Formula Menulis Pendahuluan Karangan
Teknik Penulisan Pendahuluan Karangan Jenis Fakta
Kebanyakan pelajar alpa bahawa pendahuluan dalam karangan merupakan titik awal dalam proses pemarkahan. Pendahuluan yang bebas daripada kesalahan, mempunyai kesinambungan yang erat antara fakta dengan huaraian berserta intipan isi yang samar-samar akan menyebabkan pemeriksa terpikat untuk meneruskan pembacaan, yakni penyemakan sekali gus memberikan markah yang baik untuk anda dalam peperiksaan. Kali ini, saya akan menggunakan formula "Bidang (B), Tajuk (T), Soalan (S)" untuk menghasilkan pendahuluan yang baik. Pembinan karangan ini sesuai untuk tahap PMR dan SPM, sama ada karangan bergambar mahupun karangan panjang. Lihat contoh soalan dan kerangka karangan untuk bahagian pendahuluan yang akan kita bincangkan di bawah ini:
Soalan:
Isu gengsterisme semakin mendapat liputan dalam media massa. Pihak sekolah seolah-olah gagal membanteras gejala ini daripada terus menular. Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan gejala ini semakin membimbangkan.
Kerangka pendahuluan
B - Masalah sosial
-> semakin membimbangkan
-> mencatatkan peningkatan yang mendadak.
T - Gejala gengsterisme
-> melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah
-> bermaharajalela di sekolahS -> banyak faktor
Daripada kerang di atas, dapatlah kita membina 5 ayat dengan mudah. Lihat contoh pendahuluan di bawah:
Pendahuluan Kualiti PMRPada zaman pascakemerdekaan, masalah sosial tetap menjadi isu yang hangat diperkatakan kerana sudah mencapai tahap yang membimbangkan. Hal ini demikian kerana kes gengsterisme yang dilaporkan mencapai peningkatan yang mendadak. Masalah sosial yang menjadi buah mulut masyarakat ialah gejala gengsterisme. Gejala ini melibatkan pelajar sekolah menengah, justeru melibatkan pelajar sekolah rendah. Golongan gengster ini semakin bermaharajalela di alma mater. Sebenarnya, banyak faktor yang menyebabkan gejala tidak sihat ini terus meningkat.
Pendahuluan Kualiti SPM
Dalam keasyikan negara menari rancak bersama bayang-bayang pembangunan yang bergerak pantas pada zaman pascakemerdekaan, masalah sosial tetap menjadi isu yang hangat diperkatakan kerana sudah mencapai tahap yang membimbangkan. Hal ini demikian kerana pihak polis mendapati kes gengsterisme yang dilaporkan mencapai peningkatan yang mendadak sejak akhir-akhir ini. Antara masalah sosial yang terus menjadi buah mulut yang hangat ialah gejala gengsterisme yang bukan sahaja melibatkan pelajar sekolah menengah, justeru melibatkan pelajar sekolah rendah. Keadaan menjadi semakin kronik kerana golongan gengster ini semakin bermaharajalela di sekolah mahupun di luar sekolah. Sebenarnya, banyak faktor yang menyebabkan gejala tidak sihat ini terus meningkat.
No comments:
Post a Comment