Sunday, 6 October 2019

Kepentingan Sikap Tabah Dalam Menghadapi Dugaan - CONTOH KARANGAN PELAJAR


Kepentingan Sikap Tabah Dalam Menghadapi Dugaan 
Oleh: Low Su-Yunn (5A)
            Dalam keasyikan negara menari rancak bersama bayang-bayang pembangunan yang bergerak pantas, Malaysia telah menonjolkan diri sebagai negara yang cemerlang secara holistik dengan mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang. Misalnya, bidang pelancongan, sukan, teknologi dan sebagainya. Namun demikian, segala kejayaan tersebut berasal dari usaha dan peluh rakyat yang telah menghadapi dugaan sejak zaman remaja mereka. Bagi mengukuhkan negara Malaysia sebagai negara yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain, pewaris negara kita telah memiliki keazaman yang tinggi untuk mengatasi segala cabaran dalam kehidupannya. Persoalannya, apakah kemaslahatan sikap tabah bagi menghadapi dugaan dalam remaja pada alaf siber ini?
            Pada realitinya, tidak dapat dinafikan bahawa sikap ketabahan dapat mencungkil bakat dan potensi remaja. Remaja mempunyai potensi yang tidak terhad dan sepatutnya dipupuk sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun begitu, bagi memetik bintang kejayaan dalam sesuatu bidang, tonggak negara kita patutlah bersikap tabah apabila menghadapi sesuatu kekangan. Hal ini dinyatakan kerana jika remaja berputus asa tanpa menghabiskan persiapan yang patut dilakukan, mereka akan kembali ke sifar dalam usaha tersebut dan tidak dapat memanjat ke darjat yang lebih tinggi. Sebagai tamsilan, remaja yang berminat untuk menjadi saintis perlulah meneruskan usahanya untuk mencipta sesuatu yang kreatif dan inovatif. Apabila gagal, mereka sewajarnya mengenal pasti kesilapan mereka dan gigih membetulkannya. Seorang yang bijaksana, Horne pernah berkata bahawa orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. Ungkapan tersebut telah membuktikan bahawa betapa pentingnya kecekalan dalam perjalanan memupuk bakat sendiri. Jika ingin berdiri di puncak negara, belia mestilah memerah segala tenaganya. Natijahnya, pemuda yang mempunyai bakat mestilah dapai dicungkil sekiranya mereka memiliki keinginan yang tinggi untuk berjaya.
            Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, remaja yang bersikap tabah ketika menghadapi rintangan dapat mendorong remaja untuk berpegang teguh kepada prinsip sendiri. Ketika menghadapi cabaran, remaja yang masih berusia setahun jagung, berdarah setampuk pinang ini mudah menggunakan cara yang agresif bagi mengatasi rintangan tersebut. Mereka yang tidak tahu membezakan yang mana intan, yang mana kaca atau membezakan baik buruk yang akan dipengaruhi oleh rakan sebaya. Oleh hal yang demikian, mereka yang tidak memiliki jati diri yang tinggi dan hanya mencari jalan untuk mengelakkan diri daripada berdepan dengan dugaan tersebut. Sebagai contohnya, mereka akan terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Mereka mudah terjebak dalam anasir negatif seperti menagih dadah dan merokok untuk melepaskan tekanan mereka. Jadi, sikap ketabahan dapat memastikan pemuda tidak terlibat dalam aktiviti negatif dan mengekalkan akhlak baik walaupun dalam kesusahan. Prof. Hamka pernah berkata, semiskin-miskin orang adalah orang yang miskin budi pekertinya. Izharlah bahawa ketabahan dalam masa kesusuahan dapat mengawal tingkah laku pewaris negara daripada melakukan sesuatu yang jahat.
Pada era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita, sikap ketabahan akan memberi keyakinan dan keberanian kepada generasi muda. Hal ini demikian kerana remaja yang tabah akan percaya kepada diri sendiri. Keyakinan dan keberanian tersebut akan menjadi dorongan serta galakan kepada mereka. Apabila mereka berani untuk berdepan dengan cabaran dalam kehidupan mereka, mereka tidak akan berasa takut atau gerun akan dugaan besar yang berada di depan mereka. Sebaliknya, mereka akan percaya akan keupayaan sendiri dan sanggup mengorbankan masa serta tenaga mereka untuk berjaya. Biar kita ambil contoh remaja yang telah membina perniagaan melalui e-dagang. Mereka merupakan insan yang berani dan yakin akan kualiti produk sendiri walaupun mereka perlu menanggung risiko yang tinggi. Selain itu, mereka juga bersikap amanah dan berani bersaing dengan syarikat besar lain. Mereka percaya bahawa kepercayaan yang ditimbulkan oleh pelanggan akan membawa keuntungan yang paling besar kepada mereka. Oleh itu, persaingan sengit dalam pasaran hanya akan menggalakkan mereka untuk meningkatkan kualiti produk, bukan menambahkan beban mereka. Bak kata mutiara, sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Tegasnya, remaja yang tabah akan memiliki keyakinan dan rela mula dari langkah pertama yang kecil. Lihatlah betapa mendalamnya puisi di bawah:
Silakan, silakan,
Tunjukkan kemampuan dan keupayaanmu,
Atas kreatifmu,
Atas kemahuanmu,
Dengan karya bisamu,
Kau bisa atas keyaninanmu.

Bulan kian terang, bayang kian jelas, terbuktilah bahawa sikap ketabahan dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan merupakan kunci utama untuk berjaya. Maka, generasi muda patutlah tabah semasa kesusahan dan gigih untuk menyumbang kepada negara Malaysia. ‘Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’ merupakan slogan yang sering dilaung-laung pada masa kini. Slogan ini telah membuktikan bahawa golongan remaja merupakan aset dan tonggak negara. Mereka merupakan penentu masa depan negara kita. Mereka ialah bakal pemimpin negara yang dapat membawa Malaysia ke arah yang cerah. Wahai anak watan Malaysia, sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung dan biar putih tulang, jangan putih mata untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh!

2 comments:

  1. Numpang promo ya Admin^^
    ingin mendapatkan uang banyak dengan cara cepat
    ayo segera bergabung dengan kami di ionpk.club ^_$
    add Whatshapp : +85515373217 || ditunggu ya^^

    ReplyDelete
  2. really best and very helpful

    ReplyDelete