Kebaikan
Rumah Terbuka
Oleh
: Low Su-Yunn (5A)
Pada era pascaperindustrian dan
pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita, amalan rumah terbuka
telah menjadi lumrah pada sambutan hari perayaan bagi masyarakat majmuk di
negara Malaysia. Kerencaman citra budaya dan keceriaan landskap sosial yang
berwarna-warni dalam masyarakat Malaysia menjadikan Malaysia memiliki keunikan
yang tersendiri. Setelah bertahun lamanya kita menghirup udara yang sama, kita
kini boleh hidup bersama tanpa sebarang persengketaan. Malah, kita juga
bersama-sama menyambut hari perayaan seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari
Raya Aidilfitri dan lain-lain. Perayaan-perayaan ini selalu meniti dari bibir
ke bibir masyarakat pada zaman pascakemerdekaan ini. Rakyat Malaysia sentiasa
meraikan hari perayaan tersebut kerana kita percayai bahawa biar mati anak,
jangan mati adat. Pada tahun 2000, kerajaan Malaysia telah memutuskan sebanyak
enam perayaan dianggap sebagai perayaan utama yang diraikan julung-julung
kalinya di peringkat kebangsaan. Dalam perkataan yang lain, rumah terbuka akan
dianjurkan bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk berkongsi
kegembiraan pada saat tersebut bersama-sama. Menyedari usaha kerajaan yang
gigih mengadakan rumah terbuka, persoalan yang sering berlegar-legar di gawang
minda kita ialah apakah kebaikan-kebaikan amalan rumah terbuka?
Negara
kita berbeza bangsa,
Berbeza
pandangan perkara biasa.
Jangan
dibiar menjadi bisa,
Hidup
terancam sepanjang masa.
Rangkap tersebut telah menunjukkan
bahawa betapa berbeza agama serta bangsa anak watan Malaysia, kita tetap perlu
bersatu padu. Sebagaimana yang kita ketahui, amalan rumah terbuka dapat
mengeratkan perpaduan dan tali silaturahim pelbagai kaum. Realitinya, jika kita
mengadakan rumah terbuka pelbagai kaum akan hadir ke majlis tersebut seperti
orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan dan
sebagainya. Oleh itu, sudah pasti amalan ini dapat mengeratkan hubungan
silaturrahim seperti isi dengan kuku. Hal ini dinyatakan demikian kerana
wujudnya interaksi sosial antara kaum. Sebagai contohnya, pelancong dapat
mencuba permainan tradisional seperti gasing, wau, catur Cina, kabaddi dan
lain-lain. Dalam proses bermain permainan tradisional tersebut, pastilah mereka
akan memahami budaya yang berlainan dan juga berkomunikasi dengan mereka.
Kegiatan tersebut memainkan peranan yang amat signifikan terutamanya dalam
golongan belia Malaysia. Tonggak negara harus dipupuk sejak kecil lagi agar
berinteraksi dengan kaum lain kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Demi mengelakkan sejarah hitam, iaitu Peristiwa 13 Mei berulang kembali dan
pisang berbuah dua kali, kita hendaklah menjadikan majlis rumah terbuka sebagai
medium untuk menyatukan rakyat. Tambahan pula, rumah terbuka dapat mengukuhkan
hubungan antara rakyat dan pemimpin. Hal ini dinyatakan kerana pemimpin negara
sanggup menunjukkan suri teladan dengan turun padang bagi meraikan hari
perayaan dengan rakyat. Bak kata slogan negara, Kempimpinan Melalui Teladan. Rakyat
akan berasa terharu dengan kesungguhan beliau dan menyokongnya. Sebagai
tamsilannya, rakyat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi sehingga
sanggup hadir ke rumah terbuka di kediaman Perdana Menteri walaupun dari jauh.
Selain itu, rumah terbuka dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat
untuk menjayakan rumah terbuka. Masyarakat seharusnya tidak mementingkan diri
ibarat kata mutiara yang berbunyi adat bernegeri memagar negeri, adat
berkampung memagar kampung iaitu dengan bekerjasama bagai aur dengan tebing
untuk mengadakan jamuan. Mereka akan berganding bahu menyediakan makanan
tradisional, menghias kawasan perumahan dan menjalankan aktiviti gotong-royong.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa amalan rumah terbuka dapat merapatkan
hubungan antara pelbagai bangsa
Lanjutan daripada huraian yang
dinyatakan di atas, ayuh kita capahkan lensa perbincangan kita kepada
kemaslahatan rumah terbuka seterusnya iaitu menjamin keamanan, kemakmuran dan
kestabilan negara. Sudah terang lagi bersuluh bahawa masyarakat berbilang kaum
di negara kita sudah tentu mempunyai budaya dan agama yang berbeza. Perbezaan
ini dapat diatasi jika adanya sikap memahami dan menerima adat resam dan
kepercayaan kaum lain. Misalnya, perayaan yang berbeza seperti Tahun Baru Cina,
Deepavali, Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak dan Pesta Keamatan dapat diterima
dengan tangan terbuka. Semasa majlis tersebut diadakan, setiap kaum akan
menyediakan pelbagai juadah tradisi kaum-kaum masing-masing. Lagipun, juadah
yang dihidangkan dapat memberikan gambaran tradisi setiap kaum. Sebagai contoh
yang jelas, kaum Melayu akan menyajikan hidangan seperti rendang, ketupat dan
lemang yang merupakan juadah wajib semasa menyambut perayaan Hari Raya
Aidilfitri. Bagi orang Cina, mereka akan menyajikan limau mandarin sebagai
juadah wajib kerana dapat membawa tuah kepada hidup mereka. Sekiranya kita
menghormati variasi budaya tersebut, kita dapat mengelakkan perselisihan faham
antara rakyat pelbagai kaum dan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan
yang aman dan harmoni seperti bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung,
bulat kata kerana muafakat. Tambahan pula, para tetamu dapat beramah mesra
dengan tetamu lain. Sebagai analoginya, mereka berbual mesra, bertegur sapa
dengan orang ramai semasa menghadiri rumah terbuka. Ketika kita memahami budaya
kaum lain, kita dapat melupakan pertentangan pendapat, perbezaan ideologi dan
perbezaan konsep politik. Keadaan ini persis kata orang tua buang yang keruh,
ambil yang jernih. Oleh itu, kita dapat mengelakkan pergaduhan dan perbalahan
dalam kalangan masyarakat. Tegasnya, amalan rumah terbuka dapat mewujudkan
masyarakat yang harmoni tanpa perasaan syak wasangka.
Jika ditinjau daripada satu lagi
perspektif, penganjuran majlis rumah terbuka dapat mengurangkan penglibatan
remaja dalam gejala sosial. Hal ini demikian kerana remaja akan melibatkan diri
dalam persembahan seperti nyanyian, lakonan dan sketsa. Mereka tidak
membazirkan masa mereka dan terjebak dalam gejala sosial seperti vandalisme,
gengsterisme, membuli dan sebagainya. Presiden Soekarno pernah berkata,
“Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini”.
Ungkapan tersebut telah menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai
penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan. Jadi, remaja
patutlah menyertai persembahan ataupun persediaan rumah terbuka. Sebagai
analoginya, mereka akan membabitkan diri dalam aktiviti gotong-royong seperti
membersih, mengemas dan menyediakan atur cara majlis. Hal ini dapat mengalihkan
perhatiannya daripada gejala sosial. Lebih-lebih lagi, hal ini dapat menyemai
nilai-nilai murni sejagat pada golongan muda. Cuba kita bayangkan bagaimana
keadaan sekiranya tiada bantuan dan kerjasama daripada orang lain, terutamanya
golongan muda yang kuat dari segi fizikal? Mungkinkah majlis rumah terbuka
dapat dijalankan dengan jayanya? Dalam konteks ini, kebiasaannya remaja dengan
ahli keluarganya akan bergotong-royong, membanting tulang dan bekerjasama
ibarat aforisme, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Oleh hal
yang demikian, pemuda akan meluangkan lebih banyak masa bersama-sama ahli
keluarga dan secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam
hubungan kekeluargaan. Rumah terbuka amat dititikberatkan agar sistem
kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh bukannya semakin layu dan pudar.
Generasi muda dapat mengenali mereka yang tua dan meluahkan perasaan rindu
kepada mereka. Senario ini dapat mencerminkan yang tua dihormati, yang muda
disayangi. Sementara itu, remaja lebih menghargai adat resam dan kebudayaan di
Malaysia. Tamsilnya, menziarahi saudara-mara dan bersalaman dengan mereka.
Mereka juga gemar untuk memakai pakaian tradisional pada setiap tahun. Pendek
kata, rumah terbuka dapat mengurangkan risiko remaja terlibat dalam kegiatan
negatif.
Namun demikian, sesuatu hakikat yang
tidak boleh dikesampingkan ialah rumah terbuka dapat meningkatkan imej negara
di persada dunia. Dalam majlis tersebut, rakyat Malaysia yang bersikap ramah
mesra, berbudi Bahasa, saling membantu dan bertolak ansur dalam kalangan rakyat
telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang beradab. Al-Ghazali
Bayruni, seorang ilmuwanan Islam pernah berkata “hidup biar beradab, bukan
hidup untuk biadap”. Ungkapan tersebut telah membuktikan bahawa masyarakat
Malaysia berjaya bertoleransi antara satu sama lain kerana kita merupakan orang
yang beradab. Sikap tersebut dapat dicontohi oleh pelancong asing sekali gus
meningkatkan imej negara. Tambahan pula, pelancong asing memang gemar sesuatu
yang baharu. Maka, sikap toleransi dan persefahaman multietnik yang ditunjukkan
oleh rakyat Malaysia sudah menjadi salah satu daya tarikan yang kuat dalam
kalangan pelancong asing. Hal ini disebabkan oleh konsep ke bukit sama didaki,
ke lurah sama dituruni telah lama sebati dan menjadi pegangan utuh masyarakat
kita. Hakikatnya, rumah terbuka dapat mengangkat nama negara ke peringkat
antarabangsa. Pelancong juga teringin melihat kebudayaan unik ini yang
dipersembahkan dalam bentuk yang asli. Sebagai contoh, tuan rumah memakai
pakaian tradisional masing-masing. Hal ini dapat memajukan industri pelancongan
kerana pelawat asing akan teruja dengan cara-cara masyarakat majmuk menyambut perayaan
melalui rumah terbuka. Pengalaman pelancong asing meraikan pelbagai perayaan di
Malaysia akan menyebabkan nama Malaysia menjadi buah mulut di segenap empat
penjuru dunia ini. Jadi, tuan rumah patutlah memastikan kawasan di sekitar
rumah terbuka bersih setelah majlis berakhir. Selain itu, prasarana yang cekap
dan cepat patutlah disediakan bagi menyambut kedatangan pengunjung. Pihak
kerajaan hendaklah meningkatkan kemudahan pengangkutan seperti jalan raya,
pengangkutan udara dan penginapan seperti hotel untuk keselesaan para
pelancong. Intihanya, konsep rumah terbuka dapat meningkatkan reputasi Malaysia
di persada antarabangsa.
Dari kaca mata yang berbeza,
menganjurkan rumah terbuka dapat memupuk semangat patriotik dan jati diri
masyarakat Malaysia. Hal ini disebabkan kerana rakyat akan berasa bangga akan
negara apabila kita meraikan setiap perayaan bersama-sama walaupun berbeza
daripada tradisi perayaan sendiri. Kepelbagaian adat budaya yang datang
daripada variasi perkauman di negara ini kesan daripada penjajahan
berates-ratus tahun lamanya. Dasawarsa ini, rakyat Malaysia telah gigih
menjamin keharmonian di negara kita serta memelihara warisan budaya tersebut.
Kita sayang akan tanah air ini kerana kita bersyukur bahawa kita dapat
menghadiri rumah terbuka tanpa mengira warna kulit, bangsa, kaum, agama dan
sebagainya. Sikap perpaduan ibarat kata mutiara, bersatu kita teguh, bercerai
kita roboh. Segala keistimewaan ini telah menimbulkan rasa cinta akan negara
terhadap rakyat Malaysia. Di samping itu, para tetamu menggunakan Bahasa
Kebangsaan, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama dalam setiap
majlis rumah terbuka. Setiap kaum di Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa pertuturan semasa berinteraksi antara satu dengan yang lain. Tambahan
pula, rumah terbuka bukan sahaja menjadi landasan dan titik pertemuan antara
pemimpin dengan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dalam setiap majlis.
Semasa menteri-menteri dan rakyat saling bermesra, pemimpin dapat menyelami
permasalahan rakyat dan memahami kehendak rakyat dengan lebih telus. Izharlah
bahawa semangat patriotik dan jati diri akan dipupuk kerana tidak terpengaruh
daripada anasir budaya asing.
Bulan kian terang, bayang kian
jelas, ternyatalah bahawa rumah terbuka yang diadakan telah membawa pelbagai
manfaat dari pelbagai sudut dan aspek yang telah diketengahkan. Sesungguhnya,
ikatan yang terjalin antara kaum di Malaysia adalah pengikat kepada keharmonian
sejagat. Sebagai tuan rumah dalam majlis rumah terbuka, kita hendaklah sentiasa
berlapang dada dan mengalu-alukan tetamu yang hadir tanpa mengira kaum dan
kedudukan sosialnya. Persis kata peribahasa, kecil tapak tangan, nyiru saya
tadahkan. Di samping itu, setiap kaum haruslah meneruskan pelaksanaan majlis
rumah terbuka pada musim perayaan, terutamanya pihak kerajaan. Pihak kerajaan
patutlah menggalakkan penganjuran rumah terbuka dan tidak melaksanakan tugas
seperti melepaskan batuk di tangga. Bak kata orang tua, pengayuh sayang
dibasahkan, sampan tidak akan sampai seberang, yang bermakna tanpa usaha tidak
tercapailah tujuannya. Oleh itu, jika tidak berusaha mempromosikan amalan rumah
terbuka, kita tidak akan mengetahui manfaatnya kepada kita. Sahutlah cabaran
dan hadapilah dengan semangat biar putih tulang, jangan putih mata untuk
menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah sebuah negara yang Cemerlang,
Gemilang dan Terbilang!
ayo segera bergabung dengan kami hanya dengan minimal deposit 20.000
ReplyDeletedapatkan bonus rollingan dana refferal ditunggu apa lagi
segera bergabung dengan kami di i*o*n*n*q*q
OOK
Deletepermission me to copy this essay
ReplyDeleteOok
ReplyDelete