Saturday 3 November 2012

PUISI TRADISIONAL - Syair Makna Riak




Syair Makna Riak


Kemudian dinyatakan makna riak,

Amal ibadat kerana manusia

Inilah lkebencian Tuhan yang sedaya,

Sebab kerana syirikkan Dia.


Terkadang riak pula dilakukan,

Mengiringkan beberapa puasa tak makan,

Bertutur itu suara diperlahankan,

Tubuh dan badan tidak dihiraukan.


Supaya disangka ianya wali,

Akan dunia tidak dipeduli,

Hemahnya itu sangatlah ali,

Tetapi hatinya ke dunia bertali.



Terkadang riakkan ia berilmu,

Bersurah ketika orang berjamu,

Berkata-kata tidaklah jemu,

Nahu dan sarap habis disapu.


Terkadang bercakap ilmunya mantik,

Bicara alhayat konon diselidik,

Supaya disangka ianya cerdik,

Sukalah orang memberinya gundik.


Terkadang riak dengan pakaian,

Berserban lilit ekor berhambayan,

Sejadah di bahu bersampaian,

Tasbih di tangan beruitan.


Pejamkan mata duduk bersila,

Lidah berzikir Allah Taala,

Terkadang jazbah seperti gila,

Kasadnya hendak jadi kepala.


Riak demikian menjadi balak,

Amal itu tentu ditolak,

Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,

Allah Taala sualak.

(Puisi Melayu Tradisi 1993)


Maksud 

Rangkap 1:
Riak merupakan perbuatan menunjuk-nunjuk sifat baik kepada orang ramai. Perbuatan ini dibenci oleh tuhan kerana mendatangkan syirik. 

Rangkap 2:
Kadang-kadang perbuatan riak ini ditunjukkan dengan cara berpuasa. Apabila bercakap, suara diperlahankan dan membiarkan fizikal diri tidak terurus. 

Rangkap 3:
Perkara sebegitu dilakukan agar orang menganggap dirinya wali yang tidak peduli akan hal-hal keduniaan. Hemah yang ditunjukkan sangat tinggi tetapi sebenarnya dia sekadar berpura-pura dan mengharapkan habuan keduniaan. 

Rangkap 4:
Kadang-kadang riak ditunjukkan dengan menonjolkan kelebihan ilmunya. Dia sentiasa membaca al-quran dan menunjuk-nunjukkan kepandaian ilmunya dalam majlis keraian yang dihadiri oleh ramai orang. Banyak perkara yang diperkatakannya tanpa mempedulikan sama ada perkara itu betul atau salah. 

Rangkap 5:
Kadang-kadang dia bercakap seolah-olah idea atau fikirannya logik. Dia berlagak seperti orang yang telah membuat penyelidikan supaya dia disangka cerdik. Oleh itu, banyak orang ingin menjadikannya sebagai menantu. 

Rangkap 6:
Kadang-kadang orang riak dengan cara berpakaian. Mereka berserban dan sejadah sentiasa terletak di bahunya serta tangannya membilang tasbih. 

Rangkap 7:
Duduk bersila dan mata terpejam sambil berzikir menyebut nama Allah. Gayanya keterlaluan seolah-olah mahu diiktiraf sebagai ketua. 

Rangkap 8:
Riak boleh mendatangkan bala dan kecelakaan. Amalan kita akan ditolak malah mendatangkan dosa. Allah tidak suka kepada orang yang bersifat riak. 

Tema 
Sifat-sifat manusia yang riak. 

Persoalan 
i. Tingkah laku sesetengah golongan manusia yang suka berpura-pura/ hipokrit. 
ii. Sikap suka menunjuk-nunjuk tentang kelebihan diri.
iii. Penyalahgunaan ilmu yang dimiliki untuk kepentingan diri
iv. Amalan sia-sia/ tidak berkat orang yang riak di sisi agama. 

Nilai Murni
i. Kesyukuran
Contoh: bersyukur dengan ilmu yang dimiliki. 
ii. Kesederhanaan
Contoh: bersederhana dalam segala perbuatan tanpa menunjuk-nunjuk. 
iii. Keikhlasan
Contoh : Amalan yang dilakukan mesti ikhlas dan kerana Allah semata-mata.

Pengajaran 
i. Kita janganlah bersifat riak dalam melakukan sesuatu amalan.
ii. Kita janganlah mengharapkan pujian dan sanjungan orang lain terhadap kelebihan yang ada
pada diri kita.
iii. Kita haruslah menggunakan ilmu yang dimiliki ke arah jalan benar.
iv. Kita hendaklah melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas.
v. Kita janganlah melakukan sebarang perkara yang membawa kepada syirik.

No comments:

Post a Comment