LATIHAN MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM –
BUKTI PERISTIWA (NOVEL LEFTENAN ADNAN)
3 Bukti peristiwa pengajaran “kerajinan” :-
Novel yang saya kaji di tingkatan 4 ialah novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib. Terdapat pelbagai pengajaran dalam novel tersebut. Salah satunya ialah kita hendaklah rajin berusaha dalam melalukan sesuatu.
Bukti pertama ialah peristiwa Adnan rajin membantu ayahnya melakukan kerja-kerja untuk menyara kehidupan. Adnan selalu membantu ayahnya menoreh getah, bersawah padi, menangkap ikan dan membersihkan kebun durian selepas waktu persekolahan. Adnan gembira kerana dapat membantu ayahnya serta mengurangkan beban keluarga.
Bukti seterusnya ialah peristiwa Adnan yang rajin ke sekolah serta rajin belajar. Hal ini terbukti apabila basikal Pak Saidi rosak, Adnan masih berkeras mahu ke sekolah. Malah, Adnan juga terbukti rajin belajar kerana akhirnya Adnan menjadi pelajar terbaik di Sekolah Inggeris.
Bukti terakhir ialah peristiwa Adnan menyertai pertandingan syarahan bahasa Inggeris. Adnan rajin berlatih supaya fasih dalam bahasa Inggeris. Adnan sentiasa berlatih di hadapan keluarganya supaya berasa yakin. Akhirnya, kerana sikap rajin tersebut Adnan telah memenangi pertandingan syarahan tersebut.
3 Bukti peristiwa persoalan “keberanian”:-
Novel yang saya kaji di tingkatan 4 ialah novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib. Terdapat pelbagai persoalan dalam novel tersebut. Salah satunya ialah persoalan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup.
Bukti peristiwa yang pertama ialah peristiwa Adnan dan Rejimen Askar Melayu yang berani menentang musuh iaitu pihak Jepun. Walaupun peperangan di atas Bukit Candu sangat sengit kerana askar Jepun terlalu ramai, askar-askar Melayu tidak gentar dan mereka berlawan sehingga kehabisan peluru. Mereka juga berani melawan Jepun dalam jarak dekat dengan menggunakan bayonet. Hal ini membuktikan mereka sangat berani menghadapi musuh.
Bukti berikutnya ialah peristiwa Pak Saidi melawan Jepun sewaktu askar Jepun masuk ke Kampung Sungai Ramal untuk menangkap seluruh ahli keluarga Leftenan Adnan. Penduduk kampung bekerjasama untuk menyembunyikan keluarga Leftenan Adnan. Namun, pihak Jepun telah menangkap Pak Saidi dan mengheretnya ke atas lori untuk di bawa ke Melaka. Pak Saidi tidak membiarkan mereka memaksanya lalu menikam beberapa orang tentera Jepun dengan kerisnya. Pak Saidi kemudiannya ditembak bertubi-tubi sehingga mati. Hal ini membuktikan bahawa Pak Saidi sangat berani menghadapi pihak musuh.
Bukti seterusnya ialah peristiwa Adnan berani menyertai pertandingan syarahan bahasa Inggeris. Adnan berlatih bersunguh-sungguh supaya fasih dalam bahasa Inggeris. Adnan sentiasa berlatih di hadapan keluarganya supaya berasa yakin dan mendapat keberanian menghadapi hari pertandingan tersebut. Akhirnya, kerana sikap rajin dan berani menghadapi cabaran tersebut Adnan telah memenangi pertandingan syarahan tersebut.
3 Bukti peristiwa nilai “tanggungjawab” :-
Novel yang saya kaji di tingkatan 4 ialah novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib. Terdapat banyak nilai dalam novel tersebut. Salah satunya ialah nilai tanggungjawab.
Bukti peristiwa nilai tanggungjawab yang pertama ialah peristiwa Adnan yang bertanggungjawab sebagai seorang anak. Adnan bertanggungjawab membantu ayahnya melakukan kerja-kerja untuk menyara kehidupan. Adnan selalu membantu ayahnya menoreh getah, bersawah padi, menangkap ikan dan membersihkan kebun durian selepas waktu persekolahan. Hal ini membuktikan nilai tanggungjawab dalam diri seorang anak yang baik.
Bukti berikutnya ialah peristiwa Adnan bertanggungjawab sebagai seorang pelajar. Adnan sentiasa merasakan kewajipan untuk ke sekolah. Oleh itu, walaupun basikal ayahnya telah rosak, Adnan tetap berkeras mahu ke sekolah. Adnan sedar bahawa pentingnya ilmu untuk mengubah kehidupan. Adnan mahu belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mencapai cita-citanya. Terbuktilah bahawa Adnan mempunyai nilai tanggungjawab dalam dirinya.
Bukti seterusnya ialah peristiwa Sophia yang bertanggungjawab menyara anak-anaknya setelah kematian Leftenan Adnan. Sophia terpaksa bersusah payah kerana kehidupan pada zaman Jepun sangat kekurangan. Namun, rasa tanggungjawab sebagai seorang ibu memaksa Sophia bekerja keras dengan menoreh getah dan bercucuk tanam supaya dalam menyara dua anak lelakinya. Selepas zaman Jepun, Sophia menjadi guru semula mengajar di Sekolah Melayu Sungai Ramal. Hal ini membuktikan bahawa nilai tanggungjawab terdapat dalam diri Sophia.
SALAM SEJAHTERA... CEPATNYA MASA BERLALU. BANYAK E-MEL CIKGU TERIMA. TETAPI KESIBUKAN YANG MELAMPAU MENGHALANG CIKGU UNTUK MEMBALAS E-MEL ATAU PUN MEMBACA KOMEN-KOMEN PELAJAR. SELAMAT MAJU JAYA! DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN. Orang bijak pandai pernah berkata "kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya".
Wednesday, 9 October 2019
Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa
Labels: BM Tingkatan 5
NOVEL,
NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA
KBR - FAKTOR PEMILIHAN KERJAYA
FAKTOR PEMILIHAN KERJAYA
Zaman beralih, musim berganti, demikianlah timbul tenggelamnya matahari dan bulan lalu kita kini masyarakat moden berada dalam era yang penuh dengan materialistik dan individualistik. Perubahan dari zaman pascaindustri ke pascaglobalisasi telah mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan malah mewujudkan peluang pekerjaan yang dahulunya mustahil untuk difikirkan. Persaingan untuk mendapatkan pekerjaan juga semakin sengit kerana kesedaran masyarakat moden hari ini terhadap kepentingan melanjutkan pendidikan yang lebih tinggi. Semakin maju dunia hari ini maka semakin banyak wujudnya peluang pekerjaan. Persoalannya di sini ialah, apakah faktor-faktor pemilihan kerjaya dalam kalangan generasi millenium yang berpendidikan tinggi hari ini?
Di mana ada gula, di situ ada semut. Peribahasa lama ini menganalogikan bahawa di mana ada peluang di situlah manusia berlumba-lumba mencari kesempatan. Dalam hal ini, semestinya kerjaya yang mempunyai prospek yang tinggi akan menjadi pilihan ramai. Hal ini dikatakan demikian kerana kerjaya berprospek tinggi mampu menjamin masa depan yang cerah dan bahagia. Sebagai contoh, kerjaya dalam bidang teknologi maklumat, pengkomputeran serta ahli perniagaan menjanjikan pendapatan yang lumayan memandangkan taraf hidup dan gaya masyarakat moden yang semakin maju. Kerjaya ini juga dapat membaiki taraf hidup diri dan keluarga. Malah, kerjaya ini mampu menaikkan nama negara serta menyumbang pendapatan dalam ekonomi negara. Ternyatalah bahawa kerjaya berprospek tinggi menjadi elemen pemilihan kerjaya generasi alaf baru.
Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, kerjaya yang menjaminkan pendapatan setimpal juga turut dipertimbangkan dalam pemilihan kerjaya. Adakalanya, sesetengah kerjaya agak berisiko dan susah untuk dilaksanakan. Contohnya kerjaya seperti bidang pembinaan dan bidang sains. Bukan itu sahaja, ada juga bidang kerjaya yang memerlukan kelayakan yang terlalu tinggi lalu masa dan wang perlu dihabiskan demi mendapatkan ijazah lanjutan dalam bidang tersebut. Tamsilnya bidang pakar kedoktoran serta guaman. Namun, semua kerjaya ini tetap menjadi pilihan kerana pendapatan yang berbaloi serta lumayan. Malah pekerjaan ini juga amat mulia dalam kalangan masyarakat serta dihormati oleh orang ramai. Bak kata peribahasa, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit- sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Izharlah bahawa pendapatan yang lumayan menjadi pertimbangan utama dalam pemilihan kerjaya.
Cendekiawan Inggeris pernah berkata bahawa semiskin-miskin manusia adalah manusia yang miskin akhlaknya. Oleh itu, dalam kita mengejar kerjaya yang membawa kekayaan, janganlah kita lupa akan akhlak kita terhadap masyarakat. Biar apapun kriteria pemilihan kerjaya seseorang, pilihlah kerjaya yang sah dari segi agama dan moral. Janganlah kita menggunakan daya intelektual kita memilih kerjaya yang merosakkan ketenangan dan kebahagian masyarakat malah mendatangkan dosa dalam kehidupan. Misalnya, kepintaran dalam bidang teknologi maklumat janganlah digunakan dengan menjadi penggodam laman sesawang atau menjadi pakar modus operandi bagi perlakuan jenayah. Bukan itu sahaja, kebijaksanaan menjalankan perniagaan janganlah terlalu mementingkan keuntungan sehingga sanggup terlibat dalam gejala rasuah dan penipuan. Sebab itulah bagi sesetengah orang yang bersikap patriotik, sanggup memilih kerjaya sebagai tentera atau polis walaupun pendapatan tidak menjaminkan kekayaan. Hal ini demikian kerana kerjaya tersebut memberi kepuasan demi berbakti kepada nusa dan bangsa. Terbuktilah di sini bahawa pemilihan kerjaya yang berpendapatan halal harus menjadi keutamaan masyarakat moden yang berpaksikan materialistik.
Bulan semakin terang, bayang kian jelas, kata-kata semakin telus bahawa banyak elemen yang harus diperhatikan dalam memilih kerjaya masa depan. Remaja khususnya haruslah memilih kerjaya yang sesuai dengan kemampuan diri masing-masing. Bukan itu sahaja, minat yang tinggi juga harus ada supaya apa jua kerjaya yang diidamkan mampu dicapai dan mampu konsisten dalam menjalankan tugas. Semua kerjaya idaman mampu digapai jika kita memegang prinsip peribahasa, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Tepuk dada tanyalah selera. Andalah penentu masa depan diri sendiri dan keluarga.
KBR - LANGKAH MENANGANI SALAH LAKU REMAJA
LANGKAH MENANGANI SALAH LAKU REMAJA
"Berikan aku sepuluh orang remaja waja, pasti aku bisa menggongcangkan dunia." Demikianlah kata-kata mantan Presiden Indonesia yang tersohor, Soekarno, yang jelas membawa maksud bahawa remaja merupakan tulang belakang sesebuah negara yang mampu menggerakkan jentera kemajuan sesebuah negara. Namun, amat menyedihkan apabila kita meneliti statistik salah laku remaja tahun 2017 yang dipaparkan dalam media arus semasa ketika ini. Sejumlah 67, 053 ribu remaja telah melakukan kesalahan ponteng sekolah manakala 6,917 telah terlibat dalam kancah jenayah. Kes-kes salah laku remaja kian merebak menjadi amalan biasa para remaja ibarat api dalam sekam. Menyedari hakikat yang pahit ini, pihak ibu bapa, sekolah dan kerajaan tidak wajar menutup sebelah mata kerana merekalah yang harus menyelesaikan kemelut yang memalukan negara ini sebelum kian parah ibarat kudis menjadi tokak. Persoalan yang bermain di ruang pemikiran ialah apakah prakarsa-prakarsa primer yang perlu digembeleng bagi mengatasi masalah salah laku dalam kalangan remaja modenisasi hari ini?
Pada pendapat saya, kemelut salah laku dalam kalangan generasi muda yang naif ini boleh di atasi dengan pemantauan ketat oleh ibu bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapalah pencorak kehidupan anak-anak sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW iaitu anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang menentukan corak dan warnanya. Pemantauan oleh ibu bapa boleh dimulakan dengan mengenali latar belakang rakan-rakan anak mereka termasuk aktiviti yang kerap dilakukan oleh mereka. Bukan itu sahaja, kebebasan penggunaan telefon bimbit juga harus dikawal malah ibu bapa patut memantau status dan gambar yang dimuat naik oleh anak-anak di media sosial. Natijahnya, ibu bapa dapat menghidu dengan lebih awal segala tindakan salah anak-anak jika pemantauan ketat dilakukan. Tingkah laku baik anak-anak juga harus dikukuhkan dengan memahat kukuh ilmu agama dalam sanubari anak-anak. Hal ini bersesuaian dengan kata-kata Benjamin Franklin yang mengatakan bahawa jika manusia masih tetap jahat dengan adanya agama, bagaimana lagi jika tiadanya agama? Ternyatalah bahawa pemantauan ibu bapa mampu membendung perbuatan salah laku remaja yang diharapkan menjadi pewaris keluarga.
Cendekiawan Inggeris, William J.Siegal pernah menyebut, manusia tidak merancang untuk gagal, tetapi mereka gagal untuk merancang. Kata-kata ini berbaur sinis sekiranya kita gagal merancang masa depan generasi tonggak negara. Oleh itu, kita tidak dapat menafikan peri pentingnya peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah. Sebagai institusi pembentuk masa depan, pihak sekolah melalui peranan guru-guru haruslah menekankan pendidikan akhlak dalam proses pembelajaran di dalam kelas dengan tidak mementingkan pencapaian terbaik dalam mata pelajaran sahaja. Malah, badan disiplin di sekolah haruslah telus dan tegas dalam mengimplimentasikan peraturan sekolah dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga atau tidak bersungguh-sungguh. Jika guru-guru dan badan disiplin berjaya menjadi mata dan telinga untuk pihak sekolah dan ibu bapa, nescaya tiada kes salah laku yang akan terlepas dari pemantauan malah pelajar-pelajar akan takut untuk melanggar peraturan akibat takut dibuang dari sekolah. Ternyatalah bahawa sekolah turut memainkan peranan yang signifikan dalam mengurangkan jenayah dan salah laku golongan pelajar.
Memegang prinsip peribahasa, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, kita tidak harus berputus asa bagi mengembalikan bakal pemimpin dengan kita ke landasan yang betul. Pihak kerajaan terutamanya harus meletakkan usaha murni dengan menganjurkan kempen-kempen pencegahan jenayah bagi memupuk kesedaran terhadap impak dan natijah perlakuan salah laku yang menyakitkan mata. Kerajaan boleh menyalurkan kempen-kempen tersebut melalui media sosial yang menjadi kegilaan remaja serta menghebahkan seluas yang mungkin melalui media cetak dan elektronik. Kempen seperti Dadah Membawa Padah, Katakan Tidak Kepada Rokok serta Tiada Toleransi Terhadap Buli harus diwara-warakan dalam laman Facebook, Twitter dan berita-berita perdana setiap saluran televisyen. Pegawai berpangkat tinggi dalam jabatan polis juga perlu di hantar ke setiap sekolah untuk memberikan ceramah kesedaran terhadap hukuman ke atas juvana yang terlibat dalam jenayah sosial. Impaknya, remaja akan ketakutan membayangkan bentuk hukuman yang keras jika disabitkan kesalahan. Izharlah disini bahawa kempen pencegahan jenayah mampu meletakkan noktah terhadap perlakuan sumbang remaja masa kini.
Sebagai penutup wadah perbincangan topik yang hangat ini, ingin saya memetik kata-kata Nelson Mandela, pejuang dasar aparteid serta mantan presiden Afrika yang menyatakan bahawa "jika anda ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah keadaan remajanya". Oleh itu, bayangkanlah masa depan Malaysia tercinta ini jika statistik yang dipaparkan tersebut semakin meningkat pada tahun 2019 ini. Oleh itu, marilah kita seluruh rakyat Malaysia yang berintelektual tinggi, menggembeleng tenaga dan bersendeng bahu, memikul amanah membentuk generasi pemegang tampuk kepimpinan negara supaya celik minda dan sahsiah malah sedar akan bertanggungjawab yang tergalas di atas bahu masing-masing. Saya percaya, jika kita memegang prinsip peribahasa, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, pasti kita akan berjaya menjadi warganegara berpemikiran kelas pertama demi nusa tercinta.
Sunday, 6 October 2019
Kebaikan Rumah Terbuka - CONTOH KARANGAN PELAJAR
Kebaikan
Rumah Terbuka
Oleh
: Low Su-Yunn (5A)
Pada era pascaperindustrian dan
pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita, amalan rumah terbuka
telah menjadi lumrah pada sambutan hari perayaan bagi masyarakat majmuk di
negara Malaysia. Kerencaman citra budaya dan keceriaan landskap sosial yang
berwarna-warni dalam masyarakat Malaysia menjadikan Malaysia memiliki keunikan
yang tersendiri. Setelah bertahun lamanya kita menghirup udara yang sama, kita
kini boleh hidup bersama tanpa sebarang persengketaan. Malah, kita juga
bersama-sama menyambut hari perayaan seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari
Raya Aidilfitri dan lain-lain. Perayaan-perayaan ini selalu meniti dari bibir
ke bibir masyarakat pada zaman pascakemerdekaan ini. Rakyat Malaysia sentiasa
meraikan hari perayaan tersebut kerana kita percayai bahawa biar mati anak,
jangan mati adat. Pada tahun 2000, kerajaan Malaysia telah memutuskan sebanyak
enam perayaan dianggap sebagai perayaan utama yang diraikan julung-julung
kalinya di peringkat kebangsaan. Dalam perkataan yang lain, rumah terbuka akan
dianjurkan bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk berkongsi
kegembiraan pada saat tersebut bersama-sama. Menyedari usaha kerajaan yang
gigih mengadakan rumah terbuka, persoalan yang sering berlegar-legar di gawang
minda kita ialah apakah kebaikan-kebaikan amalan rumah terbuka?
Negara
kita berbeza bangsa,
Berbeza
pandangan perkara biasa.
Jangan
dibiar menjadi bisa,
Hidup
terancam sepanjang masa.
Rangkap tersebut telah menunjukkan
bahawa betapa berbeza agama serta bangsa anak watan Malaysia, kita tetap perlu
bersatu padu. Sebagaimana yang kita ketahui, amalan rumah terbuka dapat
mengeratkan perpaduan dan tali silaturahim pelbagai kaum. Realitinya, jika kita
mengadakan rumah terbuka pelbagai kaum akan hadir ke majlis tersebut seperti
orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan dan
sebagainya. Oleh itu, sudah pasti amalan ini dapat mengeratkan hubungan
silaturrahim seperti isi dengan kuku. Hal ini dinyatakan demikian kerana
wujudnya interaksi sosial antara kaum. Sebagai contohnya, pelancong dapat
mencuba permainan tradisional seperti gasing, wau, catur Cina, kabaddi dan
lain-lain. Dalam proses bermain permainan tradisional tersebut, pastilah mereka
akan memahami budaya yang berlainan dan juga berkomunikasi dengan mereka.
Kegiatan tersebut memainkan peranan yang amat signifikan terutamanya dalam
golongan belia Malaysia. Tonggak negara harus dipupuk sejak kecil lagi agar
berinteraksi dengan kaum lain kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Demi mengelakkan sejarah hitam, iaitu Peristiwa 13 Mei berulang kembali dan
pisang berbuah dua kali, kita hendaklah menjadikan majlis rumah terbuka sebagai
medium untuk menyatukan rakyat. Tambahan pula, rumah terbuka dapat mengukuhkan
hubungan antara rakyat dan pemimpin. Hal ini dinyatakan kerana pemimpin negara
sanggup menunjukkan suri teladan dengan turun padang bagi meraikan hari
perayaan dengan rakyat. Bak kata slogan negara, Kempimpinan Melalui Teladan. Rakyat
akan berasa terharu dengan kesungguhan beliau dan menyokongnya. Sebagai
tamsilannya, rakyat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi sehingga
sanggup hadir ke rumah terbuka di kediaman Perdana Menteri walaupun dari jauh.
Selain itu, rumah terbuka dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat
untuk menjayakan rumah terbuka. Masyarakat seharusnya tidak mementingkan diri
ibarat kata mutiara yang berbunyi adat bernegeri memagar negeri, adat
berkampung memagar kampung iaitu dengan bekerjasama bagai aur dengan tebing
untuk mengadakan jamuan. Mereka akan berganding bahu menyediakan makanan
tradisional, menghias kawasan perumahan dan menjalankan aktiviti gotong-royong.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa amalan rumah terbuka dapat merapatkan
hubungan antara pelbagai bangsa
Lanjutan daripada huraian yang
dinyatakan di atas, ayuh kita capahkan lensa perbincangan kita kepada
kemaslahatan rumah terbuka seterusnya iaitu menjamin keamanan, kemakmuran dan
kestabilan negara. Sudah terang lagi bersuluh bahawa masyarakat berbilang kaum
di negara kita sudah tentu mempunyai budaya dan agama yang berbeza. Perbezaan
ini dapat diatasi jika adanya sikap memahami dan menerima adat resam dan
kepercayaan kaum lain. Misalnya, perayaan yang berbeza seperti Tahun Baru Cina,
Deepavali, Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak dan Pesta Keamatan dapat diterima
dengan tangan terbuka. Semasa majlis tersebut diadakan, setiap kaum akan
menyediakan pelbagai juadah tradisi kaum-kaum masing-masing. Lagipun, juadah
yang dihidangkan dapat memberikan gambaran tradisi setiap kaum. Sebagai contoh
yang jelas, kaum Melayu akan menyajikan hidangan seperti rendang, ketupat dan
lemang yang merupakan juadah wajib semasa menyambut perayaan Hari Raya
Aidilfitri. Bagi orang Cina, mereka akan menyajikan limau mandarin sebagai
juadah wajib kerana dapat membawa tuah kepada hidup mereka. Sekiranya kita
menghormati variasi budaya tersebut, kita dapat mengelakkan perselisihan faham
antara rakyat pelbagai kaum dan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan
yang aman dan harmoni seperti bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung,
bulat kata kerana muafakat. Tambahan pula, para tetamu dapat beramah mesra
dengan tetamu lain. Sebagai analoginya, mereka berbual mesra, bertegur sapa
dengan orang ramai semasa menghadiri rumah terbuka. Ketika kita memahami budaya
kaum lain, kita dapat melupakan pertentangan pendapat, perbezaan ideologi dan
perbezaan konsep politik. Keadaan ini persis kata orang tua buang yang keruh,
ambil yang jernih. Oleh itu, kita dapat mengelakkan pergaduhan dan perbalahan
dalam kalangan masyarakat. Tegasnya, amalan rumah terbuka dapat mewujudkan
masyarakat yang harmoni tanpa perasaan syak wasangka.
Jika ditinjau daripada satu lagi
perspektif, penganjuran majlis rumah terbuka dapat mengurangkan penglibatan
remaja dalam gejala sosial. Hal ini demikian kerana remaja akan melibatkan diri
dalam persembahan seperti nyanyian, lakonan dan sketsa. Mereka tidak
membazirkan masa mereka dan terjebak dalam gejala sosial seperti vandalisme,
gengsterisme, membuli dan sebagainya. Presiden Soekarno pernah berkata,
“Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini”.
Ungkapan tersebut telah menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai
penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan. Jadi, remaja
patutlah menyertai persembahan ataupun persediaan rumah terbuka. Sebagai
analoginya, mereka akan membabitkan diri dalam aktiviti gotong-royong seperti
membersih, mengemas dan menyediakan atur cara majlis. Hal ini dapat mengalihkan
perhatiannya daripada gejala sosial. Lebih-lebih lagi, hal ini dapat menyemai
nilai-nilai murni sejagat pada golongan muda. Cuba kita bayangkan bagaimana
keadaan sekiranya tiada bantuan dan kerjasama daripada orang lain, terutamanya
golongan muda yang kuat dari segi fizikal? Mungkinkah majlis rumah terbuka
dapat dijalankan dengan jayanya? Dalam konteks ini, kebiasaannya remaja dengan
ahli keluarganya akan bergotong-royong, membanting tulang dan bekerjasama
ibarat aforisme, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Oleh hal
yang demikian, pemuda akan meluangkan lebih banyak masa bersama-sama ahli
keluarga dan secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam
hubungan kekeluargaan. Rumah terbuka amat dititikberatkan agar sistem
kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh bukannya semakin layu dan pudar.
Generasi muda dapat mengenali mereka yang tua dan meluahkan perasaan rindu
kepada mereka. Senario ini dapat mencerminkan yang tua dihormati, yang muda
disayangi. Sementara itu, remaja lebih menghargai adat resam dan kebudayaan di
Malaysia. Tamsilnya, menziarahi saudara-mara dan bersalaman dengan mereka.
Mereka juga gemar untuk memakai pakaian tradisional pada setiap tahun. Pendek
kata, rumah terbuka dapat mengurangkan risiko remaja terlibat dalam kegiatan
negatif.
Namun demikian, sesuatu hakikat yang
tidak boleh dikesampingkan ialah rumah terbuka dapat meningkatkan imej negara
di persada dunia. Dalam majlis tersebut, rakyat Malaysia yang bersikap ramah
mesra, berbudi Bahasa, saling membantu dan bertolak ansur dalam kalangan rakyat
telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang beradab. Al-Ghazali
Bayruni, seorang ilmuwanan Islam pernah berkata “hidup biar beradab, bukan
hidup untuk biadap”. Ungkapan tersebut telah membuktikan bahawa masyarakat
Malaysia berjaya bertoleransi antara satu sama lain kerana kita merupakan orang
yang beradab. Sikap tersebut dapat dicontohi oleh pelancong asing sekali gus
meningkatkan imej negara. Tambahan pula, pelancong asing memang gemar sesuatu
yang baharu. Maka, sikap toleransi dan persefahaman multietnik yang ditunjukkan
oleh rakyat Malaysia sudah menjadi salah satu daya tarikan yang kuat dalam
kalangan pelancong asing. Hal ini disebabkan oleh konsep ke bukit sama didaki,
ke lurah sama dituruni telah lama sebati dan menjadi pegangan utuh masyarakat
kita. Hakikatnya, rumah terbuka dapat mengangkat nama negara ke peringkat
antarabangsa. Pelancong juga teringin melihat kebudayaan unik ini yang
dipersembahkan dalam bentuk yang asli. Sebagai contoh, tuan rumah memakai
pakaian tradisional masing-masing. Hal ini dapat memajukan industri pelancongan
kerana pelawat asing akan teruja dengan cara-cara masyarakat majmuk menyambut perayaan
melalui rumah terbuka. Pengalaman pelancong asing meraikan pelbagai perayaan di
Malaysia akan menyebabkan nama Malaysia menjadi buah mulut di segenap empat
penjuru dunia ini. Jadi, tuan rumah patutlah memastikan kawasan di sekitar
rumah terbuka bersih setelah majlis berakhir. Selain itu, prasarana yang cekap
dan cepat patutlah disediakan bagi menyambut kedatangan pengunjung. Pihak
kerajaan hendaklah meningkatkan kemudahan pengangkutan seperti jalan raya,
pengangkutan udara dan penginapan seperti hotel untuk keselesaan para
pelancong. Intihanya, konsep rumah terbuka dapat meningkatkan reputasi Malaysia
di persada antarabangsa.
Dari kaca mata yang berbeza,
menganjurkan rumah terbuka dapat memupuk semangat patriotik dan jati diri
masyarakat Malaysia. Hal ini disebabkan kerana rakyat akan berasa bangga akan
negara apabila kita meraikan setiap perayaan bersama-sama walaupun berbeza
daripada tradisi perayaan sendiri. Kepelbagaian adat budaya yang datang
daripada variasi perkauman di negara ini kesan daripada penjajahan
berates-ratus tahun lamanya. Dasawarsa ini, rakyat Malaysia telah gigih
menjamin keharmonian di negara kita serta memelihara warisan budaya tersebut.
Kita sayang akan tanah air ini kerana kita bersyukur bahawa kita dapat
menghadiri rumah terbuka tanpa mengira warna kulit, bangsa, kaum, agama dan
sebagainya. Sikap perpaduan ibarat kata mutiara, bersatu kita teguh, bercerai
kita roboh. Segala keistimewaan ini telah menimbulkan rasa cinta akan negara
terhadap rakyat Malaysia. Di samping itu, para tetamu menggunakan Bahasa
Kebangsaan, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama dalam setiap
majlis rumah terbuka. Setiap kaum di Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa pertuturan semasa berinteraksi antara satu dengan yang lain. Tambahan
pula, rumah terbuka bukan sahaja menjadi landasan dan titik pertemuan antara
pemimpin dengan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dalam setiap majlis.
Semasa menteri-menteri dan rakyat saling bermesra, pemimpin dapat menyelami
permasalahan rakyat dan memahami kehendak rakyat dengan lebih telus. Izharlah
bahawa semangat patriotik dan jati diri akan dipupuk kerana tidak terpengaruh
daripada anasir budaya asing.
Bulan kian terang, bayang kian
jelas, ternyatalah bahawa rumah terbuka yang diadakan telah membawa pelbagai
manfaat dari pelbagai sudut dan aspek yang telah diketengahkan. Sesungguhnya,
ikatan yang terjalin antara kaum di Malaysia adalah pengikat kepada keharmonian
sejagat. Sebagai tuan rumah dalam majlis rumah terbuka, kita hendaklah sentiasa
berlapang dada dan mengalu-alukan tetamu yang hadir tanpa mengira kaum dan
kedudukan sosialnya. Persis kata peribahasa, kecil tapak tangan, nyiru saya
tadahkan. Di samping itu, setiap kaum haruslah meneruskan pelaksanaan majlis
rumah terbuka pada musim perayaan, terutamanya pihak kerajaan. Pihak kerajaan
patutlah menggalakkan penganjuran rumah terbuka dan tidak melaksanakan tugas
seperti melepaskan batuk di tangga. Bak kata orang tua, pengayuh sayang
dibasahkan, sampan tidak akan sampai seberang, yang bermakna tanpa usaha tidak
tercapailah tujuannya. Oleh itu, jika tidak berusaha mempromosikan amalan rumah
terbuka, kita tidak akan mengetahui manfaatnya kepada kita. Sahutlah cabaran
dan hadapilah dengan semangat biar putih tulang, jangan putih mata untuk
menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah sebuah negara yang Cemerlang,
Gemilang dan Terbilang!
Kebaikan Industri Pelancongan Terhadap Rakyat Dan Negara - CONTOH KARANGAN PELAJAR
Kebaikan Industri Pelancongan Terhadap Rakyat Dan Negara
Oleh: Tsui Yi Wern (5A)
Zaman
beralih, musim berubah yang menandakan bahawa masyarakat Malaysia perlulah
berasa bertuah kerana dapat menjadi anak bangsa Malaysia yang begitu bahagia demi
masa yang kian beredar ini. Hal ini dikatakan demikian kerana kedudukan
Malaysia yang berada dalam lingkungan api Pasifik adalah bebas dari segala ancaman
bencana alam yang mengejutkan. Bukan itu sahaja, negara kita yang telah
menyambut kemerdekaan yang ke-62 pada tahun ini telah menikmati keamanan dan
kesejahteraan selama itu juga. Malaysia merupakan sebuah negara yang terletak
di garisan Khatulistiwa. Lokasi yang strategik tersebut telah mewujudkan cuaca
negara kita panas dan lembap sepanjang tahun itu. Keadaan negara kita telah
menarik minat pelancong asing untuk melawat ke negara kita. Persoalan yang
sedang bermain-main di minda kita ialah, apakah kebaikan industri pelancongan
terhadap rakyat dan negara kita?
Antara kebaikan
perdana yang diimpakkan oleh industri pelancongan ialah industri pelancongan
tersebut telah memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Contohnya,
masyarakat tempatan boleh menjadi usahawan untuk memonopolikan perniagaan dan
segala urusan perkhidmatan di sekeliling tempat pelancongan. Sebagai tamsilan,
perkhidmatan seperti penginapan, makanan, atau pun industri kraftangan
berpeluang untuk terus dikembangkan di sekitaran kawasan tempat pelancongan.
Masyarakat Malaysia harus mengambil peluang tersebut untuk meningkatkan gaji
dan taraf hidup masing-masing. Sekiranya tempat tersebut menjadi tempat
pelancongan di negara kita, sudah tentunya ramai masyarakat Malaysia akan
datang meneroka kawasan tersebut untuk mencari rezeki kerana bak kata pepatah
di mana ada gula, di situ ada semut. Rakyat yang mengusahakan industri
pelancongan di lokasi Malaysia yang di kelilingi oleh keindahan alam semula
jadi seperti Bukit Fraser, Tanah Tinggi Cameron dan Pulau Tioman dapat mewujudkan
peluang pekerjaan dan mengelakkan masalah pengangguran dalam kalangan rakyat supaya
taraf hidup rakyat dapat diperbaiki. Bukan itu sahaja, masyarakat Malaysia juga
boleh mempunyai ilmu yang lebih mendalam tentang sejarah dan gaya hidup tempat
pelancongan tersebut melalui pengusahaan industri pelancongan. Oleh itu, mereka
dapat menjadi pemandu pelancong yang penuh dengan informasi tempatan untuk
disampaikan kepada para pelancong. Jelaslah bahawa industri pelancongan
memainkan peranan yang penting untuk memberi peluang pekerjaan kepada rakyat
Malaysia. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu bijak merancang strategi mengusahakan
industri pelancongan negara kita supaya kita terus berkembang pesat kerana
Willian J. Siegal pernah berkata “manusia tidak merancang untuk gagal, tetapi
gagal untuk merancang.”
Jika
ditinjau dari sudut pandangan yang sama, industri pelancongan juga memberi
peluang masyarakat Malaysia untuk memperkenalkan budaya tempatan ke seantero
dunia. Negara kita terdiri daripada pelbagai kaum iaitu kaum Melayu, Cina, India,
Iban, Kadazan, Bidayuh, Murut, Melanau dan sebagainya. Bak kata pepatah, banyak
udang banyak garam, banyak orang banyak ragam. Kesemua kaum ini mempunyai
budaya dan adat yang berbeza. Bukan itu sahaja, cara hidup sesebuah kaum juga
berbeza di seluruh negara. Oleh itu, masyarakat Malaysia telah banyak
mengamalkan nilai toleransi dalam kehidupan seharian supaya dapat mengekalkan
keharmonian antara kaum. Dengan perkembangan industri pelancongan yang maju di
negara kita, masyarakat Malaysia boleh mengusahakan penghasilan kraftangan
untuk dijual kepada pelancong sebagai cenderamata. Seterusnya, tarian
tradisional ataupun makanan trdisional juga boleh disediakan di pusat
penginapan seperti percutian inap desa supaya pelancong dapat mengenali
budaya-budaya yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas tersebut. Industri
pelancongan membenarkan pelancong untuk mencuba gaya hidup yang berlainan
kerana tak kenal maka tak cinta dan hal tersebut boleh dijadikan kenangan manis
kepada rakyat Malaysia dan juga pelancong pada masa yang sama. Tegasnya,
industri pelancongan dapat mengekalkan budaya negara kita dan juga memastikan
budaya kita terus diwarisi kepada generasi yang akan datang kerana rakyat
Malaysia dapat menghayati budaya kita melalui pelancongan.
Impak
penting yang dikesankan adalah industri pelancongan juga menyebabkan rakyat
Malaysia mampu bergaul dengan masyarakat tempat lain. Hal tersebut akan
meningkatkan kemahiran komunikasi seseorang. Dalam konteks ini, bahasa
kebangsaan iaitu bahasa Melayu dan bahasa antarabangsa iaitu bahasa Inggeris
dapat digunakan dalam pertuturan sewaktu rakyat Malaysia berinteraksi dengan
pelancong. Hal tersebut dapat meningkatkan daya intelektual masyarakat negara
kita supaya rakyat negara kita setanding dengan masyarakat negara-negara maju
yang lain, ibarat peribahasa, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.
Seterusnya, masyarakat Malaysia juga mampu melakukan pertukaran pengalaman dari
segi budaya ataupun teknologi. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila
masyarakat bergaul dengan pelancong, mereka boleh meningkatkan kemahiran dan pengetahuan
dengan lebih efektif. Contohnya, borang maklum balas boleh disediakan di tempat
pelancongan supaya pelancong dapat mengisi borang untuk menerangkan pengalaman
dan pendapat tentang aspek-aspek yang digemari atau perlu dipertingkatkan
supaya rakyat Malaysia boleh membuat penambahbaikan yang sewajarnya untuk
menaik taraf perkhidmatan yang ditawarkan. Impaknya, industri pelancongan akan
terus membangun lalu taraf hidup masyarakat dipertingkatkan. Oleh itu, industri
pelancongan perlu dipergiat kerana industri tersebut merupakan medium dan medan
rakyat Malaysia untuk melakukan pertukaran idea dengan pelancong.
Jika
kita selusuri lubuk minda dengan lebih mendalam, tidak dinafikan bahawa negara
kita juga memperoleh manfaat daripada industri pelancongan negara kita dari
segi perkembangan ekonomi. Ekonomi negara kita dapat dimajukan dengan
pembangunan industri pelancongan Malaysia. Hal tersebut demikian kerana
pelancong akan berbelanja di tempat pelancongan dan perbelanjaan tersebut
dianggap sebagai modal yang boleh membangunkan bidang yang diusahakan oleh
masyarakat Malaysia. Bukan itu sahaja, keindahan dan keselesaan lokasi
pelancongan Malaysia juga menarik minat pelancong asing datang ke negara kita
untuk berbelanja. Sebagai buktinya, mereka akan berbelanja ke atas makanan,
barangan keperluan asas, perkhidmatan, pengangkutan dan perhubungan serta
penginapan di negara kita. Hal tersebut telah membawa kepada kemasukan mata
wang asing ke negara kita untuk meningkatkan ekonomi negara Malaysia. Dengan perkembangan
ekonomi yang pesat, negara kita akan mempunyai dana yang cukup untuk
meningkatkan infrastruktur di Malaysia supaya prasarana di Malaysia menjadi
antara yang paling selesa dan kondusif yang boleh dinikmati oleh pelancong dan
juga rakyat Malaysia. Selain infrastruktur, kerajaan juga mampu menggunakan
wang tersebut dalam aspek pendidikan dan kesihatan masyarakat supaya taraf
hidup anak bangsa Malaysia ditingkatkan. Jadi, jelaslah bahawa industri
pelancongan banyak menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara kita.
Implikasi
yang tidak kurang impaknya adalah industri pelancongan juga boleh mengukuhkan
hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dengan negara-negara yang lain.
Contohnya, Malaysia telah menghantar agen ke negara lain untuk melakukn
persidangan untuk bermesyuarat tentang perkembangan dan promosi bidang
pelancongan Malaysia. Pakej pelancongan yang menarik juga ditawarkan ke negara
lain untuk mempelawa pelancong asing supaya datang ke negara kita untuk
melancong. Seterusnya, program ‘Cuti-cuti Malaysia’ yang bermatlamat untuk
meningkatkan bilangan pelancong melawat ke negara kita juga dilancarkan oleh
kerajaan hampir saban tahun. Tidak dinafikan usaha-usaha yang dilakukan oleh
kerajaan telah mendatangkan hasil yang lumayan kepada negara kita. Hal ini
demikian kerana perkembangan industri pelancongan telah menarik pelaburan ke
negara kita. Contohnya, kereta hasilan Malaysia yang berjenama ‘Proton’ telah
menarik perhatian pelabur China untuk melabur negara kita. Dalam konteks
tersebut, negara kita dapat mencapai kemajuan dari pelbagai segi walaupun
industri pelancongan hanya merupakan satu sektor kecil di negara kita. Orang
cerdik pandai pernah berkata, yang kecil jangan disangka anak, yang besar
jangan disangka bapa. Sudah terang lagi bersuluh, kita tidak boleh menafikan
keupayaan industri pelancongan dalam membawa perkembangan kepada negara kita
melalui hubungan diplomatik antara negara-negara luar yang terjalin baik.
Akhirulkalam,
bidang pelancongan merupakan industri yang sangat penting bagi menjamin
kemajuan negara kita. Hal ini dikatakan kerana kebaikan yang didatangkan oleh
industri pelancongan bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh negara Malaysia,
bahkan semua anak bangsa yang tinggal di Malaysia. Menyedari hakikat tersebut,
rakyat Malaysia dan pihak kerajaan haruslah berganding bahu ibarat kata seikat
bagai sirih, serumpun bak serai untuk memajukan industri pelancongan negara kita.
Hal ini demikian kerana perkembangan sektor pelancongan Malaysia merupakan
tanggungjawab kita bersama yang perlu dipikul seperti peribahasa Melayu yang
berbunyi, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.” Oleh itu, masyarakat
Malaysia tidak boleh mengamalkan sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing dengan mementingkan diri dan menuding jari ke mana-mana
pihak dalam usaha mencapai kemajuan industri pelancongan. Bak kata pujangga,
kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Peribahasa tersebut
memanifestasikan bahwa kita perlulah melakukan segala langkah yang proaktif dan
pragmatif untuk memajukan sektor pelancongan tersebut dengan sedaya upaya
sebelum nasi menjadi bubur. Jelaslah bahawa usaha yang sempurna perlu diambil
oleh rakyat dan pihak kerajaan untuk memajukan industri pelancongan supaya kita
mendapat manfaat daripadanya. Negara Maju Rakyat Sejahtera!
Kepentingan Sikap Tabah Dalam Menghadapi Dugaan - CONTOH KARANGAN PELAJAR
Kepentingan
Sikap Tabah Dalam Menghadapi Dugaan
Oleh:
Low Su-Yunn (5A)
Dalam keasyikan negara menari rancak
bersama bayang-bayang pembangunan yang bergerak pantas, Malaysia telah
menonjolkan diri sebagai negara yang cemerlang secara holistik dengan mencapai
kejayaan dalam pelbagai bidang. Misalnya, bidang pelancongan, sukan, teknologi
dan sebagainya. Namun demikian, segala kejayaan tersebut berasal dari usaha dan
peluh rakyat yang telah menghadapi dugaan sejak zaman remaja mereka. Bagi
mengukuhkan negara Malaysia sebagai negara yang mampu berdiri sama tinggi,
duduk sama rendah dengan negara lain, pewaris negara kita telah memiliki
keazaman yang tinggi untuk mengatasi segala cabaran dalam kehidupannya.
Persoalannya, apakah kemaslahatan sikap tabah bagi menghadapi dugaan dalam
remaja pada alaf siber ini?
Pada realitinya, tidak dapat
dinafikan bahawa sikap ketabahan dapat mencungkil bakat dan potensi remaja.
Remaja mempunyai potensi yang tidak terhad dan sepatutnya dipupuk sejak kecil
lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun begitu, bagi memetik
bintang kejayaan dalam sesuatu bidang, tonggak negara kita patutlah bersikap
tabah apabila menghadapi sesuatu kekangan. Hal ini dinyatakan kerana jika
remaja berputus asa tanpa menghabiskan persiapan yang patut dilakukan, mereka
akan kembali ke sifar dalam usaha tersebut dan tidak dapat memanjat ke darjat
yang lebih tinggi. Sebagai tamsilan, remaja yang berminat untuk menjadi saintis
perlulah meneruskan usahanya untuk mencipta sesuatu yang kreatif dan inovatif.
Apabila gagal, mereka sewajarnya mengenal pasti kesilapan mereka dan gigih
membetulkannya. Seorang yang bijaksana, Horne pernah berkata bahawa orang yang
takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. Ungkapan tersebut telah
membuktikan bahawa betapa pentingnya kecekalan dalam perjalanan memupuk bakat
sendiri. Jika ingin berdiri di puncak negara, belia mestilah memerah segala
tenaganya. Natijahnya, pemuda yang mempunyai bakat mestilah dapai dicungkil
sekiranya mereka memiliki keinginan yang tinggi untuk berjaya.
Lanjutan daripada huraian yang telah
dinyatakan di atas, remaja yang bersikap tabah ketika menghadapi rintangan
dapat mendorong remaja untuk berpegang teguh kepada prinsip sendiri. Ketika
menghadapi cabaran, remaja yang masih berusia setahun jagung, berdarah setampuk
pinang ini mudah menggunakan cara yang agresif bagi mengatasi rintangan
tersebut. Mereka yang tidak tahu membezakan yang mana intan, yang mana kaca
atau membezakan baik buruk yang akan dipengaruhi oleh rakan sebaya. Oleh hal
yang demikian, mereka yang tidak memiliki jati diri yang tinggi dan hanya
mencari jalan untuk mengelakkan diri daripada berdepan dengan dugaan tersebut.
Sebagai contohnya, mereka akan terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu
terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Mereka mudah
terjebak dalam anasir negatif seperti menagih dadah dan merokok untuk
melepaskan tekanan mereka. Jadi, sikap ketabahan dapat memastikan pemuda tidak
terlibat dalam aktiviti negatif dan mengekalkan akhlak baik walaupun dalam
kesusahan. Prof. Hamka pernah berkata, semiskin-miskin orang adalah orang yang
miskin budi pekertinya. Izharlah bahawa ketabahan dalam masa kesusuahan dapat
mengawal tingkah laku pewaris negara daripada melakukan sesuatu yang jahat.
Pada
era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda
kita, sikap ketabahan akan memberi keyakinan dan keberanian kepada generasi
muda. Hal ini demikian kerana remaja yang tabah akan percaya kepada diri
sendiri. Keyakinan dan keberanian tersebut akan menjadi dorongan serta galakan
kepada mereka. Apabila mereka berani untuk berdepan dengan cabaran dalam
kehidupan mereka, mereka tidak akan berasa takut atau gerun akan dugaan besar
yang berada di depan mereka. Sebaliknya, mereka akan percaya akan keupayaan
sendiri dan sanggup mengorbankan masa serta tenaga mereka untuk berjaya. Biar
kita ambil contoh remaja yang telah membina perniagaan melalui e-dagang. Mereka
merupakan insan yang berani dan yakin akan kualiti produk sendiri walaupun
mereka perlu menanggung risiko yang tinggi. Selain itu, mereka juga bersikap
amanah dan berani bersaing dengan syarikat besar lain. Mereka percaya bahawa
kepercayaan yang ditimbulkan oleh pelanggan akan membawa keuntungan yang paling
besar kepada mereka. Oleh itu, persaingan sengit dalam pasaran hanya akan
menggalakkan mereka untuk meningkatkan kualiti produk, bukan menambahkan beban
mereka. Bak kata mutiara, sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Tegasnya,
remaja yang tabah akan memiliki keyakinan dan rela mula dari langkah pertama
yang kecil. Lihatlah betapa mendalamnya puisi di bawah:
Silakan,
silakan,
Tunjukkan
kemampuan dan keupayaanmu,
Atas
kreatifmu,
Atas
kemahuanmu,
Dengan
karya bisamu,
Kau
bisa atas keyaninanmu.
Bulan
kian terang, bayang kian jelas, terbuktilah bahawa sikap ketabahan dalam
menghadapi cabaran dalam kehidupan merupakan kunci utama untuk berjaya. Maka,
generasi muda patutlah tabah semasa kesusahan dan gigih untuk menyumbang kepada
negara Malaysia. ‘Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’ merupakan slogan
yang sering dilaung-laung pada masa kini. Slogan ini telah membuktikan bahawa
golongan remaja merupakan aset dan tonggak negara. Mereka merupakan penentu
masa depan negara kita. Mereka ialah bakal pemimpin negara yang dapat membawa
Malaysia ke arah yang cerah. Wahai anak watan Malaysia, sahutlah cabaran dan
hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung dan biar putih tulang,
jangan putih mata untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang,
gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh!
CARA BELAJAR YANG BERKESAN - CONTOH KARANGAN PELAJAR
Cara Belajar Yang Berkesan
Oleh : Long Yuxuan (5A)
Yang
bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak melayang. Peribahasa lama ini
telah menyatakan bahawa untuk mendapat rezeki lumayan atau keuntungan,
seseorang haruslah berusaha sedaya upaya. Menurut kata-kata pakar Fizik
terkenal, Albert Einstein, “ilmu tanpa agama adalah buta, agama tanpa ilmu
adalah lumpuh.” Kata-kata ini benar dan menegur seseorang untuk selalu menimba
ilmu pengetahuan serta perkembangan diri dari aspek agama dan rohaniah secara
seimbang dengan mementingkan kedua-duanya. Dalam era pascaperindustrian dan
pascaglobalisasi yang sering mencabar akal dan minda ini, kita telah menyumbang kepada ekonomi pesat
yang memerlukan remaja yang lebih berintelektual dan lebih berinovatif. Dalam
konteks ini, untuk seseorang remaja terus berdaya maju dan mencapai kejayaan
dalam kehidupan, dia seharusnya belajar dengan bersungguh-sungguh. Bak kata
orang-orang tua, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakah dapat sagunya.
Sekiranya anak bangsa kini hendak mencapai kejayaan, kita hendaklah berusaha.
Oleh itu, pendidikan telah menjadi teras kemajuan seseorang pada peringkat
individu, masyarakat dan negara. Izharlah bahawa pendidikan dan keputusan
pelajar dipentingkan dalam era teknologi dan informasi ini, dan semua remaja
haruslah berdaya maju sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah
cara-cara untuk belajar dengan berkesan?
Menurut
kata-kata William J.Siegal, “manusia tidak merancang untuk gagal, tetapi gagal
untuk merancang.” Nasihat beliau telah menegur manusia terutamanya remaja kini
untuk membuat persediaan, persiapan dan rancangan sejak awal lagi, bak kata
pepatah sediakan payung sebelum hujan. Antara cara untuk belajar yang berkesan
ialah membuat jadual waktu. Generasi-Z kini sering menghadapi cabaran dan
dugaan yang berkaitan dengan masa. Hal ini demikian kerana untuk berjaya dalam
masyarakat pesat ini, seseorang akan lebih menyertai aktiviti-aktiviti
kokurikulum di sekolah atau menyertai pertandingan di luar sekolah.
Aktiviti-aktiviti tersebut telah banyak menggunakan masa remaja dan menjejaskan
keputusannya. Oleh itu, sebuah jadual waktu perlulah dirancang untuk mengatur
masa seseorang dengan lebih sistematik, persis kata-kata orang Melayu, masa itu
emas. Sebuah jadual yang baik mestilah mengandungi masa untuk belajar, masa
untuk aktiviti bersukan, kokurikulum dan beriadah. Hal ini adalah untuk
mengurangkan tekanan seseorang remaja dan dapat mendidik akhlak serta pemikiran
yang positif. Jika aktiviti-aktiviti disusun dan dirancang dengan baik,
seseorang remaja tidak akan mengabaikan aktviti kokurikulum serta mengelakkan kemerosotan
aspek akademiknya. Tegaslah bahawa membuat sebuah jadual waktu dapat menyedia
seseorang remaja untuk menghadapi cabaran dan dugaan kehidupan dengan lebih
produktif tanpa tekanan.
Jika
ditinjau dari sudut dimensi yang sama, mengamalkan tabiat mengulangkaji
pelajaran merupakan teras kejayaan seseorang remaja. Teknologi-teknologi baharu
yang diperkenalkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan telah menjadi daya
perhatian semua remaja. Walau bagaimanapun, kita seterusnya mengamalkan nilai
berdisiplin dan berdikari untuk mengulang kaji pelajaran. Hal ini penting
kerana perkara-perkara yang telah diajar dalam kelas mudah untuk dilupakan.
Ahli-ahli sains telah membuktikan bawah 10 peratus yang diajar oleh guru
sekolah diingat oleh pelajar selepas 1 bulan. Oleh itu, kita dapat mengekalkan ingatan
fakta-fakta dan teori yang diajar oleh guru jika kita rajin mengulang kaji. Tambahan pula, seseorang remaja seharusnya
menetapkan masa yang tetap untuk mengulangkaji. Contohnya 1 jam sehari, setiap
malam pada pukul 8 hingga 9. Dengan menggunakan cara ini, seseorang remaja akan
lebih terbiasa dengan tabiat mengulang kaji dan tidak akan mengelakkannya
sesuai dengan kata-kata aforisme lama, alah bisa tegal biasa. Justeru,
seseorang remaja yang ingin belajar dengan berkesan haruslah melakukan latihan intensif melalui buku-buku latihan
atau kertas peperiksaan tahun-tahun lepas. Cara ini sangat penting terutamanya
dalam bidang Matematik dan Fizik. Hal ini demikian kerana bidang-bidang
tersebut bergantung kepada aspek teori dan aplikasi dalam kehidupan dan dengan
melatih minda kita untuk mengaplikasikan bahan yang dipelajari, secara tidak
langsung informasi penting dapat dikekalkan. Tambahan pula, seseorang yang
rajin membuat buku latihan akan lebih memahami format dan struktur soalan yang
ditanya dalam peperiksaan. Hal ini dapat melatih remaja tersebut dalam teknik
jawab yang betul serta jawapan lebih tepat. Tuntasnya, salah satu cara untuk
belajar dengan berkesan ialah untuk mengulang kaji pelajaran serta membuat latihan
intensif melalui buku latihan.
Bak
kata pepatah, badan cergas, minda cerdas. Salah satu cara yang efektif lagi
pragmatik yang telah diabaikan oleh generasi muda untuk belajar dengan berkesan
ialah mengamalkan gaya hidup sihat. Seseorang remaja haruslah menjalankan
aktiviti senaman, makan makanan berkhasiat, tidur awal dan sebagainya jika
hendak menjadi pelajar yang cemerlang. Sebuah kajian tempatan telah dibuat dan
menyatakan 70 peratus atlet negara merupan pelajar cemerlang di sekolah seperti
Datuk Nicole Ann David. Hal ini demikian kerana semasa melakukan aktiviti
senaman, sel-sel di badan kita dapat menghantar oksigen ke otak dengan lebih
efisien serta dapat menyumbang kepada otak yang berfungsi dan bertindak dengan
lebih cepat dan tepat. Tambahan pula, aktiviti senaman yang dilakukan juga
meningkatkan aliran darah ke organ-organ dengan lebih cepat dan tidak akan
berasa keletihan semasa berada dalam kelas. Di samping itu, seseorang remaja
juga mestilah mendapat masa tidur yang secukupnya. Pada usia 13 hingga 17
tahun, pakar sains telah menyarankan bahawa ritma sirkadian kita memerlukan
sekurang-kurangnya 8 jam untuk tidur. Maka, hakikat remaja yang ingin tidur selepas
tengah malam kian membimbangkan. Oleh itu, kita haruslah mendisiplinkan diri
dan tidur pada masa yang ditetapkan. Perkara ini penting untuk mengelak keadaan
lesu di sekolah pada hari esoknya. Selain itu, pemakanan yang seimbang juga
penting untuk belajar dengan berkesan. Remaja-remaja kini sering memilih
makanan segera dan makanan ringan seperti burger, mi segera dan kentang goreng.
Pengambilan makanan-makanan ini akan menyumbang kepada kesan-kesan negatif
seperti obesiti tekanan darah tinggi. Jika menghidapi dengan penyakit kronik
tersebut, seseorang remaja tidak dapat memberi perhatian penuh di kelas dan terpaksa
mengabaikan pendidikan untuk mengubati penyakitnya. Selain itu, pengambilan air
berkarbonat seperti Coke dan Pepsi mempunyai kandungan gula serta sodium
glutanat yang tinggi. Hal ini akan memberi tenaga segera kepada pengguna tetapi
mereka akan berasa keletihan selepas beberapa jam. Tambahan pula, pengambilan
minuman tersebut akan menyumbang kepada penyakit kencing manis dan penyakit
kardiovaskular yang tidak dapat diubati. Oleh itu, remaja yang ingin belajar
dengan berkesan seharusnya makan makanan yang berzat serta seimbang. Contohnya,
lauk-pauk yang mempunyai 7 elemen kesihatan seperti kabohidrat, lemak, vitamin,
mineral, serat, air dan protin. Hal ini akan memperkuatkan sistem imunisasi
seorang remaja dan membolehkannya memberi perhatian dalam jangka masa yang
lebih panjang. Sesuailah dengan kata-kata orang-orang tua dahulu, mencegah
lebih baik daripada mengubati. Sudah terang lagi bersuluh bahawa seorang remaja
yang ingin belajar dengan berkesan haruslah mengamalkan gaya hidup sihat.
Sehubungan
dengan itu, seseorang remaja yang ingin belajar dengan berkesan seharusnya
memberi perhatian dan tumpuan dalam kelas. Hal ini demikian kerana perkara atau
bidang yang diajar oleh guru merupakan perkara khusus yang akan ditanyakan
dalam peperiksaan nanti. Contohnya, Sijil Peperiksaan Malaysia hanya bertanya
perkara dan bidang berkaitan dengan buku teks yang diajar oleh guru sekolah.
Tambahan pula, guru-guru yang berpengalaman dapat meramalkan bab-bab yang
penting dan bahagian tertentu yang harus diberi tumpuan dan penekanan semasa
peperiksaan yang akan datang. Di samping itu, guru-guru Malaysia juga perlu
menghadiri seminar-seminar yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM). Jika format jawapan telah diubah, guru-guru merupakan orang pertama yang
akan diberitahu. Oleh itu, seseorang remaja yang berwaspada wajar mendengar dan
memberi perhatian untuk mengetahui format soalan dan jawapan terkini. Jika
seseorang pelajar tidak mendengar nasihat yang diberi oleh guru, dia mungkin
akan mendapat keputusan yang buruk walaupun menjawab dengan jawapan betul. Hal
ini kerana pelajar tersebut tidak menepati format terkini dan ini akan menjejaskan
masa depannya. Izharlah bahawa memberi perhatian di dalam kelas penting untuk
belajar dengan berkesan.
Sebelum
bicara petua diakhiri, cara terakhir untuk belajar secara berkesan ialah
mendapat bantuan dari pusat tuisyen atau bimbingan guru kelas tambahan. Kini,
bahan bacaan seperti Sejarah dan bidang kesusasteraan Melayu terlalu banyak
untuk dipelajari. Oleh itu, guru-guru di kelas tidak dapat mengajar topik-topi
tersebut dengan menyeluruh. Walau bagaimanapun, peperiksaan awam akan memberi
soalan berkaitan dengan topik yang tidak diajar oleh cikgu. Dalam konteks ini,
seseorang remaja yang ingin belajar dengan berkesan seharuslah meminta bantuan
daripada guru pusat tuisyen atau bimbingan guru kelas tambahan. Pusat tuisyen
dapat dijadikan sebuah tempat pelajar mempelajari topik yang tidak dapat
dirangkumi oleh guru sekolah atau untuk mengulang kaji pelajaran. Guru-guru di
pusat tuisyen juga berpengalaman mendidik dan menambah baik keputusan seseorang
murid. Untuk berjaya dalam peperiksaan, seseorang remaja mestilah berdaya maju
dan memohon bantuan guru sekolah selepas waktu sekolah atau pada waktu rehat.
Jika mempunyai topik yang tidak difahami, seseorang pelajar dapat menguasai
bidang tersebut dengan lebih terperinci jika bertanya gurunya. Remaja-remaja
tidak harus bimbang untuk mengambil langkah ini yang mungkin memakan masa
seorang guru atau membazirkan masa guru kerana keseluruhan guru berbudi pekerti
mulia dan tidak bersikap seperti enau belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Guru-guru
biasanya sedia membantu pada bila-bila masa jua. Konklusinya, mendapat bantuan
daripada pusat tuisyen dan memohon bantuan serta nasihat oleh guru di luar
kelas merupakan cara yang utuh untuk belajar dengan lebih berkesan.
Izinkan
saya mengakhiri perbicaraan ini dengan peribahasa lama yang berbunyi, berakit-rakit
ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang
kemudian. Peribahasa ini telah mengajar kita untuk selalu rajin dan berdaya
maju dalam sesuatu perkara dahulu, walaupun betapa susahnya demi masa depan
yang akan menjadi lebih senang. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain
juga. Jika seseorang remaja yang berusaha ingin mencapai kejayaan, dia
hendaklah bermula sejak awal lagi dengan belajar dengan berkesan. Dengan
mengikuti cara-cara yang diulaskan tersebut, pastilah seseorang akan menjadi
salah satu ahli generasi muda negara kita yang melambangkan kebijaksanaan
Malaysia. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Izharlah remaja merupakan
teras pembangunan negara kita untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah
dengan negara yang telah mencapai anjakan paradigma di alaf baru ini. Sebelum
padi menjadi lalang, sebelum ayam di reban di sembar helang, marilah kita sebagai
generasi muda melambangkan kedaulatan, keinsafan dan kebijaksanaan kita kepada
seantero dunia dengan membuktikan kejayaan dalam pencapaian akademik yang
cemerlang!
Subscribe to:
Posts (Atom)