Bahagian A
[ 30 markah]
[Masa dicadangkan : 45 minit]
Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada langkah pencegahan Covid-19
di pusat beli-belah. Huraikan pendapat anda tentang langkah –langkah pencegahan Covid-19 yang harus dilakukan oleh pemilik
premis pusat beli-belah. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250
patah perkataan.
Karangan ditulis oleh : Pua E Rick (5E, 2020 )
Mutakhir ini, pandemik global iaitu COVID-19 yang
melanda negara-negara di seluruh dunia telah menjadi topik yang hangat
dibicarakan di media sosial. Isu ini terpampang di dada media cetak serta
terjerit keluar dari corong-corong media elektronik. Dari segi konsepnya,
pandemik boleh ditakrifkan sebagai wabak penyakit berjangkit yang merebak
melalui populasi manusia menyeberangi kawasan yang luas sehingga merangkumi
seluruh dunia. Kini, penyakit COVID-19 yang telah mencatat lebih daripada 500
ribu kes dan lebih 30 ribu kematian memang menimbulkan kerungsingan kerajaan
negara-negara di dunia dan membawa impak yang ketara terhadap sosioekonomi
dunia. Ekoran peningkatan jumlah kes COVID-19 di Malaysia, kerajaan Malaysia
telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memperlahankan
perebakan penyakit tersebut. Walaupun begitu, pusat beli-belah yang menjadi
tempat kunjungan orang ramai untuk membeli barang kegunaan seharian masih bebas
dikunjungi oleh orang ramai. Sudah terang lagi bersuluh bahawa risiko jangkitan
di pusat membeli belah agak tinggi dan perlu dielakkan agar tidak mengakibatkan
peningkatan jumlah kes sehingga tidak mampu ditangani oleh pihak hospital yang
telah mencapai kapasiti maksimum. Terbitlah persoalan dalam benak fikiran,
apakah usaha-usaha pencegahan COVID-19 yang harus dilakukan oleh pemilik premis
pusat beli-belah?
Pada realitinya, tidak dapat
dinafikan bahawa disinfeksi atau proses nyah kuman permukaan yang mudah
dicemari merupakan tanggungjawab pemilik premis pusat beli-belah. Hal ini
demikian kerana permukaan-permukaan yang selalu disentuh oleh orang ramai
berkemungkinan tinggi akan terdedah kepada pelbagai jenis kuman termasuklah
COVID-19. Misalnya, permukaan seperti tombol pintu, butang lif, susur tangan
eskalator dan pemegang troli harus dinyahkuman mengikut kekerapan yang
ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Seandainya pemilik premis leka
terhadap kepentingan proses disinfeksi ini, seorang pesakit COVID-19 yang
mengunjungi pusat beli-belah tersebut akan merebakkan virus tersebut kepada
semua pelanggan dan pekerja dalam pusat beli-belah itu. Apabila jangkitan
penyakit bermula di dalam premis, pusat beli belah tersebut akan diarahkan
tutup dengan serta merta dan pekerja-pekerja serta pemilik kedai akan
kehilangan sumber pendapatan. Hal ini persis kata-kata mutiara Melayu, mencegah
lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, lebih baik pemilik premis mengambil
langkah pencegahan agar tidak memangkinkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan
masyarakat. Tuntasnya, pihak kerajaan harus memastikan pemilik premis mendapat
bekalan ubat disinfeksi yang secukupnya untuk memastikan pusat beli-belah bebas
daripada virus berbahaya.
Selanjutnya, marilah kita
capahkan lensa pemikiran terhadap usaha yang seterusnya, iaitu langkah yang
berpandukan aspek etika pelanggan. Menurut garis panduan yang ditentukan oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia, setiap pelanggan mestilah sering membasuh
tangan dan memakai penutup mulut dan hidung sekiranya menunjukkan simptom
seperti batuk atau sakit tekak. Namun begitu, kerajaan juga telah menyeru orang
ramai agar tidak memakai penutup mulut jika tidak menunjukkan sebarang simptom.
Justifikasinya, seluruh dunia termasuk negara kita kini menghadapi krisis
kekurangan penutup mulut dan hidung. Oleh itu, orang ramai wajarlah berfikiran
rasional semasa keluar dari rumah agar tidak membazir penutup mulut sehingga
doktor dan jururawat yang sedang bertungkus lumus merawat kes COVID-19 tidak
mempunyai penutup mulut yang cukup. Selain membasuh tangan, para pelanggan mestilah
menjaga kebersihan diri, mengamalkan penjarakan sosial dan tidak menyentuh muka
sendiri. Mandi selepas membeli-belah adalah diharuskan. Setiap anggota
masyarakat mestilah melaksanakan tanggungjawab masing-masing kerana situasi ini
ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua. Jika hanya seorang sahaja
kurang bersikap prihatin dan tidak menjaga kebersihan diri di pusat beli-belah,
kemungkinan berlaku wabak penyakit yang berpunca dari tempat tersebut akan
meningkat. Intihanya, pelanggan pusat beli-belah haruslah beretika baik dengan
menjaga kebersihan diri agar kesihatan masyarakat sejagat dipelihara.
Tambahan pula, jika ditinjau
dari perspektif yang sama, penjarakan sosial merupakan amalan yang seharusnya
diamalkan oleh pelanggan di pusat beli-belah. Setiap pelanggan patutlah
menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter daripada pelanggan di
sekeliling. Sekiranya dipraktikkan, risiko jangkitan penyakit COVID-19 dapat
diturunkan kerana jangkitan COVID-19 ditularkan melalui titisan batuk dan
bersin serta bawaan udara. Oleh itu, kesihatan diri lebih terjamin apabila
pelanggan menjarakkan diri dan mengamalkan penjarakan sosial semasa membeli
barangan keperluan. Di samping itu, setiap keluarga hanya perlu menghantar
seorang wakil untuk membeli barang keperluan untuk mengurangkan jumlah
pelanggan di pusat beli-belah. Sekiranya pelanggan mampu mengakses kemudahan
pemesanan dalam talian, mereka langsung tidak perlu keluar dari rumah dan boleh
memesan barangan keperluan melalui Internet untuk dihantar terus ke rumah
masing-masing. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna. Peningkatan kes COVID-19 di Malaysia setakat ini perlu diperlahankan
agar tidak merebak ibarat bisul menjadi nanah seperti fenomena yang dilihat di
negara Itali dan Amerika Syarikat. Izharlah bahawa penjarakan sosial oleh
pelanggan di pusat beli-belah merupakan amalan yang efektif dan pragmatik untuk
membanteras infeksi dan membasmi penyakit COVID-19 hingga ke akar umbi.
Akhirulkalam, setiap anggota
masyarakat wajarlah memikul tanggungjawab sosial masing-masing dan mematuhi
Perintah Kawalan Pergerakan serta mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia. Dalam membicarakan soal jangkitan penyakit,
peribahasa "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga" sesuai dianalogikan
kerana sesiapa yang menjadi vektor penyakit dan mengingkari arahan akan
mencetuskan kluster jangkitan baharu sehingga meragut nyawa yang tidak berdosa.
Pihak kerajaan perlulah menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan hukuman
dan denda kepada anggota masyarakat yang masih bersikap individualistik seperti
enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Hanya dengan
pengimplementasian langkah yang drastik dan komitmen yang kukuh daripada semua
lapisan masyarakat, barulah kemelut COVID-19 ini dapat diselesaikan secepat
mungkin. Prosedur-prosedur yang sewajarnya mesti diambil oleh semua pihak untuk
mengelakkan senario ini bertambah kritikal. Menyedari hakikat ini, pemilik
premis pusat beli-belah, pihak kerajaan dan masyarakat mestilah bersatu hati
dalam menentang musuh yang begitu mengerikan ini untuk memastikan ekonomi
negara tidak mengalami kejatuhan lagi. #KekalTenangDudukRumah #HapuskanCovid-19
No comments:
Post a Comment