Oh, Ayah! Oh, Ibu!
Oleh : Suci Musalmah binti Mohd Nasir (5R, 2018)
“Anak
Derhaka Semakin Ramai”. "Ibu Tua Ditinggalkan di Hospital". "Gelandangan Warga Tua Kian Meningkat". Demikianlah antara tajuk perdana yang menghiasi dada-dada akhbar dan paparan skrin media sosial yang tidak
sepatutnya berlaku dalam negara yang mengamalkan konsep masyarakat penyayang. Walaupun
isu pengabaian warga tua tidaklah segah isu keruntuhan akhlak remaja, namun, hal
ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Lebih menyedihkan lagi, ada yang
menganggap bahawa warga tua ini banyak menimbulkan beban kepada mereka. Sebelum
kita mendalami isu ini dengan lebih lagi, eloklah kita menyelami dahulu erti
atau definisi frasa warga tua? Warga tua atau warga emas ditakrifkan sebagai mereka yang
berumur 60 tahun ke atas. Lazimnya, kelompok warga emas merupakan mereka yang
kurang bertenaga dan semakin merosot dari segi kesihatan badan. Oleh itu, perbuatan
pengabaian warga tua secara tidak langsung telah meninggalkan kesan yang
mendalam terhadap jiwa golongan tua ini. Mereka akan merasakan diri mereka
tidak diperlukan lagi. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai cara untuk
mengatasi masalah ini. Antaranya ialah dengan mewujudkan sebuah rumah warga tua
yang berkonsepkan penjagaan harian. Pada mulanya, cara ini mungkin kelihatan seperti
perbuatan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana dari kecil kita
diberitahu untuk selalu menghormati orang tua dan menjaga dan mengasihi ibu
bapa kita sehingga tua. Namun, terdapat beberapa kes seperti sesetengah masyarakat yang tidak
mampu menjaga orang tuanya. Analoginya, anak-anak mungkin tidak berupaya secara
kewangan atau tidak cekap secara fizikal.
Tambahan pula, terdapat sejenis penyakit yang dipanggil Dimentia
iaitu sebuah istilah umum yang menggambarkan pelbagai gejala yang dikaitkan
dengan kemerosotan memori atau kemahiran berfikir semakin lemah lalu
mengurangkan keupayaan seseorang untuk melakukan aktiviti seharian. Penyakit
ini sering mengakibatkan orang yang lebih tua. Antara rawatan yang sesuai
digunakan ialah melalui aktiviti bersosial. Hal ini kerana, proses berinteraksi
dengan orang lain, walaupun pasif, dapat merangsang rasa harga diri, perasaan
kepunyaan dan bukannya pengasingan. Justeru, dengan mendedahkan mereka kepada
lebih ramai orang akan menyebabkan mereka bersosial, khususnya di rumah orang
tua, penyakit tersebut akan dapat dirawati atau semakin pulih.
Namun, pada hakikatnya, agak
menyedihkan dengan kewujudkan rumah warga tua. Hal ini seolah-olah
menggambarkan sikap “bagai kacang lupakan kulit” dalam diri anak-anak. Jasa ibu
bapa seolah-olah tidak dihargai. Sikap masyarakat zaman ini terhadap
warga tua menunjukkan seolah-olah mereka tiada langsung mempunyai rasa
bersyukur dalam kamus hidup sendiri walaupun terhadap ibu bapa sendiri. Si ibu yang telah bersusah payah mengandungkan mereka selama sembilan
bulan, menyusu, menjaga serta mendidik daripada tapak kaki sekecil tiga jari
sehingga dewasa bagai tiada maknanya. Akhirnya, pada penghujung hidup ibu bapa,
berakhir di rumah warga tua walaupun memiliki anak-anak yang berjaya. Tidak
terpalitkah langsung rasa menghargai ibu bapa di jiwa masing-masing?
Antara punca yang menunjangi masalah ini
ialah sikap hipokrit masyarakat sekarang yang tidak mementingkan
nilai-nilai kekeluargaan juga menyebabkan warga tua terabai. Mereka sanggup
membelakangi warga tua ini dalam segala urusan. Selain itu, pengabaian warga
tua ini disebabkan sikap masyarakat yang telah dijajah oleh aspek
individualistik dan materialisme yang cukup kuat. Hal ini persis bak kata
peribahasa, bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Selanjutnya,
masyarakat moden kini lebih mengejar kebendaan dan kekayaan daripada erti nilai
kasih sayang. Ekoran daripada itu, terdapat juga mereka yang menganggap bahawa
warga tua tidak produktif dan tidak berupaya membantu mereka. Namun, terdapat juga
mereka yang menggunakan warga tua sebagai pembantu rumah atau untuk
menjaga cucu-cucu yang ramai. Pengeksploitasian tenaga warga tua ini,
sememangnya semakin berleluasa kini, tetapi tiada tindakan yang dapat diambil
kerana hal ini melibatkan kekeluargaan. Seterusnya, mereka melepaskan
tanggungjawab kepada pihak pengurusan rumah orang-orang tua. Sememangnya
layanan yang diberikan tidak seburuk mana, tetapi tidak terfikirkah kita
bagaimana mereka menjaga kita suatu masa dahulu?
Ternyatalah
bahawa kerajaan juga memainkan peranan yang penting dalam menangani cabaran ini.
Kerajaan telah memperuntukkan RM1.4 bilion bagi membantu kira-kira 500,000
penerima bantuan kebajikan masyarakat, yang terdiri daripada warga emas, orang
kurang upaya, ibu tunggal dan sebagainya, melalui Program Kebajikan Rakyat
1Malaysia (KAR1SMA). Namun, perkara yang
menghairankan ialah kenapa anak-anak sendiri tidak begitu menghargai mereka
sebagaimana yang diakui oleh pihak kerajaan? Fikiran masyarakat yang masih
belum terbuka sepenuhnya menyebabkan mereka tidak dapat menerima teguran dan
pandangan yang membina daripada warga tua. Semua itu dianggap sebagai satu
leteran. Jika suatu masa
dahulu, leteran itulah yang membimbing kita dari bertatih hingga dapat
berdikari. “Dilarang bersiul dalam
rumah, nanti ular masuk.”, “Makan sisa anak, anak akan degil”, dan “Bila makan,
pinggan tak boleh diletak atas riba, nanti suami diambil orang”, adalah antara
pantang larang dan pepatah orang tua yang tidak dipedulikan oleh golongan muda.
Padahal, itu hanyalah pantang larang yang menjadi salah satu cara untuk menyampaikan
pengajaran secara beralas. Adakah kita bersedia untuk dilayan sebegitu
juga oleh anak-anak kita satu hari nanti? Tepuk dada tanyalah selera kita
sendiri.
Adakah kita dikatakan
sebuah masyarakat yang maju selaras dengan transformasi negara jika kita
bersikap invidualistik?
Masyarakat maju Barat masih lagi menjaga warga tua
mereka dan golongan inilah yang mereka utamakan dalam segala hal. Warga tua di
sana dihormati dan disanjungi tetapi tidak di negara kita. Mengapa masyarakat
kita tidak mahu mencontohi budaya positif ini? Secara
ringkasnya, warga tua bukanlah seperti surat khabar lama yang harus
dibuang setelah penat menabur budi selama ini kepada negara dan golongan muda.
Kumpulan masyarakat ini berhak menerima layanan yang terbaik daripada semua
pihak tanpa sebarang alasan, walaupun ditempatkan di rumah warga tua. Demi
keafiatan mereka, semua pihak harus sedar dan menerima kenyataan bahawa tanpa
warga tua tiadalah warga muda. Bayangkan jika anda sudah tua dan anda pula yang
disisihkan. Kita tidak mahu Transformasi
Negara 2050 yang diimpikan hanya tinggal impian kerana tiadanya masyarakat
penyayang. Konklusinya, rumah warga tua mungkin perlu,
namun janganlah meletakkan mereka di
sana sekiranya masih ada waris yang mampu menjaga mereka.
No comments:
Post a Comment