Wednesday, 28 September 2011

CONTOH KARANGAN PENDAPAT

Pengekalan bangunan bersejarah harus diberikan perhatian yang serius di Malaysia kerana bangunan bersejarah mempunyai nilai budaya dan nilai keseniannya yang tersendiri. Selain itu, bangunan-bangunan ini mencirikan identiti negara dan merakamkan sejarah penting negara.

Berikan pendapat anda tentang kepentingan mengekalkan bangunan bersejarah ini.

Di negara kita, banyak terdapat bangunan bersejarah yang masih kukuh dan sering menarik perhatian sama ada para pelancong dari dalam atau luar negara. Bangunan-bangunan bersejarah ini perlu dikekalkan supaya ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ untuk menjadi tatapan generasi yang akan datang. Kebanyakan bangunan bersejarah merupakan tinggalan sejak zaman penjajah. Antara bangunan bersejarah yang sering menjadi kunjungan pelancong ialah Kota A Famosa dan bangunan Satadsyus di Melaka, bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, dan Kota Belanda di Pulau Pangkor. Bangunan-bangunan ini bukan sahaja mempunyai nilai-nilai budaya dan keseniannya yang tersendiri malah merakamkan sejarah penting negara. Justeru, pengekalan bangunan bersejarah sememangnya penting di Malaysia.
Satu daripada kepentingan mengekalkan bangunan bersejarah di negara ini kerana bangunan tersebut mempunyai nilai seni dan estetika. Bangunan-bangunan ini biasanya mempunyai nilai seni bina yang halus dan bercorakkan budaya bangsa. Sebagai contohnya, ukiran pada dinding kayu rumah Melayu tradisional adalah cantik dan harmoni. Dari sini, kita dapat menghayati kehalusan dan kreativiti seni bina bangsa kita pada masa silam. Ukiran pada dinding batu dan kayu dalam bangunan bersejarah memaparkan corak budaya masa silam. Hal ini membolehkan kita menghayati keistimewaan budaya kita
Selain itu, pengekalan bangunan bersejarah juga membolehkan kita mempelajari dan mendalami sejarah negara pada masa lampau melalui bangunan-bangunan bersejarah. Lawatan ke sesebuah bangunan bersejarah membolehkan kita menyaksikan kesan peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di situ. Sebagai contohnya, lawatan ke Kota A Formosa di Melaka membolehkan kita membayangkan peperangan dan pertumpahan darah ketika rakyat Melaka menentang Portugis. Kita juga akan lebih memahami fakta sejarah jika kita dapat melihat kesan peninggalannya. Dalam konteksini, pelajar akan lebih berminat terhadap pembelajaran sejarah negara. Sesungguhnya, cara pembelajaran secara kontekstual ini amat berkesan.
Di samping itu, bangunan-bangunan bersejarah juga perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan bersejarah ini dapat menjadi tarikan kepada pelancong tempatan atau pun pelancong asing. Misalnya, Kota Cornwallis di Pulau Pinang, Bangunan Sultan Abdul Samad diKuala Lumpur, dan Rumah Puteri Meninjau di Sabah sering menjadi tumpuan para pelancong. Secara tidak langsung keadaan ini dapat membantu perkembangan industri pelancongan melalui pengaliran masuk wang asing ke negara ini.
Bangunan-bangunan bersejarah juga penting dalam industri perfileman. Kejayaan sesebuah filem banyak bergantung pada latar tempatnya. Untuk membuat filem berunsur sejarah, lokasi penggambarannya sudah pasti di sekitar bangunan-bangunan bersejarah. Filem berkenaan akan menjadi lebih realistik dan menarik jika bangunan bersejarah yang sebenar digunakan. Hal ini dibuktikan oleh syarikat-syarikat perfileman asing yang banyak mengadakan penggambaran di Malaysia. Contohnya,filemPolice Story III oleh Jacky Chan yang membuat penggambaran di Kuala Lumpur dengan berlatarbelakangkan Bangunan Mahkamah dan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. Melalui filem-filem ini, Malaysia menjadi terkenal di seluruh dunia. Hal ini membuktikan kepentingan bangunan bersejarah kepada kita.
Bangunan bersejarah juga banyak memberikan pengajaran kepada kita. Bangunan bersejarah akan mengingatkan kita tentang peristiwa masa lampau. Sebagai contohnya, bangunan zaman pemerintahan Jepun mengingatkan kita tentang penderitaan hidup rakyat semasa peperangan. Rakyat juga akan menyedari pahit maung yang dialami sewaktu perjuangan menuntut kemerdekaan. Hal ini akan menjadikan kita lebih menghargai keamanan dan kebebasan yang kita nikmati selama ini. Selain itu, kita juga akan sentiasa berwaspada agar kesilapan silam tidak akan berulang lagi.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa bangunan-bangunan bersejarah merupakan sebahagian daripada warisan sejarah yang tidak ternilai harganya. Oleh itu, bangunan bersejarah haruslah dikekalkan untuk penghayatan dan kepentingan generasi akan datang. Dengan ini diharapkan usaha-usaha memulihara bangunan bersejarah dilaksanakan secara berterusan agar negara dapat menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negara ini.

2 comments: