Sunday, 3 July 2011

KARANGAN - PEMBENTUKAN KELUARGA BAHAGIA

ISU UNTUK PENULISAN KARANGAN

PEMBENTUKAN KELUARGA BAHAGIA

Pengenalan
Ø Keluarga merupakan satu institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat.
Ø Keluarga juga merupakan wahana kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.
Ø Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang di antara ahlinya.
Ø Daripada keluarga, lahir rasa menghormati dan saling memerlukan yang tidak terucapkan.
Ø Daripada keluarga lahirnya insan yang bertanggungjawab terhadap dirinya serta insan lain yang memerlukan.
Ø “Baiti Jannati” atau “Rumahku Syurgaku” merupakan pepatah Arab yang sudah tidak asing lagi dalam kehidupan seharian kita. Rumah merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.
Ø Rumah tangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga yang juga memiliki ciri-ciri kejiwaan yang sihat seperti gembira, yakin akan kebolehan diri dan sebagainya. Seseorang yang dibesarkan dalam keluarga yang bahagia akan sentiasa dihargai dan diberi sokongan moral dalam apa-apa jua perkara yang dilakukannya. Galakan dan perangsang daripada ibu bapa yang penyayang dan adik-beradik yang memahami akan membentuk jati diri yang sempurna di kalangan ahli keluarga itu.
Ø Namun, pepatah ada mengatakan bahawa ‘ bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi’.Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab membentuk kebahagiaan keluarga itu di tangan salah seorang ahli keluarga sahaja seperti ibu, bapa atau anak-anak. Setiap ahli dalam sesebuah keluarga itu perlu bersedia memainkan peranan masing-masing untuk saling bertolak ansur, saling memahami serta saling menghormati di antara mereka. Apabila sifat ini dapat diwujudkan oleh setiap ahli dalam sesebuah keluarga, maka suasana yang harmoni akan dapat diwujudkan.

Peranan Ibu Bapa

Suri Teladan Kepada Anak-Anak
Ø Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga “sakinah” adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak.
Ø Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak. Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati di antara satu sama lain. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka. “Bapa borek, anak rintik” .
Ø Jika contoh yang negatif diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Pertengkaran, maki hamun serta penderaan suami terhadap isteri bukan sahaja akan menjejaskan perkembangan jiwa anak-anak, tetapi juga akan menjejaskan hubungan di kalangan anak-anak. Mereka juga akan sentiasa bertengkar dan tidak menghormati satu sama lain. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi neraka kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah tidak dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha mendapatkannya daripada kawan-kawan dengan berpelesiran serta melepak di pusat-pusat beli belah. Adalah lebih malang lagi jika apabila anak-anak itu berumah tangga kelak, mereka akan mengulangi sejarah yang tidak berkesudahan yang telah diwarisi oleh mereka daripada kedua-dua orang tua mereka.

Melengkapkan Diri Dengan Ilmu Keibubapaan
Ø Ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka.
Ø Hal ini boleh dilakukan oleh bakal-bakal ibu dan bapa dengan mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus selepas berkahwin yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan.

Memberi Perhatian dan Kasih Sayang
Ø Pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat.
Ø Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka.
Ø Pada masa ini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan sebagai cuti umum. Manakala pihak swasta pula , turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan. Seharusnya, ibu dan bapa merebut kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah penat bekerja. Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama keluarga akan memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk mengeratkan hubungan di antara mereka. Sekiranya masa yang berkualiti untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan.

Memberi Didikan Agama dan MoralØ Didikan agama dan moral yang sempurna di kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan, pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadang kala tidak munasabah.
Ø Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberi didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral di kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik beradik. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.

Penutup
Ø Keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Keluarga Asas Pembentukan Masyarakat. Maju keluarga, majulah masyarakat. Pincang keluarga, musnahlah masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment