipokrit masyarakat sekarang yang tidak mementingkan nilai-nilai kekeluargaan juga menyebabkan warga tua terabai. Mereka sanggup membelakangi warga tua ini dalam segala urusan. Selain itu, pengabaian warga tua ini disebabkan sikap masyarakat yang telah dijajah oleh aspek individualistik dan materialisme yang cukup kuat. Hal ini persis bak kata peribahasa, bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Selanjutnya, masyarakat moden kini lebih mengejar kebendaan dan kekayaan daripada erti nilai kasih sayang. Ekoran daripada itu, terdapat juga mereka yang menganggap bahawa warga tua tidak produktif dan tidak berupaya membantu mereka. Namun, terdapat juga mereka yang menggunakan warga tua sebagai pembantu rumah atau untuk menjaga cucu-cucu yang ramai. Pengeksploitasian tenaga warga tua ini, sememangnya semakin berleluasa kini, tetapi tiada tindakan yang dapat diambil kerana hal ini melibatkan kekeluargaan. Seterusnya, mereka melepaskan tanggungjawab kepada pihak pengurusan rumah orang-orang tua. Sememangnya layanan yang diberikan tidak seburuk mana, tetapi tidak terfikirkah kita bagaimana mereka menjaga kita suatu masa dahulu?

 

Ternyatalah bahawa kerajaan juga memainkan peranan yang penting dalam menangani cabaran ini. Kerajaan telah memperuntukkan RM1.4 bilion bagi membantu kira-kira 500,000 penerima bantuan kebajikan masyarakat, yang terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal dan sebagainya, melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA). Namun, perkara yang menghairankan ialah kenapa anak-anak sendiri tidak begitu menghargai mereka sebagaimana yang diakui oleh pihak kerajaan? Fikiran masyarakat yang masih belum terbuka sepenuhnya menyebabkan mereka tidak dapat menerima teguran dan pandangan yang membina daripada warga tua. Semua itu dianggap sebagai satu leteran. Jika suatu masa dahulu, leteran itulah yang membimbing kita dari bertatih hingga dapat berdikari. “Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk.”, “Makan sisa anak, anak akan degil”, dan “Bila makan, pinggan tak boleh diletak atas riba, nanti suami diambil orang”, adalah antara pantang larang dan pepatah orang tua yang tidak dipedulikan oleh golongan muda. Padahal, itu hanyalah pantang larang yang menjadi salah satu cara untuk menyampaikan pengajaran secara beralas. Adakah kita bersedia untuk dilayan sebegitu juga oleh anak-anak kita satu hari nanti? Tepuk dada tanyalah selera kita sendiri.

 

Adakah kita dikatakan sebuah masyarakat yang maju selaras dengan transformasi negara jika kita bersikap invidualistik? Masyarakat maju Barat masih lagi menjaga warga tua mereka dan golongan inilah yang mereka utamakan dalam segala hal. Warga tua di sana dihormati dan disanjungi tetapi tidak di negara kita. Mengapa masyarakat kita tidak mahu mencontohi budaya positif ini? Secara ringkasnya, warga tua bukanlah seperti surat khabar lama yang harus dibuang setelah penat menabur budi selama ini kepada negara dan golongan muda. Kumpulan masyarakat ini berhak menerima layanan yang terbaik daripada semua pihak tanpa sebarang alasan, walaupun ditempatkan di rumah warga tua. Demi keafiatan mereka, semua pihak harus sedar dan menerima kenyataan bahawa tanpa warga tua tiadalah warga muda. Bayangkan jika anda sudah tua dan anda pula yang disisihkan. Kita tidak mahu Transformasi Negara 2050 yang diimpikan hanya tinggal impian kerana tiadanya masyarakat penyayang.  Konklusinya, rumah warga tua mungkin perlu, namun  janganlah meletakkan mereka di sana sekiranya masih ada waris yang mampu menjaga mereka.


 

No comments:

Post a Comment