Tuesday, 31 October 2017

PERANAN PELBAGAI PIHAK MEMBANTU OKU


             Sebagai warganegara Malaysia, rakyat dikehendaki menghayati dan mempraktikkan prinsip-prinsip Rukun Negara untuk memupuk semangat perpaduan. Rukun Negara diperkenalkan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia supaya mereka saling menghormati, membantu, memahami dan bekerjasama. Dengan ini, sebuah masyarakat penyayang dapat diwujudkan. Walau bagaimanapun, masyarakat penyayang tidak dapat diwujudkan sekiranya masyarakat yang bersifat individualistik dan materialistik masih wujud dalam jiwa mereka. Mereka tidak sanggup menghulurkan bantuan kepada golongan yang lemah dan bersikap mementingkan diri sendiri sepertienau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Hal ini jelas diperlihatkan dalam isu Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini. Terdapat sebahagian masyarakat memandang rendah orang kurang upaya dan menganggap mereka tidak mampu memberikan jasa, sumbangan dan perkhidmatan kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sebenarnya, ramai orang kurang upaya hanya mempunyai kecacatan dari segi fizikal , akal mereka masih sempurna dan dapat berfikir dengan matang. Mereka masih berupaya dan berkemampuan menyumbang jasa dalam pembangunan negara. Namun, kemampuan mereka telah dinafikan oleh masyarakat. Mereka tidak mempunyai peluang untuk membuktikan keupayaan mereka. Persoalannya, mengapakah langkah-langkah yang diambil untuk menjaga kebajikan serta kedudukan sosial OKU dalam masyarakat cuma bagai mencurahkan air ke daun keladi atau menampal kersik ke buluh? Walaupun kempen demi kempen terus dianjurkan namun, kebajikan golongan OKU tetap diabaikan. Dalam hal ini, siapakah yang harus disalahkan? Sikap menuding jaritidak akan menguntungkan sesiapa melainkan menambahburukkan situasi yang semakin parah. Oleh sebab itu, setiap pihak harus memainkan peranan masing-masing danmenjangkau sehabis tangan dalam melaksanakan prakarsa-prakarsa  yang pragmatik lagi efektif bagi membantu golongan OKU. 

               Sebagai mukadimah perbincangan, saya akan memfokuskan perbincangan saya secara mendalam dan menyeluruh lagi objektif dengan menyelami, membedah siasat dan mendiagnosis cara-cara yang dapat dilaksanakan untuk membantu golongan OKU dari perspektif peranan yang dimainkan oleh ibu bapa. Umum mengetahui bahawa setiap ibu bapa berharap anak-anak mereka sihat supaya kehidupan mereka lebih sempurna dan gembira. Namun, hakikat adalah berlawanan daripada apa-apa yang diharapkan kerana terdapat ibu bapa yang mendapat anak yang cacat dari segi fizikal. Dalam kalangan ibu bapa ini, terdapat segelintir ibu bapa sampai hati untuk meninggalkan anak kandung mereka di rumah anak yatim ataupun di rumah kebajikan. Malahan, terdapat ibu bapa yang mengurungkan anak mereka di dalam bilik kerana malu memiliki anak yang cacat. Mereka juga tidak menghantar anak mereka ke sekolah kerana menganggap anak mereka tidak mampu menerima pelajaran di sekolah. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa anak-anak merupakan anugerah yang terbaik dikurniakan oleh Tuhan kepada ibu bapa. Jadi, di bahu ibu bapa tergalas amanah yang sangat besar untuk memastikan anak-anak mempunyai kehidupan yang bahagia tanpa mengira anak itu cacat atau sempurna. Sebagai ibu bapa, mereka patut melindungi anak yang kurang upaya dan menghantar mereka ke sekolah untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya mereka boleh berdikari dan menyara kehidupan pada masa akan datang. Selain itu, ibu bapa juga patut menghantar anak-anak kurang upaya ke sekolah atau kolej yang menawarkan kursus kemahiran agar mereka mempunyai kemahiran untuk kerjaya masa depan mereka.  Bagi ibu bapa yang memiliki anak yang sihat, mereka tidak boleh bersifat berpeluk tubuh malah seharusnya menghulurkan bantuan kepada OKU. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlu mendidik anak mereka supaya bersimpati  akan nasib malang yang menimpa OKU. Ibu bapa sepatutnya bersedia membantu golongan OKU tanpa mengira warna kulit dan agama seseorang.  Sekiranya ibu bapa terjumpa orang buta melintas jalan raya, ibu bapa hendaklah membantu mereka agar mereka dapat melintas jalan raya dengan selamat. Daripada peristiwa itu, ibu bapa telah menjadi suri teladan  kepada anak-anak mereka. Bak kata peribahasa, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak umpama sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan menggilap dan mencanainya sehingga menjadi berlian yang indah dan berkilat. Pada masa lapang, ibu bapa boleh membawa anak mereka pergi ke pusat kebajikan untuk melakukan kerja amal bagi membantu OKU. Dengan melakukan kerja-kerja amal, ibu bapa dan anak-anak dapat membantu OKU di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga  persis  peribahasa sambil menyelam minum air. 

             Jika kita bersedia memerah otak dan berikhtar berhempas pulas, jalan penyelesaian yang berkesan tentu ada dan tentu bukan satu sahaja kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Pihak kerajaan harus melakukan sesuatu untuk membantu OKU. Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Pusat Kebajikan Masyarakat pada tahun 2009 menunjukkan bahawa kadar kemiskinan semakin meningkat disebabkan tiang keluarga tidak dapat bekerja dan mencari rezeki akibat cacat. Oleh hal yang demikian, kerajaan bukan sahaja perlu menyediakan tabung bagi membantu keluarga yang miskin malahan perlu menyediakan tabung untuk keluarga yang mempunyai ahli yang cacat supaya dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka. Tidak dapat menafikan bahawa pertambahan rumah setinggan di negara kita disebabkan oleh cara penyelesaian yang tidak sempurna. Ada angin ada pokoknya, kebanyakan golongan OKU tidak mendapat peluang pekerjaan dan menganggur dalam jangka masa yang panjang malah mereka juga tidak mampu membiayai perbelanjaan perubatan yang besar. Sekelompok daripada mereka tidak mempunyai tempat perlindungan. Dalam konteks ini, pihak kerajaan sepatutnya mewujudkan kebajikan perubatan kepada OKU supaya mereka mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan atau di pusat kesihatan kerajaan. Pihak hospital swasta juga harus bertimbang rasa dengan memberikan keistimewaan kepada golongan OKU melalui pemberian diskaun. Perkhidmatan Kebajikan Am dan Jabatan Kesihatan Negeri harus melipatgandakan usaha mendaftarkan OKU melalui bantuan alat-alat pemulihan seperti kerusi roda dan menyediakan latihan perusahaan dan vokasional. Kerajaan harus memperbanyakkan rumah murah dan memberikan keutamaan kepada mereka supaya mereka dapat membeli rumah dengan kos yang rendah. Pihak kerajaan harus mengalakkan golongan OKU belajar di sekolah teknik yang boleh membekalkan mereka ilmu kemahiran seperti kemahiran menghasilkan kraf tangan. Secara tidak langsung, pengusaha kraf tangan tidak perlu bimbang lagi bahawa tiada generasi muda yang ingin mewarisi malah kemahiran ini akan diwarisi serta dipelajari oleh generasi akan datang. Pihak kerajaan patut menganugerahkan penghargaan seperti pingat dan sijil kepada golongan OKU yang berjaya dan berjasa dalam sesuatu bidang. Agensi-agensi Bukan Kerajaan (NGO) secara sukarela hendaklah menyediakan beberapa kemudahan bagi OKU seperti penubuhan Persatuan Kusta dan Rumah Amal Cheshire yang sejajar dengan cogan kata ‘’Kebajikan Adalah Tanggungjawab Bersama’’. Pihak kerajaan tidak harus mengamalkan sikap memekakkan telinga yang tajam, menutup mata yang celik dan membutakan  hati yang insaf dalam peranan membantu OKU.

              Sebagaimana kita maklum, media massa juga memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu golongan OKU. Media massa merupakan wahana yang dominan dalam  mempengaruhi minda seseorang dengan cepat dan berkesan. Generasi kini terutamanya golongan remaja tidak dapat menjauhkan diri daripada pengaruh media massa. Media massa telah berkembang dengan pesat dan bilangannya tumbuh dengan begitu cepat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Media massa terbahagikan kepada dua iaitu media cetak dan media elektronik. Media massa merupakan pihak yang dapat memberikan maklumat lanjut tentang golongan OKU dan cara untuk membantu mereka. Media cetak merupakan media yang menggunakan kaedah tulisan seperti surat khabar, majalah dan buku. Media elektronik pula merupakan media yang menggunakan teknologi terkini yang menggunakan kaedah elektronik dan elektrik seperti radio, televisyen dan internet. Media massa harus menekankan keprihatinan masyarakat terhadap golongan OKU dan menghormati mereka sebagai insan ciptaan Tuhan. Iklan yang berkaitan dengan sumbangan yang perlu diberikan oleh golongan OKU harus diuar-uarkan supaya semua masyarakat mengetahui dan menyalurkan sumbangan kepada yang memerlukan. Media massa juga boleh bertindak dengan menyeru masyarakat memberikan sumbangan kepada golongan OKU yang memerlukan bantuan dari segi kewangan. Masyarakat harus diberitahu bahawa golongan OKU berhak mendapat peluang pendidikan dan juga bersosial dengan masyarakat serta tidak dipisahkan daripada aktiviti kemasyarakatan. Masyarakat harus memberikan layanan yang saksama kepada golongan OKU. Artis-artis tempatan yang terkenal sepatutnya memberikan  sokongan sepenuhnya kepada golongan OKU dengan  menyeru masyarakat memberikan perhatian dan sokongan kepada OKU dengan menggunakan pengaruh mereka yang kuat terhadap masyarakat. Media massa harus bekerjasama bagai aur dengan tebing bersama-sama artis-artis tempatan menekankan bahawa kecacatan bukan penghalang dalam memberikan sumbangan yang bermakna kepada produktiviti dan kemajuan negara. Banyak individu cemerlang telah berjaya meningkatkan nama baik negara dalam aspek sukan, pertandingan dan juga keputusan yang baik walaupun mereka mempunyai kecacatan dari aspek fizikal.

             Memang tidak dapat dinafikan bahawa remaja sekarang tidak mempunyai pegangan agama dan didikan moral yang kuat. Hal ini menyebabkan mereka memandang rendah terdapat sesiapa yang lemah daripada mereka terutamanya golongan kurang upaya yang cacat dari segi fizikal. Didikan agama dan moral mampu membentuk jati diri remaja. Dalam hal ini, pihak sekolah yang bertanggungjawab mendedahkan nilai murni kepada pelajar. Dengan mempunyai nilai murni yang baik, remaja generasi kini akan mempunyai kesedaran untuk menghormati hak golongan OKU. Remaja haruslah dididik oleh pihak sekolah tentang kesusahan yang dialami oleh OKU dan mereka sepatutnya menghulurkan bantuan dan tidak harus menghina mereka lagi. Hal ini adalah kerana golongan OKU juga merupakan makhluk yang diberi peluang untuk menjalani kehidupan biasa seperti manusia normal. Didikan agama juga sering mengajar manusia agar berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira paras rupa, bentuk badan mereka sama ada mereka normal atau sebaliknya. Setiap individu memerlukan pengiktirafan daripada masyarakat bahawa mereka masih diterima oleh semua orang. Guru sendiri harus memainkan peranan yang penting dengan menjadi teladan baik kepada pelajar seperti membantu pelajar yang cacat dan memberikan sepenuh kasih sayang kepada mereka. Pelajar digalakkan membantu rakan mereka yang cacat semasa mereka dalam kesusahan supaya mereka tidak berasa tersisih. Guru harus memberikan layanan yang adil dan saksama kepada semua pelajar. Pihak sekolah sepatutnya  menyediakan kemudahan khas untuk pelajar kurang upaya seperti tandas khas. Perlindungan juga harus diberi dalam bentuk biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar kurang upaya. Tindakan sedemikian adalah untuk menggalakkan mereka terus berusaha dan bersemangat gigih serta memastikan mereka dapat melanjutkan pelajaran pada masa akan datang. Melalui sekolah yang merupakan rumah kedua pelajar, pelajar akan menghormati golongan OKU dengan sepenuh hati. Hari Orang-orang Cacat Sedunia boleh dianjurkan oleh pihak sekolah bagi mengiktirafkan sumbangan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara. Pelajar harus diberi kesedaran tentang  pentingnya menghormati  hak-hak  golongan OKU. 

               Sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai pihak harus bekerjasama untuk memberikan kesedaran kepada semua masyarakat tentang golongan OKU dan cara untuk membantu mereka. Golongan OKU harus dihormati dan dipandang tinggi kerana mereka mampu mencapai kecemerlangan yang tinggi walaupun cacat. Sejarah telah membuktikan bahawa kecacatan bukan penghalang untuk berjaya dalam hidup dan menyumbang bakti kepada pembangunan masyarakat dan negara. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah Beethoven yang merupakan seorang pemuzik terkenal yang cacat pendengaran serta Professor Ismail bin Mohd.Salleh yang cacat penglihatan tetapi mendapat kejayaan dalam  bidang akademik . Masyarakat dan pihak lain harus memberi galakan kepada golongan OKU supaya mereka akan terus berusaha dalam bidang yang diminati sehingga mencapai kejayaan kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. PBB juga telah mengiytiharkan sumbangan golongan OKU yang termaktub dalam Hak Orang Kurang Upaya 1975. Mereka mendapat hak serasi dengan semua manusia. Masyarakat harus menghargai golongan OKU dengan memahami mereka kerana kelahiran, keturunan, kemalangan atau penyakit menyebabkan kita lebih faham dan berasa bersyukur kepada Tuhan tentang diri sendiri. Golongan OKU harus diberi penghargaan dan diumumkan kejayaan oleh pihak kerajaan sebagai satu simbol kejayaan dan semangat dedikasi mereka dalam pembangunan negara. Janganlah menghina golongan OKU ini memandangkan mereka juga mempunyai ciri-ciri keperibadian yang istimewa. Marilah kita bersama membantu golongan OKU dan bersama-sama menyahut seruan kerajaan dengan mencapai Wawasan 2020 yang bertujuan untuk mewujudkan kelompok masyarakat yang sama taraf dan bantu-membantu.

Sumber : Blog Cikgu Zainafsiah

http://zaizak69.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment