Thursday 10 September 2020

KARYA PELAJAR : KARANGAN BAHAN RANGSANGAN (TEMA COVID-19)

 Bahagian A

[ 30 markah]

[Masa dicadangkan : 45 minit]

 

Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada langkah pencegahan Covid-19 di pusat beli-belah. Huraikan pendapat anda tentang langkah –langkah pencegahan Covid-19 yang harus dilakukan oleh pemilik premis pusat beli-belah. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


Karangan ditulis oleh : Pua E Rick (5E, 2020 )

Mutakhir ini, pandemik global iaitu COVID-19 yang melanda negara-negara di seluruh dunia telah menjadi topik yang hangat dibicarakan di media sosial. Isu ini terpampang di dada media cetak serta terjerit keluar dari corong-corong media elektronik. Dari segi konsepnya, pandemik boleh ditakrifkan sebagai wabak penyakit berjangkit yang merebak melalui populasi manusia menyeberangi kawasan yang luas sehingga merangkumi seluruh dunia. Kini, penyakit COVID-19 yang telah mencatat lebih daripada 500 ribu kes dan lebih 30 ribu kematian memang menimbulkan kerungsingan kerajaan negara-negara di dunia dan membawa impak yang ketara terhadap sosioekonomi dunia. Ekoran peningkatan jumlah kes COVID-19 di Malaysia, kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memperlahankan perebakan penyakit tersebut. Walaupun begitu, pusat beli-belah yang menjadi tempat kunjungan orang ramai untuk membeli barang kegunaan seharian masih bebas dikunjungi oleh orang ramai. Sudah terang lagi bersuluh bahawa risiko jangkitan di pusat membeli belah agak tinggi dan perlu dielakkan agar tidak mengakibatkan peningkatan jumlah kes sehingga tidak mampu ditangani oleh pihak hospital yang telah mencapai kapasiti maksimum. Terbitlah persoalan dalam benak fikiran, apakah usaha-usaha pencegahan COVID-19 yang harus dilakukan oleh pemilik premis pusat beli-belah?

 

Pada realitinya, tidak dapat dinafikan bahawa disinfeksi atau proses nyah kuman permukaan yang mudah dicemari merupakan tanggungjawab pemilik premis pusat beli-belah. Hal ini demikian kerana permukaan-permukaan yang selalu disentuh oleh orang ramai berkemungkinan tinggi akan terdedah kepada pelbagai jenis kuman termasuklah COVID-19. Misalnya, permukaan seperti tombol pintu, butang lif, susur tangan eskalator dan pemegang troli harus dinyahkuman mengikut kekerapan yang ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Seandainya pemilik premis leka terhadap kepentingan proses disinfeksi ini, seorang pesakit COVID-19 yang mengunjungi pusat beli-belah tersebut akan merebakkan virus tersebut kepada semua pelanggan dan pekerja dalam pusat beli-belah itu. Apabila jangkitan penyakit bermula di dalam premis, pusat beli belah tersebut akan diarahkan tutup dengan serta merta dan pekerja-pekerja serta pemilik kedai akan kehilangan sumber pendapatan. Hal ini persis kata-kata mutiara Melayu, mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, lebih baik pemilik premis mengambil langkah pencegahan agar tidak memangkinkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat. Tuntasnya, pihak kerajaan harus memastikan pemilik premis mendapat bekalan ubat disinfeksi yang secukupnya untuk memastikan pusat beli-belah bebas daripada virus berbahaya.

 

Selanjutnya, marilah kita capahkan lensa pemikiran terhadap usaha yang seterusnya, iaitu langkah yang berpandukan aspek etika pelanggan. Menurut garis panduan yang ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, setiap pelanggan mestilah sering membasuh tangan dan memakai penutup mulut dan hidung sekiranya menunjukkan simptom seperti batuk atau sakit tekak. Namun begitu, kerajaan juga telah menyeru orang ramai agar tidak memakai penutup mulut jika tidak menunjukkan sebarang simptom. Justifikasinya, seluruh dunia termasuk negara kita kini menghadapi krisis kekurangan penutup mulut dan hidung. Oleh itu, orang ramai wajarlah berfikiran rasional semasa keluar dari rumah agar tidak membazir penutup mulut sehingga doktor dan jururawat yang sedang bertungkus lumus merawat kes COVID-19 tidak mempunyai penutup mulut yang cukup. Selain membasuh tangan, para pelanggan mestilah menjaga kebersihan diri, mengamalkan penjarakan sosial dan tidak menyentuh muka sendiri. Mandi selepas membeli-belah adalah diharuskan. Setiap anggota masyarakat mestilah melaksanakan tanggungjawab masing-masing kerana situasi ini ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua. Jika hanya seorang sahaja kurang bersikap prihatin dan tidak menjaga kebersihan diri di pusat beli-belah, kemungkinan berlaku wabak penyakit yang berpunca dari tempat tersebut akan meningkat. Intihanya, pelanggan pusat beli-belah haruslah beretika baik dengan menjaga kebersihan diri agar kesihatan masyarakat sejagat dipelihara.

 

Tambahan pula, jika ditinjau dari perspektif yang sama, penjarakan sosial merupakan amalan yang seharusnya diamalkan oleh pelanggan di pusat beli-belah. Setiap pelanggan patutlah menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter daripada pelanggan di sekeliling. Sekiranya dipraktikkan, risiko jangkitan penyakit COVID-19 dapat diturunkan kerana jangkitan COVID-19 ditularkan melalui titisan batuk dan bersin serta bawaan udara. Oleh itu, kesihatan diri lebih terjamin apabila pelanggan menjarakkan diri dan mengamalkan penjarakan sosial semasa membeli barangan keperluan. Di samping itu, setiap keluarga hanya perlu menghantar seorang wakil untuk membeli barang keperluan untuk mengurangkan jumlah pelanggan di pusat beli-belah. Sekiranya pelanggan mampu mengakses kemudahan pemesanan dalam talian, mereka langsung tidak perlu keluar dari rumah dan boleh memesan barangan keperluan melalui Internet untuk dihantar terus ke rumah masing-masing. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Peningkatan kes COVID-19 di Malaysia setakat ini perlu diperlahankan agar tidak merebak ibarat bisul menjadi nanah seperti fenomena yang dilihat di negara Itali dan Amerika Syarikat. Izharlah bahawa penjarakan sosial oleh pelanggan di pusat beli-belah merupakan amalan yang efektif dan pragmatik untuk membanteras infeksi dan membasmi penyakit COVID-19 hingga ke akar umbi.

 

Akhirulkalam, setiap anggota masyarakat wajarlah memikul tanggungjawab sosial masing-masing dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan serta mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Dalam membicarakan soal jangkitan penyakit, peribahasa "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga" sesuai dianalogikan kerana sesiapa yang menjadi vektor penyakit dan mengingkari arahan akan mencetuskan kluster jangkitan baharu sehingga meragut nyawa yang tidak berdosa. Pihak kerajaan perlulah menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan hukuman dan denda kepada anggota masyarakat yang masih bersikap individualistik seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Hanya dengan pengimplementasian langkah yang drastik dan komitmen yang kukuh daripada semua lapisan masyarakat, barulah kemelut COVID-19 ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Prosedur-prosedur yang sewajarnya mesti diambil oleh semua pihak untuk mengelakkan senario ini bertambah kritikal. Menyedari hakikat ini, pemilik premis pusat beli-belah, pihak kerajaan dan masyarakat mestilah bersatu hati dalam menentang musuh yang begitu mengerikan ini untuk memastikan ekonomi negara tidak mengalami kejatuhan lagi. #KekalTenangDudukRumah #HapuskanCovid-19

No comments:

Post a Comment