Di Bawah Langit Yang Sama
(Lim Swee Tin)
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum (KPM)
Di bawah langit yang sama
Kita hirupi udara
Tanpa mengira Beirutmu
Atau Kuala Lumpurku
Kita menghirup udara
Di bawah langit yang sama.
Aku suka gerimis di Kota London
Pernah terpesona angin dingin-tajam di Washington
Pohon-pohon hijau atau aneka warna
Tiada bezanya.
Siapa pun menghuni Australia penghuni Afrika
Kerana di bawah langit ini
Kita sama.
Aku ingin menyeberangi Laut China Selatan
Layari Lautan Teduh rentasi Laluan Sutera
Berkongsi siang miliki malam
Anyam cinta pelangikan zaman
Tiupkan harapan senada
Sesama kita - warga dunia
Di bawah langitnya
Yang sama.
Peta-peta itu yang memisahkan
Jangan tutup pos sempadan
Visa hanya keperluan rasmi seketika
Pasport dokumen pengenalan titik mula
Kita dakapi mimpi tak berbeza gapai hasrat
Lebur kebencian kuburkan sejarah hitam
Di bawah langit ini yang
Sama.
Oleh : Lim Swee Tin
Antologi Dirgahayu Bahasaku.
Maksud
Maksud
Rangkap 1
Penyajak menggambarkan bahawa walau di manapun kita berada, kita menghirup udara yang sama dan berada di bumi ciptaan Tuhan. Taraf manusia pun sama.
Rangkap 2
Penyajak kagum akan gerimis di kota London dan terpesona dengan tiupan bayu dingin di Washington. Namun aneka warna tumbuh-tumbuhan tetap serupa. Tempat-tempat lain yang mempunyai keisimewaan tersendiri juga didiami oleh manusia.
Rangkap 3
Penyajak ingin menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan berkongsi impian yang sama iaitu melihat keamanan dan keharmonian dunia. Beliau ingin melihat dunia bersama-sama bagi memperjuangkan keamanan.
Rangkap 4
Penyajak mendapati manusia sering dipisahkan oleh sempadan negara dan untuk memasuki negara tersebut perlu ada dokumen rasmi seperti pasport dan visa. Penyajak menyeru rakyat di dunia agar sama-sama berjuang mencapai keamanan dunia serta mengikis rasa benci dan dendam .
Tema
Kesamatarafan manusia walau di mana-mana mereka berada. Walaupun manusia itu berada dan dipisahkan oleh sempadan, mereka setaraf dan mengimpikan kehidupan yang aman dan harmoni.
Persoalan
1. Persoalan keindahan alam semula jadi di sesuatu tempat. Setiap tempat mempunyai keindahan alam semulajadi yang tersendiri.
2. Persoalan harapan dan impian manusia sejagat untuk kehidupan yang aman dan harmoni.Setiap orang mempunyai impian dan harapan untuk kehidupan yang aman dan harmoni.
3. Persoalan garis sempadan seringkali memisah dan membezakan manusia.Manusia dipisahkan oleh faktor geografi.
4. Persoalan kepentingan nilai hormat dan menghormati antara manusia. Nilai ini penting dalam kehidupan.
Bentuk
1. Bebas
2. Terdapat 4 rangkap dalam sajak ini.
3. Rima akhir baris-baris ayat
Rangkap 1 terdapat 6 baris ayat. Rima akhirnya aabbaa.
Rangkap 2 terdapat 7 baris ayat. Rimanya aabbbca
Rangkap 3 terdapat 8 baris ayat. Rima akhirnya abcabbbb
Rangkap 4 terdapat 9 baris ayat. Rima akhirnya aabbbcdeb
Nada
Sinis
Gaya Bahasa
1. Ayatnya pendek-pendek
Contohnya : Di bawah langitnya
2. Diksi – mudah difahami dan puitis
Contohnya: Aku suka gerimis di Kota London.
3. Kata pinjaman bahasa Inggeris
Contohnya :i visa, pasport,
4. Aliterasi – perulangan konsonan’n’
Contohnya : : pohon-pohon hijau atau aneka warna
5. Asonansi – perulangan vokal ’i’
Contohnya : berkongsi siang miliki malam
6. Sinkope
Contohnya : mu, ku
7. Perulangan
. Contohnya Di bawah langit ini.
8. kata ganda
. Contohnya : pohon-pohon, peta-peta
Nilai
1. Nilai menghargai keindahan alam. Keindahan alam perlu dihargai.
2. Nilai hormat- menghormati sesama manusia. Nilai ini penting dalam kehidupan seharian.
3. Nilai bertoleransi antara masyarakat. Toleransi penting dalam kehidupan bermasyarakat.
4. Nilai bekerjasama dalam menjayakan sesuatu.Kerjasama penting untuk menjayakan sesuatu.
Pengajaran
1. Kita mestilah menganggap manusia sebenarnya sama taraf walau di manapun mereka berada.
2. Kita mestilah menganggap setiap tempat mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
3. Kita hendaklah sedar bahawa manusia seringkali dipisah dan dibezakan oleh sempadan waktu dan tempat
4. Kita mestilah mewujudkan hubungan harmoni sesama negara dan rakyatnya.
5. Kita hendaklah mengimpikan kehidupan yang lebih baik dan harmoni.
(i) Terangkan maksud tiupkan harapan senada. [3 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk mengeratkan perpaduan antara negara di peringkat antarabangsa? [3 markah]
(iii) Jelaskan tema sajak ini. [3 markah]

Assalamua'laikum akhi, mohon kebenaran utk guna gambar langit itu utk poster. jzkk! -wan aisya,ikimfm.
ReplyDelete