TEKNIK PLOT - LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA
Teknik
plot merujuk kepada cara atau kaedah pengarang mengembangkan plot cerita supaya
menjadi lebih menarik dan menambat hati pembaca. Perkara ini menyebabkan
pembaca ingin meneruskan pembacaannya hingga ke penamat cerita. Biasanya, teknik
plot yang digunakan ialah dialog, monolog luaran, monolog dalaman, pemerian,
imbas kembali, imbas muka, kejutan dan saspens.
DIALOG.
Dialog
bermaksud pertuturan atau percakapan sekurang-kurangnya antara dua watak
ataupun lebih. Pengarang menggunakan teknik ini untuk menggerakkan atau
mengembangkan cerita selanjutnya. Melalui dialog, pengarang dapat memaparkan
atau menggambarkan pendapat atau pemikiran berkenaan dengan tema atau persoalan
dalam novel tersebut. Sebagai contohnya, dialog antara
Pak Saidi dengan Mak Milah. Pak Saidi melahirkan rasa terkilannya kerana orang
Melayu miskin di tanah air sendiri. Hasil kekayaan negara diangkut keluar oleh
penjajah sedangkan kaum bumiputera yang tinggal di kampung masih ketinggalan
dari segi ekonomi.
MONOLOG
LUARAN
Teknik
ini merujuk kepada pengucapan atau tutur kata oleh sesuatu watak secara
bersendirian. Dengan perkataan lain, teknik monolog bermaksud sesuatu watak itu
akan bercakap seorang diri. Kadangkala, monolog itu juga mungkin berupa doa,
rungutan, keluh-kesah ataupun ratapan. Sebagai contohnya, Adnan menuturkan kata-kata sewaktu bermain dan melakonkan
watak Hang Tuah sambil menikam-nikam pokok pisang. Beliau berimaginasi menjadi
pendekar dan menutur kata-kata sebagai pendekar menyerang musuh. Contoh lain
pula, Mak Milah meratap hiba apabila mendapat berita kematian Ahmad sewaktu
berlayar ke Australia kerana kapal British telah dibom oleh pihak Jepun.
MONOLOG
DALAMAN
Teknik
ini merujuk kepada percakapan, lintasan, atau rintihan dalam hati atau fikiran
sesuatu watak dan tidak diketahui oleh watak-watak yang lain, contohnya pengarang menggunakan teknik ini semasa Adnan berkata
dalam hatinya tentang Tok Mudin yang akan mengkhatankannya. Adnan juga
menyimpan rasa gementar dan takut dan banyak berfikir dalam hatinya sewaktu
majlis berkhatan.
PEMERIAN
Teknik
pemerian digunakan oleh pengarang untuk menerangkan peristiwa dalam plot secara
langsung. Hal ini bermaksud, pengarang menerangkan atau menggambarkan sesuatu
perkara atau peristiwa secara langsung. Dengan perkataan lain, pengarang
seolah-olah menjadi tukang cerita dan menggambarkan sesuatu perkara atau
peristiwa secara langsung, contohnya pengarang
menggambarkan keadaan sewaktu Leftenan Jeneral
A.E Percival yang masih yakin bahawa kekuatan tentera British sebanyak 85 000
orang masih mampu menyekat kemaraan tentera Jepun yang hanya berjumlah 30 000
orang.
IMBAS
KEMBALI
Teknik
ini merupakan satu teknik plot yang digunakan oleh pengarang untuk menceritakan
sesuatu peristiwa yang sudah berlaku sebelum peristiwa itu. Pengarang
menggambarkannya melalui ingatan, kenangan, lintasan atau imbasan sesuatu watak
terhadap sesatu peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Sebagai contohnya, Pak Saidi terkenang kembali peristiwa basikalnya yang
dirosakkan oleh orang yang mencerobohi kawasan rumahnya. Beliau juga teringat
akan kata-kata Adnan bahawa dia sempat membaling kayu belati dan terkena pada
salah seorang daripada dua lembaga yang mencerobohi kawasan rumahnya.
Terdapat juga peristiwa imbas kembali tentang kehebatan dan
kejatuhan Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Contohnya, Pak Saidi menceritakan
kegemilangan kesultanan Melaka suatu masa dahulu kepada Mak Milah. Namun,
kerajaan yang begitu kuat dan berkuasa itu berakhir akibat sikap negatif
pemimpin dan pembesar Melaka.
IMBAS
MUKA
Teknik
ini merupakan satu teknik plot yang digunakan untuk memberikan bayangan awal
tentang sesuatu peristiwa atau perkara yang akan berlaku dan masih belum
berlaku lagi. Bayangan tersebut mungkin berpunca daripada sesuatu aksi watak
atau aksi watak-watak lain atau perkara-perkara lain. Sebagai contohnya,
pengarang menggambarkan kemungkinan-kemungkinan yang mungkin berlaku iaitu semasa berbual-bual dengan Mamat, Leftenan Adnan menyatakan
keinginannya untuk menjadi seorang askar. Beliau ingin menjadi askar kerana ingin menjaga
negeri ini dan akan menembak musuh yang datang. Adnan memberitahu tentang
cita-citanya apabila dewasa nanti kepada Mamat.
SASPENS
Teknik
ini merujuk kepada peristiwa yang menggambarkan perasaan tertanya-tanya dan
ingin tahu para pembaca untuk mengikuti cerita. Pembaca ingin tahu perkara yang
akan berlaku seterusnya. Sebagai contohnya, peristiwa
kedatangan seorang askar Jepun yang memakai turban mendapat pangkat Leftenan.
Askar Jepun itu telah menyamarkan diri sebagai tentera Sikh. Peristiwa ini telah
menimbulkan perasaan ingin tahu dan saspens kepada para pembaca sama ada dia
benar-benar tentera Sikh. Akhirnya, Adnan sedar akan penyamaran itu dengan
mengamati cara mereka melakukan formasi serta senjata mereka mempunyai bayonet.
Tentera Jepun itu akhirnya telah mati ditembak oleh Adnan dan pasukannya. Hal
ini melegakan perasaan saspens para pembaca.
Antara unsur saspens ialah hubungan antara Adnan dengan Budin dan
Nordin. Dalam novel ini, hubungan mereka tidak begitu rapat selama berada di
kampung. (……………………) Pembaca tertanya-tanya mengenai kesudahan hubungan mereka
ini.
Selain itu, novel ini juga mengandungi unsur saspens tentang
keselamatan Leftenan Adnan dan pasukannya. (……..) Pembaca tertanya-tanya tentang
nasib Leftenan Adnan dan rakan-rakan sepasukannya ketika menentang Jepun.
KEJUTAN
Teknik
ini merujuk kepada keadaan atau peristiwa yang berlaku tanpa disangka-sangka
oleh pembaca. Dengan kata lain, pembaca tidak dapat menjangkakan peristiwa itu akan
berlaku dan peristiwa tersebut berlaku secara mengejut. Pengarang menggambarkan
teknik ini melalui peristiwa Samad yang ditangkap oleh
penduduk kampung kerana mencuri. Pada mulanya, tiada seorang pun yang tahu
indentiti lembaga yang memecah masuk ke dalam rumah orang-orang kampung yang
telah dikosongkan demi keselamatan mereka. Namun, setelah hendapan dibuat,
mereka berjaya menangkap lembaga tersebut yang memakai penutup di mukanya.
Setelah penutup muka dibuka, penduduk kampung sangat terkejut kerana pencuri
itu ialah Samad yang sebelum ini dipercayai oleh orang kampung. Hal ini
memberikan unsur kejutan dalam cerita. Malah, unsur kejutan juga berlaku
apabila sikap Samad yang sebenar terbongkar kerana Samad rupa-rupanya merupakan
pemberi maklumat kepada Jepun serta sanggup mengkhianat bangsa dan tanah air
sendiri demi kepentingan diri. Samad akhirnya mati ditembak oleh tentera Jepun
yang dipercayainya sewaktu cuba melarikan diri dari askar Melayu.
No comments:
Post a Comment